You are on page 1of 1

BAB 3

PEMBINAAN MODEL PEMBELAJARAN BAGI PENGEMBANGAN NILAI DALAM PENDIDIKAN MATEMATIK


Nik Azis Nik Pa

PENGENALAN Modul pembelajaran adalah satu unit pembelajaran tersendiri yang mengandungi komponen berhierarki yang dilengkapi dengan bahan berkaitan untuk mencapai tujuan tertentu. Ia membabitkan satu himpunan pelajaran dan halaman maklumat yang tersusun dalam struktur yang jelas. Biasanya, sesuatu modul pembelajaran mengandungi tidak lebih dari tiga jam kandungan pembelajaran. Istilah pelajaran merujuk unit pembelajaran yang lebih kecil dalam sesuatu modul. Pada asasnya, setiap pelajaran sepatutnya mengandungi bahan pembelajaran yang tidak melebihi 30 halaman dan dapat dipelajari dalam masa 30 minit. Istilah halaman pula merujuk unit pembelajaran yang paling kecil dan ia mengandungi satu skrin atau rangka maklumat. Sesuatu halaman boleh mengandungi teks, jadual, rajah, carta, graf, simbol, nombor, ilustrasi, atau gabungan beberapa unsur ini. Dari sudut kandungan, sesuatu halaman maklumat boleh mengandungi sebahagian atau keseluruhan objek pembelajaran yang tertentu. Istilah objek pembelajaran merujuk sebarang entiti, sama ada berbentuk digital atau tidak, yang dapat digunakan, digunakan semula, atau dirujuk bagi membantu pembelajaran (Gibbons, Nelson, & Richards, 2000). Saiz bagi sesuatu objek pembelajaran boleh berbeza dari satu kes kepada kes yang lain, tetapi pada umumnya, ia bertumpu kepada satu objektif pembelajaran yang khusus dan mengambil masa dari 2 minit hingga 15 minit untuk mempelajarinya. Objek pembelajaran boleh mengandungi satu atau lebih komponen, termasuk teks, video, imej, nombor, simbol, dan rajah; dan boleh dianggap sebagai blok binaan yang dapat digabungkan dalam pelbagai cara untuk membentuk satu himpunan yang disebut sebagai pelajaran atau modul.

You might also like