You are on page 1of 3

Pengurusan Sisa Pepejal di

Malaysia dan Masalahnya


Ditulis oleh Azrina Binti Sobian. Posted in Artikel
Secara purata, setiap rakyat Malaysia menghasilkan 0.8kg. sampah setiap hari.
Jumlah ini bertambah besar jika mengambil kira individu yang tinggal di bandar.
Penghuni kawasan bandar dianggarkan menghasilkan 1.5kg. sampah setiap
hari. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan pada tahun 2001, 16,247 tan sampah dihasilkan di Malaysia
setiap hari. Negeri Selangor mendahului negeri-negeri lain dengan penghasilan
sampah sebanyak 2,955 tan sehari. Ini diikuti dengan Kuala Lumpur (2,634
tan/hari), Johor (2,002 tan/hari), Perak (1,596 tan/hari) dan Kedah (1,383
tan/hari).
Melihatkan data di atas, penghasilan sampah atau sisa pepejal bergantung
kepada keluasan sesebuah kawasan, jumlah penduduk dan aktiviti yang
dijalankan. Jenis sampah yang terhasil juga berbeza mengikut kawasan.
Bagi kawasan bandar, sampah pepejal yang terhasil adalah lebih kompleks
berbanding di luar bandar. Sampah yang terhasil adalah dalam bentuk kertas,
bahan-bahan kaca, kayu-kayu sisa binaan, bahan-bahan plastik, sisa-sisa
makanan, bahan-bahan aluminium dan sebagainya.
Di Malaysia, sampah yang dihasilkan dihantar ke tapak pelupusan ataupun ke
pusat pembakaran (incinerator). Dua sistem ini amat popular di Malaysia.
Terdapat 161 tapak pelupusan sisa pepejal di Malaysia (jumlah ini tidak
termasuk sepuluh pihak berkuasa tempatan di Sabah dan Sarawak ). Negeri
Sarawak mempunyai jumlah tapak pelupusan sampah yang tertinggi iaitu
sebanyak 28 tapak. Ini diikuti dengan Johor (26), Perak (18), Pahang (14) dan
Kelantan (12). Di antara 161 tapak ini, 77 daripadanya terdiri dari tapak
pembuangan sampah terbuka (open dumping). 49 tapak terdiri dari pelupusan
terkawal (controlled tipping), 19 tapak mempunyai 'bund' dan sisa pepejalnya
dikambus setiap hari, sepuluh tapak mempunyai kemudahan paip pengumpulan
'leachate' dan paip pengudaraan serta selebihnya mempunyai sistem rawatan
'leachate'.
Walaupun Malaysia mempunyai jumlah tapak pelupusan sisa pepejal yang
banyak namun jumlah ini tidak mencukupi untuk menampung jumlah sampah
yang dihasilkan. Dianggarkan, sebahagian besar tapak ini akan penuh atau tidak
boleh digunakan dalam masa dua tahun lagi. Bukan itu sahaja, kaedah
pelupusan sampah jenis ini berisiko tinggi terhadap alam sekitar dan manusia di
sekitar kawasan tapak pelupusan itu. Sebagai contoh, tapak pelupusan terbuka
boleh memberi kesan kepada sistem tanah dan air di kawasan tersebut. Selain
bau busuk, penyakit mata dan kulit juga boleh mengganggu hidup manusia di
persekitaran kawasan tapak.
Akibat masalah ruang yang semakin terhad, Malaysia kini beralih kepada teknik
pembakaran untuk mengatasi masalah pelupusan sampah. Terdapat 7 pusat
pembakaran mini di Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Pangkor dan Pulau
Labuan. Pusat pembakaran mini ini mempunyai kapasiti pengurusan sisa pepejal
sebanyak 3-10 tan/hari/unit. Di samping itu, sebuah pusat pembakaran
berteknologi tinggi (Thermal Treatment Plant) akan dibina di Kampung Brogo,
Semenyih, Selangor. Pusat pembakaran ini mampu menguruskan 1,500 tan sisa
pepejal dalam sehari. Sementara itu, di Pulau Labuan juga terdapat sebuah
pusat pembakaran yang menggunakan kaedah 'Thermal Oxidation'. Pusat
pembakaran ini mampu mengendalikan 40 tan sisa pepejal sehari.
Pembinaan pusat pembakaran dikatakan mampu mengatasi masalah pelupusan
sisa pepejal di Malaysia .Ini kerana sistem itu berkeupayaan membakar sampah
dengan lebih cepat berbanding pelupusan sampah terbuka. Sistem pembakaran
boleh membakar 99 peratus sisa pepejal menggunakan suhu yang tinggi sekitar
500-600 darjah celsius. Melalui kaedah ini separuh dari sisa pepejal yang
dihasilkan boleh dibakar setiap hari. Abu hasil dari pembakaran itu pula
dikatakan 99 peratus selamat untuk ditanam di mana-mana tapak pelupusan
sampah yang sedia ada. Selain dari itu, kaedah pembakaran juga dikatakan
mampu membakar kuman-kuman yang terdapat dalam sisa bagi mengelakkan
masalah penyebaran penyakit. Dalam masa yang sama, sistem ini telah dibina
dengan mengambil kira semua aspek bagi mengatasi masalah jerebu, masalah
bau busuk dan pelepasan gas dioksin.
Walaupun kaedah pembakaran menjadi pilihan untuk mengatasi masalah
pelupusan sampah yang meningkat, terdapat beberapa perkara yang perlu
diambil kira. Pembinaan pusat pembakaran sebenarnya memerlukan sumber
kewangan yang sangat tinggi. Misalnya, pembinaan pusat pembakaran mini di
Langkawi sahaja melibatkan kos sebanyak RM5.7 juta. Manakala pembinaan
pusat pembakaran di ibu kota pula menelan belanja antara RM500 juta hingga
RM1 billion. Dengan kos yang setinggi ini, seluruh rakyat perlu menanggung kos
itu secara bersama. Ini tentu sahaja akan menimbulkan rungutan pihak tertentu.
Di samping itu, masalah alam sekitar dan kesihatan manusia yang berpunca dari
aktiviti pembakaran juga harus diambil kira. Misalnya masalah jerebu dan
masalah gas dioksin akibat pembakaran sisa yang tidak sempurna. Di Jepun,
pelepasan gas dioksin merupakan satu masalah yang besar. Ia dikaitkan dengan
penyakit kanser, kecacatan bayi dalam kandungan, masalah kulit dan memberi
kesan negatif kepada sistem reproduktif manusia. Selain mencemarkan udara,
dioksin juga mampu menyerap ke dalam tanah dan air lalu mencemarkan air dan
seterusnya mencemarkan tumbuhan, hasil tenusu dan ikan. Kedua-dua masalah
ini perlu diambil kira agar tidak mewujudkan masalah lain yang akan
menyukarkan kehidupan manusia dan merosakkan alam sekitar.
Pengurusan sisa pepejal di Malaysia telah berubah mengikut masa. Teknologi
yang digunakan di dalam pengurusan ini juga semakin canggih. Penggunaan
teknologi dan system pengurusan yang canggih adalah semata-mata untuk
mencapai kualiti alam sekitar yang baik bagi negara Malaysia . Kerajaan
bertanggungjawab untuk mencapai matlamat ini. Walaubagaimana pun, rakyat
juga mempunyai tanggungjawab yang sama. Haruslah diingat bahawa manusia
adalah khalifah di bumi ini. Oleh itu, tanggungjawab menjaga alam ini adalah
tanggungjawab kita bersama. Bermula di rumah, sisa yang dihasilkan perlu
diuruskan dengan baik agar pengurusan pada peringkat yang lebih tinggi
menjadi mudah dan berkesan.

You might also like