You are on page 1of 8

Abdul Samad bin Muhammad Said atau lebih dikenali sebagai A.

Samad Said (lahir: 9


April 1935) ialah Sasterawan Negara 1986. Beliau juga pernah dianugerahkan dengan
"Anugerah-anugerah Menulis Asia Tenggara" (SEA Write Awards).

Dilahirkan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, A. Samad mendapat


pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1940-1946) dan Institusi
Victoria, Singapura (1956). Seorang yang berminat dalam penulisan sejak di bangku sekolah,
beliau telah menulis banyak karya yang terkenal.

Antara antologi puisinya ialah Suara Dari Dinding Dewan (2003), Dirgahayu Dr. Mahathir
dan Rindu Ibu (2004).

Antologi Esei terbaru adalah Ilham Di Tepi Tasik (2006).

Datuk A.Samad Said pernah juga menggunakan nama pena Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil
Kelana, Manja, Mesra dan Shamsir.
BIODATA
A. SAMAD SAID dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Dia
menerima pendidikan di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1940-1946), Victoria Institution sehingga
memperolehi Sijil Senior Cambridge (1956). Pencapaian dan sumbangan Samad Said dalam memperkaya dan
meninggikan nilai kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan pemerintah apabila pada 29 Mei 1976
bersama beberapa pengarang lain beliau telah diiktiraf sebagai Pejuang Sastera.

Tahun 1979 turut memberi erti pada Samad, apabila beliau dilantik oleh Perdana Menteri sebagai salah seorang
anggota panel Anugerah Sastera dan dalam tahun yang sama beliau telah memenangi Hadiah Penulisan Asia
Tenggara (SEA Write Award). Kemuncak pencapaian Samad sebagai sasterawan ialah apabila beliau dipilih
sebagai penerima Anugerah Sastera Negara 1985. Dalam majlis penganugerahan itu telah dipentaskan sedutan
drama terbaru A. Samad Said berjudul Wira Bukit. Dalam bidang penulisan, A. Samad Said turut menggunakan
nama pena Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra dan Shamsir.

PROFIL RINGKAS
Nama: Datuk Abdul Samad Muhammad Said.

Nama Pena: A Samad Said, Hilmy Isa, Isa Dahmuri, Jami Kelana.

Tarikh/Tempat Lahir: Pada 9.4.1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka.

Pendidikan: Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1940-46), Sekolah Jepun (3 bulan), Victoria
Institution sehngga Senior Cambridge, 1956). 

Kerjaya: Kerani hospital, Pengrang Utusan Melayu, Pengarang Warta Tebrau, Pengarang Berita
Harian.

Anugerah: Pejuang Sastera (1976), SEA Write Award (1979), Sasterawan Negara (19850,
Sasterawan Nusantara (1999).

Karya: Salina, Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau,
Langit Petang, Daerah Zeni, Hujan Pagi, Lantai T Pinkie, Wira Bukit, Benih Harapan, Benih Semalu,
Daun Semalu Pucuk Paku, Warkah Eropah, Al-Amin, Suara Dari Dinding Dewan.

TAHUN ANUGERAH UTAMA

1999 Anugerah Sasterawan Nusantara

1985 Anugerah Sasterawan Negara

1979 Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award)

1976 Anugerah Pejuang Sastera

Apresiasi Sastera A. Samad Said


Pada 12 Julai 2006, Kelab Seni & Sastera dan Kelab Buku Kolej SEGi
Subang Jaya dengan kerjasama Kumpulan Sasterawan Kavyan menganjurkan
program “Apresiasi Sastera A. Samad Said” khusus untuk menghargai Sasterawan
Negara Datuk Dr A. Samad Said serta karya yang beliau hasilkan.
“Pameran SN A. Samad Said” yang berlangsung pada sebelah siang
menampilkan poster, tayangan wawancara, pameran buku serta pelbagai bahan
yang dihasilkan oleh para pelajar berdasarkan karya-karya A. Samad Said.
“Malam Persembahan” pula menampilkan pembacaan cerpen “Hati Muda
Bulan Muda”, tayangan rakaman drama berdasarkan cerpen yang sama, nyanyian
lagu puisi serta bacaan petikan novel Hujan Pagi dan The Morning Post;
kesemuanya karya A. Samad Said.
Sasterawan berkenaan yang juga Penasihat Agung Kavyan membaca dua
buah sajak manakala anak beliau, Az Samad membuat persembahan dua buah lagu
secara instrumental.
Sasterawan Negara Datuk Dr A. Samad Said merupakan seniman sepenuh
masa dan telah menulis lebih tiga puluh buku; antaranya Salina (novel), Di Mana
Bulan Selalu Retak (drama), Ke Mana Terbang Si Burung Senja (novel), Sungai
Mengalir Lesu (novel), Di Hadapan Pulau (novel), Langit Petang (novel), Wira Bukit
(drama), Hujan Pagi (novel), Lantai T. Pinkie (drama), Antara Bulan dan Wira (esei),
Hati Muda Bulan Muda (cerpen), al-Amin (puisi), Adik Datang (novel) dan Suara
Dari Dinding Dewan (puisi).
Beliau adalah penerima Anugerah Pejuang Sastera (1976), Anugerah
Penulis Asia Tenggara (1979) dan Anugerah Sastera Negara (1985).
A. Samad Said

Kerajinannya menghasilkan karya dan ketekunannya membaca karya-karya orang lain


menjadi titik penentu A. Samad Said ditabalkan sebagai Sasterawan Negara yang versatil di
ujana kesusasteraan tanah air. Dalam karya A. Samad Said, khalayak akan melihat ketelitian
dan kecermatannya sebagai pengarang pengarang yang menuangkan nurani seninya. A.
Samad Said berpendapat bahawa untuk melahirkan karya, karyawan tidak hanya bergantung
pada bahan dan bakat serta kekuatan fikiran sahaja tetapi yang penting ialah pembacaan dan
pengalaman yang luas.

 Abdul Samad bin Muhammad Said atau nama penanya A. Samad Said, Hilmy Isa, Isa
Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra, dan Shamsir dilahirkan pada 9 April 1935 di
Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Semasa berumur enam bulan, A.
Samad Said dibawa oleh keluarganya ke Singapura. A. Samad Said memperoleh pendidikan
formal di Sekolah Melayu Kota Raja hingga lulus darjah IV (1940-1946).  Kemudian A.
Samad meneruskan pengajiannya dalam kelas petang di Victoria Institution hingga
memperolehi sijil Senior Cambridge (1956).

  Pengalaman kerjaya A. Samad Said bermula sebagai kerani, pengarang di Utusan Melayu,
Berita Harian, Kumpulan The Straits Times, dan ketua pengarang akhbar Warta Teberau.
Jawatan terakhir A. Samad Said ialah sebagai ketua pengembangan sastera dalam Kumpulan
Akhbar The New Straits Times, Kuala Lumpur. Kini A. Samad Said menjadi penulis sepenuh
masa yang aktif berkarya.

 Sejak di bangku sekolah lagi minatnya terhadap sastera mula berputik apabila beliau berjinak
membaca karya sastera dalam dan luar negera geperti karya Ajip Rosidi, Rendra, Pramoedya,
Achdiat, Hamzah dan Wijaya Mala. Beliau juga membaca novel seperti Oliver Twist,
Wuthering Height, dan Almayer's Folly. Beliau juga menggunting dan menyimpan cerpen
daripada akhbar tempatan dan mengkajinya sebelum menghasilkan cerpennya sendiri.
Kegiatan  menterjemah beberapa karya asing juga secaran tidak langsung memperkuatkan
minatnya terhadap kesuasteraan

 Bermula detik alam persekolahan hingga kini A. Samad Said tida jemu menghasilkan
puluhan karya dalam genre novel, puisi, drama, cerpen, dan esei untuk mewarnakan dunia
sastera di persada tanah air dan antarabangsa. Antara karya besar yang dihasilkan ialah
Salina, Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau,
Langit Petang, Daerah Zeni, Hujan Pagi,  Lantai T Pinkie, Wira Bukit, Benih Harapan, Benih
Semalu, Daun Semalu Pucuk Paku dan Warkah Eropah,  AL-AMIN , Riwayat Hidup
Rasululiah s.a.w dalam Puisi (1999) dan kumpulah puisi Suara Dari Dinding Dewan (2003)
terbitan Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd. Sentuhan karyanya yang terbaharu ialah
novel Adik Datang, kumpulan puisi Dirgahayu Dr Mahathir dan kumpulan puisi kanak-kanak
Rindu Ibu yang diterbitkan oleh Wira Bukit Sdn Bhd.Beberapa karyanya diadaptasi menjadi
teater/drama pentas seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu, Lantai T. Pinkie, dan Memori Di
Hadapan Pulau

 Pencapaian dan sumbangan A. Samad Said dalam memperkayakan dan memertabatkan


kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan kerajaan apabila beliau menerima
pelbagai anugerah. Antaranya termasuklah Pejuang Sastera (1976), SEA Write Award
(1979), Anugerah Sasterawan Negara (1985), dan Anugerah Sasterawan Nusantara (1999).
Selain pengiktirafan dalam bidang sastera, A.Samad Said juga telah dianugerahkan darjah
kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk dalam tahun 1997 oleh Yang
Dipertua Negeri Melaka.
(Dewan Sastera Ogos 2003)

Hasil karya:

1. A Samad Said (Antologi Puisi)


2. Adik Datang
3. Bulan Tak Bermadu Di Fatehpur Sikri
4. Dirgahayu Dr. Mahathir
5. Dosa Pejuang
6. Lantai T. Pinkie
7. Rindu Ibu
8. Suara Dari Dinding Dewan
LATAR BELAKANG
A. SAMAD SAID, seorang pengarang Melayu yang agak unik dan tersendiri dalam perkembangan penulisannya yang
dimulai dengan puisi dan cerpen, kemudian meningkat kepada penulisan novel, drama dan kritikan sastera.  Sejak
giat mengarang dalam tahun 1950, beliau telah memperlihatkan kekuatan daya kreatif yang sentiasa berkembang dan
lebih bersifat meneroka.  Sumbangan A.  Samad Said kepada kesinambungan kesusasteraan Melayu kelihatan cukup
menyerlah kerana beliau ialah penulis yang begitu menonjol dalam perkembangan kesusasteraan Melayu yang
menyambungkan ASAS 50 dengan angkatan sesudahnya.
         
Semasa  berumur enam bulan, Samad dibawa oleh keluarganya ke Singapura dan beliau mendapat pendidikan asas
dan menengahnya di sana.  A. Samad Said belajar di Sekolah Melayu Kota Raja hingga lulus darjah IV (1940 – 1946)
sebelum meneruskan pengajiannya dalam kelas petang di Victoria Institution.  Dari situ, beliau belajar sendiri hingga
memperoleh sijil Senior Cambridge (1956).
         
Sejak di bangku sekolah menengah lagi, Samad sudah mulai berkenalan dengan kesusasteraan di dalam dan luar
negeri.  Malah, pengarang-pengarang penting di Singapura pun seperti Asraf, Usman Awang, dan Han Suyin telah
diketemuinya.  Sajak dan cerpennya mula tersiar sewaktu beliau masih di bangku sekolah.  Sebelum terbitnya novel
Salina yang mengharumkan namanya, Samad membaca karya-karya Ajip Rosidi, Rendra, Pramoedya, Achdiat,
Hamzah dan Wijaya Mala.  Beliau juga membaca novel-novel Barat seperti Oliver Twist, Wuthering Height dan
Almayer’s Folly.  Beliau menggunting cerpen-cerpen daripada akhbar tempatan dan mengkajinya sebelum
menghasilkan cerpennya.  Kegiatan menterjemah beberapa karya sastera asing juga secara tidak langsung
memperkuat minatnya terhadap kesusasteraan.  Segalanya ini membulatkan tekad dan fikirannya untuk
berkecimpung dalam bidang penulisan, dan hasilnya, Samad berupaya menghasilkan pelbagai genre: sajak, novel,
drama, esei/kritikan dan terjemahan.  Kecenderungannya terhadap dunia sastera telah berakar dan berkembang
dalam dirinya sejak kecil lagi apabila beliau selalu mendengar cerita-cerita daripada ibunya.  Daripada pengakuannya
yang merendah diri, Samad berkata : “... kalaulah saya diterima sebagai penulis – saya lahir daripada “Batu Belah
batu Bertangkup”.  Saya masih tetap mendengar cerita ini walaupun orang yang menceritakannya ketika memandikan
saya, menyuapkan makan saya dan menidurkan saya sudah tidak ada lagi.”
 
Pekerjaan pertama Samad Said ialah sebagai kerani di Hospital Umum Singapura.  Beliau berasa beruntung bekerja di
hospital itu kerana amat sukar baginya mendapat kerja di mana-mana pun pada waktu itu.  Tetapi, di hospital itu,
beliau tidak lama bekerja dan hanya dapat bertahan selama enam bulan saja.  Samad kemudian berpindah ke Kuala
Lumpur untuk bekerja dengan akhbar Fikiran Rakyat  di bawah pimpinan Ahmad Boestamam.  Selepas enam bulan di
Kuala Lumpur, beliau kembali semula ke Singapura dan bekerja dengan akhbar mingguan Utusan Zaman  di bawah
Usman Awang.  Apabila Syarikat Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur dan Usman Awang, Said Zahari,
Pengarang Utusan Melayu  waktu itu berpindah sama, Samad Said juga turut berhijrah.  A. Samad Ismail, Pengarang
Berita Harian ketika itu, telah memujuk Samad Said agar menyertai Berita Harian.  Di sekitar tahun 1960-an Samad
sekali lagi bertukar kerja.  Apabila A. Samad Ismail diberikan tugas lebih besar dalam surat khabar The New Straits
Times,  Samad Said pula dilantik menjadi Pengarang Berita Harian.  Semasa A. Samad Ismail berada dalam tahanan,
beliau telah dilantik menjadi penolong khas kepada Pengarang Kumpulan The New Straits Times di samping
menjalankan tugasnya sebagai Pengarang Berita Harian.  Tetapi Samad menyedari bahawa minatnya dalam bidang
penulisan dan tanggungjawab yang besar yang diamanahkan kepadanya boleh merugikan, bukan sahaja bakat dan
kreativitinya, tetapi dunia kesusasteraan umumnya.  Justeru, Samad Said minta dibebaskan daripada menjadi
Pengarang Berita Harian dan mulai 8 Mac 1978 Samad bertugas sebagai seorang daripada enam orang penolong khas
dengan tugas-tugas tertentu seperti menulis rencana pengarang dan artikel feature.  Sejak akhir 1981, beliau
bertugas sebagai Ketua Pengarang akhbar Warta Teberau.  Jawatan terakhir A. Samad Said ialah sebagai Ketua
Pengembangan Sastera dalam Kumpulan Akhbar The New Straits Times, Kuala Lumpur.  Kini A. Samad Said
menumpukan seluruh masa dan perhatiannya kepada bidang penulisan.
 
Isterinya, penyair Salmi Manja, seorang penulis yang cukup dikenal oleh peminat-peminat sastera.  Seperti Samad,
Salmi juga menulis sajak dan cereka.
 
Kejayaan A. Samad Said sebagai sasterawan ialah hasil daripada pengalamannya dan berkat kerajinannya membaca
karya-karya orang lain.  Dalam karya Samad kita melihat ketelitian dan kecermatannya sebagai pengarang.  Beliau
bukan sahaja begitu cermat dan teliti menghadapi dan membentuk watak-watak, tetapi juga terhadap alam, benda
hidup dan mati, yang menjadi latar ceritanya.  Beliau seolah-olah mencari erti dalam semuanya itu.  Samad juga
sedar bahawa untuk melahirkan karya yang bererti, seseorang tidak hanya bergantung kepada bahan dan bakat
kekuatan fikiran sahaja, tetapi pembacaan dan pengalaman yang luas amatlah penting.  Kerana itu, Samad
meluaskan pembacaannya kepada bidang politik, sosiologi, ekonomi dan psikologi serta karya-karya besar Li Po, Tu Po
dan Rabindranath Tagore.  Cara beliau membaca agak aneh, yakni dengan menggaris atau menanda ayat-ayat,
dialog-dialog atau ungkapan-ungkapan yang menarik dalam prosa, novel, dan malahan puisi.  Ini memperlihatkan
betapa teliti pembacaan dan pemerhatiannya.  Sikap telitinya ini terpancar juga pada deskripsi dan dalam dialog-
dialog karyanya.
 
Sungguhpun Samad sangat mengutamakan nilai sastera, beliau tidak pula menolak konsep “Seni untuk Masyarakat”,
malah puisinya yang pertama diberinya judul “Untuk Angkatan 50” yang tersiar dalam Utusan Zaman (1950).  Samad
sendiri pernah menjadi anggota ASAS 50, badan penulis yang bergerak dengan slogan, “Seni untuk Masyarakat “,
tetapi pendekatan Samad berbeza daripada penulis-penulis lain.  Beliau berhasil memadukan tugas sastera dengan
nilai yang diperlukan.  Beliau dianggap sebagai tokoh yang menghubungkan sasterawan-sasterawan 50-an yang
mementingkan tema dan mesej dengan sasterawan-sasterawan generasi kemudiannya yang lebih cenderung
menekankan nilai dalam kesusasteraan.
 
Meskipun Samad lahir di tengah-tengah Angkatan 50, tetapi daya ciptaannya berbeza daripada tokoh-tokoh ASAS 50
yang lain.  Hal ini demikian kerana, beliau dibesarkan di kota kosmopolitan Singapura, terdidik secara formal dalam
bahasa Melayu dan Inggeris, dan tidak pernah secara aktif terlibat dalam perjuangan politik atau ideologi yang
menentang penjajah.  Tokoh-tokoh lain itu terlibat dengan perjuangan membebaskan masyarakat, karya mereka
berlatarbelakangkan daerah pedesaan dan rakyat, lebih banyak terdedah kepada bahan bacaan dari Indonesia, dan
yang secara sedar, menjadikan sastera sebagai alat kedua dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.   Walaupun
Samad bergaul dengan mereka dalam satu periode yang sama dan mempunyai latar belakang dan pendidikan yang
berbeza,  namun Samad cuba menyamakan cita-cita sasteranya dengan mereka tetapi membezakan dirinya dari segi
stail dan pencapaian.
 
Novel pertamanya, yang asalnya berjudul Gerhana  kemudian diterbitkan dengan judul Salina ialah sebuah novel yang
tebal dan berjaya mengangkat martabat kesusasteraan Melayu ke tahap yang disifatkan oleh Profesor A.  Teeuw dan
sesetengah sarjana sebagai bertaraf antarabangsa.  Novel yang hanya memenangi hadiah penghargaan dalam
peraduan penulisan novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (1958) dan yang dihasilkan oleh Samad sewaktu beliau
baru berusia 23 tahun ini, akhirnya menjadi sebuah karya yang menjadi garis pemisah antara karya-karya penulis
lama dengan baru dan antara Samad dengan penulis-penulis 50-an.
 
Salina menceritakan kehidupan masyarakat terutama orang Melayu di Kampung Kambing, Singapura selepas Perang
Dunia Kedua.  Ia menggambarkan kemiskinan, keruntuhan moral di kota, dan pergelutan untuk mempertahankan
peribadi di tengah-tengah kebobrokan.  Ini bukanlah persoalan yang sama sekali asing dalam kesusasteraan Melayu,
tetapi Samad telah memperlihatkan kebolehan seninya dengan melukiskan semua hal ini secara artistik melalui
dialog-dialog dan tingkah laku watak-wataknya.  Manusia yang lahir dalam Salina ialah manusia yang natural
bukannya yang menjelma sebagai boneka dengan sifat-sifat hitam putihnya.  Novel ini telah diadaptasi menjadi
bentuk teater oleh dramatis Johan Jaaffar dan dipentaskan sempena Pesta Kesenian Kuala Lumpur (1986), dan
kemudiannya di Singapura.
 
Seperti Salina, novelnya Sungai Mengalir Lesu juga menampilkan pengalaman langsung Samad dalam masyarakat
yang menderita akibat perang.  Pemerintahan Jepun yang singkat di Singapura dan penderitaan masyarakat akibat
perang, memberikan kesan yang cukup kuat dalam diri Samad yang pada masa itu masih kanak-kanak lagi.   Beliau
mengutip kembali butir-butir pengalaman itu untuk menceritakan keadaan orang Melayu dan orang Indonesia yang
hidup melarat dan menjadi buruh di Singapura.
 
Di samping novel, Samad juga memperlihatkan kekuatannya dalam penulisan puisi seperti yang terkumpul dalam
kumpulan Liar  di Api.  Beliau antara penulis  yang terawal melakukan eksperimen dalam sajak-sajak bebas.  Selepas
itu, beberapa buah lagi kumpulan puisinya telah diterbitkan seperti Benih Harapan (1973), Daun Semalu Pucuk Paku
(1975) dan Benih Semalu (1984).
 
Samad memberikan banyak waktu untuk menulis beberapa buah lagi novelnya seperti Di Hadapan Pulau. Langit
Petang dan Daerah Zeni.  Sebuah buku tentang latar belakang pengalamannya menulis Salina, Sungai Mengalir Lesu
dan Langit Petang telah diterbitkan, berjudul Dari Salina ke Langit Petang. Ia merupakan hasil tulisan bercorak
autobiografi, rakaman pengalaman Samad yang menceritakan bagaimana beliau lahir menjadi seorang pengarang dan
proses penghasilan tiga buah novelnya yang penting itu.
 
Pencapaian dan sumbangan Samad Said dalam memperkaya dan meninggikan nilai kesusasteraan Melayu telah
mendapat penghargaan pemerintah apabila pada 29 Mei 1976, bersama-sama beberapa pengarang lain, beliau
diiktiraf sebagai Pejuang Sastera.  Tahun 1979, juga turut memberi erti kepada Samad, apabila beliau dilantik oleh
Perdana Menteri sebagai salah seorang anggota panel Anugerah Sastera dan dalam tahun yang sama, beliau telah
dipilih menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Awards).  Kemuncak pencapaian Samad sebagai
sasterawan ialah apabila beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Negara 1985.  Dalam majlis penganugerahan itu,
telah dipentaskan sedutan drama terbaru A. Samad Said berjudul Wira Bukit.   Dalam tahun 1993, A. Samad Said
menerima Anugerah ASEAN    1993 (Kategori Sastera) daripada Negara Brunei Darulsalam.
 
Selain pengiktirafan dalam bidang sastera, A. Samad Said juga telah dianugerahkan darjah kebesaran Negeri Melaka
yang membawa gelaran `Datuk’ dalam tahun 1997 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka.
 

You might also like