You are on page 1of 46

BAHASA MELAYU 2 WACANA

DEFINISI
WACANA

Unit bahasa yang mempunyai kesatuan fikiran yang utuh dan melebihi batas ayat.
Dalam hierarki bahasa, wacana terletak pada tingkat yang tertinggi, iaitu hadir selepas tingkat ayat. Fonem Ayat Morfem Wacana Kata Frasa Klausa

Wacana terdapat dalam bentuk lisan atau tulisan. Contoh wacana dalam bentuk lisan ialah pidato, ucapan, khutbah, dan dialog.

Dalam bentuk tulisan pula terdiri daripada laporan, surat, rencana, cerpen, novel, dan puisi.

Keutuhan fikiran dalam wacana sangat penting. Hal yang demikian adalah kerana menerusi keutuhan ini, ahli bahasa dapat menentukan sama ada sesuatu bentuk ujaran atau tulisan itu merupakan wacana atau hanya terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak berhubungan.

Wacana juga dikatakan melebihi batas ayat, ini adalah kerana: Dalam kajian wacana, aspek yang diteliti tidak terbatas pada tahap ayat sahaja tetapi turut merangkum aspek-aspek yang lebih luas daripada ayat. Sesuatu wacana mungkin terdiri daripada dua ayat, sejumlah ayat, satu perenggan, sebuah karangan, satu bab, sebuah buku, ataupun satu siri buku.

Wacana boleh terdiri daripada satu ayat yang dikaitkan dengan konteks dan fungsi penggunaanya.

Contoh ayat Mengapa bising sangat : Daripada segi struktur merupakan ayat tanya

Tetapi apabila dilihat dalam konteks di bilik darjah, ayat ini ialah ayat perintah, iaitu seorang guru dengan tegas memerintahkan pelajarnya supaya senyap. Ahli bahasa berpendapat bahawa huraian bahasa yang berasaskan aliran stuktural (rumus) dan transformasi generatif adalah tidak lengkap kerana huraian mereka berakhir pada tahap ayat sahaja walhal penggunaan bahasa yang sebenarnya sering melebihi batas ayat.

Oleh hal yang demikian, huraian bahasa sewajarnya dilanjutkan hingga tahap wacana. Sehubungan dengan itu, kemampuan menghasilkan wacana menjadi kayu ukur terhadap kecekapan berbahasa seseorang.

CIRI-CIRI
WACANA

~CIRI-CIRI WACANA~
Mempunyai tema Bermotif Gaya bahasa Kohesi dan koherens Tiada ayat tautologi Elemen-elemen yang logikal dan realistik Terdiri daripada andaian (subjek) dan inferensi (komen/aseri)

1. MEMPUNYAI TEMA

Pengarang atau penulis berkesempatan menentukan etika dan prosedur penghasilan penulisan.

2. BERMOTIF

Penulisan bertujuan untuk pebaca menilai dan mengenalpasti hubungan hasil bacaan dengan pembaca.

3. GAYA BAHASA Karya menggunakan gaya bahasa yang sesuai kepada para pembaca. Adakalanya, gaya bahasa yang digunakan mampu menimbulkan kesan dialek sosial (laras bahasa biasa) dalam pertuturan.

4. KOHESI DAN KOHERENS

Ayat-ayat dihubungkan dengan menggunakan penanda wacana agar ayatayat tersebut berkohensi (makna tautan) dan koherens (logik).

5. TIADA AYAT TAUTOLOGI

Ayat tautologi (ayat yang sudah dinyatakan sebelumnya) tidak perlu diulang.

6. ELEMEN-ELEMEN YANG LOGIKAL DAN REALISTIK

Hasil penulisan perlulah bersifat kenyataan, logik dan realistik, bukanlah rekaan individu sematasemata.

7. TERDIRI DARIPADA ANDAIAN (SUBJEK) DAN INFERENSI (KOMEN/ASERI)


Kucing Parsi itu comel.
ANDAIAN INFERENSI

Kebiasaannya satu ayat hanya mempunyai satu inferensi sahaja. Tetapi adakalanya andaian dapat ditentukan oleh pembaca tanpa ditulis. Contoh : Keluar!

PENANDA

WACANA

PENANDA WACANA

Bermaksud kata, rangkai kata atau frasa yang menunjukkan pertalian hujah dan buah fikiran. Digunakan untuk memantapkan lagi keutuhan wacana bagi mengaitkan perenggan dengan perenggan.

CONTOH PENANDA WACANA

Tambahan Selanjutnya, seterusnya, selain itu, di samping itu, tambahan lagi, demikian juga, begitu juga

Tambahan dan Penegasan Lebih-lebih lagi, tambahan pula, malah, malahan, bahkan, lagipun

Sebab, Kesan atau Lanjutan Oleh sebab itu, dengan itu, dengan demikian, jadi, sebagai akibatnya, sebagai hasilnya

Pertentangan Namun begitu, namun demikian, bagaimanapun, walaupun, akan tetapi, sungguhpun begitu

Perkaitan Sehubungan dengan itu, dalam hal ini, berhubung dengan, dari segi, sejajar dengan, selaras dengan, merujuk kepada

Waktu Sebelum itu, kini, pada masa ini, sementara itu, kemudian, pada waktu yang sama, lama-kelamaan, akhirnya

Tempat Disini, di sana, di samping, berhampiran dengan, bersebelahan dengan, bertentangan dengan

Perbandingan Dalam hal yang demikian, sebagaimana, seperti juga, serupa dengan, sesuai dengan, sama juga dengan

Contoh Misalnya, sebagai contoh, contohnya

Pernyataan semula Yakni, dengan kata lain

Urutan Pertama, kedua, selepas itu, kemudian, akhirnya

Tujuan dan Maksud Untuk tujuan ini, hal ini bermaksud, hal ini bererti, hal ini membawa pengertian, maksudnya

Harapan Semoga, moga-moga, mudah-mudahan

Pendahuluan Sebagai pendahuluan, sebagai permulaan, mulanya, pertamanya, sebagai mukadimah

Rumusan Kesimpulannya, akhir kata, sebagai penutup, sebagai rumusan, secara keseluruhannya.

Singkatan Ringkasnya, pendek kata, secara ringkasnya

Generalisasi Pada umumnya, secara amnya, secara umumnya

Penekanan atau Penegasan Sesungguhnya, sebenarnya, sememangnya,tentulah, Pastilah, jelaslah, tidak dapat dinafikan

Bahasa Klasik Hatta, maka, syahadan, adapun, alkisah, kalakian, Sebermula, sekali peristiwa, arakian

KEUTUHAN WACANA

Terhasil daripada wujudnya susunan yang berurutan atau teratur dalam sesuatu wacana Ciri ini sangat penting kerana cirri inilah yang menentukan sesuatu ujaran atau tulisan itu wacana atau hanya merupakan kumpulan ayat yang tidak teratur. Terdapat dua aspek penting yang menghasilkan wacana yang utuh, iaitu : terdapatnya runtuhan atau koheren, (kesinambungan idea yang menjadikan wacana itu suatu teks yang bermakna dan dapat difahami) ; dan wujudnya tautan atau kohesi, (keserasian hubungan antara suatu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain).

Seterusnya, keutuhan wacana dapat dianalisis daripada wujudnya hubungan daripada aspek semantik, leksikal, dan gramatikal antara bahagian dalam sesuatu wacana.

Hubungan Wacana daripada Aspek Semantik.

Bermaksud hubungan daripada aspek kepaduan makna yang wujud dalam sesuatu wacana. Kepaduan makna ini dapat dilihat antara bahagian wacana, keseluruhan wacana, situasi sesuatu wacana, dan unsur-unsur paralinguistik yang terdapat dalam wacana.

Hubungan Semantik
Hubungan sebab dan akibat Contoh = Lelaki itu terbabit dalam pengedaran dadah. Dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati Hubungan sebab dan hasil Contoh = Pelajar itu rajin berusaha. Dia mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan STPM. Hubungan latar dan kesimpulan Contoh = Halaman rumah Cikgu Mohamad sentiasa hijau dengan pokokpokok bunga yang menyegarkan. Rupa-rupanya isteri beliau yang pandai menanam dan mengurus tanaman

Hubungan syarat dan hasil, Contoh = Rakyat harus tekun bekerja. Ketekunan rakyat menentukan kemajuan negara Hubungan perbandingan Contoh = Soalan analisis ayat susah. Soalan analisis wacana lagi susah

Hubungan memperkuat isi atau hubungan penjelasan Contoh = Bencana Tsunami sungguh dasyat. Ombak besar itu mengorbankan ratusan ribu nyawa manusia serta banyak memusnahkan harta benda

Hubungan semantik antara bahagian wacana juga dapat ditimbulkan oleh unsur-unsur fonologi dalam sesuatu wacana. Antaranya termasuklah hentian, intonasi, dan nada suara.

CONTOH :
Ayat Ibu bapa Ali telah meninggal dunia mengandung ketaksaan makna, bergantung pada hentian atau kesenyapan suara yang berlaku. Sekiranya kesenyapan suara berlaku selepas perkataan Ali, maka ayat ini membawa maksud kedua-dua ibu bapa Ali telah meninggal dunia. Akan tetapi, sekiranya kesenyapan suara berlaku selepas perkataan Ibu dan perkataan Ali, maka ayat ini bermaksud nenek Ali telah meninggal dunia.

Begitu juga halnya dengan intonasi yang berbeza. Misalnya, dengan tingkat nada yang meninggi di akhir ayat, ayat penyata Ali menulis surat akan menjadi ayat tanya Ali menulis surat? Seterusnya, ayat minimal duduk, sekiranya diucapkan dengan nada yang lembut, maka ayatnya ialah silaan. Tetapi, jika diucapkan dengan nada yang keras, ayat ini merupakan ayat suruhan yang membawa perasaan marah dan tidak boleh ditentang.

Hubungan semantik dalam sesuatu wacana juga dikaitkan dengan situasi wacana. Dalam hal ini, pengetahuan tentang laras bahasa yang digunakan akan membantu seseorang memahami sesuatu wacana.

Pemahaman tentang sesuatu wacana juga dibantu oleh unsur-unsur paralinguistik yang terdapat dalam wacana. Unsur-unsur paralinguistik merujuk kepada alat-alat lain yang digunakan untuk memperjelas persembahan wacana. Dalam tulisan, alat-alat ini termasuklah penggunaan tanda baca seperti koma, noktah, koma bertitik, noktah bertindih, tanda petik, dan sebagainya. Dalam lisan, keadaan air muka dan isyarat daripada gerakan tangan akan menghasilkan wacana yang utuh daripada segi semantik kerana penggunaan unsur-unsur paralinguistik ini membantu seseorang memahami ujaran tersebut.

Hubungan Wacana daripada Aspek Leksikal


Hubungan ini dapat dilihat daripada aspek wujudnya pertalian antara perkataan dalam sesuatu wacana. Hubungan leksikal antara bahagian dalam wacana tercapai dengan cara memilih kosa kata yang serasi. Terdapat beberapa cara untuk memperoleh hubungan leksikal. Antara caranya termasuklah, pertama, dengan mengulang kata yang sama, CONTOH : Semalam dia termenung. Hari ini dia termenung lagi. Tampaknya dia memang gemar termenung.

Dengan menggunakan sinonim


CONTOH : Sindrom bahasa rojak kini menular dalam masyarakat kita. Gejala ini sungguh membimbangkan para pencinta dan pejuang bahasa Melayu.

Dengan menggunakan antonim


CONTOH : Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Dengan menggunakan hiponim


CONTOH :

Terdapat pelbagai jenis ikan diternak di dalam kolam itu. Antaranya termasuklah keli, haruan, tilapia dan puyu.

Dengan menggunakan kolokasi


CONTOH :

Kawasan hutan digondolkan untuk pembangunan. Kini gajah dan harimau kehilangan habitat semula jadi.

Dengan memanfaatkan unsur bersambut


CONTOH :

Guru mengemukakan soalan. Pelajar memberikan jawapan.

Hubungan Wacana daripada Aspek Gramatikal.

1. Hubungan daripada aspek gramatikal ialah hubungan wacana yang berkaitan dengan tatabahasa.

2. Antara penanda gramatikal yang mewujudkan keutuhan wacana ialah penanda rujukan, penanda penggantian, elipsis dan penanda penghubung.

Penanda Rujukan.

1. Penanda rujukan menggunakan kata ganti nama diri orang dan kata ganti nama diri tunjuk.

2. Penanda rujukan digunakan untuk perkaitan antara bahagian dalam wacana.

3. Berikut adalah contoh penanda rujukan yang menggunakan kata ganti nama diri orang. Kata ganti nama diri orang yang digunakan sebagai penanda rujukan dalam contoh ini ialah mereka, : a) Wanita sekarang bukan seperti wanita dahulu. Dahulu mereka lebih banyak membantu suami di rumah tetapi sekarang mereka telah tampil ke hadapan untuk memberikan sumbangan dalam pembangunan negara.

4. Yang berikut ini pula ialah contoh penanda rujukan yang menggunakan kata ganti nama tunjuk :
a) Ini kampung saya. Saya telah tinggal di sini sejak empat puluh tahun yang lalu.

Penanda Penggantian.

1. Penanda penggantian merujuk kepada proses menggantikan unsur bahasa dengan unsur lain.

2. Penggantian dalam bahasa Melayu dapat bersifat kata nama (nominal), kata kerja (verbal), dan klausa.

3. Ini ialah contoh penggantian yang bersifat kata nama atau nominal:

a) Jiran kami membeli sebuah kereta baru. Kami juga membeli sebuah.

4. Ini pula ialah contoh penggantian yang bersifat kata kerja atau verbal : a) Pelajar itu sering melakukan kegiatan samseng di sekolah. Perbuatan seperti itu menyebabkan dia diberhentikan sekolah.

Elipsis.

1. Elipsis melibatkan pengguguran kata, frasa, atau klausa yang telah disebut dalam ayat sebelumnya.
2. Pengguguran ini dilakukan kerana pembaca atau pendengar sudah mengetahui maklumat tersebut berdasarkan konteks wacana. 3. Elipsis dapat dikatakan sebagai penggantian kosong, iaitu sesuatu yang ada tetapi tidak diucapkan atau dituliskan. Contohnya :

REMAJA A: Sekarang kamu belajar di mana?


REMAJA B: Institut Bukit Metajam. (Sepatutnya, Sekarang saya belajar di Institut Bukit Mertajam.) REMAJA A: Sejak bila? (Sepatutnya , Sejak bila kamu belajar di situ?) REMAJA B: Tiga bulan lalu. (Sepatutnya, Saya belajar di situ sejak tiga bulan yang lalu.)

Penanda Penghubung.

1. Penanda penghubung berfungsi menjalinkan kata dengan kata, frasa dengan frasa, klausa dengan klausa, dan ayat dengan ayat.

2. Perhatikan contoh ayat ini untuk mengetahui bagaimana penanda penghubung menjalin semua yang dinyatakan itu : a) Gejala bahasa rojak turut menular melalui rancangan-rancangan hiburan.

i.

Dalam hal ini, rancangan yang paling ketara banyak merojakkan bahasa Melayu ialah drama dan siri komedi tempatan yang sengaja merojakkan bahasa Melayu dengan alasan untuk memperlihatkan realiti masyarakat Malaysia.

b) Sebagai contoh, dlam siri komedi tempatan, kita sering mendengar katakata atau ungkapan ungkapan seperti : i. cubateral, you ni teruk la, I punya motor buat trouble, break no eat, What la you ni, dan sebagainya.

Ungkapan-ungkapan seperti ini memberikan kesan negatif terhadap penggunaan bahasa anak-anak muda kerana merekalah golongan yang kerap menonoton rancangan hiburan seperti ini.

MAKLUMAT 1. Maklumat yang terkandung dalam sesuatu wacana dapat dibahagikan kepada maklumat lama dan maklumat baharu.

2. Untuk mengetahui hal ini, perhatikan contoh ini :

a) Saya membela seekor kucing. Kucing itu sangat comel.


i. Dalam wacana itu, frasa kucing itu dalam ayat kedua merupakan maklumat lama manakala frasa sangat comel ialah maklumat baharu.

3. Dalam sesuatu wacana, setiap ayat mesti mempunyai maklumat baru yang belum dinyatakan dalam ayat sebelumnya.

4. Oleh hal yang demikian, ayat yang berupa tautologi, iaitu mengulang idea yang terkandung dalam ayat yang sebelumnya, tidak harus wujud dalam sesuatu wacana seperti ini :

a) Pesakit AIDS itu telah meninggal dunia. Pesakit AIDS itu telah menghembuskan nafas terakhir. Ayat kedua merupakan tautologi bagi ayat pertama dan oleh itu, contoh tersebut bukanlah suatu wacana. 5. Sesuatu wacana juga tidak seharusnya mempunyai maklumat yang bertentangan seperti ayat ini : a) Pelajar itu amat berdisiplin. Dia sentiasa ponteng dan tidak mematuhi peraturan sekolah.

b) Kedua-dua ayat ini tidak dianggap sebagai wacana kerana maklumat


yang terkandung dalam ayat kedua bertentangan dengan maklumat dalam ayat pertama. 6. Selain itu, maklumat yang terkandung dalam wacana mesti bersifat logik, iaitu dapat diterima akal. 7. Sekiranya maklumat dalam sesuatu wacana tidak logik, maka ayat-ayat itu tidak menghasilkan sesuatu wacana yang mantap.

8. Contoh yang berikut ini tidak memprlihatkan wacana yang logik : a) Negara kitas menghadapi masalah kekurangan tenaga. Oleh itu, kerajaan terpaksa membenarkan pekerja asing yang merugikan.

b) Dalam hal ini, penggunaan perkataan merugikan adalah tidak logik dan dengan demikian, kedua-dua ayat tersebut tidak menghasilkan wacana yang mantap.
c) Wacana itu dapat dibaiki dengan menukar perkataan merugikan kepada klausa yang mendatangkan pelbagai kesan ekonomi dan sosial.

9. Contoh ini juga tidak memperlihatkan wacana yang logik : a) Kerajaan memang tegas hendak menghantar pendatang tanpa izin Indonesia pulang ke negara mereka tetapi bencana Tsunami telah berlaku. b) Ayat tersebut tidak dapat dianggap sebagai wacana kerana idea-idea yang dikemukakan tidak memperlihatkan proses berfikir yang sistematik dalam membuat penaakulan (reasoning), iaitu idea-ideanya tidak dikemukakan secara logik. c) Ayat ini dapat menjadi wacana yang mantap dengan pembaikan seperti yang berikut : d) Kerajaan memang tegas hendak menghantar pendatang tanpa izin Indonesia pulang ke negara mereka tetapi bencana Tsunami yang berlaku di negara berkenaan telah menyukarkan kerajaan untuk berbuat demikian.

~TAMAT~

You might also like