You are on page 1of 9

EKONOMI FEUDALISME DI CHINA Pengenalan.

1. Sistem ekonomi bermaksud cara atau kaedah dalam menjalankan kegiatan ekonomi yang terbahagi kepada ekonomi tradisional dan moden (kapitalisme, merkantilisme dan perdagangan bebas). 2. Sistem ekonomi feudalisme menunjukkan golongan petani bekerja dan menjadi tentera untuk golongan bangsawan sebagai balasan mereka dibenarkan mengusahakan tanah golongan bangsawan. 3. Ekonomi feudalisme di China berkait rapat dengan faktor geografi di mana hamper keseluruhan Negara China merupakan kawasan pergunungan dan gurun. Hanya 15% sahaja tanah di China sesuai untuk kegiatan pertanian, namun mereka mampu menampung keperluan dalam negara. 4. Pada abad ke-16, sistem ekonomi feudalisme di China adalah dikawal ketat oleh maharaja ke atas golongan petani dan pedagang asing yang dating berdagang di China. Golongan bangsawan bertindak sebagai penguasa kawasan dan mengawal aktiviti ekonomi di kawan luar bandar. KEGIATAN EKONOMI FEUDALISME DI CHINA A. Pertanian

1. Kegiatan pertanian merupakan kegiatan utama masyarakat China dan penyumbang utama dalam ekonomi di zaman Dinasti Ming pada abad ke-16. Kawasan pertanian utama ialah di kawasan timur laut China dan Mongolia iaitu di dataran loes yang subur sepanjang Sungai Kuning dan Sungai Yangtze. 2. Tanaman utama ialah tanaman padi sawah yang ditanam di kawasan lembah Sungai Yangtze, Sungai Kuning dan Selatan China. China turut memperkenalkan penanaman padi dua musim setahun di atas tanah yang sama iaitu baka padi jenis baharu yang cepat masak di bawa dari Vietnam Selatan. Padi ini juga tidak memerlukan air yang banyak, oleh itu ia boleh ditanam di kawasan yang berbukit di China. Masyarakat Cina di sini menjadikan nasi sebagai makanan utama mereka. 3. Tanaman lain yang ditanam di Selatan China ialah tanaman kapas, tebu, teh, gandum, barli, sekoi, millet, oat dan lain-lain bijirin. Tanaman gandum banyak ditanam di Dataran Tinggi Utara China, Wilayah Shantung, Kansu, Shensi dan Bahagian Utara Anhui dan Hupeh. Millet pula ditanam di Wilayah Kansu, Shensi dan Shansi. 4. Tanaman kaoliang ditanam secara meluas di Manchuria untuk dijadikan atap rumah, anyaman alas lantai dan dibuat minyak. Tanaman kapas juga ditanam di utara dan selatan China dan kapas menjadi bahan utama dalam industri membuat pakaian di China. 5. Masyarakat China yang tinggal di kawasan tanah tinggi seperti di bahagian utara China iaitu sekitar Sungai Heilongjiang, mereka telah menanam padi huma, sekoi dan tanaman kekacang. China turut memperkenalkan tanaman baru seperti jagung India, ubi kentang manis dan kekacang. 6. Tanaman sayur-sayuran juga ditanam oleh masyarakat Cina. Mereka akan menanam sayursayuran di sekitar rumah mereka di setiap ruangan tanah kosong. Mereka turut menanam pokok buluh iaitu rebung buluh untuk dibuat makanan manakala batang buluh untuk membina bangunan, membuat perabot-perabot dan peralatan memasak. 7. Setelah berlaku revolusi dalam bidang pertanian, beberapa kaedah baru dalam pertanian diperkenalkan seperti memperkenalkan system penanaman bergilir, penggunaan baja dan peralatan pertanian baru seperti tenggala penabur benih, penyisir tanah, penggiling, kereta sorong

beroda dua dan kolar kuda. Revolusi dalam bidang pertanian telah mendorong peningkatan pengeluaran pertanian dan bertambahnya keluasan kawasan pertanian daripada 422 juta mu pada awal abad ke-16M kepada 701 juta mu di akhir abad ke-16M. 8. Penggunaan teknologi pengairan juga telah mendorong perkembangan bidang pertanian di China seperti terusan, kolam takungan air dan empangan. Kawasan yang jauh dari sumber air juga sudah boleh ditanam dengan pelbagai tanaman. 9. Pada abad ke-16M, China turut mengamalkan ekonomi komersil seperti mengusahakan tanaman tembakau di wilayah Kwangsi dan Fukein, tanaman kapas di Sungking, Taitsang dan Tungchou manakala tanaman mulberi di wilayah Kwangtung. B. Menternak Binatang Selain bercucuk tanam, petani Cina juga turut menjalankan kegiatan menternak binatang untuk dijadikan sumber makanan dan kegunaan pertanian serta pengangkutan. Antara binatang yang diternak untuk sumber makanan ialah ayam, itik, kambing, lembu, babi, kerbau dan sebagainya. Kerbau juga digunakan untuk kegiatan penanaman padi sawah manakala lembu biasanya untuk menarik kereta lembu. Binatang ini biasanya dipelihara kawasan yang berdekatan dengan rumah mereka. C. Industri Kecil 1. Masyarakat Cina juga turut menjalankan kegiatan industri-industri kecil seperti pengeluaran barang-barang kertas, sutera, kapas dan porselin. Industri porselin telah berkembang di China dan telah memberi sumbangan yang besar dalam perbendaharaan negara. Wilayah Kiangsi merupakan pusat pengeluaran porselin utama China. 2. Wilayah Soochow pula sebagai pusat pengeluaran tekstil dan Sungkiang pula sebagaipusat utama pengeluaran kapas di China. Perkembangan industri tekstil ini telah menjadikan tanaman kapas sebagai salah satu tanaman terpenting di abad ke-16M. 3. Industri kraf tangan dan tenunan turut menyumbang dalam sektor pertanian dan pembangunan negara China. Industri mengubah bunga plastik diusahakan di Peiping dan industri sutera dijalankan di wilayah Shangtung, Hopei dan Manchuria. D. Perdagangan 1. Pada abad ke-16M, ekonomi feudalisme China mengutamakan kegiatan pertanian sebagai sumber utama. Dengan itu, ekonomi perdagangan berada di lapisan paling bawah dan pekerjaan berdagang merupakan pekerjaan yang hina di China. Walau bagaimanapun kegiatan perdagangan tetap berjalan lancar dengan wujudnya sistem pengangkutan yang baik. 2. Sungai-sungai di China telah dijadikan jalan perhubungan yang utama untuk menjalankan kegiatan perdagangan seperti Sungai Yangtze yang boleh dimudiki kapal sejauh seribu batu dari muaranya. Sungai-sungai barat membolehkan perdagangan dijalankan di selatan China dan Sungai Peiho serta Sungai Kuning telah memudahkan perhubungan timur dan barat di sebelah utara China. 3. Sistem jalan air seperti pembinaan Terusan Besar dari Peking di sebelah utara ke Hangchow, selatan Sungai Yangtze. Terusan-terusan kecil juga dibina di bahagian tengah dan selatan China untuk memudahkan membawa barang dari satu kawasan ke kawasan yang lain. 4. Pada abad ke-16M, maharaja telah membenarkan pelayar-pelayar China belayar ke Asia Tenggara, India, Sri Lanka, Hormuz dan pantai timur Afrika. Hubungan dengan negara luar ini telah meningkatkan aktiviti perdagangan China di pelabuhan Canton seperti dengan pedagang Asia Tenggara, Portugal, Sepanyol dan Belanda. 5. Hubungan dengan Portugal telah bermula dengan Rafeal Perestrello pada tahun 1516 kemudian dengan Tom Pires dihantar untuk menjalinkan hubungan dengan China. Pedagang Portugis hanya dibenarkan berdagang di Macau sahaja pada tahun 1532 dan dibenarkan berdagang di Canton pada hari-hari tertentu sahaja atas kawalan ketat oleh pembesar China. Hasil hubungan ini, China memperoleh barangan perak dari pedagang Portugal dan sebagai tukarannya sutera untuk dibawa ke Eropah.

EKONOMI FEUDALISME DI JEPUN Pengenalan Peta Jepun Jepun terdiri daripada 4 buah pulau utama iaitu Hokkaido, Honshu, Shikoku dan Kyushu. Negara Jepun merupakan negara beriklim sederhana. Jepun juga mengalami suhu yang sederhana pada musim panas dan sejuk serta menerima hujan yang banyak. Tanah yang sesuai untuk kegiatan pertanian hanyalah 20% kerana Jepun diliputi kawasan bergunungganang. Walaupun begitu, kegiatan pertanian masih menjadi penyumbang utama kepada ekonomi Jepun pada abad ke-16M. Pertembungan arus sejuk dan panas di perairan Jepun juga telah menggalakkan ekonomi perikanan di Jepun. Kegiatan perdagangan juga dijalankan di Jepun. Pada peringkat awal kegiatan perdagangan hanya tertumpu dengan negara Asia Timur dan Asia Tenggara sahaja. Kemudian Jepun telah membuka pintu negaranya kepada kuasa Barat untuk menjalinkan hubungan perdagangan dengan kawalan ketat oleh Jepun. Kegiatan ekonomi feudalisme Jepun merangkumi kegiatan pertanian, perusahaan tempatan, perikanan, perlombongan dan perdagangan. KEGIATAN EKONOMI FEUDALISME DI JEPUN A. Pertanian 1. Kegiatan pertanian merupakan kegiatan utama Jepun yang menyumbang sebanyak 70% pendapatan ekonomi feudalisme Jepun kerana 80% - 85% rakyat Jepun adalah golongan petani. Golongan petani di kawasan tanah pamah yang menjalankan kegiatan pertanian dikenali sebagai noson, manakala yang berada di tanah tinggi dikenali sebagai sanson. 2. Di Jepun golongan petani digelar hyukusho kerana mereka menjalani kehidupan yang miskin dan taraf sosial yang rendah. Golongan petani di Jepun terbahagi kepada 3 kelompok iaitu petani yang menjalankan kegiatan pertanian di tanah milik sendiri, kedua petani yang bercucuk tanam di tanah milik sendiri dan disewa, manakala kelompok ketiga ialah petani bercucuk tanam di tanah yang di sewa. 3. Usaha menebus tanah telah dijalankan untuk meningkatkan keluasan tanah pertanian dan seterusnya untuk meningkatkan hasil pengeluaran. Pada tahun 1597, pengeluaran pertanian ialah 18.5 juta koku kemudian meningkat kepada 25.8 juta koku pada tahun 1700. Peningkatan hasil pertanian ini juga disebabkan penggunaan benih dan peralatan yang lebih baik, penggunaan haiwan untuk membajak, pengenalan teknik pertanian dan penanaman dua kali setahun. 4. Kegiatan pertanian utama di Jepun ialah menanam padi yang diusahakan sekali setahun kerana masalah masa untuk menanam padi yang singkat. Oleh itu petani mesti bersungguh-sungguh melakukan kerja-kerja pertanian supaya masa tidak dibazirkan. Petani akan mula menanam pada musim bunga dan akan dituai hasilnya di musim luruh. 5. Bagi mengatasi kekurangan tanah untuk pertanian, maka padi ditanam secara bertingkat. Jepun juga menggunakan sistem pengairan secara semulajadi untuk mengairi sawah mereka iaitu air sungai dialirkan terus masuk ke sawah mereka. Penanaman padi di Jepun tidak banyak menggunakan baja kerana air yang dialirkan dari sungai sudah mengandungi nutrein yang sesuai untuk padi.

6. Dengan itu, tanah sentiasa subur dan ini membolehkan tanah ditanam dengan padi setiap tahun. Penggunaan tanah yang kerap ini juga dapat menggelakkan rumput daripada tumbuh dan ini membolehkan tahap kesuburan tanah kekal untuk kegiatan pertanian. 7. Pada zaman Keshogunan Ashikaga, kegiatan pertanian mengalami perkembangan yang pesat di mana penanaman dua tanaman setiap tahun iaitu selepas menanam padi seperti gandum dan barli. Petani Jepun juga turut menanam tanaman lain seperti gandum, bali, kapas, teh, buah-buahan, malberi, kacang soya dan sayur-sayuran. Hasil pertanian semakin meningkat apabila Jepun memperkenalkan sistem pengairan.

B.

Perusahaan Tempatan

Perusahaan tempatan telah berkembang di Jepun iaitu kerajaan Jepun mengkhususkan hasil pengeluaran berasaskan daerah dan pemasaran hasil juga antara daerah. Wilayah Kinai dikehendaki mengeluarkan kain kapas manakala penternakan ulat sutera dan alat tenunan diusahakan di daerah Fukushima, Yamanashi dan Gumma. Pengeluaran gula pula dihasilkan di wilayah Satsuma, barangan tembikar di Seto iaitu wilayah Owari dan hasil kraf tangan di bandar Kyota seperti barangan perak, tembaga, lukisan dan ukiran.

C.

Perikanan

1. Perairan Jepun yang dikelilingi oleh laut telah memberi kelebihan kepada masyarakat Jepun untuk menjalankan kegiatan menangkap ikan. Kedudukan Jepun yang terletak di pertembungan arus Hitam yang panas dengan arus Kamchatka yang sejuk telah menjadikan Jepun kaya dengan ikan. 2. Kegiatan menangkap ikan telah menjadi sumber yang kedua kepada ekonomi feudalisme di Jepun. Kegiatan ini sudah lama dijalankan di Jepun kerana masyarakat Jepun menjadikan ikan sebagai sumber protein penting dalam diet harian mereka. 3. Masyarakat Jepun menjalankan kegiatan menangkap ikan di pesisir pantai dengan menggunakan kaedah tradisional seperti jala dan pukat.

D.

Perlombongan

Kegiatan perlombongan juga berkembang pesat di Jepun dengan bertambahnya pengeluaran emas, perak dan tembaga. Pada zaman Nobunaga, peningkatan perlombongan ini telah mendorong meningkatnya perdagangan. Perkembangan perusahaan ini telah mendorong perkembangan badan perlombongan di bahagian hujung timur laut Inland iaitu Osaka.

E.

Perdagangan

1. Kegiatan perdagangan turut dijalankan oleh masyarakat Jepun tetapi secara terhad dengan negara China dan Portugis. Hubungan perdagangan dengan China wujud selepas Jepun menghantar utusan ke China, walau bagaimanapun kegiatan perdagangan dengan China kurang berlaku. Ini adalah kerana China sudah mempunyai keperluan bahan mentahnya sendiri. 2. Barangan yang diimport daripada China ialah sutera, porselin, buku, manuskrip, lukisan dan barangan tembaga. Tembaga menjadi barangan utama yang diimport dari China setelah Jepun menggunakan mata wang tembaga dalam urusan perdagangan.

3. Jepun turut mengimport bahan mentah dari China seperti sulfur, papan, emas, mutiara, ibu mutiara dan merkuri. Jepun juga mengeksport barangan siap ke China dan negara-negara lain seperti pedang, kipas berlipat dan pemidang yang mendapat permintaan tinggi di China. 4. Pada abad ke-15M dan 16M, pedagang Jepun telah menguasai bidang perkapalan dan perdagangan di seluruh laut China Timur. Pada abad ke 16M, Jepun telah menjalinkan hubungan perdagangan dengan pedagang Portugal. Pada tahun 1570, satu perjanjian telah ditanda tangani antara pedagang Portugal dengan Shogun Ashikaga. Melalui perjanjian ini pedagang Portugal dibenarkan berdagang di pelabuhan Nagasaki. 5. Pemerintah Hideyoshi turut mengadakan hubungan dengan William Adama berbangsa British yang mempunyai kepakaran dalam perkapalan. Hideyoshi telah mengutamakan pembinaan senjata seperti senapang dan meriam untuk mengukuhkan kedudukannya dalam menghadapi persaingan antara daimyo di Jepun.

Kesimpulan Ekonomi feudalisme Jepun telah mengutama bidang pertanian sebagai kegiatan utamanya seperti penanaman padi. Walau bagaimanapun, mereka juga mengamalkan kegiatan ekonomi lain seperti perusahaan kecil, perikanan, perlombongan dan perdagangan. Masyarakat Jepun lebih 80% adalah golongan petani yang hidup dalam keadaan miskin dan dianggap bertaraf rendah. Namum begitu, golongan petani merupakan golongan yang sangat berjasa kepada golongan pemerintah dan diperintah kerana merekalah yang menyediakan makanan untuk Jepun. EKONOMI FEUDALISME DI JERMAN Pengenalan

Pada abad ke-16, Jerman juga masih mengamalkan sistem ekonomi feudalisme yang mengutamakan kegiatan pertanian sebagai sumber pendapatan kerajaan. Golongan petani telah ditindas akhir mereka menuntut agar kerajaan melakukan pembaharuan agar meningkatkan lagi taraf kehidupan mereka. Dengan campur tangan kerajaan akhirnya ekonomi feudalisme Jerman semakin berkembang. Sistem ekonomi feudalisme yang diamalkan oleh Jerman dapat dilihat dalam 3 bidang utama iaitupertanian, perindustrian dan perbankan. KEGIATAN EKONOMI FEUDALISME DI JERMAN Pertanian 1. Pada abad ke-16M, bidang pertanian merupakan sumber utama ekonomi Jerman yang diusahakan oleh 90% masyarakat petaninya. Petani di Jerman masih bergantung kepada tuan tanah dan terikat dengan sistem perhambaan. Kegiatan pertanian yang dijalankan masih menggunakan kaedah primitif. 2. Kegiatan pertanian di Jerman menggunakan sistem tiga bidang pertanian iaitu tanah yang diusahakan ditanam dengan tanaman bijirin (gandum, oat, barli dan kekacang), peralatan yang digunakan seperti tenggala masih diperbuat daripada kayu dan menggunakan binatang menggemburkan tanah. Selepas musim menuai, binatang ternakan dilepaskan untuk meragut rumput. 3. Petani Jerman dibebani dengan masalah cukai tanah dan tidak bebas melakukan kerja lain seperti memburu, menagkap ikan dan memotong rumput. Mereka dikawal dan ditindas oleh golongan tuan-tuan tanah. 4. Penindasan yang dilakukan ini telah membawa kepada pemberontakan petani di wilayah tengah dan selatan Jerman. Pemberontakan ini berlaku dari tahun 1524 hingga 1525 untuk menuntut kebebasan dan hak-hak lain dari golongan tuan-tuan tanah atau bangsawan.

5. Golongan petani menuntut beberapa pembaharuan bagi mengubah hidup mereka seperti mereka dibenarkan melakukan kegiatan lain selain bertani, sistem perhambaan dihapuskan dan menuntut tanah-tanah awam diserahkan kepada mereka untuk diusahakan. 6. Malangnya, pemberontakan ini gagal dan telah menyebabkan 100 000 orang petani telah terkorban. Walau bagaimanapun, perjuangan golongan petani ini mendapat perhatian pemerintah dan akhirnya pembaharuan telah dijalankan dalam bidang perhatian. Antara pembaharuan yang dijalankan ialah membina terusan iaitu Terusan Frederick William yang menghubungankan Sungai Order dengan Sungai Elbe, mengecualikan cukai kepada petani selama 10 tahun, menggalakkan penternakan lembu susu, melaksanakan pembahagian tanah kepada petani, mengalakkan migrasi ke kawasan pertanian baru dibuka dan menggabungkan tanah-tanah pertanian. 7. Kerajaan Jerman juga mewujudkan pengkhususan pekerjaan dan pengeluaran mengikut wilayah seperti wilayah Necker dengan penanaman anggur dan wilayah Pomerania khusus untuk pengeluaran pertukangan. 8. Walaupun pembaharuan telah dilaksanakan dan meningkatnya hasil pengeluaran di Jerman, namum golongan petani tetap tidak berubah. Mereka masih terikat dengan golongan tuan-tuan tanah dan masih menjadi golongan serf seperti di sungai Elbe. Pada akhir abad ke-18M, kerajaan Jerman telah menghapuskan sistem serf dan golongan petani telah dibebaskan sepenuhnya. Perdagangan dan Perindustrian 1. Perdagangan tertumpu di bandar seperti Luberk, Hamburg dan Bremen. Pelabuhan Hanseatic diVenice telah menjalankan perdagangan entreport iaitu membawa masuk barangan logam, bulu binatang, barangan kulit dan kain bulu. Barangan yang dieksport pula seperti rempah ratus, barangan timur, sutera, barangan kaca, senjata dan kertas. Barangan ukiran dari selatan Jerman telah dieksport ke luar negara dan menjadi barangan penting dalam hubungan perdagangan dengan Belanda. 2. Bandar-bandar di Jerman telah mengalami perkembangan yang pesat pada tahun 1740, iaitu menjadi pusat pemasaran lembu dan bijirin, pusat pentadbiran dan penempatan pedagang serta tukang-tukang. Kegiatan perdagangan semakin berkembang di Jerman dari abad ke-16M hingga abad ke-18M iaitu barangan dagangan dibawa melalui jalan darat dari utara Itali ke pelabuhan entreport Jerman Selatan. 3. Pada abad ke-16, industri tekstil diusahakan secara besar-besaran di Jerman untuk pasaran dalaman dan untuk eksport. Jerman telah mengusahakan perusahaan sutera dan masyarakat desanya mengeluarkan pakaian berasaskan kain bulu dan linen. Manakala masyarakat bandarnya pula menggunakan mesin untuk mewarnakan, memutihkan kain dan memasarkannya. 4. Kegiatan perindustrian semakin berkembang apabila kerajaan mengadakan pembaharuan seperti membina jalan raya di Hesse dan Baden-Durlach pada akhir abad ke-18M. Kerajaan juga telah menambah tenaga buruh iaitu Raja Frederick William I mengambil tentera sebagai tenaga buruh yang dibayar gaji untuk bekerja di kilang kain kapas dan bulu. Kerajaan juga telah mewujudkan kerjasama antara dengan pihak swasta atau persendirian seperti kilang senjata di Berlin (1722) dan kilang cermin Neuhaus (1720). 5. Industri kraf tangan juga telah berkembang di kawasan pedalaman Jerman seperti di Bohemia. Bidang penenunan telah dimonopoli oleh pekerja wanita iaitu seramai 200 000 orang. Wilayah ini telah menjadi pembekal bahan eksport industri Jerman ke negara Amerika dan Eropah. Industri ini turut berkembang ke Chemnitz iaitu penduduknya menjadi pemintal benang di rumah. 6. Kepesatan ekonomi di Jerman membawa kepada pengukuhan kedudukan saudagar melalui penubuhan pelbagai organisasi perniagaan baru sehingga organisasi perniagaan tradisional seperti kesatuan tukang dan kesatuan saudagar mula hilang peranannya.

Institusi Kewangan

1. Institusi kewangan seperti bank telah ditubuhkan di Jerman yang banyak memberi bantuan kewangan atau modal kepada pedagang Jerman. Peruntukan modal ini membantu merancakkan urusan perdagangan termasuklah dengan Sepanyol dan Portugal. Barangan buatan kilang Jerman dipasarkan di Lisbon dan Sevile. Pada abad ke-18M, bandar Frankfurt menjadi tumpuan penduduk ekoran kepesatan ekonomi perbankan dan perdagangan. 2. Perkembangan perbankan ini telah melahirkan keluarga Fuggers Augburg yang kaya di jerman dan Eropah dengan memiliki aset sebanyak 200 000 gulden dan telah meningkat kepada 4 juta gulden pada tahun 1546. Mereka telah melaburkan modal dalam perlombongan raksa di Sepanyol dan perkapalan serta memberi pinjaman kepada Maharaja Rom Suci.

Kesimpulan Kepesatan perkembangan ekonomi feudalisme di Jerman banyak didorong oleh peranan yang dimainkan oleh golongan petani. Hasil keluaran pertanian yang semakin meningkat setelah pembaharuan yang dilaksanakan oleh kerajaan telah membawa kepada berkembangnya industri dan perdagangan yang didominasi oleh golongan saudagar. Ekonomi feudalisme Jerman semakin berkembang dengan tertubuhnya institusi kewangan seperti bank. EKONOMI FEUDALISME DI PERANCIS Pengenalan

Pada abad ke-16M, Perancis juga mengamalkan sistem ekonomi feudalisme yang hampir sama denganJerman. Masyarakat Perancis juga masih terikat dengan sistem feudal iaitu penguasaan golongan bangsawan dan tuan tanah ke atas golongan petani. Ekonomi feudalisme di Perancis boleh dilihat dalam 4 bidang iaitu pertanian, perdagangan, perindustrian dan institusi kewangan.

Pertanian

1. Pada abad ke-16M, Perancis juga masih bergantung kepada bidang pertanian yang diusahakan oleh masyarakat yang tinggal di desa. Petani masih terikat dengan tuan-tuan tanah dan perlu berkhidmat kepada mereka di bawah sistem manor. Mengikut sistem ini, petani akan tinggal di tanah milik tuan tanah, mengusahakan tanah tuan tanah, membekalkan kayu api, membina jalan dan membayar cukai kepada tuan tanah. 2. Kegiatan pertanian di Perancis menggunakan kaedah tanah lapang iaitu tanah-tanah ini dibahagi kepada 3 bahagian atau pusingan penanaman. Pusingan pertama akan ditanam dengan tanaman bijirin seperti oat dan barli pada musim bunga, kemudian ditanam dengan gandum pada musim luruh dan pusingan yang terakhir tanah tersebut dibiarkan kosong. Ketika ini binatang ternakan seperti kuda dan lembu akan dilepaskan untuk meragut rumput yng tumbuh. 3. Walau bagaimanapun, berlaku perubahan secara perlahan dalam bidang pertanian di selatan Perancis apabila golongan bangsawan telah mula memajak dan menyewakan tanah mereka kepada petani untuk mendapatkan keuntungan. Petani tidak lagi menjadi hamba atau serf tetapi telah menjadi penyewa tanah yang bebas.

4. Petani telah digelar sebagai metayers di mana mereka bukan sahaja bertani tetapi telah melakukan pekerjaan lain seperti menternak lembu daging dan lembu susu kemudian dijual di pasarpasar. 5. Bagi memajukan bidang pertanian, Raja Henry IV telah mengarahkan menterinya Duke Sullymemajukan bidang pertanian di Perancis. Beliau telah memperkenalkan beberapa pembaharuan seperti menghapuskan cara lama yang dilakukan oleh petani, membekalkan biji benih percuma, membiayai kegiatan penternakan, larangan memusnahkan hutan dan mengeringkan paya dikeluar, dan membangunkan kemudahan pengangkutan jalan raya, jambatan dan terusan. 6. Pembaharuan ini telah menjadikan Perancis sebagai pengeluaran bijirin dan anggur merah dan hasil ini telah menjadi bahan dagangan utama Perancis ke Eropah seperti Belanda. Tanaman malberi dan penternakan ulat sutera juga telah diusahakan di Perancis. Ini telah mendorong berlakunya peningkatan pendapatan petani dan membawa perkembangan bandar Paris, Lyons dan Marseilles. 7. Semasa pemerintahan Raja Louis XIV, pembaharuan dalam bidang pertanian juga turut dilaksanakan oleh menteri Jean-Baptiste Colbert. Antara pembaharuan yang dilaksanakan ialah peralatan pertanian petani tidak dibenarkan dirampas akibat hutang, menggalakkan aktiviti penternakan lembu dan kuda, membaiki jalan raya, membina terusan dan menyelaraskan cukai antara wilayah. 8. Walaupun kegiatan ekonomi pertanian berkembang pesat tetapi petani kekal miskin dan ditindas oleh golongan tuan tanah. Golongan petani masih lagi dibebani dengan pembayaran cukai langsung dan cukai tidak langsung. Cukai langsung seperti cukai pendapatan, cukai keluarga dan cukai harta manakala cukai tidak langsung pula cukai garam dan cukai seigneur. 9. Kehidupan petani bertambah sukar bila berlaku kemeleseten ekonomi pada tahun 1787-1789, tanaman tidak menjadi, kenaikan harga gandum, kekurangan makanan dan pelbagai tekanan lain. Akhirnya golongan petani telah bangkit menentang dan berjaya menumbangkan rejim feudal pada tahun 1789.

Sektor Perdagangan

1. Kekayaan Portugal dan Sepanyol dalam penjelajahan dan perdagangan luar mendorong Perancis meluaskan tanah jajahan dan meluaskan perdagangan di seberang laut. Perancis memulakan penjelajahan dan membuka pusat perdagangan di India dan Amerika Utara. Ini telah membolehkan Perancis memonopoli perdagangan bulu dan membuka petempatan di Amerika. 2. Pada tahun 1620-an, Perancis telah membuka petempatan di Hindia Barat, pangkalan di Chandernagore timur India dan pada tahun 1642 pula membuka bandar Montreal. Perkembangan perdagangan turut berlaku dalam negara iaitu bandar-bandar perdagangan telah muncul seperti bandar Champagne, Lyon dan Beaucaire. 3. Untuk menggalakkan lagi perdagangan di Perancis, beberapa pembaharuan telah dilaksanakan olehJean-Baptiste Colbert seperti membina gudang senjata di Toulan dan pelabuhan, membina kapal di Rochefort, Calaeis, Brest dan Havre, melengkapkan pasukan tentera laut, menggalakkan pembukaan petempatan baru, menggalakkan migrasi golongan profesional dari luar Perancis, dan meyakinkan raja untuk berperang bagi meningkatkan perdagangan. 4. Perdagangan di Perancis juga dapat berkembang kerana bantuan Raja Louis XIV seperti mengenakan tarif cukai yang tinggi kepada barangan asing dan kapal asing yang menggunakan pelabuhan Perancis serta memberi bantuan kewangan kepada industri perkapalan.

5. Pembaharuan dan dasar yang dilaksanakan ini telah mendorong berkembangnya beberapa industrikraf tangan berdasarkan daerah di Perancis seperti industri gelas di Paris; industri sutera di Lyon; industri kain bulu; pembukaan ladang tebu di San Domingo, Martinique dan Guadeloupe serta menjadi pembekal gula ke Eropah; perdagangan Perancis dengan Sepanyol meningkat; dan Levant menjadi pusat perdagangan utama.

Bidang Perindustrian

1. Pada abad ke-16M, industri tekstil iusahakan secara besar-besaran untuk pasaran dalam negeri dan dieksport. Kain dan teknik pengeluaran sutera dari China dibawa masuk oleh pedagang Arab ke Eropah dan ini membolehkan Perancis mengeluarkan sendiri kain seperti di Tuscany. 2. Industri kain telah berkembang di desa dan mereka berjaya mengeluarkan pakaian berasaskan kain bulu dan linen. Manakala masyarakat bandar pula menggunakan mesin untuk mewarnakan dan memutihkan kain sebelum dipasarkan. 3. Di Perancis industri pertukangan juga berkembang iaitu tukang yang berkelayakan akan bekerja tanpa menerima upah selama beberapa tahun di rumah guru atau ahli pertukangan sebelum membuka pusat pertukangan sendiri apabila mereka kembali ke tempat asalnya. Mereka akhirnya menubuhkan kesatuan tukang untuk menjaga hasil pertukangan mereka. Barangan pertukangan Perancis seperti perabut telah mendapat tempat di pasaran pada tahun 1770. 4. Perkembangan perdagangan dan galakan daripada kerajaan telah mengukuhkan kedudukan golongan saudagar @ borjois sehingga menyaingi kedudukan golongan aristokrat dalam bidang politik.

Institusi Kewangan

1. Perkembangan perdagangan adalah didorong oleh perkembangan institusi kewangan di Perancis. Menjelang tahun 1500, pedagang tidak perlu membawa wang dengan banyak untuk urusan perdagangan. Penubuhan institusi kewangan ini banyak memudahkan urusan perdagangan dan kutipan cukai di Perancis. 2. Sistem perbankan di Perancis berkembang pesat pada abad ke-18 dengan penubuhan institusi kewangan dan perbankan sepeti Paris Bourse (1724), Caisse Escompte (1776), Loterie Royale (1783).

Kesimpulan

Perkembangan ekonomi feudalisme di Perancis begitu ketara dengan berlakunya banyak perubahan dalam sektor pertanian, perdagangan, perindustrian dan perbankan. Perkembangan ini telah memberi kelebihan kepada golongan saudagar sehingga boleh menyaingi kedudukan golongan aristocrat. Walau bagaimanapun, kemajuan ini tidak dinikmati sepenuhnya oleh golongan petani sehingga mereka bangkit melancarkan pemberontakan dan akhirnya berjaya menumbangkan rejim feudal.

You might also like