You are on page 1of 12

TEORI HANYUTAN BENUA

---------------------------------------Oleh: Rusly bin Musa--------------------------------

Pendahuluan
Konsep Hanyutan Benua mula diperkenalkan oleh ahli-ahli geologi dan geofizik lebih kurang 50 tahun yang lalu. Konsep ini sebenarnya terhasil melalui hipotesis awal mengenai hanyutan benua yang diperkenalkan oleh Alfred Wegener (1910). Idea hanyutan benua muncul apabila ahli-ahli geologi dan geofizik berpendapat tentu

terdapat satu kuasa yang amat kuat terletak jauh di dalam bumi yang dapat mengubah lapisan kerak bumi dan permukaan bumi secara besar-besaran.
Oleh itu, teori ini merupakan satu revolusi di dalam kajian sains bumi dan telah mewujudkan satu andaian berkenaan berlakunya proses geologi secara besar-besaran.

Teori Hanyutan Benua Hipotesis Wegener


Hanyutan benua adalah satu teori yang cuba menerangkan tentang kewujudan dan taburan benua-benua yang ada pada hari ini. Andaian Wegener adalah amat mudah

Bahawa benua-benua yang ada pada hari ini sebenarnya berasal daripada satu benua yang besar sahaja yang dinamakan sebagai PANGEA (Pan = all, Gea = earth) dan apabila berlakunya gerakan-gerakan di dalam kerak bumi Pangea akan berpecah-pecah dan bertaburaan sepertimana yang ada pada hari ini. Hipotesis
Wegener menerangkan pada peringkat awal perpecahan Pangea terbahagi kepada dua jisim daratan yang digelar sebagai Laurasia di sebelah utara dan Gondwanaland di sebelah selatan. Laurasia mengandungi benua-benua seperti Amerika Utara, Eropah dan Asia sementara Gondwanaland mengandungi benua Amerika Selatan, Afrika, Semenanjung Arab, India dan Australia. Beliau juga berpendapat putaran bumi membekalkan tenaga tekanan yang cukup kuat untuk memisah dan menghanyutkan benua-benua tersebut selain daripada tenaga endogenik yang ada di dalam lapisan kerak bumi itu sendiri. Apabila berlaku perpecahan pada Pangea maka terdapat pembentukan pecahan yang besar antara Amerika dan Eropah- Afrika dan juga antara Australia Antartika serta

Afrika India. Pemecahan tersebut menjadi lebih nyata apabila jisim-jisim daratan berkenaan terus hanyut lebih jauh dan mewujudkan lautan Atlantik serta lautan Hindi. Lautan yang wujud sebelum berlakunya hanyutan benua-benua berkenaan menjadi asas bagi pembentukan lautan Pasifik yang terdapat pada masa kini. Fenomena ini berlaku pada zaman mesozoik. Sehingga zaman Kenozoik pula India telah terpisah dari lain-lain bahagian Asia oleh lautan Tethys yang cetek. Mengikut Wegener lagi, India seolah-olah telah dipendekkan setelah mengalami hanyutan ke arah utara melintasi lautan Hindi yang ada pada masa ini. Pertembungan antara tanah besar Asia dengan India membentuk Banjaran Lipatan Himalaya. Dapat dikatakan juga bahawa cara seperti ini telah menghasilkan banjaran-banjaran gunung pada zaman Tersier seperti banjaran Alps, Andes,Rokcy dan lain-lain lagi. Wegener mempercayai bahawa lipatan yang rencam ini adalah akibat daripada geseran menarik yang wujud semasa benua melintasi di atas lapisan kerak batuan basalt. Wegener telah menyatakan terdapat dua arah utama pergerakan/hanyutan benua

ini iaitu pergerakan ke arah barat yang disebabkan oleh kuasa-kuasa tektonik yang ada di dalam bumi dan juga pergerakan dari kutub akibat tekanan ke atas benua yang seolaholah terapung di atas lautan magma yang panas. Justeru itu, hipotesis Wegener ini amat berkait dengan daya/kuasa yang ada di dalam bumi. Terdapat dua daya utama yang wujud di dalam bumi yang boleh mengerakkan lapisan kerak bumi iaitu daya mampatan dan daya tegangan. Kedua-dua daya ini wujud akibat adanya arus perolakan yang panas. Sebenarnya batuan di dalam mantel bumi mengalami suhu dan tekanan yang sangat tinggi sehingga batuan tersebut menjadi cair atau separa cair. Kepanasan dan kecairan batuan ini mewujudkan satu arus perolakan yang sentiasa boleh menggerakkan lapisan kerak bumi di atasnya. Justeru itu tidak hairanlah jika ada pendapat yang mengatakan lapisan kerak bumi seolah-olah berada dan terapung-apung di atas lautan magma yang panas di bawahnya!. Lapisan mantel yang panas ini dikenali sebagai astenosfera. Apabila arus perolakan ini bergerak ia akan mengenakan daya mampatan dan tegangan ke atas lapisan kerak bumi di atasnya dan kesannya lapisan kerak bumi turut bergerak yang bererti benua-benua yang adapun turut bergerak. Pergerakan ini mengambil masa berjutajuta

tahun lamanya. (lihat rajah di bawah) Rajah menunjukkan arus perolakan yang panas yang mengerakkan lapisan kerak bumi di atasnya akibat mampatan dan tegangan. Wegener seterusnya menyarankan bahawa apabila sesebuah benua bergerak ke hadapan maka di bahagian belakangnya akan terbentuk lautan yang baru. Pada asasnya pergerakan benua-benua mengikut Wegener adalah seperti di bawah.

Bukti-Bukti Yang Menyokong Teori Hanyutan Benua


Wegener dan juga ahli-ahli geologi yang tertarik dengan pandangannya seperti Alexander du Toit di Afrika Selatan dan Arthur Holmes di England telah mengemukakan beberapa bukti menarik bagi menyokong teori ini. Bukti-bukti tersebut muncul dari pelbagai disiplin pengajian seperti bukti geologi, geokronologi, bukti oseanografi, bukti paleomagnet dan sebagainya.

1. Bukti keselanjaran benua. Bermula dengan Francis Bacon, para

pengkaji telah cuba membuktikan bahawa garisan pinggir pantai di beberapa benua boleh dicantumkan walaupun kedudukan benua-benua kini adalah jauh dan dipisahkan oleh lautan yang luas. Misalnya pinggir laut di bahagian barat Afrika boleh dicantumkan dengan pinggir laut di bahagian timur Amerika Selatan. Begitu juga dengan pinggir laut di Eropah Barat boleh dicantumkan dengan pinggir laut di Amerika Utara. Padanan antara benua-benua yang boleh dicantumkan ini seolah-olah seperti Jigsaw Puzzle. Keadaan percantuman ini menjadi lebih jelas lagi apabila diambil kira kedudukan pentas benua yang lebih luas saiznya bagi setiap benua yang dicantumkan dan kaedahnya menjadi lebih mudah dengan menggunakan teknik grafik komputer. Wujudnya keadaan keselanjaran yang sungguh baik sekiranya benua-benua berkenaan dicantumkan dengan teliti memberi kekuatan kepada pendokong teori hanyutan benua bahawa benua-benua yang ada pada hari ini berasal daripada satu benua yang besar sahaja!. Lihat rajah di bawah. Keselanjaran benua terjadi apabila beberapa pinggir laut benua dicantumkan secara grafik komputer.

2. Bukti Geologi. Melalui teknik


radiometrik telah ditemui bahawa geologi enapan awal yang berada di dasar laut yang terletak di sekitar lautan Atlantik adalah sama dengan yang ditemui di benua-benua Amerika Selatan dan Afrika daripada segi jenis dan usianya. Bukti geologi yang ditemui itu dikatakan bermula pada zaman pra kambrian hinggalah ke zaman mesozoik. Dengan bukti geologi yang serupa walaupun berada pada benua yang berlainan sekali lagi telah menguatkan hujan kemungkinan benua-benua tersebut telah berpecah dari satu blok atau jisim benua yang sama sebelumnya. Di sepanjang pinggir pantai Brazil di Amerika Selatan terdapat satu jaluran batuan lama (mempunyai umur kira-kira 2000 juta tahun) yang menyerupai satu jaluran batuan lain yang terdapat di Afrika. Persamaan-persamaan daripada segi jaluran batuan ini membuktikan bahawa benua Amerika selatan dan Afrika adalah bercantum pada masa pra-Kambrian. Keselanjaran tersebut berterusan sehingga zaman Mesozoik berdasarkan kepada bukti bahawa terdapatnya lapisan batuan Paleozoik Akhir yang ditemui di keduadua

benua tersebut. Tambahan pula bahan mendak lautan yang paling awal yang terdapat di pinggir pantai di kedua-dua benua berkenaan mempunyai umur yang serupa iaitu wujud pada zaman jurasik, dan perkara ini menggambarkan bahawa lautan Atlantik yang memisahkan ke dua-dua benua itu kini adalah tidak wujud pada zaman tersebut. Bukti geologi yang sama daripada segi struktur dan usianya ditunjukkan oleh gambarajah di bawah: Kesamaan struktur dan usia batuan Yang berada di benua yang berlainan. Kesamaan struktur batuan yang terdapat di benua Afrika dan Amerika Selatan Padanan geologi Antartika, Australia dan Afrika menunjukkan trend struktur dan usia batuan yang sama

3. Bukti Fosil. Pada logiknya


sesetengah organisma samada tumbuhan atau haiwan tidak mungkin boleh berpindah jika terdapatnya halangan seperti lautan yang

luas. Tetapi bagaimanakah fosil khususnya haiwan-haiwan yang besar seperti dinosaur boleh ditemui di pelbagai benua walaupun benua-benua tersebut terpisah jauh?. Tambahan pula fosil haiwan yang ditemui itu adalah sama daripada segi jenis dan usianya. Sebenarnya persoalan-persoalan inilah yang menjadi asas kepada Wegener dan Du Toit untuk menguatkan bukti kebenaran Teori Hanyutan Benua. Pandangan beliau ini secara tidak langsung disokong melalui kajian fosil atau bidang paleontology. Telah banyak fosil haiwan dan juga tumbuhan yang sama ditemui di benua-benua yang berlainan khususnya fosil tersebut masih terpelihara dengan baik di dalam lapisan ais yang tebal. Misalnya fosil dinausor dari zaman Jurasik telah ditemui di Amerika Utara, Amerika Selatan, Afrika Selatan malah di China sendiri. Bukti-bukti ini menguatkan hujah bahawa asalnya benua-benua tersebut adalah satu sahaja yang mana haiwan-haiwan berkenaan hidup di satu kawasan yang sama. Apabila berlakunya hanyutan benua-benua akan terpisah dan haiwan-haiwan itu juga turut terpisah.

4. Bukti Paleomagnet.
Kajian paleomagnetisma telah menghasilkan tiga

bukti penting bagi menyokong berlakunya hanyutan benua. Pertama, bukti mengenai perpindahan kutub, kedua bukti mengenai pengalihan dan putaran benua dan ketiga bukti mengenai pembalikan medan geomagnet. Pengukuran yang telah dibuat berhubung dengan kemagnetan fosil yang ditemui menunjukkan bahawa kutub magnet utara telah berubah sejauh 21000 km dari sebelah barat Amerika Utara ke sebelah utara Asia dan ke kawasan Artik. Fenomena ini berlaku pada masa pra-kambrian hinggalah ke zaman pertengahan Tersier. Bukti ini telah diutarakan oleh Runcorn dan beberapa pengkaji lain. Ini menunjukkan berlakunya perpindahan kutub utara sesuatu benua yang mencerminkan benua itu turut pengalami pergerakan/hanyutan. Lihat rajah di bawah: Perpindahan Letakan Kutub Sejak Zaman Pra-Kambrian Oleh Runcorn. 5. Bukti Oseanik. Selain daripada bukti yang ada di daratan benua terdapat juga bukti yang diperolehi dari lembangan lautan bagi menyokong berlakunya proses hanyutan benua ini. Bukti-bukti yang diperolehi dari lembangan lautan ini dipanggil sebagai bukti oseanik. Misalnya bukti mengenai bahan mendak/sedimen lautan dan juga

bukti mengenai berlakunya perluasan dasar lautan. Bahan mendak lautan yang paling tua ditemui menerusi usaha penggerudian ialah berusia kira-kira 160 juta tahun dahulu iaitu bersamaan dengan zaman Jurasik. Bahan mendak lautan ini telah ditemui di lautan Pasifik dan juga lautan Atlantik. Walaupun ke dua-dua lautan ini pada masa ini terletak jauh tetapi oleh kerana bahan mendakan yang ditemui itu sama jenis dan sama usia yang dibentuk pada zaman Jurasik maka sekali lagi ia menguatkan hujah berlakunya pergerakan benua. Selain itu kajian-kajian oseanik juga menunjukkan bahawa usia bahan mendak adalah lebih tua berhampiran dengan benua dan semakin muda apabila semakin jauh ke laut. Justeru para pengkaji menyimpulkan berlakunya proses perluasan dasar laut dengan kadar yang diberikan kira-kira 2 sentimeter setiap tahun. Dengan adanya hipotesis perluasan dasar laut ini juga boleh menguatkan hujah benua-benua sentiasa mengalami pergerakan/hanyutan khususnya dalam bentuk pergerakan plat-plat tektonik.

Rumusan
Walaupun hanyutan benua merupakan satu teori yang boleh disokong dan boleh

ditentang tetapi ia sekurang-kurangnya telah menambahkan lagi pemahaman kita tentang adanya tenaga dalaman bumi (tenaga endogenik) yang sentiasa menjadikan sistem bumi ini hidup. Rentetan daripada teori hanyutan benua ini muncul pula satu teori lain yang memperlengkapkan lagi pemahaman kita tentang berlakunya aktiviti tektonik dalam bumi. Teori tersebut dikemukakan oleh Dietz (1961) dan Hegg (1962) dan ia dikenali sebagai Teori Plat Tektonik yang mengatakan bahawa lapisan kerak bumi ini sememangnya sentiasa bergerak dalam bentuk kepingan-kepingan (Plat-plat) samada kecil ataupun besar akibat adanya arus perolakan dalam bumi. Justeru apabila ke dua-dua teori ini dikaji maka kita boleh memberikan jawapan terhadap pelbagai fenomena alam seperti gunung berapi, gempa bumi, kejadian gunung lipat, pelbagai jenis gelinciran, kemunculan pulau-pulau yang baru, kejadian jurang lautan dan lain-lain lagi.

You might also like