You are on page 1of 11

Sistem Pendidikan Dwibahasa di Negara-Negara ASEAN Mohd Rasdi bin Saamah Jabatan Pengajian Melayu Institut Perguruan Tengku

Ampuan Afzan

Konsep kedwibahasaan atau bilingualisme muncul apabila dua bahasa atau lebih digunakan dalam masyarakat. Mengikut Macnamara (1967) kedwibahasaan bermaksud seseorang itu dapat menguasai sekurang-kurangnya satu kemahiran bahasa dalam bahasa keduanya walaupun pada tahap yang minimum. Pendidikan kedwibahasaan atau biligualism merupakan salah satu dasar pendidikan yang menjadi lumrah bagi negaranegara yang mempunyai penduduk berbilang bangsa atau berbilang kumpulan etnik. Dasar pendidikan ini penting dalam sistem pendidikan khususnya bagi negara-negara yang pernah diduduki penjajah sebagaimana yang dialami oleh negara-negara ASEAN seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina, Brunei kecuali Thailand. Malaysia, Singapura dan Brunei merupakan bekas tanah jajahan Inggeris, manakala Filipina pula bekas jajahan takluk Sepanyol dan kemudian Amerika Syarikat. Kepelbagaian bangsa dan kumpulan etnik di negara-negara berkenaan menyebabkan penggunaan bahasa yang berlainan antara satu kaum dengan kaum yang lain.

Pendahuluan Perbincangan mengenai aspek pendidikan dwibahasa lebih menarik dikaji di Malaysia, Singapura dan Brunei yang mempunyai pertalian sejarah yang hampir sama dari segi sistem pendidikan serta perancangan bahasanya. Secara linguistiknya, mereka mempunyai masyarakat yang bertutur pelbagai bahasa, dan sistem pendidikan kedwibahasaan merupakan suatu yang bukan asing di kalangan para penduduknya (Llamzon dan Lee 1980). Di ketiga-tiga negara yang berjiran ini, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang dianggap sebagai bahasa kebangsaan kedua meskipun pengalaman pasca kolonial di Malaysia dan Singapura berbeza daripada pengalaman Brunei yang telah menjadi negara lindungan British (Pakir 1994). Di India misalnya, bahasa Inggeris diperkenalkan dalam sistem pendidikan formal untuk melahirkan kumpulan elit khas untuk mentadbir negara di bawah kepentingan orang-orang British (Srivastava 1990). Perancangan dan polisi bahasa terhadap bahasa Inggeris di ketiga-tiga negara tersebut saling kait mengait antara satu dengan yang lain meskipun ia dilaksanakan di tempat yang berbeza. Dasar pendidikan dwibahasa di Singapura dilaksanakan pada tahun 1966 dan merupakan batu asas kepada sistem pendidikan di republik tersebut. Manakala di Malaysia, Akta Pelajaran Kebangsaan 1967 telah menetapkan bahawa pendidikan menengah ditukar kepada aliran Melayu selepas sedekad

2 (1957-1967) bahasa Melayu dan Inggeris dijadikan bahasa rasmi. Brunei pula memulakan sistem pendidikannya pada tahun 1984 dengan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai aliran pengajaran. Dalam konteks ini Pakir (1994) telah mengelaskan ketiga-tiga negara ini sebagai Small Young Countries (SYC) berdasarkan kepada sejarah perkembangan serta sebahagian daripada fenomena kebangkitan status bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia, atau bahasa Order Baru Dunia, yang mana pengetahuan kedwibahasaan bagi masyarakat negaranegara tersebut menjadi matlamat masyarakat serantau. Semua pernyataan polisi yang berhubung dengan bahasa dalam pendidikan bagi negara-negara yang dikategori sebagai SYC tersebut menyatakan betapa pentingnya pendidikan bahasa Inggeris. Buktinya dalam era tahun-tahun 1980-an dan 1990-an pendidikan kedwibahasaan di negara-negara berkenaan menekankan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama di sekolah di Singapura dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di sekolah bagi Malaysia dan Brunei. Singapura telah menjadikan kedwibahasaan wajib kepada semua pelajar mulai tahun 1966 ketika negara berkenaan masih menawarkan pengajaran dalam empat aliran iaitu bahasa Inggeris, Mandarin, bahasa Melayu dan bahasa Tamil, sebagai bahasa rasmi. Dasar kedwibahasaan telah berkembang secara beransuransur serta melalui tahap-tahap yang berbeza yang mana bahasa Inggeris dengan jelas mendapat keutamaan kepada pemerintah semasa itu. Pada tahun 1990 Menteri Pendidikan Singapura telah meningkatkan kedudukan bahasa Inggeris ke dalam projek kedwibahasaan. Dasar Pendidikan Kebangsaan 1966 di Malaysia, menyatakan bahasa Inggeris merupakan bahasa yang kedua terpenting, dengan erti kata yang kedua sahaja selepas bahasa kebangsaan, dan ia hendaklah diajarkan sebagai bahasa kedua yang berkesan di sekolah-sekolah di Malaysia (Asmah 1987). Mengikut Gaudart (1987) apabila pendidikan kedwibahasaan sendiri tidak diperakui secara terbuka, maka sistem pendidikan nasional adalah pemangkin kepada pendidikan kedwibahasaan. Di Brunei, dasar kedwibahasaan bertujuan untuk mendaulatkan bahasa Melayu manakala pada masa yang sama untuk menjamin kepentingan bahasa Inggeris (Kementerian Pendidikan Brunei 1992). Mengikut Jones (1990) pengenalan pendidikan kedwibahasaan kepada semua sekolah kerajaan pada tahun 1985 telah menunjukkan bahawa Brunei memerlukan sebuah sistem pendidikan yang progresif yang mampu melahirkan siswazah yang berkebolehan bagi mewakili Brunei dalam masyarakat antarabangsa. Selain faktor sosiolinguistik di ketiga-tiga SYS tersebut, faktor perkembangan ekonomi turut memainkan peranan yang penting dalam soal perkembangan pendidikan kedwibahasaan, khususnya keperluan bahasa Inggeris di sektor-sektor yang melibatkan aktiviti ekonomi seperti kejuruteraan, perindustrian, perdagangan dan sebagainya. Mengikut Asiah (1999) oleh itu

3 bahasa Inggeris diberi peranan baru sebagai bahasa kedua. Walaupun peranan ini lebih terhad berbanding bahasa Melayu, tetapi amat penting dari segi perdagangan dan komunikasi antarabangsa. Corak pendidikan kedwibahasaan juga banyak bergantung kepada dasar bahasa yang digubal oleh golongan pemerintah hasil daripada tindak balas keperluan semasa sama ada di peringkat antarabangsa ataupun serantau, selain daripada kepentingan politik setempat. Berikut diperincikan pelaksanaan pendidikan kedwibahasaan di sekolah-sekolah di negara-negara tersebut dengan berfokuskan isu-isu yang berkaitan.

Pendidikan Dwibahasa di Singapura Pendidikan dwibahasa merupakan tonggak utama sistem pendidikan di Singapura sejak tahun 1966. Pendidikan dwibahasa menjadi semakin penting setelah timbulnya Laporan Goh pada tahun 1978 yang mewajibkan pemelajaran bahasa kedua iaitu bahasa Melayu, Cina dan Tamil) bagi semua peringkat. Bahkan kelulusan dalam bahasa kedua dijadikan satu syarat kemasukan ke universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi. Ini bermakna pelajar yang tidak lulus dalam bahasa kedua tidak layak masuk ke universiti walaupun mereka lulus dengan cemerlang dalam mata pelajaran yang lain. Kamsiah (1994) menjelaskan terdapat juga peraturan yang tidak membenarkan murid-murid daripada satu-satu kaum terbesar di Singapura belajar bahasa kedua yang bukan bahasa ibunda mereka. Ini bermakna murid-murid Cina mestilah belajar bahasa Mandarin, begitu juga murid-murid Melayu mestilah belajar bahasa Melayu dan juga murid-murid India mesti belajar bahasa Tamil. Dalam hal ini Pakir (1994) menjelaskan, konsep kedwibahasaan di Singapura didapati unik. Dalam dasar pendidikan Singapura, kedwibahasaan ditakrifkan sebagai bukan mahir menguasai dua bahasa tetapi menguasai bahasa Inggeris dan salah satu daripada bahasa rasmi (Melayu, Cina atau Tamil). Oleh itu, menguasai bahasa Inggeris dan Hokkien contohnya, belum lagi dianggap sebagai menguasai dwibahasa kerana Hokkien hanya bertaraf dialek. Justeru itu di sekolah, pemelajaran bahasa ibunda dan bahasa Inggeris diwajibkan bagi semua murid tidak kira daripada golongan etnik apa pun asal usul mereka (Kamsiah Abdullah 1994). Hal yang demikian bermakna setiap murid akan belajar bahasa Inggeris di samping satu lagi bahasa lain yang pada kebiasaannya terdiri daripada bahasa Melayu, Cina dan Tamil. Murid-murid yang bersekolah aliran Inggeris akan belajar bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama dan sama ada bahasa Melayu, bahasa Cina atau bahasa Tamil sebagai bahasa kedua. Sebaliknya mereka yang bersekolah aliran Melayu, Cina atau Tamil akan belajar bahasa-bahasa pengantar ini sebagai bahasa pertama dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Walau bagaimanapun, aliran persekolahan Melayu ini sudah tidak lagi wujud sejak tahun 1983. Persekolahan Melayu hanya diajar di

4 madrasah-madrasah di samping mata pelajaran bahasa Inggeris, bahasa Arab dan pendidikan agama Islam. Sistem pendidikan di Singapura juga melaksanakan dasar penyaluran (streaming) serentak dengan dasar kedwibahasaan. Pelajar-pelajar yang amat cemerlang disalurkan ke aliran ekspres istimewa (special express) yang mana bahasa Inggeris dan bahasa ibunda dijadikan bahasa pertama di samping satu lagi bahasa asing seperti bahasa Jepun, Perancis atau Jerman, pelajar-pelajar yang terbaik pula ke aliran ekspres dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama dan bahasa ibunda sebagai bahasa kedua. Manakala pelajar-pelajar yang sederhana disalurkan ke aliran normal dengan pengajaran yang sama seperti aliran ekspres tadi. Meskipun sistem pendidikan di Singapura kerap mengalami perubahan, namun dasar asas kedwibahasaan tetap tidak berubah. Semua pelajar akhirnya perlu mencapai tahap kecekapan asas dalam bahasa ibunda dan bahasa Inggeris. Dasar kedwibahasaan di Singapura sememangnya menampakkan banyak kesan yang positif khususnya dari aspek penguasaan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat Singapura sendiri. Penggunaan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat berbilang kaum di Singapura meningkat dalam tempoh satu dekad. Namun demikian dari satu segi kajian Kamsiah (1985) mendapati sikap murid-murid Melayu terhadap pemelajaran bahasa ibundanya sendiri kurang positif berbanding sikap mereka terhadap bahasa Inggeris. Kajian tersebut turut menyokong kajian terdahulu yang dibuat oleh Gopinathan (1981) yang mendapati perkembangan bahasa Tamil atau penggunaan bahasa Tamil di Singapura semakin mengecil. Meskipun begitu, keadaannya berbeza bagi bahasa rasmi Mandarin yang peratus penggunaannya meningkat dalam masa sepuluh tahun yang mana sebelumnya masyarakat Cina Singapura lebih suka menggunakan bahasa dialek. Ini semua adalah kesan daripada dasar kedwibahasaan dalam sistem pendidikan Singapura.

Pendidikan Dwibahasa di Malaysia Di Malaysia, dasar pendidikan negara mengandaikan pelajar tamat sekolah dengan keupayaan sekurang-kurangnya dalam dua bahasa, iaitu bahasa Melayu (yang menjadi bahasa pengantar) dan bahasa Inggeris (yang menjadi bahasa kedua dalam sistem pendidikan dan diperkenalkan sejak darjah satu lagi). Di samping itu, ada sebilangan besar pelajar yang mempunyai bahasa ibunda selain bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, seperti bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Kadazan, bahasa Iban dan pelbagai lagi. Terdapat juga bahasa-bahasa asing lain yang turut diperkenalkan di sekolah, misalnya bahasa Arab, bahasa Jepun, bahasa Perancis, dan lain-lain lagi (Nik Safiah Karim 1994).

Dari segi sejarahnya, tempoh 1957 hingga 1967, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris telah dijadikan sebagai bahasa rasmi. Sistem persekolahan di Malaysia mempunyai 4 aliran iaitu aliran Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil. Bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua yang terpenting di negara ini. Bahasa Inggeris pada awalnya telah digunakan di sekolah-sekolah aliran Inggeris di samping sekolah-sekolah aliran Melayu, Cina dan Tamil yang diperkenalkan British sejak zaman sebelum merdeka. Kerajaan Inggeris membenarkan wujudnya empat buah sistem pendidikan yang berasingan (Abdullah Hassan 1999). Dalam tempoh sesingkat sepuluh tahun, enam laporan pendidikan telah dibentuk untuk meneliti sistem pendidikan, yang mana kesemuanya mencadangkan pendidikan kedwibahasaan dengan bahasa Inggeris mengambil peranan utama. Perlembagaan Malaya juga menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu akan digunakan di samping bahasa Inggeris untuk selama sepuluh tahun. Setelah itu bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris dan menjadi bahasa rasmi tunggal. Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar tunggal di sekolah-sekolah (Abdullah Hassan 1999). Mengikut Pakir (1994), Malaysia merupakan sebuah daripada kelompok kecil negara yang terdapat Program Peralihan Pendidikan Dwibahasa. Dalam tempoh 6 tahun di SRJK (Cina) dan SRJK (Tamil), bahasa pengantar yang digunakan oleh murid-murid ialah bahasa Cina dan bahasa Tamil. Bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris merupakan mata pelajaran wajib. Manakala di SK dan SRK, bahasa pengantar ialah Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris diajar sebagai mata pelajaran wajib. Walau bagaimanapun, bahasa Cina dan Tamil diajar sebagai Pupils Own Language (POL) sekiranya terdapat lebih daripada 15 orang pelajar kaum berkenaan. Semua sekolah menengah hanya dalam aliran Bahasa Melayu dan POL juga diajar dengan ciri yang terdapat di SK atau SRK. Murid-murid dari SRJK (Cina) dan SRJK (Tamil) perlu masuk ke kelas Peralihan sebelum memasuki Tingkatan Satu di sekolah menengah. Dasar Pendidikan Kebangsaan telah dibentuk dengan tujuan untuk mencapai identiti negara melalui bahasa kebangsaan yang sama dan kurikulum yang sama kandungannya, namun dasar ini tidak mengetepikan keperluan dan aspirasi pelbagai kelompok masyarakat, khususnya Cina dan India. Sehubungan dengan itu Laporan Kabinet 1985 antara lain menyebut Pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu ditujukan untuk menyatukan pelbagai penduduk dalam negara (di samping menjadikannya) bahasa untuk memperoleh ilmu. Ekoran daripada itu kedudukan serta fungsi bahasa Inggeris telah berubah. Sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa kedua, pembelajaran bahasa Inggeris mempunyai dua tujuan; pertama, untuk membolehkan murid-murid itu menggunakan bahasa tersebut dalam kerja dan aktivitinya, dan kedua untuk

6 meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka untuk digunakan bagi tujuan pendidikan tinggi (Laporan Kabinet 1985). Pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan akhirnya telah menyebabkan sekolah-sekolah aliran Inggeris telah secara beransur-ansur ditukar. Proses penukaran aliran ini telah sempurna menjelang awal tahun 1980-an. Pada tahun 1983 semua sekolah menukarkan alirannya ke aliran kebangsaan. Namun penukaran ini sedikit sebanyak mengundang permasalahan, khususnya yang berkaitan dengan penyediaan buku teks berbahasa Melayu. Meskipun masalah ini dapat diselesaikan di peringkat sekolah, tetapi pelajar-pelajar di semua institusi pengajian tinggi di seluruh negara masih menggunakan buku rujukan yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Keadaan inilah yang menjadi polemik yang berpanjangan kepada pelajar khususnya di peringkat pendidikan tinggi. Polemik yang hampir sama telah berulang di peringkat pendidikan sekolah rendah dan menengah di Malaysia pada tahun 2003 apabila kerajaan telah mengubah dasar dengan melaksanakan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Kementerian Pelajaran terpaksa menukar bahasa pengantar buku teks bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut kepada bahasa Inggeris. Polemik ini timbul dengan kebimbangan bahawa kegagalan guru menguasai bahasa Inggeris dengan baik akan mengakibatkan penyampaian ilmu dalam bidang Sains dan Matematik tidak mencapai objektifnya dengan sempurna (Mohd. Rasdi, 2003). Ini bermakna bahasa Inggeris kembali menjadi saingan kepada bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di Malaysia khususnya dalam kedua-dua bidang tersebut. Oleh itu dalam usaha meningkatkan lagi kedudukan Bahasa Melayu di Malaysia, maka bahasa Melayu perlu bersaing hebat dengan bahasa Inggeris, sebagaimana kedudukan bahasa Mandarin di Singapura yang turut bersaing dengan bahasa Inggeris.

Pendidikan Dwibahasa di Brunei Sistem pendidikan dwibahasa di Brunei bukanlah merupakan isu yang baru. Pada tahun 1972 Laporan Suruhanjaya Pendidikan Brunei telah memperakukan bahasa Melayu sebagai jurusan utama pengajaran di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah serta pada masa yang sama menyokong kenaikan taraf penggunaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah (Jones 1990). Bagaimanapun pada tahun 1984, konsep sistem dwibahasa telah ditakrifkan dengan lebih tepat berbanding dengan apa yang diperkatakan dua belas tahun sebelumnya. Mengikut Kementerian Pendidikan Brunei (1985) konsep sistem dwibahasa merupakan satu cara bagi menentukan kedaulatan bahasa Melayu dan pada masa yang sama mengiktiraf kepentingan bahasa Inggeris. Matlamat khusus pengiktirafan terhadap kepentingan bahasa Inggeris ini berasaskan sebahagian

7 daripada kepentingannya untuk pelajaran akademik dan dengan tujuan untuk memudahkan kemasukan pelajar-pelajar Brunei ke institusi-institusi pengajian tinggi di luar negara. Laporan Pelajaran oleh Kementerian Pendidikan Brunei 1992 masih mengulangi bahawa dalam sistem pendidikan untuk negara Brunei, bahasa Melayu akan terus memainkan peranan utama manakala bahasa Inggeris tetap tidak diabaikan. Sistem pendidikan di negara tersebut merangkumi sekolahsekolah kerajaan (pra-sekolah, sekolah rendah dan menengah) dan dua kolej yang ditadbirkan oleh kerajaan serta sekolah-sekolah swasta. Kelas-kelas atas bagi sekolah rendah iaitu darjah 4 hingga 6 mempunyai pengajaran dwibahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Pendidikan sekolah menengah dan kolej kebanyakannya berpengantar bahasa Inggeris kecuali bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan, Pengajian Agama Islam, Pendidikan Seni, Pendidikan Jasmani dan Sivik. Pelaksanaan sistem dwibahasa telah dimulakan seawal peringkat pra-sekolah sehinggalah ke peringkat pra-universiti (A Levels). Mulai 1985 semua kanak-kanak memulakan persekolahan pada peringkat prasekolah dalam sistem baru sebagai persediaan ke arah sistem dwibahasa. Dengan pelaksanaan sistem dwibahasa sepenuhnya, penggunaan konsep aliran Inggeris dan aliran Melayu sebagaimana yang dijalankan di sektor sekolah rendah tidak dapat tidak perlu ditonjolkan. Sebelumnya sekolah-sekolah yang kedua-dua bahasa tersebut diajar dikenali sebagai Sekolah Rendah Kerajaan. Dalam kurikulum pra-sekolah, semua pengajaran dibuat dalam dalam bahasa Melayu. Manakala dalam kurikulum sekolah rendah, tiga tahun pertama (darjah 1 hingga 3) menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar dan bahasa Inggeris diajar sebagai satu mata pelajaran (10 waktu seminggu daripada jumlah 45 waktu keseluruhannya dengan masa 30 minit setiap waktu). Manakala tiga tahun berikutnya (darjah 4 hingga 6), lima mata pelajaran (18 daripada 45 waktu) diajar dalam bahasa Melayu iaitu Bahasa Melayu, Pengajian Agama Islam, Pendidikan Jasmani, Lukisan dan Kraftangan. Pengenalan kepada sistem pendidikan yang bercirikan kedwibahasaan di Brunei dengan memberi penekanan kepada bahasa Inggeris telah menimbulkan sedikit halangan daripada penduduknya, meskipun masyarakat pada umumnya bersetuju bahawa langkah tersebut merupakan langkah yang betul. Ekoran daripada kekangan ini telah menyebabkan ramai guru daripada aliran Melayu terpaksa menjalani latihan semula dan tidak kurang pula yang memilih untuk bersara lebih awal (Jones, 1990). Persoalannya, adakah generasi masa depan di Brunei benar-benar dapat menguasai dwibahasa atau sebaliknya tidak dapat berkomunikasi dengan baik dan berkesan dengan mana-mana bahasa perlu diambilkira. Sebagaimana rakan-rakan ASEAN yang lain, Brunei juga menghadapi dua permasalahan yang perlu diberi perhatian serius, iaitu pertama

8 kekurangan guru-guru terlatih atau berkelayakan dan keduanya, terdapatnya hubungan yang rapuh di antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dari sudut hubungan status, khususnya merujuk kepada konsep kenegaraan Brunei itu sendiri yang mula berubah dengan mempelbagaikan ekonomi daripada berlandaskan hasil minyak kepada perdagangan antarabangsa dan industri. Sebagaimana yang berlaku di Malaysia, Brunei juga menghadapi kemelut yang hampir sama berhubung dengan status kedwibahasaannya iaitu sama ada rakyat Brunei menguasai dwibahasa sepenuhnya atau dwibahasa sebahagian sahaja.

Pendidikan Dwibahasa di Filipina Di Filipina, keadaan sistem pendidikan bahasa agak berbeza setelah bahasa kebangsaan baharu yang dipanggil Filipino diperkenalkan dalam Perlembagaan 1973. Dalam perlembagaan tersebut, Peraturan Kementerian No. 9, Setiausaha bagi Jabatan Pelajaran dan Kebudayaan, Lembaga Pelajaran Kebangsaan (NBE) telah menekankan sokongan terhadap polisi bagi melahirkan masyarakat dwibahasa yang boleh bertutur dalam bahasa Filipino di samping bahasa Inggeris (Soriano 1977). Manakala mengikut Llamzon dan Lee (1980), kini Filipino telah menyambung fungsi sebagai salah satu bahasa kebangsaan di samping bahasa Inggeris dan bahasa Sepanyol. Mengikut Dyen (1965), Filipina mempunyai lebih daripada 100 bahasa asli yang dimiliki oleh keturunan Austranesia, dan lebih tepat lagi keturunan Hesperonesia dan keturunan kacukan Filipina. Daripada jumlah tersebut 8 daripadanya dianggap sebagai bahasa utama dan digunakan oleh lebih daripada 90% penduduk, selebihnya dianggap sebagai bahasa-bahasa kecil yang dituturkan oleh masyarakat pedalaman seperti masyarakat Kristian di kampung-kampung, masyarakat Pagan di kawasan bukit-bukau pedalaman, dan masyarakat Islam di bahagian kepulauan sebelah selatan Filipina. Bahasa Inggeris merupakan satu-satunya aliran persekolahan di Filipina sehingga tahun 1957, di mana pengajaran pada ketika itu menggunakan bahasa tempatan di darjah 1 dan 2 sekolah rendah. Pada tahun 1974 Polisi Dwibahasa telah diperkenalkan di Filipina seiring dengan penguatkuasaan Perlembagaan 1973, yang mana bahasa Filipino telah digunakan dalam pengajaran di sekolah bagi mata-mata pelajaran tertentu di samping bahasa Inggeris. Mengikut Llamzon dan Lee (1980) terdapat 2 jenis sekolah menengah di Filipina iaitu sekolah umum yang dibiayai oleh kerajaan dan sekolah menengah persendirian yang eksklusif. Manakala peringkat kolej juga sama iaitu kolej yang menawarkan pendidikan pra-universiti yang dibantu oleh kerajaan dan kolej

9 ekslusif yang para pelajarnya terdiri daripada keluarga sosioekonomi yang tinggi. Penggunaan bahasa pertama di kebanyakan sekolah atau kolej eksklusif ialah bahasa Inggeris, manakala Tagalog adalah bahasa kedua. Keadaan menjadi sebaliknya di sekolah atau kolej kerajaan. Namun sebagai bahasa ketiga Filipina, bahasa Sepanyol hanya dipelajari di kolej sahaja.

Penutup Perbincangan tersebut dengan jelas telah menggambarkan pengalaman yang hampir sama di kalangan negara-negara jiran terdekat yang ada hubungkaitnya dengan sistem pendidikan British. Setiap satunya memang unik untuk diketengahkan sebagai perancangan pendidikan dwibahasa yang mantap untuk masa depan. Dalam konteks ini, seandainya dasar bahasa yang dilaksanakan dengan meletakkan kedwibahasaan sebagai dasar pokok, maka negara-negara tersebut hendaklah menjelaskan ciri-ciri konteks pembelajaran bahasa kedua (khususnya bahasa Inggeris) dengan perspektif baru, serta dengan situasi kaedah pembelajaran yang baru dengan berkesan. Para perancang metodologi dan kurikulum di negara-negara berkenaan hendaklah memperkenalkan kaedah baru pengajaran bahasa kedua yang mantap. Meskipun daripada ketiga-tiga negara itu Singapura nampaknya lebih mantap, tetapi beberapa kelemahan yang berkaitan dengan penguasaan bahasa ibunda perlu diperbetulkan. Malaysia dan Brunei lebih banyak persamaannya berbanding Singapura. Keadaan ini disebabkan oleh dominasi kaum Melayu yang mempunyai matlamat kebangsaan yang lebih tinggi berbanding kaum lain. Namun bahasa Inggeris di kedua-dua negara tersebut tetap merupakan bahasa kedua (ESL) bukannya bahasa asing (EFL). Pengajian tentang dasar dwibahasa yang melibatkan pembelajaran dan penggunaan bahasa kedua melalui struktur pendidikan formal seperti di sekolah perlu juga mengambil kira sikap dan harapan di kalangan pelajar, ibu bapa dan para guru, selain daripada penguatkuatkuasaan dasar pendidikan tersebut. Tanpa komitmen yang tinggi daripada semua pihak matlamat pelaksanaannya tidak akan tercapai.

BIBLIOGRAFI Abdullah Hassan. 1999. Asimilasi bahasa: Suatu tinjauan terhadap dasar pendidikan bahasa dan penerimaan bahasa Melayu di Malaysia Barat. Dlm. Terj. Abdullah Hassan. Perancangan bahasa di Asia Tenggara. 130-171. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

10 Asiah Abu Samah. 1999. Perancangan dasar pendidikan bahasa di Malaysia: Keprihatinan Terhadap Perpaduan, Realiti dan Kerasionalan. Dlm. Terj. Abdullah Hassan. Perancangan bahasa di Asia Tenggara. 66-82. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Asmah Hj. Omar. 1999. Nasionisme dan Eksoglosia: Kes Bahasa Inggeris Di Malaysia. Dlm. Terj. Abdullah Hassan. Perancangan bahasa di Asia Tenggara. 83- 108. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Gaudart, H (1987) A typology of bilingual education in Malaysia. Journal of Multilingual and Multicultural Development. 8(6). 529-552. Jones, G. M. (1990) How bilingualism is being integrated in Negara Brunei Darussaalam. Dlm. Baldauf, R. B. Jr. & Luke, A. (Pnyt.) Language planning and education in Australasia and the South Pacific. Clevedon: Multilingual Matters Ltd. Kamsiah Abdullah. 1994. Kedwibahasaan, prestasi akademik, dan penguasaan Bahasa Melayu di kalangan penuntut Melayu di Singapura. Dewan Bahasa 38(7): 617-625. Kamsiah Abdullah. 2000. Sikap, penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu di Singapura. Singapura: Angkatan Sasterawan 50. Llamzon, Teodoro A dan Lee, Koh Beng. 1980. Patterns in the Acquisition of bilingual ability and language use in three Southeast Asian Countries. Dlm. Afendras, Evangelos A (Penyt.). Incidence, patterns of use, and motivation. Singapore: Singapore University Press for SEAMEO Reginal Language Centre. Mohd Rasdi bin Saamah. 2003. Kesediaan guru-guru sekolah rendah melaksanakan perubahan pengantar mata pelajaran Sains dan Matematik. Kertas Projek Sarjana Pendidikan. Universiti Kebangsaan Malaysia. Nik Safiah Karim. 1994. Unsur Dwibahasa dalam Masyarakat Malaysia. Pelita Bahasa, Mac: 28 29. Pakir, A. 1994. Making Bilingualism Work: Developments In Bilingual Education In ASEAN. Dlm. Khoo, R, Kreher, U dan Wong (pnyt.). Towards global multilingualism: European Model and Asian realities. 13-26. Adelaide: Multilingual Matters Ltd.

11 Poedjosoedarmo, Gloria R. 1996. Kemampuan dan kebiasaan anak Melayu di Singapura membaca dalam dua bahasa. Dewan Bahasa 40(3): 265-272. Soriano, Liceria B. 1977. Bilingualism In Philippine Education. Dlm. Pascasio, Emy M. (Pnyt.) The Filipino Bilingual. Quezon City: The Ateneo De Manila University Press. Srivastava, A. K. 1990. Multilingualism and school education in India: Special Features, Problems and Prospects. Dlm. Pattanayak, D. P. (Pnyt.) Multilingualism In India. Clevedon, Philadelphia: Mutilingual Matters Ltd.

You might also like