You are on page 1of 4

4.0 Peranan masyarakat dalam konteks hubungan etnik 4.

1 Rukun Tetangga Skim Rukun Tetangga telah diperkenalkan pada tahun 1975 berikutan dengan kuat kuasanya PeraturanPeraturan Perlu (Rukun Tetangga 1975). Pada peringkat awal, Rukun Tetanggga membolehkan rakyat mengawal keselamatan di kawasan kediaman masing-masing. Dengan tumpuan diberi kepada tugas rondaan yang diwajibkan kepada masyarakat setempat yang berumur antara 18 hingga 55 tahun. Mulai 1 Januari 1983 kerajaan telah memperkenalkan satu pembaharuan dengan memberi penekanan pada konsep kejiranan yang bertujuan untuk memupuk serta mengukuhkan lagi semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Berikutan dengan ini, Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1975 telah dipinda bagi tujuan tersebut. Dalam tahun 2000, pendekatan Rukun Tetangga telah dipinda sekali lagi dengan memberi mandat yang lebih luas iaitu pembangunan masyarakat secara menyeluruh ke arah mewujudkan perpaduan nasional. Visi Rukun Tetangga ialah membantu dalam pembentukan satu bangsa Malaysia yang bersatu padu dalam konteks pencapaian Wawasan 2020. Manakala misinya ialah memupuk kesefahaman dan bertolak ansur ke arah pembangunan bangsa Malaysia yang bersatu padu serta beridentiti sendiri dan motonya pula ialah Bersatu Terus Maju. Objektif Rukun Tetangga, iaitu memelihara, meningkat dan mengukuhkan perpaduan rakyat dan integrasi nasional selaras dengan dasar-dasar pembangunan negara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Bagi memastikan matlamat Rukun Tetangga tercapai, beberapa aktiviti dilakukan oleh komuniti Rukun Tetangga yang boleh dikategorikan kepada beberapa bentuk aktiviti seperti berikut: - sosial: amalan kunjung-mengunjung semasa musim perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Hari Gawai, Pesta Keamatan, dan Hari Keluarga. - Pendidikan- pendidikan tidak formal, kolokium jiran wanita, kursus motivasi, kursus kepimpinan, tuisyen, ceramah-ceramah dalam pelbagai bidang. - Sukan- sukan neka, larian, permainan bola sepak, bola baling, bola jaring, sukan air, sukan tradisional, sukan rakyat dan lain-lain. - Rekreasi- tai chi, ekspedisi mendaki bukit, kembara dan mountaineering, khemah kerja dan lain-lain. - Kesihatan dan alam sekitar-ceramah kesihatan berkaitan antidadah, AIDS, kanser, kempen kebersihan, anti nyamuk dan menjaga harta awam. - Kesenian dan kebudayaan- kelas-kelas seni tari, kraf tangan, permainan tradisional, kelas gamelan, kompang, tarian tradisional, tarian singa, pertunjukan pentas dan lain-lain. - Ekonomi- aktiviti tanaman secara hidroponik, ternak ikan air tawar dan membuat air lada

Skim Rukun Tetangga diperkenalkan pada tahun 1975 sebagai satu langkah membolehkan rakyat sendiri mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman mereka. Skim ini kemudiannya diperbaharui dengan menekankan konsep kejiranan dengan falsafah bahawa kesejahteraan kawasan sejiran akan menjamin kesejahteraan negara. Pada masa kini peranan Skim Rukun Tetangga diperluas lagi dengan pendekatan pembangunan komuniti bagi memastikan perpaduan dan keharmonian hubungan dalam masyarakat akan terus berkekalan dan berterusan. Sehingga Mei 2006 sebanyak 3228 kawasan Rukun Tetangga telah ditubuhkan di seluruh negara. Jawatankuasa Rukun Tetangga ini telah menganjurkan pelbagai aktiviti dalam komuniti mereka. Dari bulan Januari hingga Mei 2006, Jawatankuasa Rukun Tetangga di seluruh negara telah melaksanakan sebanyak 36029 aktiviti. Aktiviti ini bertujuan untuk membolehkan penduduk setempat berkenalan, bantu-membantu dalam menghadapi masalah bersama, berinteraksi dan merapatkan hubungan pada peringkat akar umbi antara pemimpin dengan rakyat dan antara rakyat pelbagai keturunan, adat dan budaya (Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional). 4.2 Rumah Terbuka Rumah terbuka akan diadakan oleh setiap rakyat Malaysia apabila tiba musim perayaan. Setiap golongan etnik di Malaysia akan sering kunjung-mengunjungi ke rumah jiran tetangga walaupun berlainan etnik. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, etnik Cina, India, Kadazan, Iban dan pelbagai lagi akan mengunjungi ke rumah orang Melayu dan begitulah sebaliknya bagi etnik lain. Etnik Cina misalnya akan berusaha menyediakan makanan yang halal kepada etnik Melayu apabila menjemput etnik Melayu datang ke rumah sewaktu Tahun Baru Cina. Hal ini menunjukan etnik Cina begitu mengambil berat dan memahami budaya etnik Melayu. Begitu juga dengan etnik Melayu tidak akan menyajikan daging lembu kepada etnik India apabila mereka datang ke rumah semasa Hari Raya Aidilfitri. Pertimbangan ini memperlihatkan keharmonian hubungan etnik sentiasa terjalin kukuh dalam kalangan rakyat dan memahami dan menghormati budaya masing-masing. Amalan ini membuktikan integrasi sosial dalam kalangan masyarakat begitu tinggi walaupun berlainan agama, bangsa dan kebudayaan. 4.3 Penerimaan Budaya Dewasa ini, masyarakat bukan Melayu di Malaysia mula menerima budaya orang Melayu dari segi pakaian dan makanan. Misalnya, orang bukan Melayu segak menggayakan baju kurung dan baju Melayu terutamanya pada hari Jumaat dan fenomena ini sesuatu yang biasa bagi pelajar bukan Melayu. Bagi orang Melayu pula, mereka mula menerima masakan orang Cina dan India serta pemberian duit raya telah menggunakan sampul atau angpau yang terkenal dalam kalangan orang Cina. Dewasa ini juga telah kelihatan di taman-taman perumahan, terdapatnya penempatan yang sama untuk semua etnik yang pastinya keadaan ini akan menggalakkan lagi hubungan etnik dalam kalangan rakyat melalui aktiviti setempat. 4.4 Program di Institusi Pengajian Tinggi (IPT)

Bahagian hal ehwal pelajar melalui persatuan-persatuan dan kelab-kelab hendaklah sentiasa menggalakkan aktiviti dan program yang menjurus kepada perpaduan kaum dalam kalangan mahasiswa. Sebagai contoh, melalui aktiviti Pesta Tanglung, yang bukan sahaja melibatkan mahasiswa Cina dan India, tetapi turut juga disertai oleh mahasiswa Melayu. Menyentuh kepimpinan pelajar, ternyata tidak didominasikan oleh sesuatu kaum sahaja, tetapi turut sama dianggotai oleh pelbagai kaum seperti dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Kandungan kursus di semua institusi pendidikan harus menitikberatkan aspek-aspek pendidikan yang harmonis dalam sesebuah masyarakat pelbagai kaum. Nilai-nilai rohani dan budaya bersama perlu diberikan keutamaan dalam subjek Kenegaraan, Tamadun Islam dan Asia serta Hubungan Etnik. Maka, adalah penting kurikulum yang ada menguatkan peribadi moral dan sahsiah para pelajar. Hal ini kerana keperibadian yang tinggi menjadi asas kepada segala nilai rohani dan budaya yang akan menyatupadukan generasi muda. Saranan diwujudkan kelab perpaduan atau Kelab Rukun Negara di setiap IPT merupakan satu langkah yang amat baik kerana saranan ini merupakan usaha bagi menyemai kesedaran terhadap kepentingan perpaduan kaum. Justeru, bahagian hal ehwal pelajar sewajarnya menggalakkan para mahasiswa menganggotai kelab perpaduan atau Kelab Rukun Negara dengan memberi beberapa keistimewaan seperti pengecualian kredit dan sebagainya. Pihak university juga perlulah memberi sokongan terhadap aktiviti yang dijalankan baik dari segi material mahupun khidmat nasihat. Aktiviti kokurikulum merupakan bidang pembelajaran yang menekankan pemupukan dan perkembangan diri individu melalui psikomotor, kognitif dan efektif. Justeru, aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan seperti program sukan, kelab, persatuan, pameran, ceramah dan pelbagai lagi haruslah dipergiat dan dipertingkat lagi dalam kalangan mahasiswa pelbagai kaum. Di luar sistem akademik, para pelajar harus dilibatkan dalam aktiviti pelbagai kaum seperti keluarga angkat, persatuan dan badan beruniform. Hal ini akan memberi pengalaman yang sangat berharga dalam memahami bagaimana kehidupan rakyat Malaysia. Manakala aktiviti perpaduan dan khidmat masyarakat mempunyai peranan yang penting dalam menggalakan penyertaan dan pengalaman bersama antara kaum. Oleh itu, galakan kepada aktiviti seperti ini perlu diberikan dengan kerjasama rapat pihak kerajaan dan sektor swasta. Para pelajar juga perlu ditugaskan dalam projek-projek perkhidmatan masyarakat seperti operasi khidmat masyarakat, mahasiswa balik kampung dan sebagainya. Para pensyarah juga perlu diterap dan didedahkan dengan sikap perpaduan antara kaum yang positif. Para pensyarah mestilah diberi pendedahan kepada kursus seperti sosiologi perhubungan kaum atau hubungan etnik untuk menerapkan nilai-nilai yang penting dalam kalangan pelajar bagi memupuk keharmonian kaum. Sesungguhnya para pensyarah mempunyai peranan yang besar sebagai agen penyebar perpaduan dan keharmonian dalam negara pelbagai kaum ini. Mereka merupakan agen integrasi dan perpaduan yang memainkan peranan penting dalam menggalakkan lebih banyak interaksi melalui tugasan dan projek akademik.

Read more: http://www.ukessays.com/essays/religion/pendahuluan.php#ixzz2R9cyHQEU

You might also like