You are on page 1of 9

Tajuk: 1Malaysia Membina Negara Bangsa

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya dengan masyarakatnya yang hidup berdampingan dan bercampur gaul antara satu sama lain yang dahulunya terbatas sebelum merdeka. Pada 31 Ogos 2009 ini, rakyat Malaysia akan menyambut kemerdekaan yang ke-52 tahun yang bertemakan 1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan. Tema ini membawa erti yang besar kerana melalui tema ini kerajaan cuba mengukuhkan lagi perpaduan dikalangan rakyat Malaysia ke arah negara bangsa dan memperbaiki sistem penyampaian negara dengan mendahulukan rakyat dan pencapaian diutamakan.

Justeru, apabila membicarakan 1Malaysia ke arah membina negara bangsa, perkara yang perlu dijelaskan dahulu ialah konsep 1Malaysia. 1 Malaysia diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang ke-6. 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Matlamatnya adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran. Namun yang lebih penting 1 Malaysia juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang

mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato Sri Najib Tun Razak iaitu Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.

Untuk memperjelaskan lagi Gagasan 1Malaysia Y.A.B. Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyatakan; Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita Daripada kata-kata beliau itu, ia bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Gagasan 1Malaysia ini menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masingmasing. Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum. Justeru, bangsa Melayu, Cina atau India sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja. Mereka juga diminta tidak hanya membataskan tindakan mereka kepada perkaraperkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama. Gagasan 1Malaysia ini juga memfokus kepada tanggungjawab kepimpinan negara yang akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia. Tanggungjawab tersebut telah dilaksanakan oleh kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Namun, perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing.Tetapi melalui Gagasan 1Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masingmasing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain. Inilah yang dikatakan perbezaan dari segi cara penyampaian dan tindakan.

Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam Gagasan 1Malaysia. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah: 1. Budaya kecemerlangan 2. Ketabahan 3. Rendah hati 4. Penerimaan 5. Kesetiaan 6. Meritokrasi 7. Pendidikan 8. Integriti

Nilai-nilai tersebut seharusnya menjadi amalan rakyat Malaysia bagi menjayakan gagasan 1Malaysia ini. Gagasan ini hanya akan berjaya mencapai matlamatnya sekiranya mendapat kerjasama semua pihak dalam menerima dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Setelah panjang lebar menerangkan tentang konsep atau Gagasan 1Malaysia, seterusnya dijelaskan pula konsep negara bangsa yang ingin diwujudkan di Malaysia. Antara tokoh yang selalu membicarakan dan membahaskan tentang negara bangsa ialah Abdul Rahman Embong. Beliau mentakrifkan negara bangsa dalam konteks Malaysia sebagai; bangsa yang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia yang terbentuk dalam sejarah mempunyai perasaan sebangsa dengan nama kolektif (bangsa Malaysia) yang sama serta berkongsi wilayah, ekonomi, budaya, psikologi dan nasib masa depan bersama dengan rupa bangsa (identiti) yang sepunya. Sebenarnya, persoalan tentang pembinaan negara bangsa ini telah menarik perhatian pelbagai pihak untuk membicarakannya selama beberapa tahun ini khususnya selepas 1990-an. Walaupun sebelum itu, ada perbincangan mengenainya, namun perdebatan yang lebih luas

tercetus selepas mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad mengemukakan isu pembinaan bangsa Malaysia dalam ucapan beliau pada Majlis Perniagaan Malaysia pada 28 Februari 1991. Ucapan beliau itu kemudian dikenali sebagai Wawasan 2020 dengan menegaskan cabaran pertama paling asas dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju mengikut acuan sendiri pada tahun 2020 ialah; membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang diperkongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, terintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompok etniknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, dan membentuk sebuah Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut. Berdasarkan pernyataan di atas, Gagasan 1Malaysia ke arah membina negara bangsa ini bukan satu konsep yang baru tetapi merupakan kesinambungan dan pelengkap terhadap dasar-dasar yang wujud sebelum itu dan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih baik bagi rakyat dan negara Malaysia.

Pelbagai agenda dan dasar telah digubal untuk memperkukuhkan perpaduan di Malaysia, walaupun negara kita sering dijadikan contoh sebagai sebuah negara sedang maju yang berjaya menguruskan hubungan etnik dan agama kerana kestabilan politik dan keamanan sosial, yang membolehkan pembangunan ekonomi berjalan dengan pesat. Namun, di sebalik kejayaan dalam pembangunan ekonomi dan hubungan antara kaum dan agama, terdapat tanda-tanda yang kita masih menghadapi masalah dalam membina persefahaman dan permuafakatan antara kaum dan agama tersebut. Bahkan dalam beberapa segi jurang pemisah antara kaum dan agama mula menjarak dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Justeru ada yang berpendapat bahawa perpaduan yang wujud masih bersifat lahiriah atau kulit-kulitan berasaskan toleransi,

bukannya perpaduan yang mendalam dan hakiki berasaskan prinsip saling menghormati dan menghargai kepelbagaian. Sentimen perkauman yang menebal dan fahaman agama yang sempit sering menjejaskan hubungan penganut pelbagai agama masih wujud dan berterusan walaupun ia sering terpendam contohnya peristiwa Kampung Medan pada Mac 2001 dan peristiwa Moorthy@Muhammad Abdullah (bekas pendaki Gunung Everest) pada Disember 2005. Peristiwa seperti ini mencetuskan ketegangan di peringkat arus bawah serta di kalangan kaum minoriti yang merasa hak mereka tidak terbela malah diketepikan. Perkembangan peristiwa-peristiwa sebegini mengingatkan para pemimpin dan rakyat Malaysia bahawa perpaduan antara kaum dan agama tidak boleh diambil mudah.

Walau bagaimanapun, di sebalik peristiwa-peristiwa tersebut, terdapat perkembangan yang positif. Sekalipun muncul ketegangan ekoran peristiwa tertentu, secara umumnya wujud pandangan dan hasrat untuk berbincang dan mencari penyelesaian secara objektif dan rasional di kalangan para pemimpin dan pelbagai lapisan masyarakat. Akhirnya ketegangan yang muncul dapat dikendurkan. Begitu juga dengan 1Malaysia, satu gagasan yang cuba diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh lapisan masyarakat agar wujudnya perpaduan dalam kepelbagaian, menghargai dan meraikan kepelbagaian.

Gagasan 1Malaysia ke arah membina negara bangsa adalah satu idea yang menarik namun untuk dilaksanakan adalah tidak mustahil tetapi begitu idealistik. Mengapa dikatakan idealistik kerana dari segi teori pelaksanaannya kelihatan mudah namun dari segi praktikalnya ia memerlukan komitmen yang begitu tinggi dari semua peringkat kepimpinan dan semua lapisan masyarakat. Bukan berfikiran negatif, tetapi kita harus mengambilnya sebagai cabaran kepada matlamat gagasan 1Malaysia berdasarkan pengalaman Malaysia membangunkan negara dan bangsa dengan mengukur komitmen segelintir pihak terutamanya agensi pelaksana atau individu pelaksana yang tidak faham dan endah tidak

endah terhadap sebarang dasar atau gagasan negara kearah bangsa Malaysia yang lebih bersatu padu dan maju.

Harus diambil perhatian juga ialah globalisasi. Situasi yang merupakan cabaran hebat pada masa kini untuk merealisasikan 1Malaysia ke arah pembinaan negara bangsa. Beberapa tokoh yang menganggap bahawa negara bangsa itu sudah tidak relevan ialah Kenichi Ohmae dan Francis Fukuyama. Bagi mereka sempadan negara bangsa tidak lagi bererti kerana dengan pengaliran maklumat, jarak yang jauh tidak menjadi halangan bagi merebut pasaran, permintaan boleh tercipta di tempat yang paling jauh asalkan tempat itu terdedah dengan pengaliran maklumat. Dari satu sudut globalisasi dalam batas tertentu telah melemahkan negara bangsa tetapi tidak mungkin dapat menggantikannya. Bagi Paul Kennedy dan Naisbitt pula negara bangsa masih lagi relevan kerana Kesatuan Soviet yang telah runtuh telah menjadi negara-negara kecil mengikut sempadan bangsa yang mendiami wilayah berkenaan, maka tidak bererti bahawa negara bangsa sebagai suatu yang lapuk. Malah sebaliknya proses itu diimbangi oleh pembentukan semula negara bangsa yang menunjukkan bahawa sentimen bangsa mempunyai gerak kuasa politik dan budaya yang cukup kuat dalam menentukan arah dan perkembangan sejarah zaman ini di wilayah bekas blok Soviet. Kenyataan di atas menunjukkan pentingnya pembinaan negara bangsa dan cabaran globalisasi terhadap Gagasan 1Malaysia ke arah membina negara bangsa yang menampakkan kita sebagai peserta yang sama-sama bersaing atau kita sebagai mangsanya.

Cabaran seterusnya ialah struktur politik Malaysia itu sendiri, partiparti politik di Malaysia berlandaskan kaum, manakala parti-parti yang berlandaskan ideologi pun masih tidak dapat melepaskan diri daripada dipengaruhi oleh sifat dan tuntutan kaum. Struktur politik sedemikian dalam batas tertentu boleh menjadi wadah bagi menangani isu kaum tetapi pada masa yang sama menjadi halangan bagi memupuk perpaduan kaum dan

pembinaan negara bangsa. Hal ini kerana struktur politik tersebut menjadikan kepentingan kaum menjadi landasan perjuangan parti dengan demikian ia mendorong ahli parti, pengikut dan anggota masyarakat dan negara berfikir dan bertindak mengikut perspektif kaum bukannya perspektif nasional sebagai bangsa Malaysia.

Selain itu, hubungan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri juga harus diambil perhatian kerana kadang-kadang hubungan menjadi tegang apabila berlaku perubahan politik disesetangah Negeri, di mana parti pemerintahnya mungkin tidak sama dengan Kerajaan Pusat. Apabila hubungan ii tidak diuruskan dengan baik, rasa terpinggir dan semangat kedaerahan akan menular denga lebih luas dan ini mempengaruhi usaha memupuk integrasi nasional dan pembinaan negara bangsa. Justeru hubungan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri haruslah berlandaskan kepentingan nasional dan rakyat dan bukan dipengaruhi oleh kepentingan politik sepihak.

Sesuatu perkara yang baru walaupun ke arah kebaikan memang sukar hendak dilaksanakan dan diterima, namun cara yang tepat untuk menjelaskan dan menanganinya diperlukan bagi membolehkan semua peringkat kepimpinan dan semua lapisan masyarakat memahami apa yang handak disampaikan dan dilaksanakan. Cabaran-cabaran yang dibincangkan di atas harus ditangani dahulu dengan bijak oleh para pemimpin agar tiada lompang dalam pelaksanaan Gagasan 1Malaysia ke arah pembinaan negara bangsa.

Dapat dirumuskan Gagasan 1Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling

mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara. Gagasan ini juga mahukan semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan. Nilai-nilai murni yang cuba diterapkan ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui Gagasan 1Malaysia ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara. Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan. Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menghadapi cabaran dan menjayakan gagasan ini.

Rujukan Abdul Rahman Embong. 2006. Negara-Bangsa: proses dan perbahasan. Bangi: UKM

Atas Talian Populasi Penduduk Malaysia http://www.statistics.gov.my/eng/. Tarikh Akses: 30 Ogos 2009.

You might also like