You are on page 1of 2

LAPORAN GOTONG-ROYONG Aktiviti khidmat masyarakat untuk peserta Bina Insan Guru (BIG) fasa 4 siri 1 pada kali

ini telah dibahagikan kepada beberapa bahagian. Salah satu daripada aktiviti khidmat masyarakat ini ialah gotong-royong. Gotong-royong ini telah dijalankan di surau Baitul Rahman dan balai raya Kampung Kenang, Sungai Siput, Perak. Pada hari kedua berkampung di asrama Sekolah Kebangsaan Kampung Kenang, kami telah diminta untuk berkumpul di padang pada jam 8.00 pagi untuk mendengar taklimat bagi aktiviti khidmat masyarakat. Para peserta khidmat masyarakat telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Ustazah Lily binti Yaakub telah meminta para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk melaksanakan aktiviti gotong-royong di surau dan balai raya serta membancuh simen pada longkang. Selepas mendengar taklimat ringkas daripada pensyarah, para peserta bergerak ke destinasi masing-masing. Setiap kumpulan terdiri dalam lebih kurang lapan orang anggota. Mereka telah membawa beberapa jenis peralatan yang diperlukan untuk gotong-royong seperti penyapu, mop, kain buruk dan lain-lain. Antara pensyarah yang menyelia aktiviti ini ialah Ustaz Amar Sidque dan Ustaz Fauzi Majid. Mereka telah berada bersama-sama para peserta bagi memantau tugasan ini. Antara perkara yang perlu para peserta lakukan di balai raya ialah mengelap kerusi dan meja, menyusun kerusi, menyapu sampah dan menebas semak. Pensyarah yang menyelia di kawasan ini ialah Ustaz Amar Sidque. Mereka telah bekerjasama menggembleng tenaga membanting tulang empat kerat dan menyumbang tenaga untuk membersihkan kawasan balai raya ini. Semua peserta telah melakukan tugasan ini dengan gembira. Peserta lelaki BIG telah menyusun kerusi dan meja di balai raya tersebut kerana pada keesokan harinya akan diadakan slot Gaya Hidup Sihat daripada peserta BIG. Slot ini dibuat khas untuk masyarakat orang asli di Kampung Kenang. Seterusnya aktiviti gotong-royong di surau Baitul Rahman. Pensyarah yang terlibat di kawasan ini ialah Ustaz Fauzi Majid. Para peserta dikehendaki mencuci longkang dan tempat wuduk. Tugasan ini telah dilakukan oleh peserta lelaki. Selain itu, kawasan dalam surau juga telah dibersihkan oleh peserta perempuan. Pensyarah juga telah meminta peserta untuk menebas semak di sekitar kawasan surau tersebut. Tambahan lagi, terdapat beberapa orang peserta lelaki yang telah ditugaskan untuk membuat khat di dinding surau itu.

Alhamdulillah, kedua-dua aktiviti ini telah berjaya dilaksanakan hasil usaha dan kerjasama semua pihak. Kesimpulannya, aktiviti seperti ini melatih para peserta untuk mengikhlaskan diri membuat kerja-kerja secara sukarela tanpa sebarang imbuhan. Di samping itu, nilai-nilai seperti kerjasama dan tolong-menolong antara satu sama lain juga dapat dipupuk dalam diri masing-masing.

Peserta Menyusun Kerusi

Peserta Menyusun Meja

Peserta Mengelap Meja

Peserta Membuat Khat

Peserta Membersihkan Longkang

Peserta Membersihkan Tempat Wuduk

You might also like