You are on page 1of 3

Stailo: Variasi kemeja lelaki

Oleh Shamshul Azree Samshir


sazree@bharian.com.my
2010/05/22
Kenali jenis baju dan tip penggayaan

BERBANDING wanita, sesetengah lelaki mungkin tidak ambil pusing soal berpakaian. Asalkan tampak kemas dan
diterima, apa saja boleh digayakan. Namun, sesuai dengan perubahan gaya hidup dan cita rasa masyarakat, lelaki yang
selama ini tidak mengambil berat soal berpakaian, nampaknya perlu berubah sikap.
Sebagai panduan permulaan dalam bergaya, kolum XY-Stailo berkongsi jenis pakaian di bawah kategori kemeja yang
boleh dianggap persalinan wajib lelaki. Bagi yang tidak tahu, kemeja sebenarnya mempunyai pelbagai jenis dengan etika
atau styling berbeza ketika menggayakannya.
Ketika memilih kemeja, elok terlebih dulu kenal pasti tujuan atau ke mana ia hendak digayakan. Jika kemeja yang hendak
dipakai sebagai persalinan formal atau pejabat, sudah pasti kemeja lengan panjang polos atau berbelang; dengan warna
asas yang tidak terlalu menyerlah serta diperbuat daripada kain bermutu tinggi yang tahan lasak menjadi pilihan.

Pelbagai faktor selain keselesaan diri dan jenis pekerjaan boleh menjadi faktor penentu dalam memilih kemeja ke
pejabat. Jika anda berada dalam kumpulan profesional, kemeja putih atau warna asas lain lebih sesuai digayakan
berbanding kemeja berbelang yang mungkin lebih bersifat santai hingga tidak sesuai digayakan ke pejabat.

Jika anda berkecimpung dalam dunia kreatif pula, kemeja yang tidak terlalu boring atau formal cukup sesuai digayakan ke
pejabat atau bertemu pelanggan.

Hati-hati ketika memilih kemeja lengan pendek kerana ia tidak sesuai dipakai ketika menghadiri majlis rasmi seperti acara
menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) syarikat; temu janji bersama pengurusan kanan atau lembaga pengarah
dan majlis rasmi lain yang dianjurkan syarikat. Perlu diingat, pemakaian blazer atau suit cukup digalakkan ketika
menghadiri majlis rasmi bagi menggambarkan tahap profesionalisme anda.
Berikut disenaraikan beberapa jenis kemeja mengikut istilah dalam manual fesyen antarabangsa untuk panduan anda.
Dress Shirt

Berbanding jenis kemeja lain, dress shirt dianggap kemeja paling mahal dalam koleksi lelaki. Ciri-ciri asas dress shirt
sudah pasti kemeja berlengan panjang serta sering dirujuk sebagai button-down collar dress shirt atau kemeja berkolar
dengan butang penuh di depan.

Dress shirt mempunyai pelbagai variasi, warna dan potongan serta berfungsi sebagai persalinan formal atau ke pejabat.
Dress shirt selalunya digandingkan dengan tali leher bersama warna sepadan atau digayakan bersama blazer, suit atau
sports jacket.

Pemakaian dress shirt yang bersuaian akan menyerlahkan ciri profesionalisme anda sewaktu bertugas atau menghadiri
majlis rasmi.

Sports Shirt

Sports shirt didatangkan dalam dua versi iaitu lengan panjang dan pendek. Sama seperti kemeja dari kategori dress shirt,
kemeja sukan bagaimanapun lebih longgar.

Sports shirt boleh dipadankan dengan seluar denim dan stail kemeja ini boleh dilihat dalam pakaian seragam ketenteraan
dan golongan pekerja kolar biru. Sports shirt sejak akhir-akhir ini makin popular apabila kod berpakaian kasual sektor
korporat mula diperkenalkan.

Sports shirt diperbuat dari pelbagai jenis kain seperti kapas atau polyester. Namun sebagai peringatan, sports shirt tidak
layak diberi layanan sama seperti dress shirt yang lebih formal.

Kemeja Polo atau Kemeja Golf

Kemeja Polo atau kemeja golf melengkapi ciri-ciri pakaian kasual lelaki namun dalam keadaan tertentu, ia boleh dianggap
lebih bergaya daripada kemeja lengan pendek yang digayakan lelaki.

Kemeja Polo atau golf dipopularkan pemain polo dan golf di Eropah dan Amerika Syarikat (AS). Lazimnya, kemeja Polo
memiliki kolar dan dilengkapi tiga hingga empat butang di bahagian depan.

Team Jersey

Jersi pasukan ini dipopularkan kumpulan sukan. Selalunya, jersi dilengkapi nama dan logo pasukan sukan dengan
nombor pemain pilihan. Jersi makin popular sebagai persalinan menyaksikan acara sukan atau acara kasual lain.

Selalunya, jersi memiliki bahagian leher potongan krew atau potongan v.

Kemeja T

Tidak perlu dipertikai, kemeja T adalah pilihan No 1 lelaki! Mengikut sejarah awal, kemeja T sebenarnya dicipta sebagai
pakaian dalam lelaki untuk dipadankan dengan seluar dalam.

Namun, evolusi gaya mengubah status kemeja T yang kini boleh ditemui dalam pelbagai jenis bentuk, gaya dan corak.
Kemeja bersifat fleksibel, selesa dan ringan apabila dipakai. Namun, pemakaiannya sudah pasti terhad kepada acara
santai atau pakaian hujung minggu.

Tuksedo

Kemeja tuksedo adalah pakaian rasmi yang dipakai bersama jeket tuksedo. Kemeja tuksedo bukanlah persalinan yang
sering digayakan, sebaliknya hanya disarung ketika menghadiri majlis formal seperti perkahwinan atau menonton opera.

Kemeja tuksedo berlengan panjang dan memiliki butang penuh serta berwarna putih. Ia dihasilkan dengan corak plate di
hadapan dan kolar kecil yang digayakan bersama bow tie.

You might also like