You are on page 1of 14

Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut.

25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM.



1

PENAFSIRAN FALSAFAH IBU DALAM AWAN LARAT :
WARISAN ESTETIKA SENI UKIRAN MELAYU

Prof. Madya Dr. Mohd Sabrizaa B Abd Rashid
Jabatan Senibina Dalaman
Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur
UiTM Perak
mohds637@perak.uitm.edu.my

ABSTRAK
Seni merupakan manifestasi kepada pandangan sarwajagat sesuatu bangsa. Seni bukan
sahaja bertindak sebagai wahana untuk penerokaan minda dan ekspresi diri tetapi turut bertindak
sebagai cerminan kepada pengalaman, reaksi dan karektor terhadap pemikiran, kebudayaan dan
ketamadunan. Dalam kesenian Melayu, seni ukiran merupakan warisan budaya yang telah lama
bertapak dalam sejarah tamadun Melayu. Gaya Awan Larat adalah di antara penghasilan karya
yang mendominasi seni ukiran Melayu yang mempunyai nilai estetik dan esoterik yang tinggi.
Kertas kerja ini berhasrat untuk meneroka dan membincangkan falsafah ibu yang menjadi
prinsip utama gaya Awan Larat dalam seni ukiran Melayu. Kajian adalah melalui penganalisaan
dan pemerhatian yang dibuat ke atas beberapa artifak dan temu bual dengan beberapa pengukir.
Perbincangan dalam kajian ini mendapati bahawa disebalik kecantikan dan kehalusannya, Awan
Larat mempunyai nilai estetik dan falsafah yang unik dan tersendiri.

Katakunci : Awan Larat, seni ukiran Melayu, estetik

Pendahuluan : Sejarah dan Latar Belakang Seni Ukiran Melayu
Seni ukiran merupakan salah satu daripada tradisi kraftangan yang telah lama bertapak
dalam sejarah ketamadunan Melayu. Selain batu dan bahan logam, kewujudannya paling ketara
dapat dilihat pada ragam hias peralatan dan perkakas rumah, perahu, alat persenjataan dan
elemen-elemen kesenibinaan yang diperbuat daripada kayu. Menurut Halim Nasir (1987:9) seni
ukir di Semenanjung Malaysia boleh ditelusuri semenjak zaman Batu Megalithik dengan
penemuan motif-motif pada batu dalam bentuk ular atau naga dan rusa, sehingga kepada
penemuan motif dan kaligrafi pada batu-batu nesan yang menandakan zaman kedatangan Islam
ke rantau sebelah sini. Manakala penemuan motif-motif pada meriam, keris, lembing dan cap
mohor kerajaan lama menandakan sekil atau kepandaian Melayu purba dalam menggunakan
logam ketika zaman logam sehingga kepada era kedatangan Islam. Dalam konteks seni ukiran
kayu, penemuan yang meluas pada rumah kediaman, istana, masjid, rumah wakaf, gerbang dan
juga pada senjata, peralatan pertukangan, perabut, perkakas rumah serta perahu.
Dari sudut sejarah kegiatan seni ukir terkenal di kawasan Pantai Timur Semenanjung
Malaysia di negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Patani di Selatan Thai. Namun
terdapat juga rumah-rumah tradisional di negeri-negeri Perak, Kedah dan Negeri Sembilan yang
dihias dengan ukiran. (Zulkifli Hanafi, 2000:2). Secara amnya terdapat persamaan atau pengaruh
setempat dengan kawasan sekitarannya ; umpamanya ukiran seni bina rumah tradisional Melayu
Kelantan dan Terengganu dengan Selatan Thai sementara Negeri Sembilan dengan
Minangkabau.(Halim Nasir, 1987:66).
Keunikan dan kehalusan hasilan karya seni ukiran Melayu membuktikan ketinggian nilai
estetiknya. Namun begitu faktor modenisasi, faktor cuaca dan faktor masa menjadi ancaman
terhadap penerusan hayat dan pelestariannya. Faktor-faktor tersebut menjadi antara penyebab
kepada semakin terhakisnya kepedulian, penghayatan dan apresiasi terhadap keunikan karya
kesenian tradisi ini.

Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut.
25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM.

2

Gaya Awan Larat dalam Seni Ukiran Melayu
Keunikan seni ukiran Melayu dapat dihayati melalui gaya, pola dan motif-motif yang
terdiri daripada pelbagai bentuk dan variasi. Kajian terhadap gaya dalam seni ukiran tradisi
Melayu boleh dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu Awan Larat, geometrikal, kaligrafi dan
campuran /kombinasi. Gaya Awan Larat Melayu dipercayai berasal dari pengamatan seniman
Melayu yang mendalam terhadap alam. Dalam hal ini tompok-tompok awan yang bergerak
menghasilkan pelbagai bentuk dan corak yang menarik menjadi sumber inspirasi kepada pengukir
Melayu. Gaya ragam hias ini turut terdapat pada batik, songket dan seni logam. (S.A.Jamal
(2007:12), Nik Hassan Shuhaimi (2000 :299),
Sejajar dengan pandangan pengukir Norhaiza yang merasakan bahawa jiwa pengukir
amat rapat dengan alam. Beliau menyatakan bahawa keadaan ini dapat dirasakan terutamanya
ketika menjalankan kerja-kerja ukiran. Kekuatan ransangan yang terdapat pada kelima-lima daya
inderawinya menjadikannya begitu peka sehingga dapat menjiwai fenomena alam di
sekelilingnya. Keadaan inilah yang menjadikan setiap pengukir yang baik mampu untuk melihat
fenomena alam serta menterjemahkannya melalui matahati atau intuitif. Menurut beliau
matahati diperlukan untuk melihat, menterjemah dan mentafsir sesebuah karya. Mata biasa
mungkin dapat melihat sesuatu yang terhampar di hadapan manakala matahati mampu melihat
jauh lebih dalam dan bertindak bersama-sama daya inderawi yang lain untuk menghasilkan
kefahaman yang lebih jauh dan luas pada ufuk minda.
Halim Nasir (1986:137) mendefinisikan Awan Larat sebagai satu bentuk ukiran yang
berlingkar-lingkar, berpiuh-piuh, meleret-leret seperti awan putih berarak. Biasanya ukiran ini
digabungkan dengan pola lengkap.
Pengukir Wan Mustapha Wan Su mentakrifkan awan larat sebagai sejenis reka corak
yang mempunyai peraturan yang khusus. Boleh dilukis (diawan laratkan) dalam pelbagai bentuk.
Contoh elemen-elemen yang boleh diawan laratkan ialah ; ombak, asap, awan, janggut manusia,
kening, bulu mata, ekor ikan, jenis jenis ekor ayam / burung, balung ayam / burung dan
tumbuhan. Beliau menggariskan beberapa peraturan awan larat seperti berikut :
i. Bentuk elemen-elemen (bunga, daun, batang dan sebagainya) yang diukir mestilah
dalam bentuk yang indah dan lembut sehinggakan kelembutan dan keindahan itu
mustahil jika dibandingkan dengan elemen tersebut di alam nyata.
ii. Susunatur elemen-elemen yang diukir mesti dalam bentuk indah dan lembut.
iii. Mesti menepati kehendak falsafah-falsafah yang dinyatakan.
Dalam buku Serian Ukiran yang diterbitkan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
menyatakan tentang dua bentuk awan larat iaitu :
i.Awan Larat Melayu Asli
dikenali juga sebagai Awan Larat Jawi yang mempunyai bunga yang besar dan jarang.
Coraknya bermula dari satu tempat dan melarat memenuhi ruangnya.Batangnya
berlingkar lembut dan daunnya berlipat lunak.
ii.Awan Larat Jawa
Daun dan bunga lebih kecil dan rapat. Terdapat banyak bunga dan daun yang bertindih
antara satu sama lain sehingga tidak banyak batang yang kelihatan. Bentuk daun lebih
lurus dan jarang berlipat.
Menurut pengukir Wan Mustapha Wan Su motif awan larat Melayu terdiri dari bunga yang besar
dan jarang-jarang, dan motif itu bermula dari satu titik dan kemudian melarat sehingga memenuhi
ruang-ruang kosong. Titik permulaan ini dipanggil punca dan terus tumbuh secara perlahan dan
berliku-liku dalam keadaan terkawal dan seimbang tanpa mempunyai unsur-unsur yang
berlebihan. Bentuk-bentuk pepohon dan tumbuhan yang bersifat lembah lembut menjalar seperti
sulur kacang, bunga ketumbit, daun petola, daun kiambang menjadi bahan pilihan sebagai sumber
inspirasi pengukir-pengukir Melayu. Di Indonesia, awan larat dipanggil motif jalinan tali.
Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut.
25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM.

3

Hiasan seperti ini terdapat pada tiang-tiang dinding pembatas ruang jogo satru dan gedongan
serta tiang-tiang pada sentong utama.
Falsafah Ibu Dalam Awan Larat Melayu

Tumbuh hendaklah berpunca,
punca itu rahsia,
tajam tidak menerjah lawan,
lilit tidak memeluk lawan,
tetapi berlegar mesra.









































Kata-kata pengukir Wan Musa b Wan Yusuff,
Jertih, Terengganu
dipetik dari Abdullah b Mohamed (1990).

Gambar 1
Elemen-elemen Dalam Ukiran
Daun terlipat
Kudup
Bunga Punca
Bunga
Kembang
Daun Sendal
Daun Pengasuh
Batang utama
Sulur
Punca yang
tumbuh dari satu
benih disebut
Kepala Kala
oleh Wan Po
Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut.
25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM.

4



Kesemua pengukir yang ditemubual menyatakan bahawa elemen-elemen berikut terdapat dalam
ukiran Melayu iaitu :
i. Benih (punca atau ibu)
ii. batang
iii. ranting
iv. sulur
v. pucuk
vi. daun
vii. bunga
viii. buah
Pengukir Norhaiza menyatakan bahawa elemen-elemen tersebut adalah sebagaimana
elemen melodi dalam muzik iaitu Do Re Mi Fa So La Ti Do. Penggunaan elemen-elemen inilah
yang menghasilkan rentak dan mencorakkan sesebuah ukiran. Selain itu beliau menamakan
beberapa elemen yang turut dijadikan asas iaitu :
i.Rangka (Frame) ukiran mencerminkan sempadan
Ibarat sebuah undang-undang atau garis panduan dalam kehidupan
manusia.
ii.Batang utama atau corak mencerminkan prinsip
Bebas untuk bergerak tetapi tidak boleh keluar dari garis sempadan yang
ditetapkan oleh agama dan budaya.
iii.Motif gubahan bunga mencerminkan sifat
Perlu kemahiran dan ilmu yang sempurna atau susunan sifat yang rapi
seperti pergaulan dalam masyarakat, disiplin diri, tuturkata yang sopan,
perwatakan yang menarik dan lain-lain.
iv.Silat Gaya olahan motif pada ukiran yang sempurna melahirkan
keindahan dan mencerminkan kemantapan diri seseorang pengukir.

Salah satu prinsip yang ketara dalam ukiran Melayu ialah setiap ukiran atau bunganya
akan bermula daripada satu tempat atau sumber yang dipanggil punca yang berupa benih atau
ibu kepada keseluruhan komposisi ukiran tersebut . Bentuk ukiran Melayu mementingkan sifat
gerak yang bermula dari suatu punca dan tumbuh perlahan-lahan keluar daripada punca tersebut.
Dalam erti kata lain setiap ukiran Melayu bermula dari satu titik yang dipanggil ibu atau
punca.
Berdasarkan kajian didapati bahawa terdapat sekurang-kurang lapan jenis-jenis punca
atau ibu dalam ukiran daripada tiga kategori :
Tiga Kategori punca atau ibu atau benih yang dikenalpasti ialah :
1. Punca yang kelihatan
iaitu punca dari 1 benih dan punca dari 2 benih
2. Punca yang tersorok
iaitu punca dari pasu, bunga dan tapak separa bulatan.
3. Punca rahsia
iaitu punca rahsia, sulur tak berpunca dan gelang punca.

1. Punca yang kelihatan.
Kesemua elemen-elemen ukiran lazimnya bermula dengan sulur akan keluar daripada
benih yang berbentuk bulat dan bergulung dan jelas kelihatan. Motif ini dipanggil kepala kala
oleh pengukir Wan Po. Dua jenis punca yang kelihatan adalah:
i. Ibu dari 1 benih
Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut.
25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM.

5

ii. Ibu dari 2 benih


i. Contoh Ibu dari satu benih.






















ii. Contoh Ibu dari dua benih






















Gambar 3
Ukiran Kepala Pintu
Rumah Wan Esah, Kampung
Laut, Kelantan.
sumber: kajian lapangan
Gambar 2
Ukiran Kepala Pintu
Rumah Wan Esah, Kampung
Laut, Kelantan.
sumber: kajian lapangan
Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut.
25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM.

6




2. Punca yang tersorok

Jenis kedua adalah jenis punca tersorok iaitu punca atau benih tidak kelihatan. Sulur dan
bunga akan keluar daripada tiga elemen iaitu pasu atau bunga yang sedang mekar atau daripada
tapak yang berbentuk separuh bulatan. Dalam kategori ini seluruh elemen ukiran iaitu akan keluar
daripada tiga objek atau elemen iaitu :
a.. pasu
b. bunga yang mekar
c. tapak berbentuk separa bulatan.

iii. Contoh Punca dari Pasu




















iv. Contoh Punca dari Bunga















Gambar 4
Ukiran Kepala Pintu
Rumah Wan Esah, Kampung Laut, Kelantan.
sumber: kajian lapangan
Gambar 5
Ukiran Kepala Pintu
Surau Langgar, Kelantan.
sumber: Spirit of Wood
Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut.
25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM.

7




v. Contoh Punca dari tapak separa bulatan














3. Punca Rahsia
Selain jenis-jenis ukiran awan larat yang mempunyai punca atau ibu atau benih,
terdapat juga jenis ukiran yang tiada berpunca yang dinamakan sebagai punca rahsia. Tambah
menarik ialah reka corak yang terhasil tiada mempunyai titik punca dan tiada mempunyai titik
akhir. Kebanyakan ukiran jenis ini akan menggunakan ukiran berdasarkan geometri berbanding
awan larat. Ini adalah kerana kebanyakan reka corak yang dihasilkan bersifat simetrikal samada
secara horizontal atau vertikal. Kadangkala reka corak yang terhasil dipanggil bunga pecah dua,
bunga pecah tiga, bunga pecah empat, bunga pecah enam dan sebagainya. Reka corak jenis
punca rahsia menyerlahkan daya kreativiti pengukir yang tinggi dalam menghasilkan ukiran
disamping menimbulkan suasana penuh kerahsiaan dalam ukiran tersebut. Ianya dikaitkan dengan
fenomena alam yang kita nampak secara fizikalnya tetapi tidak diketahui dari mana asalnya.
Dalam kesenian Islam reka corak seperti ini dinamakan arabesque. Ianya dikaitkan dengan zikir
dan sifat Allah yang telah sedia wujud tiada permulaan dan tiada akhiran yang digambarkan
melalui sifat reka corak yang infiniti.
Dalam tamadun lain di dunia turut didapati penggunaan motif yang menyerupai motif
punca rahsia dalam ukiran Melayu. Di India ia merupakan simbol pertahanan. Melalui kitab
Veda mereka percaya bahawa kesemua yang wujud dalam alam ini sepertimana manusia terikat
oleh dewa-dewi penyakit dan kematian iaitu Varuna, Yama dan Nirrti dan hanya boleh di
bebaskan oleh dewa-dewi pertahanan.
Berlainan dengan Buddhisme, ikatan tanpa punca ini adalah salah satu dari lapan simbol
panjang umur dan kegembiraan dalam ikonografi mereka.
1
Ianya juga sebagai simbol cinta dan
ketaatan. Sementara di Mesir purba ikatan tanpa punca adalah simbol kehidupan yang berkekalan
dan abadi.
Punca Rahsia terbahagi kepada tiga jenis iaitu
i. Pangkal dan hujungnya yang tiada berpunca dan berakhir (seperti motif nombor
lapan).

1
Lihat contoh motif yang terdapat pada permukaan sebelah timur kuil Lokesvara, India yang menggunakan
teknik ikatan yang dipanggil punca rahsia dalam ukiran Melayu.

Gambar 6
Ukiran Kepala Pintu
Rumah Puan Samihah,
Kota Bharu, Kelantan.
.
sumber: kajian lapangan
Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut.
25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM.

8

ii. Pangkalnya tiada berpunca tetapi hujungnya diakhiri dengan elemen-elemen ukiran
seperti kudup atau bunga atau daun. (sulur tak berpunca)
iii. Pangkalnya tiada berpunca dan hujungnya pula diakhiri dengan elemen-elemen ukiran
seperti kudup, daun atau bunga. Sebahagian sulur akan digunakan motif seperti gelang
menandakan bahagian tengah. (gelang punca)

vi. Contoh Punca rahsia.




















vii. Contoh Sulur tak berpunca
Berbeza dengan reka corak punca rahsia di mana tiada titik punca dan tiada titik akhir; reka
corak sulur tak berpunca lazimnya menggunakan sulur yang menjalar memenuhi ruang namun
tidak ditemui puncanya. Akhiran kepada reka corak ini biasanya adalah daun pucuk.
Sepertimana reka corak-reka corak lain dalam seni ukiran Melayu di mana ianya menyerlahkan
daya kreativiti yang tinggi daripada pengukir disamping membawa perlambangan bahawa
fenomena alam yang penuh dengan rahsia dan makna disebalik sesuatu yang nampak secara
fizikal.













Gambar 7
Contoh ukiran yang menggunakan motif punca rahsia. Ukiran motif geometri pada kekisi lubang angin
yang terdapat pada Masjid Wadi Hussin, Telok Manok, Patani. (kiri) Ukiran awan larat hasil pengukir
Norhaiza yang terdapat pada kediamannya di Kampung Raja, Besut, Terengganu.
Sumber: Spirit of The Wood.


Gambar 8
Ukiran Kepala Pintu
Istana Tengku Long, Besut ,
Terengganu.
sumber : kajian lapangan
Gambar 9
Ukiran Kepala Pintu
Istana Tengku Long, Besut ,
Terengganu.
sumber : kajian lapangan
Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut.
25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM.

9






viii. Contoh Gelang Punca






















Perbincangan
Kelapan-lapan jenis ibu atau punca yang telah diperbincangkan di atas merupakan
jenis-jenis yang sering dijumpai atau terdapat pada ukiran-ukiran Melayu terutamanya daripada
gaya awan larat. Punca atau ibu atau benih merupakan salah satu identiti utama dalam seni
ukiran Melayu dan kesenian Melayu yang lain. Pelbagai tafsiran dan makna telah diberikan oleh
beberapa penulis dan pengukir berkenaan kewujudan punca dalam sesebuah ukiran.
Di antara pendapat yang paling menarik adalah daripada pengukir Wan Mustafa yang
menamakan punca tersebut sebagai kepala Kala.
2
Beliau mengaitkannya dengan permulaan
masa dan menganggapnya sebagai mempunyai falsafah ketuhanan. Setiap kejadian di alam ini
mesti ada permulaannya kecuali Allah swt yang tiada sifat permulaan. Lantaran itu falsafah ini
dimanifestasikan dalam seni ukiran Melayu melalui bentuk tombol bulat (kadangkala tersorok)
yang dipanggil sebagai kepala Kala . Dari sudut bahasa perkataan kala berasal dari perkataan
Sanskrit yang membawa maksud masa, waktu atau ketika. Manakala dari sudut kesenian lama,
Kala adalah dewa Hindu yang menderhaka yang diperintah oleh Siva untuk memakan dirinya
sendiri sebagai hukuman. Kala menjadi sebahagian ikonografi di Asia Tenggara terutamanya di
Indonesia dan sering muncul menjadi hiasan di kepala pintu candi-candi lama.

2
perbincangan tentang Kepala Kala dalam catatan temu bual dengan Wan Mustafa di Balai Seni Mustafa
WanSu, Besut , Terengganu.
Gambar 10
Kedua-dua ukiran daripada kepala tingkap Istana Tengku Long, Terengganu menunjukkan penggunaan
gelang punca
sumber :kajian lapangan
Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut.
25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM.

10

Rosnawati
3
berpendapat semua jenis ukiran bermula dari punca . Dari punca inilah
gubahan fikiran keluar dalam bentuk lingkaran hingga memenuhi ruang yang hendak diukir.
Punca adalah benih ibarat semua yang bernyawa bermula dengan benih baik manusia, tumbuhan
atau haiwan. Rosnawati mengaitkan ukiran pada panel ibarat gunungan atau pohon budi atau
pohon hayat dalam wayang kulit. (tree of life?). Ianya melambangkan kewujudan pencipta alam
ini yang Maha Kuasa dan Maha Agong.
Pengukir Norhaiza berpendapat bunga sebagai punca ditengah kerana pengukir ingin
menjadikannya sebagai titik fokus sesebuah karya. Juga melambangkan kemeriahan, nampak
segar, tidak layu (kuncup) dan harmoni dalam karyawan.
Abdullah Mohamed (1990:13-20) memberikan pandangan yang lebih mendalam tentang
punca atau ibu dalam ukiran Melayu. Beliau menyatakan bahawa alam adalah tajalli atau
manifestasi daripada sifat-sifat ilmu Allah. Melalui sifat ilmu Allah tersebut terjadi berbagai-
bagai organisme baik flora atau fauna dengan segala macam keajaiban dan keindahan rupanya.
Sebagai contoh adalah tentang kejadian pelbagai jenis bungaan dengan aneka warna, bentuk dan
bauan adalah lahir dari satu sumber iaitu ilmu Allah yang Maha Kaya. Daripada ilmu Allah yang
wujud dari zatNya yang esa dan penuh rahsia tersebut maka lahirlah pelbagai perkara yang
dipanggil sebagai alam. Keindahan yang lahir daripada hubungan zat Allah dan kewujudan alam
digambarkan dalam seni ukir dan kesenian Melayu yang lain. Segala kewujudan dan keindahan
adalah rahsia atau sirr yang hanya boleh dilihat dengan pandangan akal dan kalbu. Dari rahsia
ini muncul alam yang indah sesuai dengan sifat Allah yang indah (Jamal) dan yang hebat
(Jalal). Maka rahsia atau sirr atau zat yang disifatkan sebagai tumbuhnya punca sesuatu
motif dalam ukiran itu adalah maujud dalam permulaan yang disebut sebagai benih atau
punca.
Punca dikaitkan dengan permulaan kehidupan dan digambarkan oleh benih sama ada
ianya kelihatan atau tersorok membawa makna bahawa setiap yang wujud di alam ini mempunyai
dua entiti iaitu alam fizik dan alam metafizik. Tersorok dan tidak kelihatan juga membawa
lambang kerahsiaan. Fenomena penuh kerahsiaan dalam alam permulaan inilah ingin
disampaikan melalui konsep punca ini. Lantaran itu penggunaan elemen bunga juga digunakan
dalam menceritakan proses permulaan ini. Elemen bunga yang sedang mekar berkembang
menjadi lambang ibu dalam fenonema permulaan kehidupan ini. Stailisasi bunga punca atau
ibu bunga juga sering berbentuk saperti rahim lantas disebut rahim bunga dalam beberapa
penerangan tentang ukiran. Bunga punca yang sedang berkembang mekar ditengah-tengah ukiran
juga menjadi lambang keagungan dan kebesaran Tuhan dalam memberi nyawa dan kehidupan
pada makhluk-makhlukNya.









Dalam kebanyakan ukiran terutamanya dalam pola lengkap terdapat elemen-elemen ukiran iaitu:
i. Ibu / Benih / Punca
ii. Batang
iii. Sulur
iv. Kudup

3
Puan Rosnawati dari Kandis Resource Center, Kelantan adalah seorang pensyarah seni, arkitek dan balu
pada pengukir Allayarham Nik Rashiddin.
Gambar 11
Ibu atau punca ukiran awan larat berbentuk rahim sebagai simbol kepada kehidupan dan kesuburan.
Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut.
25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM.

11

v. Bunga
vi. Daun
vii. Buah






Tumbuhan dan bungaan merupakan elemen-elemen alam semulajadi yang amat rapat
dengan jiwa dan kehidupan orang Melayu. Jika diperhatikan kesemua elemen-elemen tersebut
merupakan elemen-elemen yang terdapat pada sebatang pohon. Kesemua elemen-elemen ini pula
turut menjadi sebahagian daripada punca untuk tumbuh menjadi sebatang pohon yang lain.
Dalam sistem pertanian terdapat pokok-pokok yang boleh ditanam daripada benih, daripada
batang, daripada sulur, daripada kudup, daripada bunga, daripada daun dan daripada buah. Secara
tidak langsung kesemua elemen-elemen tersebut yang dijadikan elemen-elemen ukiran adalah
merupakan elemen punca untuk pokok yang lain. Ianya boleh dijadikan tunas kepada pokok
baru dan memulakan kehidupan yang baru dan mengeluarkan pula elemen-elemen yang telah
disebutkan. Maka falsafah yang terdapat disebalik sesebuah ukiran sebenarnya antara lain adalah
tentang kehidupan.
Kudup dan buah adalah lambang kehidupan yang masih muda dan perlukan ilmu dan
pengalaman untuk terus hidup. Sulur dan batang adalah lambang perjalanan hidup yang penuh
berliku dengan rintangan dan halangan. Daun sebagai akal yang menyerap ilmu sebagai makanan
rohaniah dan jasmaniah. Bunga yang separa kembang sebagai dugaan terhadap nikmat yang
diberikan berupa harta dan kecantikan agar tetap insaf dan bersyukur agar ianya tidak layu.
Bunga sedang mekar berkembang adalah lambang kesyukuran dan kehebatan Allah swt yang
telah mencurahkan nikmat dan memberi keredhaan kepada kita yang merupakan tujuan asal
dalam kehidupan. Penggunaan motif-motif bunga Ketumbit, bunga Tanjung, bunga Cempaka,
Ketamguri, Bayam Peraksi sering ditemui pada ukiran-ukiran gaya awan larat dari Pantai Timur.
Sebagai ibu atau punca motif bunga-bunga ini lazimnya terletak di bahagian tengah komposisi
ukiran dalam kedudukan pandangan atas (pelan) atau pandangan sisi.















Konsep punca apabila dilhat dari aspek kesenian dan kebudayaan Melayu yang lain
mempunyai pertautan dan persamaan. Dalam erti kata yang lain hampir setiap konsep dan amalan
kesenian dan kebudayaan Melayu bermula dengan sesuatu yang dipanggil punca atau ibu
sepertimana dalam ukiran.
Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut.
25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM.

12

Dalam kesenian batik; konsep punca diterjemahkan dalam penggunaan motif ubi.
Motif ubi menjadi lambang permulaan atau punca kepada kehidupan. Struktur kepala kain pada
kain sarung juga melambangkan ketua atau punca. Struktur kepala kain kemudiannya membawa
kepada beberapa bahagian lain saperti tali air, sulur, pengapit kiri, pengapit kanan serta pucuk
rebung yang mana setiap satunya membawa perlambangan tentang kehidupan. (Najib Dawa,
1995)
Konsep punca agak bersamaan dengan konsep sembah dalam seni tarian dan seni
persilatan Melayu. Menurut Mohd. Ghouse (1994) manusia awal yang mengamalkan animisme
menggunakan tarian sebagai alat berkomunikasi di antara manusia dengan roh nenek moyang
yang berupa tarian ritual. Kemudiannya ia berkembang menjadi lebih kompleks dan halus.
Sebagaimana punca menjadi permulaan pada ukiran begitu jugalah dengan posisi sembah
sebagai gerak permulaan yang menjadi punca atau ibu dalam tarian dan persilatan. Dalam
kesenian tarian Melayu baik dipersembahkan di istana untuk raja (dikenali sebagai tarian istana)
ataupun yang dipersembahkan untuk rakyat (dikenali sebagai tarian rakyat) dimulakan dengan
sembah sebagai permulaan. Sembah adalah kedudukan penari dalam posisi duduk dengan
keadaan tangan dalam beberapa variasi. Kedudukan yang paling kerap adalah penari merapatkan
tapak tangan dan mengangkatnya ke atas dada atau muka sebelum memulakan tarian. Namun
terdapat sekurang-kurangnya lima variasi posisi atau kedudukan sembah dalam permulaan
tarian. Sembah adalah salah satu gerakan simbolik sebagai cara menyampaikan ekspresi hormat,
taat dan sopan terhadap raja atau penonton sebelum memulakan tarian. Dalam konteks spiritual,
pergerakan sembah adalah sebahagian daripada sajian untuk mempelawa atau memohon izin
daripada raja dan unsur-unsur lain seperti semangat udara, air, tanah dan api. (Mohd. Ghouse,
1994:11).
Dalam konteks seni bina, proses mendirikan tiang seri merupakan punca atau ibu
kepada keseluruhan proses pembinaan sesebuah rumah atau istana. Tiang seri
4
adalah tiang yang
mula-mula didirikan yang terletak di tengah-tengah rumah dan dikatakan menjadi sendi rumah.
(Kamus Dewan, 2005:1679). Ia menjadi simbol kekuatan atau kekukuhan sesebuah rumah serta
dipercayai boleh menghindarkan penghuni rumah dari gangguan makhluk halus.
5
Lantaran itu
Abdullah Mohamed (1985:79) menyatakan bahawa tiang seri terbahagi kepada dua bahagian;
iaitu bahagian yang tersembunyi dalam tanah sebagai alam batin dan bahagian yang nyata di atas
bumi sebagai melambangkan alam zahir. Bahagian bawah tiang yang tertanam ke bumi
melambangkan rahsia atau sir atau perbendaharaan yang tersembunyi yang terdapat dalam
alam hakikat. Dari situ ia tumbuh atau muncul seperti kelopak bunga melahirkan ruang dan
rumah yang dipanggil rumah ibu. Fenomena ini dilambangkan oleh kain-kain perca berwarna-
warni yang yang diletakkan pada kepala tiang dengan setiap warna mempunyai makna-makna
tertentu. Ia sebagai lambang proses kemunculan alam, baik alam besar atau alam kecil. Dengan
lain perkataan, rumah yang mula-mula dibina dalam proses pembinaan rumah tradisional Melayu
dipanggil rumah ibu. Rumah ibu menjadi punca lahirnya sesebuah rumah tradisional Melayu
melalui tiang seri. Daripada rumah ibu kemudiannya akan lahir ruang-ruang lain seperti serambi
dan anjung dirumah depan, rumah selang dan rumah dapur. Orang Melayu amat menitik beratkan
soal mendirikan tiang seri kerana ia menjadi punca kepada kewujudan sebuah rumah yang aman

4
Tiang seri adalah tiang yang pertama dinaikkan dalam proses pembinaan rumah atau istana yang lazimnya
terletak ditengah-tengah rumah ataupun salah satu daripada empat tiang yang berada ditengah bagi reka
bentuk bumbung limas. Di Jawa tiang seri dikenali sebagai Soko Guru , di Aceh pula digelar sebagai
Tiang Raja, di utara Thailand dipanggil sao mongkon beerti tiang bertuah. Tiang seri yang baik akan
menjadikan penghuni rumah jauh dari malapetaka (i.e kebakaran, gangguan makhluk halus). Nama-nama
lain bagi tiang seri adalah tiang penghulu dan tiang tua.
5
Proses mendirikan tiang seri diperbincangkan dalam Kitab Taj ul Muluk dan Zulkifli Hanafi (1996).
Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut.
25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM.

13

sejahtera sepertimana yang diinginkan.
6
Lantaran itu lazimnya dari segi gaya seni bina, rumah ibu
merupakan binaan ruang yang terluas, reka bentuk bumbung yang terbesar, paras lantai yang
tertinggi serta dinding dan tingkap yang mempunyai rekacorak yang paling menarik. Rumah ibu
menjadi pusat kegiatan sesebuah keluarga dimana kebanyakan aktiviti keluarga seperti solat,
makan, membaca Al-Quran, berehat, berbaring, tidur dan lain-lain akan berlaku di rumah ibu.

Ulasan Dan Penutup
Ibu atau punca dalam gaya awan larat merupakan identiti utama dalam seni ukiran
Melayu. Konsep dan falsafahnya sejajar dengan kesenian-kesenian tradisi yang lain menunjukkan
keseragaman dalam pemikiran dan pandangan sarwajagat Melayu. Pengertiannya yang halus,
penuh kerahsiaan dan sukar difahami menjadi cerminan kepada kehalusan dan kesantunan budi
dan jiwa orang Melayu itu sendiri. Gaya awan larat juga merupakan manifestasi kepada kepekaan
jiwa orang Melayu terhadap alam dan persekitaran serta keabadian terhadap Tuhan.

Rujukan
Abdullah bin Mohamed (Nakula) (1985), Seni Bina Islam, Aplikasi di Malaysia, Warisan Kelantan IV,
Perbadanan Muzium Negeri Kelantan : Kota Bharu.

Abdullah b Mohamed (Nakula) (1990), Batik Kita : Falsafah Motif-Motif dan Sejarahnya, Warisan
Kelantan IX, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan : Kota Bharu.

Farish Noor & Eddin Khoo (2003), Spirit of Wood, Periplus : Singapore.

Halim Nasir (1987), Traditional Malay Wood Carving, DBP : Kuala Lumpur
Nik Hasan Shuhami Nik Abd Rahman et. al. (2000), Kesenian Melayu : Roh Islam Dalam Penciptaan.
dalam Mohd. Taib Osman & A.Aziz Deraman (ed.), Tamadun Islam Di Malaysia, DBP : Kuala Lumpur.

Mohamed Najib bin Ahmad Dawa , The Symbolism of Batik from Kelantan, Malaysia : Its Origins and
Transformation, Tesis PhD yang tidak diterbitkan, Institute of Advance Studies, Manchester Metropolitan
University, UK. 1995.

Mohamed Najib bin Ahmad Dawa , Malaysian Batik and Its Continuity, Tesis MA yang tidak diterbitkan,
Department of Textile/Fashion, Manchester Metropolitan University, UK. 1991.

Mohd. Ghouse Nasuruddin (1994), Tarian Melayu, DBP : Kuala Lumpur.

Mohd Sabrizaa Abd Rashid, Kajian Simbolisme Elemen-Elemen Estetik dan Ragam Hias Rumah
Tradisional Melayu : Kajian Kes Seni Bina Gaya Pantai Timur, Tesis PhD, Institut Pengajian Siswazah,
USM, 2007.

Norhaiza Noodin, Inovasi : Hubungkait Seni Ukir Kayu Dalam Masyarakat, Konvensyen Inovasi Kraf
Kebangsaan 2004, Hotel Prince, Kuala Lumpur, 28 Feb. 2005.

Norhaiza Noordin, Mengekalkan Motif Ukiran Kayu Tradisi Masa Kini, International Seminar : Spirit &
Form in Malay Design, Muzium Negara, Kuala Lumpur. 27 29 Jun 2005.

Syed Ahmad Jamal(ed.)(2007), The Encyclopedia Of Malaysia, Vol. 14 : Crafts And The Visual Arts,
Archipelago Press : Singapore.


6
Abdullah Mohamed (1987:79) menganggap tiang-tiang rumah tersebut sebagai Zat Allah yang
membangun dipanggil lingga.
Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut.
25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM.

14

Rosnawati Othman (2005), The Language of The Langkasukan Motif, Journal of Indonesia and The Malay
World, Vol. 33, No. 96, July 2005, Routledge Taylor and Francis Group : Oxfordshire.

Zulkifli Hanafi (2000), Pola-Pola Hiasan di Dalam Bangunan Tradisional Melayu, DBP : Kuala Lumpur

Zulkifli Hanafi (1996), Pembinaan Bangunan Tradisional Melayu, Amber-Solara Publication : Kulim.

You might also like