You are on page 1of 3

Terima kasih kepada saudari Pengerusi Majlis.

Yang diraikan Tuan Haji Kahar bin


Maher, Pengetua SMK Three Rivers, Yang berusaha Guru Penolong Kanan
Pentadbiran, Puan Kaherah Majnun, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik
Baazar Rahmad bin Dan, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Qhairul Yasin
bin Qhairul Wariz, Guru-guru Cemerlang, guru-guru, rakan-rakan serta hadirin
hadirat yang dikasihi sekalian.
Hadirin yang dihormati,
Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan kepada Allah SWT
Yang Maha Berkuasa kerana dengan limpah kurnianya dapat kita bersama-sama
meraikan majlis perpisahan yang sangat bermakna dan penuh erti pada hari
ini.Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih dan berbesar hati kerana
pihak majlis memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan ucapan dalam
majlis pada hari ini.
Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Setiap perpisahan sudah
tentu amat menyedihkan. Apabila mengenang kembali saat-saat ketika bersamasama, pasti kenangan itu akan menjadi kenangan paling manis yang tidak dapat
dilupakan. Hari ini, kami berasa terharu kerana akan kehilangan guru yang amat
kami sayangi dan cintai. Bagi kami, beliau bukan sahaja guru tetapi ibarat bapa
dalam sebuah keluarga besar di sekolah ini. Bermula esok, kita tidak akan
melihat lagi kelibatnya di sini dan tidak lagi mendengar tegurannya kerana hari
ini adalah perjalanannya yang terakhir untuk menamatkan kerjayanya sebagai
seorang pendidik di sekolah ini.
Hadirin yang dihormati,
Seperti yang telah kita ketahui, Pengetua kita iaitu Tuan Haji Kahar bin
Maher telah berkhidmat sebagai seorang pengetua di SMK Three Rivers ini
selama 5 Tahun. Pada awal perkhidmatannya di sekolah ini, iaitu pada 19
Oktober 2010, beliau telah mendedahkan cara pengajaran beliau dalam
pelajaran dan pembelajaran yang baru. Saya masih ingat kata-kata beliau jika
salah seorang pelajar beliau mengalami kemerosotan dalam pembelajaran.
Beliau sering mengungkapkan kata-kata semangat. Salah satunya ialah kenapa
kita jatuh? Supaya kita dapat belajar untuk berdiri. Bagi kita, walaupun beliau
bukan seorang pujangga, tetapi kata-kata beliau sangat memberi impak kepada
diri kita untuk belajar bersungguh-sungguh.
Lembut,tenang tetapi tetap tegas dalam melaksanakan tanggungjawab.
Itulah butir kata-kata yang dapat digambarkan mengenai beliau. Beliau sentiasa
melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab serta bersungguh-sungguh
dalam usaha untuk meningkatkan tahap prestasi akademik para pelajar. Beliau
juga telah banyak menyumbangkan jasa dan baktinya buat anak muridnya.
Syabas diucapkan kepada Cikgu Kahar atas komitmen yang begitu padu demi
memastikan kecemerlangan anak-anak didikmu.
Beliau bukan sahaja penyayang, melakukan tugas dengan hati yang tulus,
malah mementingkan kebajikan pelajar. Beliau juga seorang yang berhati murni

dan senantiasa memberikan yang terbaik buat para pelajar. Saya sering melihat
beliau memantau keadaan pelajar di dalam kelas terutamanya kelas-kelas
peperiksaan. Tindakan beliau telah menarik perhatian saya. Hal ini membuktikan
bahawa beliau amat mengutamakan pelajar-pelajar di SMK Three Rivers supaya
sentiasa fokus terhadap pembelajaran di dalam kelas.
Sikap beliau yang boleh dibawa berbincang, mesra pelajar dan tidak
lokek untuk memberikan bantuan apabila diperlukan serta sentiasa berusaha
mempermudahkan sesuatu urusan adalah kualiti peribadi yang perlu dicontohi
dan diteladani oleh kita semua terutama warga SMK Three Rivers. Sebagai
seorang pengawas, saya berasa bangga dan terharu apabila beliau sanggup
bersama-sama dengan barisan pengawas semasa mengadakan aktiviti Kem
Kepimpinan di Kem Belia, Mukah yang lalu.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Jadi hari ini, walaupun jasanya tidak minta dibalas, tetapi kita berusaha untuk
mengenang beliau. Sebagai anak didiknya, hanya rakaman terima kasih
terhadap budi yang diberikan. Sepanjang berkhidmat sebagai pengetua selama 5
tahun, banyak kejayaan yang telah diraih.
Pada kesempatan ini, saya sebagai ketua pelajar SMK Three Rivers
merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Tuan
Haji Kahar bin Maher yang tidak pernah mengenal erti jemu mentadbir sekolah
ini dan mengorbankan waktu demi kami pelajar-pelajar SMK Three Rivers. Kami
berdoa semoga Allah SWT akan melimpahkan rahmat-Nya kepada Tuan
Pengetua.
Beberapa bulan yang lepas, seorang guru kita telah berpindah ke
sekolah yang baru. Waktu itu, Tuan Pengetua telah melontar kata-kata ini kepada
beliau. Pada hari ini, kata-kata itu saya kembalikan kepada Tuan Pengetua. Yang
patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti, namun yang hilang tidak akan
sama dengan yang mengganti. Walau bagaimanapun, yang hilang akan tetap
akan diingati, kekal abadi tersemat di hati. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya
ingin membaca serangkap dua pantun.
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang jua.
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita akan berjumpa lagi.
Sekian, terima kasih.

(708 patah perkataan)

You might also like