You are on page 1of 6

Teks Ucapan YDP PIBG, Encik Sayed Mazawir bin Syed Mustar

sempena Majlis Lambaian Kasih “Sesaat Bersama Seabad Terasa”


Tuan Pengetua, Dr Mohamad Wira bin Ibrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Terima Kasih, saudara/saudari pengerusi majlis.

Yang Diraikan Dr Mohamad Wira bin Ibrahim, Pengetua SMK Pandan Jaya,

Yang Berbahagia Tuan Haji Mad Jah, Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Langat,

Yang Dihormati Pengetua-pengetua Daerah Hulu Langat,

Yang Dihormati Dif-dif jemputan,

Yang Dihormati Barisan Penolong Kanan, Guru-guru Kanan, ahli PIBG,

Guru-guru SMK Pandan Jaya dan seterusnya

Murid-murid yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan kepada Yang

Maha Berkuasa Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan Inayah-Nya,

dapat kita bersama-sama pada hari yang penuh bermakna ini untuk

meraikan Majlis Lambaian Kasih “Sesaat Bersama Seabad Terasa

sempena persaraan Dr Mohamad Wira bin Ibrahim, Pengetua sekolah kita

dalam suasana yang tenang dan meriah ini.


2. Majlis persaraan yang diadakan pada pagi ini amat bermakna, bukan

sahaja kepada guru-guru bahkan kepada murid SMK Pandan Jaya juga.

Sesungguhnya, seluruh warga sekolah amat menghargai segala jasa bakti

serta keringat yang dicurahkan oleh Tuan Pengetua. Untuk makluman

semua, beliau boleh dikatakan sebagai tunggak nadi sekolah ini kerana

beliau telah menerajui tampuk kepimpinan sekolah menuju ke arah

kejayaan dan kecemerlangan. Oleh itu, saya ingin merakamkan ucapan

terima kasih khusus kepada beliau yang akan bersara pada hari esok atas

jasa dan khidmat baktinya sepanjang hampir 30 tahun berada dalam

bidang Pendidikan. Tentu sekalilah dalam perkhidmatan yang begitu

panjang, banyak jasa yang ditaburkan telah menjadi detik-detik berharga

dalam sejarah perkembangan dunia Pendidikan amnya dan dalam

pengalaman diri khususnya.

Hadirin dan hadirat,

3. Masa begitu pantas berlalu. Kadang-kadang kesibukan dengan tugas

seharian dan pelbagai komitmen menyebabkan kita tidak terasa dan

adakalanya kita tidak perasan bahawa waktu begitu pantas meninggalkan

kita. Sepantas itu jugalah tempoh perkhidmatan Dr Mohamad Wira sebagai

Pengetua di sekolah ini. Secara peribadi, saya berasa seperti baru

semalam mengenali beliau. Walaupun tempoh bertugas bersama selama


2 tahun bukan merupakan satu tempoh yang cukup lama, namun tetap

saya akui kehilangan beliau umpama kehilangan nakhoda bagi sebuah

kapal di tengah samudera. Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di

sekolah ini, banyak pencapaian telah dicipta oleh sekolah termasuklah

pencapaian akademik, koakademik, kokurikulum mahupun jaringan luar

sekolah. Beliau boleh

dikatatakan seorang pentadbir yang sangat dedikasi dan tidak pernah 

lokek memberi bantuan dan sokongan  kepada PIBG. Oleh itu, saya yakin

bahawa persaraan beliau akan turut dirasai oleh semua warga sekolah ini.

Walaupun yang patah akan tumbuh dan hilang akan berganti, namun yang

tumbuh tak akan sama dengan yang patah dan yang ganti tak akan serupa

dengan yang pergi.

4. Lumrah hidup, manusia secara semula jadinya akan berasa bahagia

dan berbangga apabila mengenang saat indah terutama sumbangan dan

pengorbanan yang pernah ditaburkan. Apabila mengimbau peranan dan

penglibatan beliau dalam dunia pendidikan kembali terutama di sekolah ini,

pasti beliau akan tersenyum bangga dan puas. Hal ini lebih-lebih lagi

apabila mengingatkan kerja-kerja yang dilakukannya itu ada kaitan dengan

niat yang tulus ikhlas untuk kepentingan membangunkan anak bangsa


Malaysia. Beliau tidak pernah jemu memberikan bimbangan dan didikan

kepada murid-muridnya. Saya yakin atas sebab itulah beliau sentiasa

berperwatakan tenang, positif, dan murah dengan senyuman. Selaku YDP

PIBG, saya berasa bangga kerana beliau telah menjalankan tugas dengan

amanah dan penuh dedikasi sepanjang berada di SMK Pandan Jaya.

Percayalah, bahawa ini akan menjadi dorongan kepada kita yang masih

berkhidmat untuk terus mengejar kejayaan dan seterusnya meningkatkan

kecekalan untuk mengharungi cabaran pada masa hadapan. Setiap

kebaikan yang ditinggalkan pasti akan menjadi ikutan dan seterusnya

menjadi pendorong semangat  kepada kita semua.

Hadirin yang saya hormati,

5. Dalam kesempatan ini, izinkan saya mewakili seluruh warga SMK

Pandan Jaya mendoakan semoga Tuan Pengetua akan dapat beristirahat

sepenuhnya selepas persaraannya. Kita juga berharap agar beliau akan

mengambil peluang untuk menceburkan diri dalam bidang yang

diminatinya dan meneruskan hobi beliau yang tidak dapat dinikmati ekoran

kesibukan tugas selama ini. Kita juga berdoa agar beliau dipanjangkan

umur, dimurahkan rezeki, dianugerahkan kesihatan serta kekuatan fizikal


dan mental bagi menempuhi liku-liku hidup pada masa akan datang.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya mengungkapkan

beberapa rangkap pantun khusus untuk Tuan Pengetua yang kita kasihi.

Raut wajah damai dan tenang,

Tiada terkalam kasih dijunjung,

Jasa baktimu tetap dikenang,

Budi baikmu tetap disanjung.

Tuan umpama bintang cemerlang,
Walau bersara jasa dikenang.

6. Akhir sekali, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih dan syabas

kepada semua Ahli Jawatankuasa Pelaksana Majlis Persaraan ini yang

telah berjaya mengendalikan majlis ini dengan lancarnya. Ucapan terima

kasih juga saya kalungkan kepada semua yang terlibat dalam usaha

menjayakan majlis ini secara langsung ataupun tidak langsung.

Sekian, wassalam.

You might also like