You are on page 1of 3

Teks Ucapan Pengetua di Hari Persaraan Beliau

Terima kasih puan pengerusi majlis. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum w.b.t. dan


selamat sejahtera Yang Berusaha, Dato’ Hajiji Musa bin Kamal, Pengerusi PIBG SMK Sultan
Alauddin. Yang Dihormati, Puan Maimunah binti Kamis, Guru Penolong Kanan 1, Encik Iqram
bin Husaini, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Tuan Haji Khidir bin Izuan, Guru
Penolong Kanan Kokurikulum, guru-guru, tetamu-tetamu yang dihormati dan murid-murid
yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi dengan izin-Nya, saya diberi ruang dan
peluang untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam majlis yang penuh bermakna ini.
Secara peribadi, saya sangat berterima kasih atas pengajuran majlis persaraan saya pada
hari ini. Saya juga berasa terharu dengan kehadiran tetamu kehormat, para sahabat dan
murid-murid sekalian yang sudi meluangkan masa untuk menghadiri majlis persaraan ini.

Hadirin dan hadirat sekalian,


Tidak dinafikan, sepanjang saya berada di SMK Sultan Alauddin yang gah terserlah
ini, begitu banyak golongan yang telah membantu dan menyokong saya dalam proses untuk
memberi sentuhan dalam tampuk kepimpinan dan pengurusan yang tepat kepada sebuah
institusi pendidikan. Saya berasa yakin bahawa segala kekuatan, pencapaian dan tradisi yang
telah diasaskan selama hampir 100 tahun yang lalu akan memacukan SMK Sultan Alauddin
mendaki puncak kejayaan yang lebih tinggi.

Sepanjang tempoh 10 tahun saya berkhidmat di SMK Sultan Alauddin, saya telah
melalui pengalaman yang cukup menarik walaupun cabaran-cabaran yang muncul
memerlukan saya membuat keputusan dan pertimbangan yang saksama, sejajar dengan
segala kehendak pendidikan, serta pada akhirnya membawa manfaat kepada pelajar sekolah
ini. Setiap pengalaman mesti ada pahit dan manisnya, jadi pengalaman tersebut telah
mengajar saya menjadi lebih matang, berfikir secara rasional dan berpandangan jauh.

Hadirin hadirat yang dikasihi,


Antara ukuran kejayaan sesebuah sekolah ialah kepercayaan ibu bapa dan
masyarakat, serta pencapaian sekolah dalam pelbagai bidang, khususnya kurikulum,
kokurikulum, disiplin dan sahsiah, Pada hari terakhir saya berkhidmat di sekolah ini, saya ingin
menyatakan perasaan lega saya kerana SMK Sultan Alauddin boleh disifatkan telah
mencatatkan kejayaan demi kejayaan yang diharapkan. Saban tahun pasti ada pelajar yang
menonjol dan boleh dibanggakan. Seperti tahun 2017, seorang pelajar SMK Sultan Alauddin
telah mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa dalam pertandingan catur. Pencapaian
beliau amat membanggakan pihak sekolah.

Pada kesempatan ini, saya dengan rendah hati ingin merakamkan ucapan setinggi-
tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memungkinkan SMK
Sultan Alauddin mencapai kejayaan demi kejayaan. Saya berasa terhutang budi dengan
semua guru yang sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan dan mengashihi pelajar
kita, kepada PIBG yang sentiasa menghulurkan sokongan dan begitu juga kepada Lembaga
Pengelola Sekolah yang sentiasa mencari jaan terbaik demi kemajuan sekolah. Tidak
dilupakan juga ialah bantuan, sokongan dan sumber yang dihulurkan oleh pihak berkuasa
pendidikan. Saya berharap bahawa segala kerjasama dan sokongan yang terjalin akan terus
bertambah kukuh pada masa akan datang.

Hadirin yang dihormati,


Khusus buat guru-guru SMK Sultan Alauddin, teruskanlah mencurah segala usaha,
bakti dan sumbangan tuan puan sepanjang perkhidmatan demi kebaikan pelajar. Selaras
dengan ikrar, etika dan kehendak profesion keguruan, berpeganglah kepada prinsip bertindak
secara professional. Di tangan tuan puan, martabat profesion keguruan dapat diangkat,
dipelihara dan dipertahanankan menerusi kod etika dan tingkah laku yang dijadikan amalan
sebagai ahli ikhtisas. Saya juga berharap tuan puan akan terus fokus terhadap segala objektif
yang hendak dicapai.

Kepada para pelajar SMK Sultan Alauddin yang disayangi, serlahkan peranan anda
sekalian supaya dapat merealisasikan potensi yang ada. Berbanggalah kerana anda ialah
salah seorang daripada keluarga besar SMK Sultan Alauddin yang dipandang tinggi. Kalian
sangat bertuah justeru memiliki segala kemudahan dan sumber pembelajaran yang terbaik di
sekolah ini.

Seterusnya kepada barisan pentadbir SMK Sultan Alauddin, saya berharap bahawa
tuan puan akan terus berusaha sedaya upaya bagi menyediakan ekosistem dan persekitaran
sekolah yang selamat dan selesa supaya semua pihak yang berkepentingan seperti murid-
murid, guru-guru dan Lembaga Pengelola Sekolah serta pentadbiran sekolah sendiri dapat
bersama-sama menuju ke arah pencapaian visi dan misi SMK Sultan Alauddin.

Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk melafazkan terima kasih yang tidak
terhingga kepada rakan-rakan, anak-anak dan seluruh anggota keluarga saya sendiri yang
sentiasa memberi inspirasi dan sokongan yang sangat diperlukan dalam menyempurnakan
tanggungjawab rasmi saya. Barangkali, ramai lagi pihak yang tidak dapat saya sebutkan nama
khususnya dalam majlis ini. Sesungguhnya anda semua telah menjadi kekuatan kepada diri
saya bagi menggalas segala tanggungjawab selama tiga dekat bergelar sebagai penjawat
awam.

Tuan puan dan para hadirin sekalian,


Sebelum mengakhiri ucapan, izinkan saya untuk menyusun sepuluh cari memohon
maaf atas apa-apa jua kekurangan dan kesilapan yang berlaku sepanjang perkhidmatan saya
khususnya di SMK Sultan Alauddin. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan
sempadan. Saya berharap agar hubungan baik dan komunikasi yang telah terjalin antara kita
akan dapat dipanjangkan lagi walaupun saya secara rasminya akan mula bersara daripada
perkhidmatan pelajaran mulai esok.
Tiap pertemuan pasti ada perpisahan
Itu adat, itu lumrah kehidupan
Begitulah rentetan perjalanan
Walau sukar untuk ditelan
Tapi kaki tetap mengorak jalan
Selagi hayat dikandung badan

Sekian terima kasih.

You might also like