You are on page 1of 4

TEKS UCAPAN SEMPENA MAJLIS PENUTUPAN BULAN PENGHAYATAN KEMERDEKAAN PERINGKAT SEKOLAH 2013

Assalamualaikum w.b.t, Selamat Pagi , Salam 1 Malaysia dan Salam Perak Aman Jaya kepada warga SMK Bersia (Felda). Yang Dihormati Encik Abdul Saaudi bin Abdul Hamid, Penolong Kanan KoKurikulum. Guru-guru Kanan , Kaunselor, guru-guru dan murid-murid yang dikasihi. Terlebih dahulu saya berasa gembira kerana dapat bersama-sama berkumpul pada hari ini sempena Majlis Penutupan Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Bersia(Felda) bagi tahun 2013. Guru-guru dan pelajar sekalian, Dalam ruang, peluang dan kesempatan ini, saya nak beri peringatan terlebih dahulu mengenai 2 perkara: Pertama: Pelajar dilarang sama sekali berada dalam kawasan sekolah selepas jam 4.30 pm kecuali bersama guru. Rasionalnya: 1. Menjaga keselamatan harta benda awam daripada dicuri dirosakkan oleh mana2 insan yang tidak bertanggungjawab. atau

2. Mengawal tingkahlaku pelajar @ remaja masa kini yang suka berduaduaan . Melakukan perbuatan yang menghampiri zina. 3. Mengambil kesempatan dengan membawa lap-top @ netbook ke kawasan sekolah dengan alasan belajar. Tetapi sebaliknya melayari internet dengan mengakses perkara2 lain. Kedua: Dilarang membeli makanan atau minuman diluar waktu rehat.

Guru-guru dan pelajar sekelian, Sesungguhnya, kehadiran warga SMK Bersia(Felda) pasti akan menyemarakkan lagi program kita pada pagi ini dan seterusnya memberi sokongan yang padu dalam aktiviti yang telah dianjurkan oleh Panitia Sejarah. Untuk makluman semua, Saya amat berharap majlis seumpama ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim, persefahaman, kemesraan dan kerjasama sesama kita. Jalinan kesemua faktor ini penting bagi menjayakan sebarang aktiviti yang dianjurkan oleh mana-mana panitia di sekolah ini demi kepentingan kamu semua khususnya serta rakyat di negara ini amnya. Terlebih dahulu di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan setinggitinggi tahniah dan syabas kepada ahli jawatankuasa sambutan Majlis Penutupan Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Bersia(Felda) bagi tahun 2013 kerana usaha gigih tuan-tuan dan puan-puan merencana, merancang, menyusun sekali gus menzahirkan beberapa aktiviti yang telah direalisasikan pada majlis sambutan ini di peringkat sekolah. Guru-guru dan murid sekalian, Sesungguhnya, aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan ini kesemuanya berpaksikan kepada satu matlamat iaitu menyemai semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan kita semua sebagai warganegara bagi sebuah negara yang telah merdeka. Ibarat kata bidalan, jika tidak lalu dandang di air, di gurun dirangkakan. Inilah saatnya bagi kita semua menumpahkan taat setia dan meluahkan kecintaan buat negara Malaysia yang tercinta. Dengan nikmat kemerdekaan, rakyat di negara ini hidup lebih selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam menjalin hubungan sekali gus perpaduan kaum. Perpaduan adalah suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya. Oleh itu, ia perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara dalam diri kita semua agar kemerdekaan Malaysia dapat dipertahankan sampai bilabila walaupun jasad, nyawa serta maruah menjadi taruhan. Hatta SMK Bersia(Felda) sebagai institusi melahirkan modal insan yang berguna sudah menjadi tugas dan tanggungjawab kita semua untuk menjadi nadi serta penggerak utama dalam arus pembangunan negara.

Kita juga seharusnya menggembleng tenaga secara bersepadu dalam mencorakkan murid-murid yang berjiwa patriotisme dan kental akar umbi nasionalismenya. Mereka inilah yang bakal menjadi barisan pelapis kepimpinan negara suatu hari nanti. Guru-guru dan murid sekalian, Apabila kita mengibar Jalur Gemilang, secara tidak langsung dapat memupuk perpaduan dalam kalangan kita semua tanpa mengira latar belakang agama yang kita anuti, warna kulit yang menyaluti tubuh badan kita, pangkat atau darjat. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kata-kata azimat tersebut sudah cukup menggambarkan betapa kita perlu bersatu hati. Sejarah telah membuktikan betapa keagungan sesuatu empayar itu bukan hanya terletak kepada kepimpinan yang bijak bestari semata-mata tetapi semangat jati diri dan permuafakatan rakyat.

Elemen-elemen tersebutlah menjadi rahsia dan tonggak kekuatan mereka. Saya amat bertuah dan berbangga kerana warga SMK Bersia selama hari ini telah menunjukkan sikap yang positif, saling membantu serta bekerjasama dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan. Ia cukup sejajar dengan budaya kerja kita yang mementingkan semangat berpasukan.

Benarlah sudah kata bidalan, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing dan pasti apa jua pekerjaan yang dilakukan akan berhasil. Dalam setiap aktiviti yang dianjurkan di peringkat sekolah, warga SMK Bersia(Felda) telah membuktikan permuafakatan dan perpaduan yang telah terjalin sekelian lamanya menjadi resipi kelancaran penganjuran program tersebut.

Saya amat berharap sikap sebegini dapat diteruskan dari semasa ke semasa kerana perjalanan kita sebagai institusi pendidikan ini masih jauh. Saya ingin menyeru warga SMK Bersia(Felda) teruskanlah usaha meggembleng tenaga dan upaya membangunkan sekolah ini agar menjadi sekolah yang terbaik.

Sebelum mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada ahli jawatankuasa induk dan ahli jawatankuasa kecil yang telah melaksanakan beberapa aktiviti sepanjang Majlis Penutupan Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat sekolah bagi tahun 2013 ini.

Sehubungan dengan itu, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim sukacitanya merasmikan Majlis Penutupan Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Bersia bagi tahun 2013. Sekian, terima kasih.

You might also like