You are on page 1of 3

TEKS UCAPAN PENGARAH

MAJLIS GRADUASI PUSAT TINGKATAN ENAM


SMK PUTATAN
11 APRIL 2019

Selamat pagi, salam sejahtera dan salam JPNS menerajui perubahan.

Saya sangat bersyukur kerana telah dijemput dan dipertemukan dalam suatu
momen yang sangat prestij dan penuh bermakna iaitu Majlis Graduasi
Pelajar Tingkatan Enam Kohort 6 , Pusat Tingkatan Enam (PUSTEM) SMK
Putatan bagi tahun 2018.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan tahniah dan syabas kepada
semua ahli jawatankuasa pelaksana yang telah dapat merealiasikan majlis
ini, sebagai pengiktirafan kepada para pelajar yang berjaya memperoleh
keputusan STPM 2018 dengan penuh cemerlang. Majlis Graduasi ini
dianjurkan bagi meraikan pelajar-pelajar yang telah membuktikan
kecemerlangan dan potensi serta bakat masing-masing baik dalam bidang
akademik, sahsiah mahupun kokurikulum.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada


pihak sekolah yang mengundang saya ke majlis ini , sekali gus
menyempurnakan perasmian Majlis Graduasi PUSTEM SMK Putatan bagi
tahun 2018.

Tahniah sekali lagi atas Pencapaian Cemerlang STPM 2018 , PUSTEM


SMK Putatan dapat mengekalkan Gred Purata Nilai Kumulatif (GPNK)
2.92 melepasi GPNK Kebangsaan 2.86. Kejayaan dan kecemerlangan ini
telah mampu melahirkan modal insan yang berkualiti. Seramai 87 orang
daripada 179 orang pelajar memperoleh PGNK 3.00 ke atas iaitu ; 3
orang memperoleh PGNK 4.00, 6 orang mendapat PGNK 3.92 dan 78 orang
memperoleh 3.00 ke atas.

Bagi kategori Calon Berkeperluan Khas, PUSTEM SMK Putatan, telah


melahirkan dua orang pelajar yang telah menerima Anugerah Pencapaian
Terbaik STPM 2018, sempena Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan
Akademik MEKAR, anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah iaitu Adik
Ikmal Mustafa Bin Musbah merangkul tempat pertama dan Adik Samantha
Aisha Sahwartz mendapat tempat ketiga.
Tahniah dan syabas diucapkan.

Hadirin hadirat sekalian,


Kejayaan anak-anak @ pelajar ini juga diadakan khusus
untuk meraikan ibu bapa yang sentiasa meletakkan kecemerlangan dan
kejayaan anak-anak sebagai agenda pertama dalam kehidupan mereka. Pada
kesempatan ini saya merakamkan ucapan tahniah dan syabas bukan sahaja
kepada pelajar yang menerima anugerah, malahan kepada ibu bapa juga para
guru yang menjadi nadi atau tulang belakang sehingga membuahkan
kejayaan yang sangat membanggakan seluruh warga sekolah, pejabat
pendidikan daerah dan Jab. Pendidikan Negeri Sabah.

Kini, peranan pendidikan telah berubah. Anak-anak bukan sahaja untuk


belajar tetapi dididik sebagai pewaris negara ke arah menjadi modal insan
yang berilmu dan berakhlak mulia. Selaras dengan salah satu Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu meluaskan akses kepada
pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Dalam konteks ini, NKRA ini
merupakan salah satu inovasi dasar dan strategi yang ampuh dalam
merealisasikan hasrat untuk memantapkan kualiti pendidikan negara. Kita
perlu berusaha untuk melaksanakan pembaharuan dalam sistem pendidikan
melalui inovasi dasar dan strategi yang berterusan.

Pelbagai langkah dijalankan untuk melahirkan para pelajar@anak-anak


sebagai peneroka ilmu bagi mempersiapkan generasi muda dengan
keperluan abad ke-21. Oleh itu, semua pihak hendaklah memainkan peranan
dengan memberikan kerjasama dan berganding bahu untuk
merealisasikannya. Gandingan yang mantap terjalin, kecemerlangan
akademik yang tinggi mampu digenggam, sesuai dengan Moto PUSTEM
SMK Putatan ‘Satu Tekad ke Menara Gading’. Hubungan antara pihak
sekolah dan ibu bapa adalah sebagai hubungan yang berasaskan rasa
tanggungjawab bersama, saling memerlukan dan sentiasa menyokong antara
satu sama lain.

Akhir kata, diharapkan anugerah yang diberikan hari ini merupakan


penghargaan pihak sekolah kepada para pelajar yang telah menunjukkan
prestasi cemerlang dalam peperiksaan STPM 2018. Tahap pencapaian yang
diperoleh , sudah pasti menjadikan contoh dan ikutan kepada pelajar-pelajar
lain untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka pada masa akan
datang.
Sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak
PUSTEM SMK Putatan atas penganjuran Majlis Graduasi pada kali ini.
Sebelum mengundur diri dua rangkap gurindam;
Jika pelajar mendengar kata,
Tiada guru berkata cela.
Jika seiring kita berusaha,
Pasti semua akan berjaya.

Dengan suka citanya saya merasmikan Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan


Enam Kohort 6 PUSTEM SMK PUTATAN Tahun 2018.
Sekian dan terima kasih.

You might also like