You are on page 1of 14

PERSEKITARAN BILIK DARJAH MESRA BUDAYA DARI ASPEK FIZIKAL DAN

SOSIO-EMOSI

TINJAUAN LITERATUR

Pengenalan

Bahagian ini akan membuat tinjauan literatur tentang artikel-artikel yang


berkaitan dengan pengurusan bilik darjah dan kaitannya dengan perpaduan antara
murid-murid pelbagai kaum dari aspek fizikal, emosi dan sosial. Bahagian ini juga
akan mengemukakan peranan guru dalam bilik darjah terhadap beberapa aspek-
aspek tersebut. Selain itu, bahagian ini juga menghuraikan secara ringkas beberapa
kajian dan penulisan yang dipetik daripada beberapa sumber berhubung dengan
peranan pembinaan persekitaran bilik darjah dan langkah-langkah mengatasi
terhadap masalah yang dibincangkan.

Bilik darjah merupakan medan perjuangan utama seorang guru menjalankan


tugas, peranan dan tanggungjawab. Seseorang guru akan diklasifikasikan sebagai
tidak melaksanakan tugas sekiranya amanah ini diabaikan walaupun beliau
merupakan seorang juara masyarakat yang paling komited di luar bilik darjah atau di
luar sekolah. Malaysia merupakan sebuah Negara berbilang kaum yang terdapat
perbezaan yang mampu kita lihat bukan sahaja dari segi etnik malahan dari aspek
ekonomi, kebudayaan dan agama. Seperti sedia maklum sebuah etnik adalah
mustahil untuk menjadi etnik yang lain. Maka struktur ekonomi, budaya dan
pendidikan telah dijadikan pemangkin untuk mencapai perpaduan. Oleh itu,
persekitaran yang mesra budaya perlu diwujudkan bagi melicinkan proses
pengajaran dan pembelajaran yang kondusif, tenteram dan berkesan kepada semua
murid.

Definisi Persekitaran Bilik Darjah Mesra Budaya

Abdullah Sani Yahaya (2003), bilik darjah dapat dijadikan sebagai suatu
tempat belajar yang menarik, membangunkan minat dan potensi belajar bergantung
juga pada keadaan dan iklim bilik darjah yang menunjukkan adanya aspek
keceriaan. Noriati A. Rashid (2011) , mendefinisikan bahawa persekitaran bilik darjah
bukan sekadar melibatkan unsur fizikal yang dapat dilihat dengan mata semata-mata
seperti ruang bilik darjah serta peralatan di dalamnya, sebaliknya persekitaran bilik
darjah turut melibatkan unsur-unsur emosi dan hubungan kemanusiaan. Manakala
mesra budaya dikaitkan dengan perlakuan atau amalan yang mendatangkan
keselesaan dan kegembiraan.

Di dalam konteks bilik darjah, keselesaan dan kegembiraan itu diwujudkan


oleh guru dan murid melaui perlakuan yang positif sewaktu berlakunya proses
pengajaran dan pembelajaran. Jelaslah di sini bahawa persekitaran bilik darjah
melibatkan dua aspek iaitu aspek fizikal dan sosio-emosi. Kedua-dua aspek berikut
saling bergantungan bagi mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya.
Perancangan yang sistematik serta pembinaan bilik darjah yang dinamik mampu
memberikan impak yang positif dalam kalangan murid.

Kelebihan Dan Kekurangan Aspek Aspek Yang Dibincangkan Dalam Tiga


Sumber

Nik Amad Nik Yaacob (1998) di dalam artikelnya bertajuk ‘Pendidikan Sekolah
Rendah Perlu Kaedah Baru’ yang menjelaskan mengenai pendidikan yang terlalu
tertumpu kepada akademik banyak melahirkan aspek pertandingan dan kerja secara
individu. Kekuatan artikel tersebut terletak pada penyataan penulis tentang peranan
guru dalam membina kekuatan emosi yang positif dalam kalangan murid. Selain itu,
konsep pendidikan yang bertujuan membentuk sahsiah manusia seperti sifat
kerjasama, tak putus asa, bertanggungjawab, komitmen dan sebagainya. Pendidikan
juga bukanlah hanya menumpukan aspek akademik semata-mata, malah faktor
perhubungan antara guru dan murid, murid dengan murid dan murid dengan
masyarakat menjadi pencetus kecemerlangan dalam kejayaan seseorang murid.
Penulis juga mementingkan matlamat peribadi murid yang mencerminkan tingkah
laku mereka dengan mewujudkan rutin bilik darjah serta aktiviti yang bersifat sosial.
DI samping itu, penulis turut berpendapat bahawa keunikan satu-satu bilik darjah
terletak pada perkembangan sosial. Penjelasan artikel tersebut banyak mengupas
mengenai perkembangan sosial murid-murid di dalam bilik darjah yang boleh
mewujudkan suasana kasih sayang, kerjasama, hormat menghormati, tolong
menolong dan seumpamanya. Kelebihan artikel tersebut juga dapat dilihat apabila
penulis merumuskan bahawa budaya yang positif perlu diterapkan sebelum
merancang budaya akademik. Namun begitu, peranan guru menjadi tulang belakang
dalam merealisasikan kaedah yang dianjurkan oleh penulis.

Bagi artikel kedua, kajian ‘Tahap Perpaduan Pelajar Pelbagai Kaum dalam
Mata Pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB)’ oleh Abdul Rahim Hamdan dan
Siti Noraishikin Moin mengkaji aspek perpaduan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran subjek berkenaan. Kelebihan yang ditonjolkan dalam kajian tindakan
ini apabila penulis menfokuskan pembelajaran koperatif di mana para pelajar
berbincang di dalam kumpulan ketika proses pengajaran dan pembelajaran
dijalankan. (Slavin, 1982; Johnson, Johnson & Holubec, 1990; Kagan, 1992)
menyifatkan bahawa pembelajaran koperatif didefiniskan sebagai kaedah-kaedah
pengajaran yang mana pelajar-pelajar daripada semua peringkat pencapaian
bekerjasam dalam kumpulan kecil untuk mencapai matlamat bersama. Kekuatan
kajian ini juga dapat dilihat apabila penulis turut mengkaji penglibatan pelajar
daripada pelbagai kaum apabila bekerja di dalam satu kumpulan dan melakukan
aktiviti bersama-sama. Selain itu, kajian ini juga membincangkan kepentingan
pembelajaran secara koperatif yang melibatkan pelbagai kaum dan juga berlainan
tahap kemampuan pelajar. Justeru, amalan kumpulan yang sama setiap kali aktiviti
perlu dielakkan agar menggalakkan komunikasi pelbagai kaum kerana kebiasaan
pelajar-pelajar lebih gemar berinteraksi antara kaum mereka sahaja. Dengan ini,
bukan sahaja jurang perpaduan dapat dieratkan melalui aktiviti berkumpulan,
malahan pencapaian akademik secara langsung dapat ditingkatkan.

Artikel yang ketiga memperlihatkan kelebihannya tentang pengurusan bilik


darjah yang mengetengahkan konsep rutin bilik darjah yang positif. Penulis
menerangkan bagaimana guru permulaan menguruskan bilik darjah dengan
menitikberatkan peraturan yang menjdai asas dalam menguruskan sesuatu bilik
darjah supaya menjadi kondusif serta proaktf. Artikel yang ditulis oleh Dr. Mohd.
Hasani Dali memberikan kelebihan dari aspek bagaimana membentuk emosi murid-
murid dengan menstruktur stail pengajaran guru dan rutin bilik darjah. Penulis juga
berpendapat guru perlu menguruskan bilik darjah terlebih dahulu sebelum
memulakan sesuatu pengajaran. Hal ini adalah perlu kerana emosi murid-murid perlu
berada pada tahap yang stabil agar memudahkan penerimaan ilmu oleh guru. Selain
itu, artikel tersebut menerangkan tips-tips bagaimana seseorang guru dapat
mengawal tingkah laku serta emosi murid-murid apabila memulakan proses
pengajaran dan pembelajaran. Cadangan-cadangan yang boleh dijadikan panduan
guru untuk menguruskan bilik darjah menampakkan kematangan dan
memartabatkan profession keguruan. Penulis juga mencadangkan bahawa amalan-
amalan seperti yang dinyatakan di dalam artikel tersebut perlu dijalankan secara
berterusan supaya persepsi murid-murid terhadap guru tidak mendatangkan sifat
yang negatif terhadap tahap emosi mereka.

Di sebalik kekuatan yang dijelaskan di atas, terdapat juga beberapa


kelemahan yang diterjenahkan di dalam ketiga-tiga artikel tersebut. Antaranya
adalah artikel-artikel ini hanya menjurus kepada aspek-aspek yang terdapat di dalam
bilik darjah sahaja. Faktor-faktor luar seperti ibu bapa, sekolah dan masyarakat gagal
diselitkan dalam penulisan mereka. Hal ini mengubah persepsi pembaca apabila
ketiga-tiga artikel tersebut meletakkan bebanan yang terlalu banyak kepada guru
tanpa mengambil kira peranan daripada pihak yang lain. Hal ini menjadikan sesorang
guru tersebut gagal apabila gagal merancang sesuatu tanpa menyalahkan pihak-
pihak yang lain.

Selain itu, artikel kedua menampakkan kelemahannya kerana hanya


menumpukan perpaduan antara pelajar pelbagai kaum terhadap mata pelajaran
Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) semata-mata. Walhal perpaduan kaum juga
boleh dibentuk di dalam mata pelajaran yang lain. Namun begitu, penulis tidak boleh
dipersalahkan kerana penulis mungkin ingin mengkaji tahap perpaduan kaum di
dalam mata pelajaran tersebut sahaja. Pada artikel yang ketiga, kelemahan dapat
dilihat apabila penulis hanya menfokuskan guru-guru yang novis sahaja dalam artikel
tersebut. Guru-guru yang sedia ada juga patut disisipkan kerana terdapat juga guru-
guru yang telah lama berkecimpung dalam dunia pendidikan, tetapi masih gagal
menguruskan bilik darjah dengan berkesan.

Aspek-Aspek Yang Gagal Dikemukakan

Berdasarkan ketiga-tiga artikel yang dibincangkan, terdapat beberapa aspek


yang gagal dikemukakan terutamanya dari aspek fizikal bilik darjah. Ketiga-tiga
artikel hanya membincangkan aspek-aspek sosial dan emosi tanpa mengambil kira
peranan fizikal bilik darjah yang turut menyumbang ke arah pembinaan persekitaran
bilik darjah yang kondusif. Fokus kepada aspek tersebut kurang ditonjolkan kerana ia
bergantung pada pengurusan sekolah yang menyediakan persekitaran dari aspek
fizikal. Tidak semua sekolah yang mampu memberikan fizikal bilik darjah yang
diinginkan kerana banyak faktor luaran yang perlu diambil kira bagi memenuhi
keperluan aspek tersebut.

Selain itu, Ketiga-tiga artikel juga kurang mengutarakan pendapat tentang


bagaimana sesuatu bilik darjah tersebut dapat dikatakan sebagai bilik darjah yang
mesra budaya. Sebagai contoh artikel yang bertajuk ‘Asas Pengurusan Tingkah Laku
Guru Novis di Bilik darjah’, gagal mengupas mengenai hubungan antara kumpulan
etnik atau perbezaan ras di dalam penulisannya. Tetapi, artikel tersebut dapat
mengaitkan aspek sosial dan emosi yang penting di dalam bilik darjah. Bagi artikel
yang ditulis oleh Nik Ahmad Nik Yaacob, beliau mengemukan aspek sosial tetapi
tidak menyatakan perpaduan antara etnik dalam penulisan tersebut. Penulis hanya
menyatakan aspek perpaduan secara umum tanpa menjurus kepada perpaduan
kaum.

Usaha Proaktif Yang Perlu Diambil Kira Oleh Kementerian Pelajaran Malaysia

Dalam hal ini, kepentingan persekitaran bilik darjah perlulah diambil perhatian
serius oleh semua pihak. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) khususnya perlu
mengkaji dan menstruktur kembali kurikulum pelajar guru terutamanya supaya tidak
terlepas pandang dalam menguasai kemahiran menguruskan bilik darjah.
Pembentukan persekitaran bilik darjah merupakan asas pengukuran kewibawaan
guru dalam ilmu pedagogi untuk membentuk sahsiah murid-murid yang positif. Selain
itu, pihak sekolah juga haruslah memandang serius terhadap guru-guru yang kurang
berpengalaman dalam menguruskan bilik darjah. Kursus dan seminar haruslah
dianjurkan kepada guru-guru tersebut agar pengajaran dan pembelajaran yang
berkesan dapat dilaksanakan. Peranan para pendidik seharusnya diberikan
keutamaan kerana merekalah yang berhadapan dengan masalah-masalah yang
berlaku da dalam bilik darjah.

Ibu bapa juga tidak terkecuali dalam memainkan peranan dalam menguruskan
bilik darjah. Mereka perlulah memberikan dorongan dan sokongan kepada anak-
anak mereka dalam membentuk sahsiah yang terpuji di dalam diri murid-murid.
Walaubagaimanapun, perhubungan antara guru dan ibubapa adalah amat penting
kerana perbincangan dan kesepakatan antara dua pihak ini akan menemui jalan
yang terbaik untuk anak-anak mereka di dalam bilik darjah. Selain itu, peranan
komuniti di negara kita yang memiliki pelbagai etnik haruslah berpandangan secara
professional dalam aspek perhubungan kaum agar konflik antara kaum tidak
terbawa-bawa di dalam bilik darjah. Oleh itu, sikap etnosentrik dalam kalangan murid
dapat dibendung agar peristiwa 13 Mei 1969 tidak berulang kembali.

Kesimpulan

Pembinaan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya bukan sahaja banyak
bergantung pada pewujudan persekitaran fizikalnya, malahan turut mengutamakan
penyediaan ruang yang membolehkan emosi dikawal dan difahami. Pengurusan
persekitaran sosioemosi murid mempengaruhi perkembangan murid dalam aspek
sosioemosi dan persekitaran kehidupan murid. Pemahaman guru terhadap
perhubungan kelompok etnik dan peranan guru sebagai ejen pembinaan perpaduan
dan integrasi nasional akan mampu mewujudkan persekitaran bilik darjah yang
mesra budaya.
RUJUKAN

3 Sumber Utama

http://members.tripod.com/siti_2/01/84.html (disunting pada 7 Mac 2012)

http://eprints.utm.my/10727/1/Tahap_Perpaduan_Pelajar_Pelbagai_Kaum_Dalam_M
ata_Pelajaran_Kemahiran_Hidup_Bersepadu.pdf (disunting pada 6 Mac 2012)

Dr. Mohd. Hasani Dali (2006), Asas Pengurusan Tingkah Laku Guru Novis di Bilik
Darjah. Pendidik, dipetik pada 5 Mac 2012.

Sumber Sampingan

Noriati A. Rashid (2011), Budaya dan Pembelajaran. Selangor, Oxford Fajar Sdn
Bhd.

http://www.amaljaya.com/guru/wp-content/uploads/2011/09/pengurusan-bilik-
darjah.pdf

http://nyongatthesky.blogspot.com/2009/05/konsep-bilik-darjah-yang-mesra-
budaya_29.html

http://www.kickstory.net/2011/08/bilik-darjah-mesra-budaya.html
Penghargaan

Alhamdulillah dan jutaan kesyukuran dipanjatkan kepada ilahi kerana akhirnya


tugasan kursus EDU 3106 Budaya dan Pembelajara dapat disiapkan dengan
jayanya.

Saya ucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada pensyarah
yang dikasihi Puan Soo Hoo Soon Teng kerana telah banyak memberi tunjuk ajar
dan bimbingan. Sesungguhnya bimbingan dan tunjuk ajar puan sangat membantu
saya dalam menyiapkan tugasan yang diberi. Inilah kali pertama saya menerima
tugasan mengenai tinjauan literatur dan saya telah mendapat input dan pengalaman
yang berguna dalam membuat penulisan seperti ini. Diharapkan tugasan ini dapat
membantu saya untuk menghasilkan penulisan ilmiah yang lebih mencabar.

Selain itu, kerjasama dan persepakatan antara ahli kumpulan pembentangan


memberi impak yang besar terutama dalam membikin dan curahan idea yang
berguna. Kata pepatah ‘yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing’ amat
sesuai untuk menggambarkan kerjasama yang kami berikan sepanjang pembikinan
menghasilkan pembentangan yang memberikan satu pengalaman berharga apabila
membina satu pelan lantai yang mesra budaya. Hasil kesabaran dan semangat ingin
belajar saya dan Kheronisa membuatkan kami menghasilkan satu persembahan
yang menarik.

Tidak lupa juga sekalung penghargaan kepada perpustakaan institut yang


menyediakan sumber rujukan dan bahan-bahan yang diperlukan bagi membantu
kami mengabungkan kemahiran, kandungan serta idea bagi pelan lantai kami.
Maklumat yang kami perolehi adalah amat berguna dan kami memanfaatkan
sepenuhnya. Lawatan sekali seminggu ke perpustakaan ini disambut mesra oleh
perpustakawan di sini membuatkan kami berasa selesa dan tidak kekok untuk
bertanyakan soalan dan tempat mencari buku di sekitar perpustakaan ini.

Sekali lagi saya ingin menyatakan rasa kesyukuran kami kepada Ilahi kerana
dengan izinNya saya dapat menyiapkan tugasan pada waktunya. Tidak lupa juga
kepada kedua-dua ibu bapa yang memberi sokongan moral yang tidak terbelah bagi.
PENGHARGAAN
SUMBER 1
SUMBER 2
SUMBER 3
BIBLIOGRAFI
LAMPIRAN

You might also like