You are on page 1of 12

Teknologi di dalam bidang Pendidikan

1.0 Pengenalan
Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam bidang pendidikan di abad 21 bukanlah
sesuatu yang baru. Malah boleh dikatakan hampir semua negara telah mengikuti perkembangan
ini dan cuba merealisasikannya. Di Eropah, bidang teknologi maklumat dalam bidang
pendidikan telah diperkenalkan sejak awal tahun 60an. Dalam konteks pendidikan, komputer
dan teknologi maklumat dapat membantu dalam pelbagai urusan dan berpotensi mengayakan
lagi persekitaran pengajaran dan pembelajaran.
Menurut Zawawi Jahya dalam Majalah Pendidik (2005): Kita masih menggunakan minda zaman
batu tetapi beropersi dalam era teknologi maklumat dan telekomunikasi yang sangat canggih.
Dalam ledakan teknologi maklumat masa kini, bidang pendidikan juga tidak terkecuali dalam
menempuh gelombang ini. Penggunaan teknologi maklumat semakin berpengaruh dalam bidang
pendidikan dewasa ini. Teknologi maklumat bukan sahaja mengenai penggunaan komputer
tetapi juga mencakupi penggunaaan komputer dan telekomunikasi yang kini digunakan secara
berleluasa sebagai satu sistem memproses dan menyebarkan maklumat.
Inovasi dan perkembangan teknologi maklumat termasuk teknologi TMK dalam era globalisasi
yang berorientasikan sains dan teknologi dalam pengurusan dan kemasyarakatan akan
bertambah maju pada masa akan datang. Tambahan pula, Malaysia merupakan salah sebuah
negara Asia yang proaktif dalam pembangunan infrastruktur dan infrostruktur di peringkat
antarabangsa, adalah menjadi perubahan drastik dan terpengaruh dalam arus peralihan global
ke arah perubahan teknologi yang pesat. Bukan mudah untuk membuat peralihan daripada
pengguna manual pertanian kepada sains dan teknologi, daripada kefasihan berbahasa kepada
kefasihan berteknologi. Di Malaysia penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) atau
informartion technology and communication (ICT) dalam bidang pendidikan masih di peringkat
permulaan namun pengunaannya semakin pesat dan memberangsangkan.
2.0 Definisi Teknologi
Menurut Turban et al.(2005), teknologi maklumat merujuk kepada bahagian teknologikal dalam
sistem maklumat. Ia meliputi perkakasan, pangkalan data, perisian, rangkaian, dan perantiperanti yang lain. Mengikut Galbraith (1967), technology is the systematic application of
scientific or other organised knowledge to practical tasks. Manakala merujuk Finn (1960);
Heinich, Molenda dan Rusell (1989); Romizowski (1988) dalam buku Yusup Hashim dan Razmah
Man (2006) yang bertajuk Teknologi Instruksional: Teori dan Aplikasi telah menjelaskan bahawa

teknologi membawa dua maksud:


i. Teknologi sebagai proses: Penggunaan pengetahuan sains dan lain-lain cabang ilmu untuk
menghasilkan tugas-tugasan pembelajaran yang praktikal. Suatu proses ke arah penyelesaian
kepada masalah-masalah dengan menggunakan teknik, kaedah, reka bentuk atau alat yang
berkesan dan teruji.
ii. Teknilogi sebagai produk atau bahan: Penghasilan perkakasan dan perisian hasil dari proses
teknologi itu sendiri. Contohnya, projektor (perkakasan) dan filem, (perisian) adalah hasil
teknologi.
Yusup Hashim dan Razmah Man dalam buku Teknologi Instruksional: Teori dan Aplikasi juga
menyatakan bahawa teknologi maklumat dan komunikasi ditaksirkan dari dua sudut iaitu sudut
produk dan sudut proses. Dari sudut produk teknologi maklumat merupakan peralatan yang
boleh digunakan untuk membina, mengumpul, menyimpan, memproses dan menyalurkan serta
menyebarkan maklumat secara pantas seperti penggunaan komputer, peralatan telesidang, CD
ROM dan perisian komputer untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Dari segi
proses pula, teknologi maklumat boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah pengajaran
dan pembelajaran dengan menggabungkan kaedah dan teori pengajaran dengan peralatan dan
bahan teknologi komunikasi seperti Internet (e-mail, www, forum dan laman web), telesidang
video atau instruksi berasaskan komputer (IBK).
Menurut Abdul Manaf Bohari dan rakan-rakan (2006) dalam buku Sistem Maklumat Dalam
Organisasi Komtemporari mendefinisikan teknologi maklumat dan Komunikasi sebagai
komunikasi yang menggunakan teknologi terkini sebagai alat untuk berhubung antara satu sama
lain tanpa mengira situasi, masa, dan lokasi geografi.
Tiga asas utama sistem teknologi maklumat adalah perkakas komputer, perisian komputer dan
komunikasi data. Sinergi antara ketiga-tiga teknologi tersebut berupaya menggerak dan
mewujud satu kuasa teknologi yang bernilai dan berdaya maju dalam aspek komunikasi atau
perhubungan. Teknologi maklumat diperkenalkan bagi memajukan lagi sistem pendidikan harian
di sekolah. Oleh yang yang demikian kita sebagai pendidik seharusnya tidak ketinggalan dalam
mendalami ilmu bagi bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
3.0 Matlamat
Matlamat kurikulum Teknologi Maklumat peringkat sekolah ialah untuk membentuk pelajar yang
berpengetahuan secara menyeluruh tentang teknologi maklumat dan berkemahiran menangani
maklumat dengan menggunakan teknik dan perkakasan teknologi maklumat bagi menyelesaikan
masalah. Di samping pengetahuan dan kemahiran, kurikulum Teknologi Maklumat juga

membentuk pelajar yang bersikap positif terhadap impak dan sumbangan teknologi maklumat
kepada masyarakat dan kehidupan harian, supaya dapat menyumbang secara berkesan dan
sepenuhnya dalam masyarakat dan ekonomi berteknologi di tempat mereka hidup dan bekerja.
4.0 Objektif
Ke arah mencapai matlamat kurikulum, objektif berikut digariskan bagi membolehkan pelajar:1. Mengkaji, mengguna dan memahami sistem dan persekitaran yang berkaitan dengan
teknologi maklumat;
2. Membina pengetahuan tentang prinsip dan proses teknologi maklumat;
3. Mengenal pasti serta meneroka keperluan dan peluang yang boleh ditangani melalui
teknologi maklumat;
4. Menjana idea bagi memajukan teknologi berkaitan dengan keperluan yang dikenal
pasti;
5. Mengguna teknologi maklumat dengan berkesan untuk berkomunikasi dan
menyelesaikan masalah;
6. Menyedari implikasi penggunaan teknologi maklumat terhadap masyarakat dan
kehidupan harian;
5.0 Kebaikan dan Kepentingan Teknologi terhadap Bidang Pendidikan
Teknologi maklumat telah mengubah cara manusia bekerja. Hjetland (1995) menyatakan
bahawa Technology can make our lives easier. Everyday tasks are simplified . Beliau juga
menyatakan bagaimana teknologi dapat mempermudahkan tugas serta meningkatkan prestasi
guru seperti penggunaan teknologi untuk kerja-kerja pengurusan dan kerja-kerja pengajaran
dan pembelajaran.
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan sistem Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (TMK) ini, terdapat banyak kebaikannya. Antaranya kita akan dapat berfikiran
secara terancang dan dapat menghasilkan pembelajaran yang lebih berkesan, aktif dan
bermutu.
Selain daripada itu, ianya juga terdapat perisian yang boleh kita gunakan dalam pengajaran
kita. Perisian ini mempunyai nota, soalan dan ulangkaji yang membolehkan murid-murid
berinteraksi secara langsung dengan komputer. Kaedah ini boleh digunakan sebagai alat bantu
mengajar bagi sesetengah guru yang juga boleh digunakan sebagai pengganti guru semasa guru
tiada dalam kelas.
Teknologi maklumat dan komunikasi juga boleh digunakan untuk merangsang minda murid

supaya lebih segar dan sentiasa memberikan tumpuan sepanjang proses pembelajaran. Di
samping itu, penggunaan ini juga boleh melibatkan internet. Dengan adanya internet, guru dan
murid boleh menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara terus-menerus.
Sejak perlaksanaan teknologi di sekolah sejak beberapa tahun yang lalu, terdapat beberapa
perubahan yang dapat dilihat dengan jelas kepada pelajar dan guru-guru di sekolah yang betulbetul menggunapakai teknologi di sekolah. Lebih-lebih lagi peningkatan dalam kualiti dan
peratus lulus peperiksaan awam. Dengan pengajaran dan ulangkaji telah diselangseli dengan
TMK dan didapati penumpuan pelajar lebih dan mereka lebih memberi perhatian sehingga di
saat terakhir pengajaran.
Apabila guru-guru mengunakan teknologi di dalam pengajaran mereka, pelajar ternyata lebih
memberi penumpuan dan lebih memahami tajuk tersebut. Sebagai contoh, di dalam
pengajaran Matematik, dengan menggunakan perisian yang dibekalkan dan didapati pelajar
lebih seronok untuk belajar kemungkinan disebabkan ada audio, video dan grafik yang menarik
berbanding guru yang menggunakan papan hitam sahaja (chalk and talk method).
Dengan penggunaan kemudahan komputer yang kini telah disediakan oleh kementerian
pendidikan hampir di setiap sekolah, pendidik akan dapat menggunakannya dengan lebih
cemerlang. Pendidik haruslah menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang
melibatkan penggunaan makmal komputer. Selain daripada itu, pendidik juga boleh
menggunakan pelbagai perisian komputer berkaitan pendidikan yang kini mudah didapati di
pasaran.
Sepanjang proses pengajaran sebagai contoh bagi subjek sains, penggunaan teknologi amatlah
berguna. Ini kerana ianya boleh melibatkan murid secara langsung dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Selain daripada itu, murid juga akan dapat berinteraksi dengan guru lebih kerap
untuk mendapatkan maklumat mengenai apa yang diajarkan. Oleh yang demikian penggunaan
teknologi amatlah berguna berguna kepada para pendidik sekarang.
6.0 Isu dan Cabaran
Namun disebalik kecanggihan teknologi yang sedia ada ini ada juga isu dan cabarannya.
Antaranya adalah bagi sesetengah sekolah terutama Sekolah Kurang Murid dan sekolah-sekolah
di kawasan pendalaman dan terpencil yang tidak mempunyai kemudahan makmal komputer,
muridnya tidak dapat berinteraksi secara terus dengan penggunaan komputer. Hanya guru yang
boleh menggunakannya. Jadi murid akan rasa ketinggalan.
Selain daripada itu, penggunaan komputer ini dengan kerap juga boleh mendatangkan

kerosakan pada komputer itu sendiri dan kos untuk memperbaikinya kadang-kadang amatlah
mahal. Antara masalah yang paling utama adalah semasa penggunaan disket atau internet.
Penggunaanya yang tidak terkawal boleh menyebabkan kehadiran virus dalam komputer
berkenaan dan kerosakkanya amatlah berat.
Oleh yang demikian penggunaan teknologi maklumat ini haruslah dengan pantauan daripada
guru-guru yang pakar ataupun guru bertugas supaya ianya dapat digunakan untuk jangka masa
yang panjang dan mengurangkan risiko menanggung kerosakan.
7.0 Persediaan Guru dan Penerapan budaya TMK
K-Ekonomi merupakan isu utama yang disarankan oleh Perdana Menteri kita, maka seharusnya
pengetahuan tentang teknologi maklumat adalah penting bagi guru-guru dalam membentuk
generasi yang akan datang. Ini sejajar apa yang dikatakan oleh Yusup Hashim dan Razmah Man
(2002): Negara beralih dari ekonomi pertanian, perindustrian kepada ekonomi pengetahuan.
Ekonomi pengetahuan bermaksud pembinaan, pembangunan, pengagihan dan penggunaan ilmu
pengetahuan dan maklumat untuk meningkatkan produktiviti. Pengetahuan dijadikan faktor
pengeluaran menggantikan pertanian atau modal untuk menjana pertumbuhan ekonomi.
Watson (1991) menyatakan empayar di masa depan ialah empayar pemikiran dan minda.
Untuk mengembangkan pemikiran dan minda pelajar khususnya, pendekatan pengajaran dan
pembelajaran teknologi maklumat di sekolah perlu digubah kepada pemikiran penyelidikan,
mengumpul maklumat, menganalisis data ke arah menggalakkan kreativiti dan motivasi pelajar.
Pendekatan pengajaran secara tradisional secara sogokan nota-nota seharusnya dikikis dari
pemikiran guru tetapi diubah dengan membekalkan pengetahuan dan kemahiran ke arah
mendapatkan maklumat.
Kini penggunaan komputer dan teknologi maklumat boleh dikatakan merangkumi setiap
kegiatan harian dalam hidup kita. Sebagai contoh, kita lihat dalam bidang pendidikan.
Penggunaan teknologi maklumat adalah amat penting terutama sekali sebagai alat membantu
pengurusan. Ianya digunakan untuk menyusun sistem data supaya menjadi kemas dan teratur
selain dari cepat dan terkini. Ianya juga boleh digunakan sebagai alat bantu mengajar yang
terbahagi kepada 4 jenis iaitu mod tutorial untuk pengajaran yang lebih interaktif, mod
penerokaan untuk murid merasai pengalaman menjalankan eksperimen, mod aplikasi supaya
murid akan lebih memberi tumpuan dan mod komunikasi yang amat sesuai untuk proses
pengajaran jarak jauh.
Rasa tanggungjawab untuk membawa perubahan bagi menjadikan proses pengajaran dan
pembelajaran lebih menarik adalah dorongan utama buat guru yang menghayati penggunaan
teknologi di dalam bidang pendidikan. Menyediakan bahan pengajaran menggunakan teknologi
maklumat dan komunikasi sebenarnya banyak melibatkan peruntukan persendirian guru kerana
ia memerlukan guru mengorban masa, tenaga dan wang untuk menyediakan bahan tersebut.

Cabaran ini ditambah pula dengan kekurangan perisian yang sesuai di pasaran di samping kos
yang tinggi untuk mendapatkannya. Namun guru perlu menyedari betapa pentingnya
menggunakan kaedah terkini agar pelajar tidak ketinggalan di dalam bidang teknologi masa
kini. Inilah motivasi untuk golongan guru tersebut menjalankan amanat di dalam bidang
pendidikan.
Usaha bersungguh-sungguh menggunapakai tenologi dalam pengajaran dan pembelajaran
bukan sahaja memanafaatkan tugasan dan pelajar malah ia juga berjaya menjadi contoh
kepada rakan seperjuangan dan pelajar lain. Teknik ini dan keberkesanannya telah menjadi
ikutan guru-guru lain dan seterusnya menjadi pemangkin kepada pembentukan satu budaya
TMK di sekolah.
Apa yang penting untuk membentuk budaya TMK di sekolah ialah penekanan dan fokus
terhadap guru terutamanya menyediakan kemudahan komputer khas buat guru seperti di dalam
bilik guru. Selain dari itu, para guru hendaklah memberi latihan dan menggalakkan pelajar
mengikuti aktiviti bagi menyedia bahan pengajaran bersama.
Walaupun memakan masa,tenaga dan wang, bahan pengajaran yang dibina berasaskan
teknologi hanya perlu dibuat sekali sahaja dan boleh diguna berulang kali untuk kelas yang
berlainan dan untuk tahun-tahun seterusnya. Jadi guru tidak lagi perlu menyediakan untuk
tahun akan datang tetapi berkemungkinan mereka akan membuat penambahbaikan kepada
bahan yang telah mereka sediakan agar ia bersesuaian dengan tahap pelajar pada tahun
tersebut.
Apa yang lebih memanafaatkan lagi ialah perkongsian bahan pengajaran kerana guru tidak
perlu menyediakan semua tetapi sebahagian bahan yang boleh dikongsi dengan guru lain yang
telah menyediakan bahan yang lain. Ini semestinya dapat menjimat masa guru dan menambah
koleksi bahan pengajaran mereka.
Dengan pengenalan teknologi di dalam pendidikan dan penggunaan bahan tersebut, secara
tidak sedar guru sekolah telah celik teknologi maklumat. Sekiranya ditugas mengganti guru
yang tidak hadir pun, mereka hanya perlu membawa seunit laptop ke dalam kelas untuk
melaksanakan tugasan dengan efektif dan tanpa rasa bosan.
Sungguhpun dorongan untuk memberi pengajaran yang terbaik agar ia menjadi lebih menarik
dan mudah difahami oleh pelajar, usaha guru TMK mahupun guru lain dalam mengguna pakai
TMK tidak akan mencapai kejayaan tanpa sokongan daripada beberapa pihak. Antaranya adalah
sokongan kuat daripada pihak pentadbiran sekolah terutama pengetua atau guru besar, Pejabat
Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia, pihak
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan juga sokongan dan kerjasama di antara para guru
sendiri khasnya guru pusat sumber sekolah dan guru data yang lebih berpengetahuan serta

berkemahiran dalam sistem TMK.


8.0 Maju lebih jauh
Naluri ingin tahu di kalangan guru kerana tidak mahu ketinggalan dalam bidang teknologi
terkini juga penting lebih-lebih lagi bila mendapat penekanan oleh pihak JPN dan KPM di dalam
bidang teknologi pendidikan. Sebagai contoh, Projek PPSMI dapat memberi kesan positif dalam
penggunaan teknologi di kalangan guru di mana guru terpaksa tahu TMK. Sekarang
merupakan zaman ICT ataupun TMK bermaksud semua orang perlu tahu TMK. Guru sekarang
tahu dengan ada pengetahuan TMK mereka dapat menjimatkan masa dan memudahkan kerja
mereka. Pelajar lebih seronok untuk belajar kemungkinan disebabkan ada audio,video dan
grafik yang menarik berbanding guru mengunakan papan hitam.
Perkongsian Pintar Pendidikan (SEP) di antara TIME Engineering Berhad, Prestariang Technology
Sdn Bhd, Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd dan Intel Technology Sdn Bhd telah dimeterai pada bulan
Mei 2005 bagi membantu Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menyepadukan pembangunan
professional keguruan dan latihan, membangunkan infrastruktur bagi komunikasi dan kolaborasi
guru serta melaksanakan program bagi meningkatkan pengiktirafan guru.
Projek Sekolah Angkat KPM-Intel adalah kerjasama antara kementarian dengan Intel Malaysia
untuk meningkatkan aplikasi pengetahuan komputer dan teknologi maklumat yang
diintegrasikan dalam aktiviti pengarjaran dan pembelajaran di sekolah. Program itu juga adalah
salah satu usaha kerajaan untuk memperluas penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi
di sekolah melalui program pembestarian sekolah sebagai usaha ke arah merealisasikan teras
ketiga dalam Rancangan Malaysia kesembilan iaitu memperkasakan sekolah kebangsaan.
8.1 Faktor Sekolah
Peranan dan Sikap pengetua dan guru besar:
Mengikut Rogers (1995) terdapat tujuh peranan yang dimainkan oleh agen perubahan:
i. Menimbulkan keperluan dan semangat untuk perubahan.
ii. Mewujudkan dan mengeratkan hubungan dengan penerima dan pengguna inovasi.
iii. Mendiagnosis masalah dan keperluan pengguna.
iv. Mencetuskan keinginan untuk perubahan.
v. Menterjemahkan keinginan terhadap perubahan kepada tindakan.
vi. Menstabilkan perubahan atau pembaharuan serta berusaha mengekalkannya.
vii.Menyerahkan tanggung jawab sepenuhnya kepada pengguna.
Oleh kerana penggunaan sistem teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan semakin
berleluasan dan penting, sebagai agen perubahan dalam kurikulum di sekolah, pengetua dan

guru besar memainkan peranan yang besar untuk membawa perubahan. Mereka harus
berkebolehan mempengaruhi semua warga sekolah terutamanya guru untuk menerima inovasi
dalam proses P&P. Sikap pihak pengurusan sekolah (pengetua atau guru besar, penolong kanan)
adalah kritikal terhadap pembentukan dasar dan amalan di peringkat sekolah. Mereka adalah
penggerak yang boleh memotivasikan setiap guru supaya mempunyai misi dan objektif yang
sama untuk meningkatkan kualiti pendidikan sekolah.
Perkara-perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah pengurusan masa, sumber dan
sokongan serta galakan moral kepada kakitangan atau guru yang memainkan peranan penting
(Zainab Hussin, 2005). Sikap pengetua atau guru besar dan pentadbir yang lain tidak mengambil
serius terhadap inovasi pendidikan akan melemahkan kesungguhan guru-guru yang mungkin
telah bersedia menghadapi cabaran perubahan. Pengetua atau pentadbir yang tidak prihatin
akan keperluan masa depan akan menyebabkan organisasi pendidikan ketinggalan. Maka,
pengetua dan guru besar harus memainkan peranan sebagai pemangkin, penyelesai masalah,
pembantu proses dan penghubung sumber seperti yang disyorkan oleh Havelock (1995).
8.2 Faktor Guru
i) Persepsi guru terhadap kepentingan komputer
Dapatan dari pemantauan kolaboratif Sekolah Bestari yang dijalankan pada tahun 2001 di
semua sekolah Bestari seluruh negara mendapati walaupun guru bersedia membuat perubahan
dengan mengintegrasikan teknologi maklumat dan komunikasi tetapi ada juga yang tidak
bersedia membuat perubahan kerana yakin proses pengajaran dan pembelajaran konvensional
relevan dengan sistem peperiksaan. Sekolah-sekolah lebih mementingkan pencapaian
keputusan peperiksaan yang cemerlang. Pada dasarnya jika keputusan peperiksaan yang
diperolehi setiap tahun cukup baik dan cemerlang pada tanggapan guru mengapa harus kita
mengubah apa yang telah sedia baik untuk pelajar. Dengan sikap sebegini adalah sukar bagi
perubahan dilakukan dengan berkesan.
ii) Kerisauan untuk menghadapi perubahan
Selain daripada sikap yang tidak menganggap teknologi itu penting, terdapat juga guru-guru
yang risau untuk mengguna peralatan teknologi itu sendiri. Sebenarnya, persediaan dan
penerimaan guru terhadap perkembangan dan pengaruh teknologi dalm kehidupan seharian dan
proses P & P bermula dengan keyakinan diri dan sikap yang positif. Menurut Zorainawati Wati
abas (1991), terdapat tiga jenis kerisauan yang dihadapi oleh guru-guru dalam penggunaan
komputer iaitu takut sekiranya rosak apabila disentuh peralatan tersebut, takut kerana mereka
merasakan tidak berupaya mempelajari teknologi tinggi iaitu tahap inferior yang tinggi dan ada
guru yang risau sekiranya sekolah mengarahkan guru yang tahu dan mahir komputer membuat

segala tugas yang memerlukan penggunaan komputer, dengan perasaan risau sebegini adalah
lebih mudah bagi mereka menolak terus perubahan.
iii) Masa dan beban tugas guru
Mengintegrasikan komputer dalam pengajaran memerlukan masa yang banyak bagi guru-guru
menyediakannya (Holmes, 1999). Persediaan diperlukan termasuk dari aspek menyediakan
bahan mengajar serta untuk setup bahan pada komputer sebelum kelas dimulakan. Dengan
bilangan waktu mengajar yang banyak, sesetengah guru mempunyai bilangan waktu mengajar
sebanyak 33 waktu seminggu, adalah sukar bagi guru untuk membuat persediaan mengajar di
sekolah dan juga untuk setup bahan mengajar di makmal komputer.
Guru-guru juga mempunyai beban tugas lain selain daripada mengajar yang akan mengambil
masa semasa waktu persekolahan seperti guru data, setiausaha peperiksaan, ketua-ketua
panitia, selepas waktu persekolahan seperti sukan, aktiviti persatuan, mesyuarat-mesyuarat
daerah, PIBG, kursus-kursus jangka panjang dan pendek. Situasi ini akan menyukarkan guru
untuk melakukan persediaan yang mantap terutama jika mereka perlu menyediakan bahan
sendiri, sebagai contoh jika guru perlu mendapatkan bahan dari internet dan untuk memilih
bahan yang sesuai kadang-kadang mengambil masa berjam-jam.
Penghasilan bahan pengajaran pembelajaran berasaskan kaedah bestari memerlukan masa
yang lama kerana penghasilan bahan perlu dibuat dengan teliti supaya bahan tersebut berupaya
membolehkan pelajar dapat berfikir dengan kritis dan kreatif, berupaya membuat penerokaan
sendiri pada kadar kendiri dan mampu memajukan diri sendiri (self access, self pace and self
excel). Bahan-bahan pengajaran atau dalam bestari disebut sebagai pakej pembelajaran juga
menitik beratkan kepelbagaian kecerdasan pelajar, keadaan ini secara tak langsung
memerlukan persediaan yang teliti dan masa yang lama dalam membina pakej-pakej
pembelajaran tersebut.
iv) Kemahiran komputer dan pengetahuan penggunaan komputer dalam P&P
Aspek pembaharuan dalam kaedah mengajar dengan menggunakan teknologi masih terbatas
kerana tidak semua guru telah dilatih dan mahir dalam penggunaannya. Proses pengajaran
memperalatkan teknologi menuntut guru berkemahiran dalam membina persembahan dan
mengintegrasikan multimedia sekurang-kurangnya menggunakan Powerpoint dengan input-input
seperti rakaman suara, memasukan video, grafik dan bunyi mengikut kreativiti guru. Tidak
semua bahan pengajaran telah tersedia untuk digunakan terus. Dengan adanya kemahiran
komputer, guru dapat mencurahkan ilmu dan kemahiran dalam subjek masing-masing dan
kaedah pengajaran dapat dipelbagaikan, dengan demikian peralatan-peralatan teknologi yang
dibekalkan ke sekolah-sekolah tidak menjadi gajah putih yang hanya digunakan untuk membuat
soalan-soalan peperiksaan.

Dapatan kajian Robiah Sidin, Juhana Salim dan Nor Sakinah Mohamad (2003) menunjukkan
penggunaan komputer oleh guru adalah pada tahap yang minima iaitu sekali sekala dalam masa
sebulan. Dapatan juga menunjukkan guru-guru kerap menggunakan hanya tiga jenis program
iaitu pemprosesan perkataan, mengintegrasikan pemprosesan perkataan dalam pengajaran dan
pengurusan fail. Guru-guru jarang menggunakan pangkalan data, persembahan mutimedia,
persembahan grafik, mel elektronik dan laman web dalam pengajaran. Buat masa
kebelakangan ini, lebih ramai guru yang memperolehinya secara pembacaan dan pengalaman
sendiri.
8.3 Sokongan daripada pihak luar
Untuk memantapkan integrasi teknologi maklumat & komunikasi dalam proses pembelajaran
dan pengajaran, pihak sekolah harus menggunakan pelbagai perkhidmatan luar seperti pihak
swasta, kerajaan, badan akademik, komersial serta masyarakat sekeliling. Pusat Sumber
Pendidikan Negari (PSPN) merupakan sumber rujukan dan gedung ilmu yang paling relevan
untuk mendapat khidmat bantu mengenai teknik dan kaedah pembelajaran dan pengajaran
menggunakan teknologi maklumat & komunikasi. Selain daripada itu, pengkongsian kepakaran
antara sekolah sekawasan juga boleh dilakukan sebagai strategi untuk meningkatkan kemahiran
teknologi maklumat & komunikasi guru dan semua warga sekolah.
8.0 Peranan guru dalam era TMK
Masyarakat kita sedang mengalami transformasi menyeluruh. Perubahan itu didorong oleh
perkembangan Information Technology and Telecommunications (IT & T). Maka agar guru dan
pendidik tetap ikut berperanan dalam era Learning Society abad 21, mesti melakukan
transformasi diri: (a) trampil menggunakan teknologi informasi dan (b) menjadi seorang
pendidik, yang dari kata-kata, perilaku dan sikapnya dapat mentransfer nilai-nilai kehidupan
(soft skill).
Guru merupakan pemimpin yang harus berperanan sebagai agen perubahan untuk melakukan
perubahan ke atas sekolah dan bilik darjah (Berita Harian, 20 Julai, 2002). Kenyataan ini
mecerminkan bahawa dalam sesebuah sekolah, guru memainkan peranan yang penting secara
positif. Malah menjurus kepada pengertian yang lebih mendalam bahawa guru adalah individu
yang menggariskan suatu hala tuju, membentuk warga pelajar ke arah merealisasikan hala tuju
tersebut dengan nilai-nilai kepemimpinan yang positif (Abdul Ghani Kanesan dan Mohd. Yahya
Fadzil Jusoh, 2008). Kepemimpinan guru dalam budaya sekolah yang mengutamakan TMK dapat
dilihat menerusi beberapa peranan berikut:
8.1 Pengajar
Guru merupakan agen mempertingkatkan prestasi pelajaran dan penggunaan TMK pelajar.
Mereka perlu memahamkan pelajar tentang konsep dengan mudah, sistematik, seronok dan
bermakna. Di samping itu, guru turut sama berperanan sebagai individu yang menjadi jambatan
rujukan pengetahuan dan maklumat tentang TMK kepada warga pelajar.
8.2 Pembimbing
Guru membimbing pelajar ke arah bersikap rasional, realitik, kondusif dalam pembelajaran

sistem TMK dan menyelesaikan masalah ekoran cabaran yang ditemui. Apabila pelajar dapat
menembusi proses pembelajaran yang kondusif, maka secara tidak langsung situasi ini
menyediakan diri mereka dalam aspek pencapaian yang baik.
8.3 Inventor
Guru memperkenalkan inovasi teknik dan sebagai agen perubahan kepada suasana dan
persekitaran pembelajaran yang menggunakan teknologi secara giat dan berkesan. Guru harus
mempunyai keyakinan dan berdaya tinggi dari aspek kreativiti dan inovasi dalam proses
mengajar TMK. Hal ini akan menjadikan pelajar tertarik kepada pengetahuan dan pembelajaran
TMK. Jika segala atribut dalam budaya diterapkan oleh guru menjadi ikutan pelajar, maka
amalan ini akan membina suatu budaya sekolah.
9.0 Kesimpulan
Aspek teknologi telah digabungkan dalam kurikulum sekolah sebagai satu daya usaha ke arah
menyemai dan memupuk minat serta sikap yang positif terhadap perkembangan teknologi.
Penggunaan teknologi dalam bidang pendidikan bermaksud menggunakan teknologi secara
berfikrah, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran. Integrasi TMK dalam bidang pendidikan merupakan perkara yang
penting dan memerlukan sokongan serta usaha yang sepenuhnya di antara pentadbir sekolah
(pengetua dan guru besar), guru, pelajar, ibu bapa dan pihak luar. Semua warga sekolah mesti
menerima perubahan dan fenomena TMK yang semakin hari semakin penting di sekolah.
Sebagai tenaga pengajar dan agen perubahan di sekolah dan alam pendidikan, para guru perlu
memainkan peranan sebagai pengajar, pembimbing dan inventor yang positif dan berkesan bagi
menjayakan pelaksanaan sistem teknologi maklumat dan komunikasi di sekolah. Guru-guru
mesti membuat persediaan yang rapi baik dari segi mental (berfikiran terbuka, positif dan
sanggup menerima perubahan serta cabaran), sikap (ingin tahu dan belajar, berkeyakinan diri,
kreatif dan inovatif) mahupun dari segi fizikal (penggunaan ABM dengan pengetahuan dan
kemahiran TMK). Ini sejajar dengan nasihat yang diberikan oleh Tuan Haji Hussin bin Haji
Harun, Tuan Pengarah Pelajaran Perak, dalam Pendidik Bestari: Bicara Bestari (2008): Keperluan
tenaga abad ke 21 dicerakin dan dilaksanakan melalui pembangunan potensi kemanusiaan
secara bersepadu, memahami aspirasi dan agenda nasional, menguasai sepenuhnya bidang ICT,
mengamalkan pembangunan penyelidikan (R&D), teknologi tinggi (high tech) dan pengurusan
kewangan mapan. Perlu juga dipersiapkan generasi ketiga yang berdisiplin, berhemah tinggi,
mempunyai jati diri, memiliki ciri-ciri kreatif, inovatif, responsif, proaktif, progresif dan
produktif, dalam menghadapi proses dan cabaran globalisasi, menterjemah dalam bentuk
realiti sebuah negara Malaysia yang maju dalam acuan sendiri.

Sistem pendidikan sekolah di Malaysia hari ini dikatakan dapat menyediakan pelajar-pelajar
yang serba boleh bagi menghadapi masa depan yang lebih mencabar. Dari masa ke semasa,
kerajaan akan sentiasa mencari jalan supaya pendidikan di Malaysia dapat dipertingkatkan.
Dalam keghairahan mengguna teknologi maklumat dalam pendidikan, kita harus berwaspada
terhadap bahaya dan kesan negatif akibat penggunaan yang tidak terkawal. Walau apapun
pandangan kita, penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran sedikit
sebanyak sudah pasti akan mengubah corak pendidikan masa depan dan tingkah laku kanakkanak. Oleh itu, pengawalan dan pengawasan yang rapi harus diberikan apabila menggunakan
teknologi canggih ini.

You might also like