You are on page 1of 8

KEPUTUSAN MUZAKARAH KHAS

JAWATANKUASA FATWA MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL UGAMA


ISLAM MALAYSIA MENGENAI TRAGEDI MH370
Tarikh: 25 Mac 2014
Masa: 6.00 Petang
Tempat: Dewan Syura JAKIM
1. Setelah mendengar dan meneliti tiga (3) kertas kerja yang telah disediakan mengenai
penentuan hukum syarak dalam tragedi MH370, dan setelah berbincang serta meneliti semua
pandangan ulama serta pandangan ahli-ahli pakar pelbagai bidang sejak daripada tragedi ini
berlaku pada 8 Mac 2014 hinggalah kepada pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia
pada 24 Mac 2014 bahawa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 disahkan berakhir di
tengah-tengah Lautan Hindi di kawasan barat Perth Australia, Muzakarah menegaskan
bahawa pensabitan kematian seseorang mempunyai kesan dan implikasi yang besar dari
perspektif syarak. Oleh itu, dalam Islam terdapat kaedah-kaedah yang telah digariskan bagi
menangani permasalahan mereka yang tidak diketahui samada masih hidup atau sudah mati,
serta dalam Fiqh kes seperti ini dikenali sebagai Mafqud (orang yang hilang).
2. Muzakarah menjelaskan bahawa berdasarkan pandangan as-Syafie Mafqud ialah orang
yang tidak didengari khabarnya, dan barangkali kemungkinan besarnya dia telah mati. (AlSyafie, Al-Umm, 6:182). Para ulama memperincikan bahawa mafqud dibahagikan kepada
dua bahagian dan hukum kedua-duanya adalah berbeza. Pertama: Mafqud yang secara zahir
dan kebarangkalian kuatnya dianggap telah terkorban. Mafqud bahagian ini ialah orang yang
hilang dalam suatu bencana kebinasaan. (Ibn Qudamah, Al-Mughni, 6:389). Kedua: Mafqud
yang secara zahir dia masih hidup. Contohnya seseorang yang keluar dari rumahnya untuk
berniaga atau melancong tetapi tidak kembali pulang ke rumahnya.

3. Daripada contoh mafqud yang dibawakan oleh Ibn Qudamah, Muzakarah berpandangan
bahawa dalam kes pesawat MH370 yang berakhir dalam lautan yang amat luas dan dalam,
mayat-mayat dan bangkai pesawat menghadapi kesukaran untuk ditemui, dan pandangan
pakar mengatakan bahawa survival manusia untuk hidup adalah tipis, maka kes ini bolehlah
dikategorikan sebagai Mafqud yang secara zahir dan kebarangkalian kuatnya dia dianggap
telah terkorban.
4. Muzakarah juga menjelaskan bahawa mengenai kadar tempoh mafqud sebelum diputuskan
status kematiannya, tidak terdapat nas yang jelas daripada dalil-dalil Quran dan Sunnah
berkenaan penetapan tempoh-tempoh tertentu secara tetap. Kebanyakan pendapat yang
dinukilkan adalah bersumberkan kepada pendapat-pendapat para sahabat dan pendapatpendapat tersebut bukan dalam bentuk kesepakatan yang boleh dinilai sebagai hujah ijmak,
kerana wujud perselisihan dalam kalangan sahabat dan tabien. Namun keperluan kepada
tempoh pencarian bagi mafqud adalah disepakati oleh para ulama.
Muzakarah juga berpendapat bahawa perbezaan yang ketara dari segi uruf dan masa perlu
diambil kira dalam penentuan tempoh mafqud ini kerana ia memberi kesan dalam pensabitan
hukum-hakam seterusnya.
5. Dalam hal ini, Muzakarah memutuskan bahawa dalam tragedi MH370 ini, keperluan
menetapkan tempoh mafqud adalah terletak kepada pertimbangan ulil amri berdasarkan
kepada ijtihadnya selaras dengan pandangan majoriti ulama, termasuk mazhab Syafie,
mazhab Maliki, mazhab Hanafi dan satu riwayat mazhab Hanbali. (Nihayah al-Muhtaj, 6:28;
Hasyiyah al-Dusuki, 4:434; Hasyiyah Ibn Abidin, 3:332; Al-Kasysyaf, 4:391).
Justeru, berasaskan kepada Kaedah Fiqhiyyah iaitu Menghilangkan Kemudaratan, lima(5)
prinsip Maqasid Syariyyah iaitu menjaga agama, nyawa, harta, keturunan dan akal serta
berasaskan kepada Siyasah Syariyyah dalam menjaga kemaslahahatan keluarga dan pihak-

pihak yang terlibat serta bersesuaian dengan uruf dan waqi, Muzakarah memutuskan bahawa
keadaan mafqud dalam tragedi ini tidak memerlukan kadar tempoh tertentu kerana usahausaha pencarian yang telah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh walaupun dalam
keadaan lautan yang amat mencabar serta qarinah-qarinah yang boleh diambil kira sebelum
dan selepas pengumuman Kerajaan bahawa pesawat MH370 berakhir di tengah-tengah
Lautan Hindi, telah melalui tempoh munasabah bagi mafqud yang boleh diputuskan oleh Ulil
Amri.
6. Sehubungan itu berdasarkan semua keterangan dan hujah-hujah yang dinyatakan tersebut,
Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa semua penumpang pesawat MH 370 adalah
dikategorikan sebagai Mafqud yang secara zahir dan kebarangkalian kuatnya telah dianggap
terkorban.
Oleh itu, memandangkan usaha-usaha mencari telah dijalankan dalam tempoh yang
munasabah bagi mafqud dengan penggunaan pelbagai aset dan alat komunikasi berteknologi
tinggi serta kewujudan qarinah-qarinah yang boleh diambil kira, maka Muzakarah
berpendapat bahawa penumpang pesawat MH370 tersebut boleh dianggap telah terkorban.
Walau bagaimanapun pengesahan atau pensabitan kematian hendaklah diputuskan oleh
Mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
Muzakarah juga berpandangan bahawa memandangkan pihak berkuasa masih terus mencari
kesan daripada tragedi tersebut termasuk mayat atau cebisan mayat penumpang yang
terkorban, maka Solat Jenazah Ghaib tidak perlu dilaksanakan lagi.
7. Muzakarah juga memutuskan bahawa jika dalam usaha pencarian kesan daripada tragedi
tersebut, pihak berkuasa berjaya menemui mayat atau cebisan mayat, maka wajiblah
diuruskan mayat tersebut seperti yang ditetapkan oleh Islam.

Oleh kerana penumpang MH370 ini terdiri daripada berbagai agama dan jika tidak dapat
dibezakan antara Islam dan bukan Islam, maka untuk menguruskan mayat orang Islam dalam
keadaan bercampur ini, hendaklah diuruskan kesemua mayat yang dijumpai tersebut
mengikut Islam dan sewaktu Solat Jenazah hendaklah diniatkan hanya untuk orang Islam
sahaja.
Jika yang ditemui itu hanya cebisan-cebisan atau sebahagian anggota kecil sahaja, maka
hendaklah dikumpulkan semuanya dan diuruskan mengikut Islam dan ketika Solat Jenazah
hendaklah diniatkan untuk orang-orang Islam sahaja.
8. Mengenai hal-hal berkaitan pengagihan harta pusaka, pembubaran status perkahwinan
mangsa, atau hukum-hukum lain yang bersangkutan daripada tragedi ini, Muzakarah
menegaskan bahawa ianya hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan berasaskan
peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan setelah pengesahan atau pensabitan
kematian diputuskan oleh mahkamah.
9. Muzakarah juga berpandangan bahawa dalam menghadapi suasana tragedi ini, pelaksanaan
ibadah-ibadah seperti Solat Hajat, bacaan Yasin dan sebagainya bolehlah diteruskan oleh
umat Islam.
10. Muzakarah juga memutuskan bahawa orang-orang Islam yang disabitkan kematiannya
dalam tragedi MH370 ini adalah tergolong sebagai Syahid Akhirat berasaskan kepada hadis
Nabi s.a.w. yang menyebutkan bahawa mati kerana tenggelam termasuk dalam salah satu
kategori Syahid Akhirat.
Disediakan oleh:
DATO HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
Disahkan oleh:
PROF. EMERITUS TAN SRI DATO DR. ABDUL SHUKOR BIN HJ. HUSIN
Pengerusi,
Jawatankuasa Fatwa
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia

Selain itu, beberapa kenyataan tokoh-tokoh di Malaysia, antaranya:


Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang:
Selagi tidak ditemui jasad atau bukti mensabitkan kematiannya secara fizikal, maka tempoh
empat tahun perlu diambil kira. Dari segi Islam, pernah disabitkan kematian setelah berlalu
selama empat tahun. Selagi tak jumpa, selagi tak sampai empat tahun, itu terpulang kepada
kerajaan untuk memutuskan hal itu.
Mufti Pahang, Datuk Abdul Abdul Rahman Othman:
Tidak perlu solat jenazah ghaib selagi belum ada bukti menunjukkan penumpang pesawat
MAS MH370 tersebut meninggal dunia. Solat jenazah ghaib boleh dibuat sekiranya ada bukti
yang mengesahkan pesawat itu terhempas di lautan Hindi yang mengorbankan kesemua
penumpang dan anak kapal.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri:
Sebelum ini, kami pernah menyatakan bahawa solat jenazah ghaib, tahlil dan lain-lain
tidak boleh dilakukan lagi selagi mana tiada pengesahan yang benar-benar boleh diyakini
daripada pihak yang berautoriti. Sekurang-kurangnya jika dijumpai kotak hitam atau apa-apa
bukti, maka bolehlah diisytiharkan mereka sudah meninggal dunia. Impak yang besar kepada
keluarga daripada sudut perkahwinan dan pembahagian harta pusaka jika mengisytiharkan
mereka sudah meninggal dunia tanpa bukti yang jelas. Apa yang boleh dilakukan adalah terus
berusaha dalam pencarian dan berdoa.
Walau bagaimanapun, berkenaan dengan tempoh mafqud seperti pendapat yang pelbagai
di kalangan ulama menunjukkan ia adalah masalah ijtihadiah semata-mata untuk menemukan
sebuah keyakinan. Justeru, tatkala badan berautoriti (DCA) sendiri telah membuat kenyataan
pada hari ini secara rasminya 29 Januari 2015, maka sifat sebagai hakim atau kerajaan adalah

boleh diambil kira dan diterima pakai. Begitu juga dengan pandangan dan pendapat pakar
berkaitan penerbangan sewajarnya menjadi rujukan dalam isu ini kerana mereka dianggap
ahli khibrah yang menjadi rujukan para ulama di sepanjang zaman dalam menentukan satusatu hukum.
Tambahan pula, jumlah masa yang diambil untuk pengumuman adalah 327 hari dan masih
berjalan pencariannya dengan membabitkan banyak negara. Usaha dengan membabitkan 160
aset iaitu 65 pesawat dan 95 kapal bersama pakar dari 25 buah negara menyertai operasi dan
menyelamat. Dalam tempoh tersebut sudah mencapai hampir sebelas bulan dan menuju ke
setahun sedangkan mengikut satu pendapat dalam undang-undang keluarga Jordan yang
menggabungkan Mazhab Maliki dan Hanbali dalam perkara 177 antara lain menyebut:
Adapun jika hilang pada suatu arah yang tidak diketahui dan tidak diyakini akan
kebinasaannya maka penentuan tempoh untuk memutuskan kematiannya diserahkan kepada
Qadhi dengan mengambil kira tempoh tersebut mestilah cukup untuk meyakini
kematiannya.
Akhirnya keputusan Hakim atau kerajaan dianggap sebagai penyelesai dan mengangkat
sebarang khilaf yang berlaku seperti dalam kaedah yang masyhur.

Maksudnya: Keputusan hakim (pemerintah) mengangkat khilaf
Oleh itu, kami berpendapat jika pengumuman telah dilakukan pada hari (Khamis, 29 Januari
2015), maka kesimpulan yang diambil ialah:
Pertama: Penumpang MH370 telah meninggal dunia.

Kedua: Wajar melakukan solat jenazah ghaib dengan mengambil kira sebahagian daripada
pendapat ulama. Termasuk juga tahlil dan berdoa untuk mangsa MH370 yang beragama
Islam yang terkorban.
Ketiga: Hak pewarisan berjalan mengikut keputusan Mahkamah Syariah.
Keempat: Tempoh iddah bolehlah dikira dan penentuan berdasarkan keputusan Mahkamah
Syariah.
Kelima: Anak-anak mereka dianggap sebagai yatim jika belum akil baligh.
Keenam: Dengan keputusan kerajaan pada hari ini, selepas mengambil kira pelbagai aspek
dan pencarian dalam tempoh yang lama dengan pelbagai usaha dan daya serta gembleng
pelbagai kepakaran makanya keputusan kerajaan memberi maksud bahawa mereka adalah
telah terkorban. Natijahnya akan meringankan penderitaan dan menyelesaikan kemelut yang
tertangguh dalam melayari kehidupan yang mendatang terhadap keluarga mangsa dan waris
mereka.

Musa Awang (2014). Merungkaikan Status Orang Hilang.


http://peguamsyariemalaysia.blogspot.my/2014/07/merungkai-status-orang

Admin PMWP (2015). Isu Khas: Penjelasan Hukum Terhadap Mangsa MH370.
http://www.muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=204

Ahmad Solahuddin Al Ayyubi bin Ahamad (2014). Jurnal: Analisis Fatwa Majlis
Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Mengenai Tragedi MH370.

Abdul Halim Bahari (2014). Tempoh Had Mafqud Ikut Situasi. Keratan Akhbar Berita
Harian Online.

Mohd Fahmi Mohd Yusof (2015). MH370: Muzakarah Fatwa Kebangsaan Bincang Hukum
Solat Jenazah Ghaib. Keratan Akhbar Berita Harian Online.

Imam Asari (2012). Jurnal Ilmiah: Kedudukan Orang Hilang Dalam Perspektif Kewarisan
Kuhperdata (BW) dan Hukum Kewarisan Islam.

You might also like