You are on page 1of 7

GOLONGAN KATA (KATA TUGAS)

Dalam bahasa Melayu terdapat empat golongan kata, iaitu kata


nama, kata kerja, kata adjektif, dan kata tugas. Kesemuanya
menimbulkan masalah kepada para pelajar. Tetapi yang paling menyulitkan
ialah golongan kata tugas.
Yang menjadikan kata tugas bermasalah ialah kepelbagaiannya.
Bukan sahaja jumlahnya besar, tetapi jenisnya amat pelbagai sehingga
mengelirukan. Untuk memulakannya, kita hendaklah faham dan tahu akan
definisinya serta cara menjenis-jeniskan golongan kata ini.

KATA TUGAS

Kata tugas ialah satu kelompok perkataan yang kehadirannya dalam


ayat penting kerana tugas-tugas sintaksis yang dipikulnya. Tiap-tiap jenis
kata tugas mempunyai peranan tertentu, yang jikalau tidak hadir dalam ayat,
sama ada akan merosakkan ayat itu atau mengurangkan maksud-maksud
tertentu. Tidak seperti tiga golongan kata yang lain dalam bahasa Melayu,
iaitu kata nama, kata kerja, dan kata adjektif, kata tugas tidak berfungsi
sebagai inti sesuatu frasa. Kata tugas hadir dalam ayat, sama ada di bahagian
hadapan ayat, di bahagian hadapan frasa, atau di belakang perkataan-
perkataan tertentu untuk memberikan makna khusus atau memainkan
peranan sintaksis tertentu dalam ayat berkenaan.
Oleh itu, dari segi kehadiran kata tugas dalam ayat, dapat
dibahagikannya kepada empat, iaitu:
1. Sebagai perkataan yang menghubungkan ayat dengan ayat (kata
hubung)

2. Sebagai perkataan yang hadir di hadapan ayat atau klausa (kata


praklausa)

3. Sebagai perkataan yang hadir di hadapan frasa (kata prafrasa)

4. Sebagai bentuk perkataan yang hadir selepas perkataan-perkataan


tertentu (kata pascakata)
Kata Hubung

Kata hubung terdiri daripada empat subjenis, iaitu kata hubung


gabungan, kata hubung pancangan keterangan, kata hubung pancangan
relatif, dan kata hubung pancangan komplemen.
Jumlah kata hubung gabungan dalam bahasa Melayu amat besar,
antaranya, dan, tetapi, atau, serta, seraya, sambil, dan lalu. Demikian juga
dengan kata hubung pancangan keterangan; antaranya, walaupun, kerana,
hingga, jikalau, untuk, dan apabila. Sebaliknya, hanya terdapat satu kata
hubung pancangan relatif, iaitu yang. Jumlah kata hubung pancangan
komplemen juga tidak banyak, antaranya, bahawa, untuk, dan supaya.

Kata Praklausa

Golongan katat praklausa pula terbahagi kepada lima subjenis,


masing-masing hadir di hadapan ayat dan masing-masing memikul tugas
tertentu. Subjenis kata praklausa ialah kata seru, kata tanya, kata
perintah, kata pembenar, dan kata pangkal ayat.

Kata Seru

Kata seru ialah perkataan yang digunakan untuk menyampaikan


perasaan-perasaan seperti marah, sakit, hairan, geram, terperanjat, dan
ejekan. Sebagai contoh ialah perkataan cis dan aduh dalam ayat-ayat yang
berikut:

1. Cis, penakut rupanya!


2. Aduh, sakitnya kakiku!

Perhatikan bahawa dalam ayat seru, kata seru berada di hadapan ayat
dan pada akhir ayat diletakkan tanda seru (!).

Kata Tanya

Kata tanya digunakan untuk menanyakan sesuatu. Lazimnya kata


tanya disertai bentuk penegas –kah dan hadir di bahagian hadapan ayat.
Misalnya:
1. Bilakah awak hendak ke pejabat pos?
2. Berapakah harga buku itu?

Perhatikan bahawa dalam ayat yang mengandungi kata tanya (iaitu


ayat tanya), terdapat tanda soal (?) di bahagian akhir ayat tersebut.

Kata Perintah

Kata perintah ialah kata tugas yang hadir di hadapan ayat perintah.
Terdapat banyak jenis ayat perintah, iaitu ayat suruhan, ayat larangan,
ayat silaan, dan ayat permintaan. Maka terdapat pelbagai jenis kata
perintah. Misalnya, jangan, usah, sila, jemput, minta, dan tolong. Perhatikan
contoh-contoh dalam ayat yang berikut:

1. Jangan ambil buku daripada almari itu.


2. Sila masuk ke dewan sekarang juga.
3. Tolong kembalikan borang ini sebelum akhir bulan.

Kata Pembenar dan Kata Pangkal Ayat

Dua lagi kata tugas dalam subjenis kata praklausa ialah kata
pembenar dan kata pangkal ayat, masing-masing tidak begitu kerap
digunakan dalam bahasa Melayu dan tidak pula menimbulkan kesukaran.
Contoh kata pembenar ialah benar dan ya, sementara contoh kata pangkal
ayat ialah maka, arakian, hatta, dan sebermula.

Kata Prafrasa

Yang agak besar jumlahnya dan yang kerap menimbulkan masalah


ialah golongan yang ketiga, iaitu kata prafrasa. Jumlah subjenis golongan ini
ialah lapan, iaitu kata bantu, kata penguat, kata penegas, kata nafi, kata
pemeri, kata sendi nama, kata arah dan kata bilangan. Bukan sahaja
jumlah subjenisnya banyak, tetapi jumlah perkataan dalam setiap subjenis
juga banyak dan hampir semuanya mempunyai kekerapan yang tinggi dalam
bahasa Melayu. Kata sendi nama, misalnya terdiri daripada satu jumlah yang
besar dan kompleks penggunaannya. Subjenis kata bilangan juga kompleks,
dan para pelajar selalu keliru tentang penggunaan kata nafi serta kata
pemeri.
Kata Bantu

Kata bantu ialah perkataan yang hadir di hadapan kata kerja dan kata
adjektif untuk memberikan maksud tertentu. Terdapat dua jenis kata bantu
dalam bahasa Melayu, iaitu kata bantu aspek dan kata bantu ragam. Kata
bantu aspek menimbulkan suasana perbezaan masa, iaitu masa lampau
(telah, sudah, dan pernah), masa kini (sedang dan masih), atau masa
hadapan (akan dan belum). Kata bantu ragam pula menyampaikan maksud
ragam perasaan, misalnya hendak, mahu, harus, mesti, boleh, dan dapat.
Contoh penggunaan kata bantu dalam ayat ialah:

1. Mereka sedang menajalani latihan di pusat sukan.


2. Pisang itu masih muda lagi.

Kata Penguat

Kata penguat ialah perkataan yang hadir di hadapan frasa atau kata
adjektif untuk menguatkan maksudnya. Kadang-kadang, kata penguat boleh
juga hadir di belakang kata adjektif. Contoh kata penguat ialah paling, agak,
terlalu, amat, sangat, dan sungguh. Contoh dalam ayat ialah:

1. Pelajar itu sungguh rajin.


2. Karangan Anita agak baik.

Kata Penegas

Kata penegas ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan


pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Terdapat dua jenis kata
penegas, iaitu:
1. Yang menegaskan hanya frasa predikat atau bahagiannya. Contoh kata
penegas jenis ini ialah –kah, -tah, dan –lah.

2. Yang menegaskan kedua-dua bahagian ayat, iaitu frasa nama sebagai


subjek atau sebahagiannya atau frasa predikat atau bahagian-
bahagiannya. Contoh kata penegas jenis ini ialah juga, jua, pun, sahaja,
lagi, hanya, dan memang.

Beberapa contoh kata penegas dalam ayat adalah seperti yang berikut:
1. Itulah ibu pejabat persatuan kami.
2. Hanya Ali yang telah sampai ke rumah.

Kata Nafi

Kata nafi hadir di hadapan frasa predikat untuk menafikan maksud


yang terkandung dalam frasa tersebut. Terdapat dua kata nafi, iaitu tidak dan
bukan, dengan peraturan tertentu tentang penggunaannya. Peraturan inilah
yang kurang diketahui oleh para pengguna bahasa, sehingga menimbulkan
kesulitan. Sebenarnya, jikalau dipelajari dan difahami peraturan ini,
penggunaan kata nafi tidak akan menjadi masalah.
Kata nafi bukan hadir di hadapan frasa atau kata nama dan frasa atau
kata sendi nama, seperti ternyata dalam contoh yang berikut:

1. Encik Ahmad bukan guru sukan kami.


2. Dia bukan dari sekolah asrama penuh.

Kata nafi tidak pula hadir dalam ayat yang frasa predikatnya terdiri
daripada frasa / kata kerja dan frasa / kata adjektif, seperti dalam ayat-ayat
yang berikut:

1. Tetamu dia tidak datang.


2. Pelajar itu tidak cergas sangat.

Kata Pemeri

Kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai
antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Terdapat dua jenis
kata pemeri, iaitu:

1. Ialah, yang hadir di hadapan frasa nama dalam predikatnya. Contohnya:


1. Projek yang baru dirasmikan itu ialah salah satu projek bagi
membasmi kemiskinan.

2. Adalah, yang hadir di hadapan prediakt yang terdiri daripada frasa


adjektif dan frasa sendi nama. Contohnya:
a) Dengan predikat frasa sendi nama
1. Sumbangan yang terbesar adalah daripada penduduk-penduduk
kampung tersebut.
b) Dengan predikat frasa adjektif
1. Cadangan para pelajar itu adalah sangat baik.
PERHATIAN

Jika predikatnya frasa kerja, ialah dan adalah tidak diperlukan. Ayat 1
yang berikut lebih tepat daripada ayat 2.

1. Pandangan itu merupakan suatu yang dapat diberikan


pertimbangan.

2. Pandangan itu adalah merupakan suatu yang dapat diberikan


pertimbangan.

Kata Sendi Nama

Kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa


nama. Jumlah kata sendi nama dalam bahasa Melayu agak banyak, masing-
masing dengna cara penggunaan tersendiri. Kata sendi nama adalah antara
perkataan yang menjadi masalah bagi para pelajar. Berikut disenaraikan kata
sendi nama dalam bahasa Melayu yang lazim digunakan.

di bagi umpama hingga


ke demi sejak untuk
dari untuk terhadap antara
daripada tentang akan dengan
kepada seperti oleh dalam
pada

Kata Bilangan

Kata bilangan pula ialah sejumlah perkataan yang menjadi penerang


jumlah kepada frasa nama. Contohnya, dua, lima belas, segala, semua,
ketiga-tiga, masing-masing, dan separuh.

Kata Pascakata

Kata pascakata hadir selepas perkataan dengan tugas-tugas tertentu.


Terdapat dua subjenis kata pascakata, masing-masing ditandai dengan
perkataan –nya, iaitu kata penekan, yang memberikan penegasan, dan kata
pembenda, yang menukar perkataan bukan kata nama menjadi kata nama.
Contoh fungsi penekan ialah sesungguhnya, bahawasanya, dan nampaknya.
Contoh fungsi pembenda ialah lajunya, sakitnya, dan datangnya.
Demikianlah huraian ringkas tentang kata tugas, yang tiap-tiap satu
memerlukan huraian yang lebih lanjut. Jelas kelihatan bahawa golongan kata
ini penting dalam bahasa Melayu kerana peranan yang dimainkan oleh tiap-
tiap jenis.

You might also like