You are on page 1of 1

Antibuli - Kempen kebangsaan dilancar

Pada tahun ini, kempen antibuli yang dilancarkan di peringkat kebangsaan, bukan setakat
mensasarkan buli sifar tetapi menjadikan ia sebagai suatu budaya membenci salah laku itu.
Membudayakan antibuli ini bukan sahaja melibatkan pelajar dan sekolah - malah guru, ibu bapa dan
masyarakat keseluruhannya. Tekad semua pihak semasa ia dilancarkan ialah memberi kesedaran
berterusan kerana perbuatan buli melambangkan masyarakat tidak bertamadun. Kempen itu dilancarkan
oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman
Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Ahamad Sipon, Pengarah Bahagian
Sekolah, Salleh Husein dan Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, Noor Rezan Bapoo Hashim.
Menurut Noh, semua pihak perlu memperkukuh peribadi dan jati diri dalaman para pelajar di peringkat
awal dan menangani isu tersebut secara berterusan. Tujuan kempen ini adalah untuk memberi kesedaran
kepada seluruh warga pendidikan tentang kesan perbuatan buli, selain membantu pihak sekolah
merancang dan melaksanakan program serta aktiviti yang dapat membimbing semua warga sekolah
menangani isu ini dengan teratur, bersepadu dan berhemah,'' ujarnya.
Kesungguhan keseriusan kementerian untuk menangani isu tersebut telah dimulakan melalui penubuhan
Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin pada tahun 2004 dengan dipengerusikan sendiri oleh
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Ia dianggotai oleh pelbagai pihak dan untuk
memantapkan kerjasama itu, empat jawatankuasa bertindak ditubuhkan. Jawatankuasa itu ialah
Jawatankuasa Bertindak Menangani Isu-Isu Sekolah, Jawatankuasa Bertindak Dalam Aspek Perundangan
dan Penguatkuasaan, Jawatankuasa Bertindak Bagi Pendekatan Psikologi dan Kesihatan serta
Jawatankuasa Bertindak Bagi Pendekatan Masyarakat.

Melaluinya juga sebuah Sekretariat Tetap Menangani Gejala Disiplin diwujudkan, dan diuruskan
oleh Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran. Beberapa tindakan lain turut dilakukan iaitu mewujudkan
pasukan Flying Squad di peringkat kementerian pasukan pemantau Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan
Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).
Pada tahun 2005, pasukan tersebut telah turun padang membuat pemantauan aspek disiplin pelajar di
1,624 sekolah dan hasilnya, kebanyakan sekolah telah mengambil langkah-langkah perlu bagi mengawal
kegiatan pelajar manakala kokurikulum dipertingkatkan.

Sistem Aduan Disiplin Murid yang memudahkan aduan dibuat, pada tahun lalu telah mencatatkan
80 aduan disiplin pelajar. Sebanyak 78 aduan telah diselesaikan manakala dua lagi masih dalam proses
siasatan Jabatan Pelajaran dan ada yang melibatkan pihak polis. Kementerian juga telah mewujudkan
Majlis Permuafakatan Tindakan Membendung Masalah Jenayah Melibatkan Pelajar Sekolah antara
kementerian dan Polis Diraja Mlaysia (PDRM) di peringkat negeri, daerah dan sekolah. Kata Noh,
pihaknya sentiasa bersedia melaksanakan penambahbaikan ke arah melahirkan insan cemerlang dan
berdisiplin. Namun ia memerlukan penglibatan pihak-pihak lain secara permuafakatan dalam pendidikan
termasuk kepakaran. Dalam pada itu pada majlis pelancaran tersebut, Poster Anti Buli baru yang
memaparkan nombor hotline turut dilancarkan bersama-sama Buku Panduan Pengurusan Anti Buli di
Sekolah serta Laman Web Aduan Disiplin.

You might also like