You are on page 1of 5

Struktur Masyarakat Stratifikasi sosial atau susun lapis masyarakat boleh ditakrifkan sebagai pembahagian anggota masyarakat kepada

beberapa strata atau lapisan sosial yang disusun dalam satu hieraki kedudukan. Lapisan sosial itu mempunyai perbezaan pada aspek kuasa, kekayaan, gaya hidup, peluang hidup, hak, tanggungjawab dan sebagainya. Berdasarkan kepada sejarah dunia, lapisan starata ini telah wujud sejak zaman purba lagi. Perkara ini masih lagi dapat dikesan hingga ke hari ini dan amat sukar untuk dielakkan. Aristotle juga pernah menyatakan bahawa umat manusia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu golongan paling kaya, golongan paling miskin dan juga golongan sederhana kedudukannya.fenomena ini adalah wujud kerana keperluan sesebuah masyarakat ini ( Mohd. Taib Osman, 1989 ). Kesultanan merupakan satu lambang penting yang menjadi identiti kepada Melayu. Semenjak kebangkitan Melaka pada bahagian pertama abad ke-15, kesultanan merupakan satu ciri penting dalam organisasi sosial. Institusi kesultananlah yang melambangkan kemelayuan dalam sistem politik hari ini. Institusi kesultanan ini jugalah yang menjadi asas kepada pengiktirafan kuasa politik orang-orang Melayu. Unsur utama dalam struktur politik dan sosial Melayu adalah golongan yang memerintah dan juga golongan yang diperintah, iaitu sultan dan juga rakyat. Puncak bagi hieraki politik merupakan kedudukan bagi seorang Sultan. Baginda Sultan menjadi wakil negeri dalam hal-hal ehwal negeri dan pertahanan dan juga menjadi lambang kesatuan dan kebesaran negeri. Sultan merupakan sumber segala gelaran dalam sesebuah negeri yang diperintahnya. Tradisi bagi Melaka juga menetapkan bahawa, calon pertama untuk menjadi sultan mestilah bukan hasil perkahwinan dengan perempuan biasa ( Mohd Aris Haji Othman,1985 ). Lapisan sosial yang berada pada status kedua tinggi selepas raja ialah golongan anak raja iaitu mereka yang berketurunan raja dan bergelar dengan gelaran Raja atau Tengku. Di samping itu, dalam lapisan ini terdapat beberapa orang yang juga mempunyai kedudukan paling istimewa. Mereka ialah kerabat diraja yang mempunyai ikatan kekeraban yang rapat dengan Sultan. Terdapat beberapa hak-hak keistimewaan politik yang akan diberikan kepada kerabat diraja ini. Namun demikian, tidak semua anak raja diberikan jawatan

politik

atau daerah tertentu bagi ditabdir oleh mereka kerana anak raja ini

kebiasaannya hasil daripada amalan poligami. Selain daripada itu, terdapat juga menteri-menteri yang bertanggungjawab dalam urusan pentabdiran sesebuah negeri di samping kerabat-kerabat diraja. Golongan menteri pula adalah mereka yang datang daripada golongan aristokrat, orang-orang besar atau pun bangsawan. Di samping itu juga, terdapat lagi beberapa jawatan lain dalam hieraki politik iaitu Bendahara, Temenggung, Bendahari, Menteri dan juga Syahbandar. Setiap jawatan ini akan mempunyai tugasnya yang tersendiri. Setengahsetengah orang-orang besar ini ditugaskan di istana menjadi penasihat kepada sultan. Manakala sesetengah yang lain pula menjadi pembesar di daerah-daerah yang tertentu. Kebiasaannya pembesar bagi sesebuah daerah merupakan seorang individu yang mempunyai hubungan yang lama dengan daerah itu. Misalnya adalah orangorang besar di Perak, Kedah dan Pahang dibahagi kepada beberapa kategori iaitu orang besar berempat, orang besar berlapan dan orang besar enam belas. Selain tiga kategori ini, terdapat juga kategori lain sepertin orang besar tiga puluh dua yang diamalkan di Melaka dan juga Perak. Pembesar-pembesar daerah yang telah dilantik oleh sultan akan diberi hak untuk mentabdir jajahan mereka. Pembesar daripada jajahan lain tidak boleh sewenang-wenangnya masuk campur dalam urusan pentabdiran jajahan lain. Mereka juga boleh mempertahankan jajahan sendiri tanpa sebarang sokongan daripada baginda sultan. Pada peringkat kampong pula iaitu unit politik yang kecil sekali dalam sistem politik Melayu, individu yang memegang tampuk pentabdiran adalah penghulu atau ketua kampong. Penghulu merupakan pegawai perantaraan antara golongan atasan dengan golongan rakyat. Antara tugas yang menjadi tanggungjawab mereka adalah menyelesaikan pertikaian, menjaga keamanan dalam kampong, memungut cukai dan mengarah rakyat melaksanakan kerja-kerja raja dan pembesar. Kebiasaannya jawatan penghulu pada zaman tradisional dipenuhi melalui cara askriptif atau warisan. Penghulu selalunya datang daripada lapisan masyarakat biasa dan bukanlah daripada golongan bangsawan. Namun demikian, kebiasaannya penghulu merupakan individu yang luas pengaruhnya serta terkaya dalam kampung. Lapisan masyarakat biasa atau golongan

yang diperintah pula umumnya menduduki kawasan di kampung-kampung kecil yang biasanya bertaburan di lembah-lembah sungai. Mereka terdiri daripada golongan kaum tani iaitu petani dan juga nelayan yang mengusahakan pengeluaran sara diri. Tingkat budaya kebendaan mereka adalah mudah dan tertumpu bagi mendapatkan keperluan asas sahaja seperti makanan, tempat tinggal dan juga pakaian. Di samping itu juga, dalam kalangan masyarakat biasa akan ada beberapa orang peniaga kecil dan tukaang seperti pembuat barang-barang tembikar dan ahli tenun, penghibur diraja, pemain sandiwara,pawang, bomoh dan ahli-ahli agama. Pada itu sedikit sahaja daripada mereka yang bekerja sepenuh masa kecuali mereka yang bekerja dengan sultan sebagai pengiring dan juga pembesar utama. Kebiasaannya hanya penaung-penaung kaya sahaja yang dapat menjadi batu loncatan kepada mereka untuk mendapat pekerja seperti itu. Mereka ini akan mendapat martabat tinggi dalam masyarakat tersebut

kerana mereka boleh berhubung rapat dengan golongan pemerintah. Selain daripada menyumbangkan tenaga secara percuma melalui institusi kerahan tenaga rakyat atau golongan umum dikehendaki menyerahkan sebahagian daripada hasil pengeluaran mereka kepada pembesar atau raja dan membayar cukai atas pemilikan benda-benda tertentu misalnya di Kedah yang mengenakan cukai bagi tiap-tiap bajak dan cukai ke atas minyak kelapa di Pahang. Sebagai tambahan, pada zaman tradisional anggota masyarakat yang berada pada kedudukan hieraki sosial paling rendah sekali merupakan golongan hamba. Hamba dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu hamba abdi dan juga orang yang berhutang. Terdapat perbezaan yang amat ketara pada kedua-dua kategori ini. Ini adalah kerana kedudukan orang yang berhutang dalam masyarakat adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan hamba abdi kerana mereka berpeluang membebaskan diri dengan cara menjelaskan hutang-hutang mereka. Selain itu juga, mereka masih lagi diakui sebagai anggota masyarakat yang sama dengan tuan mereka manakala bagi hamba abdi adalah tidak diakui sebagai anggota masyarakat. Perbezaan ini diwajarkan dengan satu peraturan yang melarang orang Muslim memperhambakan saudara Muslim yang lainnya. Maka kebiasaannya hamba abdi adalah terdiri daripada mereka yang berbangsa Afrika, orang asli dan juga orang Batak yang bukan Islam. Maka oleh yang demikian, wujudlah satu hieraki status dalam sistem perhambaan di mana orang

asing yang bukan Islam boleh dijadikan sebagai hamba abdi. Kaum tani Muslim tidak boleh dijadikan abdi namun demikian mereka dibenarkan untuk dijadikan orang berhutang jika mereka gagal menjelaskan hutang mereka dalam tempoh yang ditetapkan. Apabila menjadi orang yang berhutang maka mereka hendaklah bekerja sehingga langsainya hutang dengan tuan mereka. Namun golongan orang besar atau bangsawan yang berhutang kepada penaungnya tidak akan dilayan seperti mana rakyat biasa. Oleh yang demikian, dapat dilihat bahawa difusi atau penyerapan masyarakat Melayu tradisional dalam jentera pentabdiran negeri yang menjadi tempat tinggal meraka adalah terlampau tipis dan sedikit. Ini adalah disebabkan faktor pewarisan dan darah keturunan dimonopoli oleh golongan orang besar dan juga bangsawan. Menurut Mohd.Taib Osman,1989 menyatakan bahawasanya pemisahan antara golongan pemerintah dengan yang diperintah merupakan satu garis persamaan politik yang jarang sekali dihubungkan dengan perkahwinan campur ataupun kenaikan darjah kelas seseorang yang diperintah kepada kelas yang memerintah. Oleh yang demikian terdapat beberapa sarjana keadaan politik tradisional Melayu hampir menyamai feudalism di Eropah Barat pada Zaman Pertengahan. Menurut Syed Naquib Al-Attas terdapat beberapa unsur feudal yang dapat dikesan pada masyarakat Melayu, Cina dan juga India. Ciri tersebut adalah seperti berikut : 1. Wujudnya jurang yang besar antara golongan miskin dengan golongan kaya dalam bidang ekonomi, sosial dan pengadilan kehakiman 2. Susunan politik dikuasai secara turun temurun oleh kumpulan yang tertentu. 3. Di puncak hieraki manorial ialah feudal lord yang bebas daripada pengawasan autoriti atasan dan pentabdiran pengadilan, ekonomi, kewangan dan pentabdiran. 4. Feudal lord berhak mendapatkan khidmat percuma daripada orang yang bergantung kepadanya. 5. Susunan feudal dikuasai oleh kelas perajurit. Kesemua sistem ini mengalami keruntuhannya setelah wujudnya campur tangan dan penjajahan British bermula abad ke-19 dan berakhir pada abad ke-20. Kuasa politik

Sultan telah banyak dikurangkan dengan penyerapan unsur pentabdiran British di Tanah Melayu. Antara perubahan yang ketara adalah Sultan tidak lagi dibenarkan mengutip cukai sewenang-wenangnya dan berikutan dengan itu, pasukan tentera sendiri tidak lagi dapat diwujudkan. Baginda juga tidak dibenarkan mengerah tenaga rakyat serta sistem perhambaan telah dibasmikan oleh pihak British. Pada segi pentabdiran, seorang Sultan hanya berkuasa pada aspek urusan agama dan juga adat istiadat Melayu. Secara amnya dapat dilihat bahawa sistem pentabdiran atau organisasi feudal masyarakat Melayu telah digantikan dengan organisasi yang birokratik. Kesimpulannya, susun lapis masyarakat adalah sesuatu yang abstrak dan bersifat universal. Kewujudannya dan perlanjutannya adalah didorong, sebahagian besarnya oleh keperluan dan sifat manusia sendiri. Ia merupakan fitrah bagi seorang manusia yang menilai kedudukan orang lain dan juga kedudukan dirinya sendiri. Sifat bagi susun lapis masyarakat ini adalah berbeza dari masyarakat ke masyarakat dan ini berkait rapat dengan sistem nilai yang diamalkan dalam atmosfera masyarakat itu. Kebiasaannya susun lapis ini akan berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan terkini agar ia bersesuaian dengan peredaran masa yang berlangsung.

You might also like