You are on page 1of 1

Tan Sri Datin Paduka Seri Hajah Aishah Ghani Dilahirkan pada 15 Disember 1923 di Kampung Sungai Serai,

Hulu Langat, Selangor. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Bukit Raya, Cheras Selangor dan kemudian melanjutkan pelajarannya ke peringkat menengah di Diniyah Puteri, Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia, dari tahun 1936 hingga 1939. Selepas menamatkan pengajiannya di sana, beliau menyambung pengajian di Maktab Perguruan Tinggi Islam di Padang, Sumatera Barat, Indonesia dari tahun 1940-1943. Kemudiannya pada April 1955 beliau telah mengikuti pengajian di Regent Street Polytechnic, London sehingga Disember 1958. Tan Sri Datin Paduka Seri (Dr.) Hjh. Aishah Ghani tidak boleh dipisahkan dengan sejarah politik Malaysia. Penglibatan awal beliau dalam politik bermula dengan kerjayanya sebagai wartawan dalam Pelita Malaya, lidah rasmi Parti Kebangsaan Melayu (PKM) dan beliau telah mengetuai sayap wanita PKM yang dipanggil Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Pada tahun 1949 beliau telah menyertai UMNO dan dilantik menjadi Setiausaha UMNO Kampung Baru. Beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan di Berita Harian dan penyunting di Kumpulan Akhbar New Straits Times tetapi mengundurkan diri daripada kerjaya tersebut apabila dilantik menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Naib Ketua Wanita UMNO. Beliau merupakan wanita pertama di Malaysia yang dilantik ke jawatan senator pada tahun 1963 dan merupakan wakil wanita pertama dari Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pada tahun 1973, beliau dilantik menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat dan memegang jawatan tersebut sehingga tahun 1984. Beliau merupakan di antara tulang belakang kepada penubuhan PERTIWI pada tahun 1967 bersama-sama dengan Puan Azah Aziz, Datin Habibah Manan, Puan Sri Zaleha Abdul Jalil dan Dato Hjh. Rahmah Abdul Hamid. Melalui perbincangan di antara mereka inilah, lahirnya idea bagi penubuhan sebuah badan bukan kerajaan bagi membela nasib kaum wanita Islam, kerana mereka merasakan pertubuhan atau persatuan yang ada ketika itu tidak cukup lantang dalam membela nasib golongan tersebut. Walaupun tidak terlibat secara langsung dengan PERTIWI, beliau tetap memberikan sokongan yang kuat dalam segala aktiviti yang dijalankan oleh pertubuhan ini. Kini, Tan Sri Datin Paduka Seri (Dr.) Aishah Ghani masih lagi meneruskan sumbangannya kepada masyarakat khususnya melalui Koperasi Jaya Murni Wanita Berhad di mana beliau bertindak sebagai Pengerusi koperasi tersebut. Tarikh Akhir Dikemaskini : 10 Jun 2011

You might also like