You are on page 1of 11

PENGENALAN STPM BAHARU Apakah perbezaan antara peperiksaan STPM yang sedia ada dengan peperiksaan STPM yang

baharu? Pengajian STPM sama ada yang sedia ada atau yang baharu mengambil masa selama tiga penggal (satu setengah tahun). Peperiksaan STPM yang sedia ada ditadbirkan pada hujung penggal ketiga manakala peperiksaan STPM yang baharu ditadbirkan sebanyak tiga kali, iaitu pada setiap hujung penggal. Apakah ciri baharu dalam sukatan pelajaran STPM ini? Ciri baharu dalam sukatan pelajaran STPM ini ialah a. jumlah kandungan kurikulum bagi sesuatu mata pelajaran dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu satu bahagian untuk satu penggal b. bilangan waktu pengajaran disediakan untuk memudahkan guru merancang proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) c. hasil pembelajaran disediakan untuk memberikan panduan kepada guru dan pelajar tentang skop dan apa yang hendak diuji untuk setiap tajuk dan subtajuk d. calon diwajibkan melaksanakan amali, kerja kursus, atau kerja lapangan secara Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi setiap mata pelajaran kecuali Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Literature in English, dan Further Mathematics. Apakah ciri baharu peperiksaan STPM ini? Ciri baharu peperiksaan STPM ini ialah a. peperiksaan diadakan pada akhir setiap penggal b. pentaksiran dilaksanakan secara peperiksaan bertulis dan PBS c. calon dibenarkan mengulang peperiksaan bagi setiap penggal untuk memperbaiki keputusan Bilakah peperiksaan STPM yang baharu akan dilaksanakan? Peperiksaan STPM yang baharu akan dilaksanakan pada tahun 2012. Mengapakah sistem terminal diubah? Sistem terminal diubah supaya selaras dengan sistem pengajian pasca menengah yang lain dan sistem pengajian di IPT. Adakah jumlah waktu pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam peperiksaan STPM yang baharu berubah? Jumlah waktu P&P dalam peperiksaan STPM yang baharu tidak berubah, iaitu kekal sebanyak 240 jam, bersamaan dengan 360 waktu, iaitu 40 minit per waktu. Penggal pengajian adalah mengikut penggal persekolahan yang sedia ada. Adakah peperiksaan STPM yang baharu mendapat pengiktirafan daripada luar negara? Ya.

PENDAFTARAN STPM BAHARU Apakah syarat kelayakan untuk menduduki peperiksaan STPM yang baharu? Syarat kelayakan untuk menduduki peperiksaan STPM yang baharu ialah calon perlu lulus Bahasa Melayu* dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mempunyai satu daripada kelayakan yang berikut: a. SPM tahun 1999 atau tahun-tahun sebelumnya b. SPM (Vokasional) c. Malaysian Certificate of Education (MCE) d. Federation of Malaya Certificate of Education e. Cambridge School Certificate f. GCE/SAP (Malaysia atau Cambridge dengan tiga kelulusan peringkat biasa** yang diperoleh dalam satu peperiksaan) g. SPM tahun 2000 hingga tahun 2010 yang diperoleh dalam satu peperiksaan dengan mendapat i. sekurang-kurangnya gred C bagi tiga mata pelajaran, atau ii. sekurang-kurangnya gred C bagi dua mata pelajaran dan lulus empat mata pelajaran yang lain Calon yang mempunyai kelayakan seperti yang disenaraikan di atas mestilah memperoleh kelayakan itu sekurang-kurangnya dua tahun sebelum mengambil peperiksaan STPM. Calon yang mempunyai kelayakan luar negara yang setaraf dengan peperiksaan SPM hendaklah memohon kebenaran terlebih dahulu untuk mengambil peperiksaan STPM daripada Majlis Peperiksaan Malaysia. * Calon yang memenuhi syarat (g) tetapi gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu boleh menggunakan keputusan lulus Bahasa Melayu yang diambil dalam peperiksaan SPM Ulangan. Calon yang berasal dari luar negara dikecualikan daripada syarat lulus Bahasa Melayu peringkat peperiksaan SPM. ** Kelulusan peringkat biasa dalam GCE/SAP bermakna kepujian pada peringat SPM/MCE.

Bilakah calon sekolah, calon sekolah swasta, dan calon persendirian individu boleh mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM yang baharu ini? Calon sekolah dikehendaki mendaftar sekali sahaja, iaitu dalam penggal pertama, untuk menduduki peperiksaan STPM yang baharu bagi ketiga-tiga penggal. Calon sekolah swasta dan calon persendirian individu boleh mendaftar pada penggal pertama, penggal kedua, dan penggal ketiga. Bagaimanakah semua calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM yang baharu ini? Pendaftaran untuk menduduki peperiksaan bagi semua jenis calon hendaklah dibuat secara dalam talian. Pengetua/Setiausaha Peperiksaaan Sekolah/calon dikehendaki melayari portal MPM, http://www.mpm.edu.my atau http://www.mesp.gov.my/online bagi tujuan pendaftaran.

Bolehkah calon mendaftar lewat? Pendaftaran lewat hanya dibenarkan untuk calon yang gagal memasuki IPTA. Calon dikehendaki membuat pendaftaran lewat dalam tempoh satu minggu selepas keputusan kemasukan ke IPTA dikeluarkan.

PEMILIHAN MATAPELAJARAN Apakah mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM yang baharu? Bil. Kod Mata Pelajaran Mata Pelajaran 1. 900 Pengajian Am 2. 910 Bahasa Melayu 3. 911 Bahasa Cina 4. 912 Bahasa Tamil 5. 913 Bahasa Arab 6. 920 Literature in English 7. 922 Kesusasteraan Melayu Komunikatif 8. 930 Syariah 9. 931 Usuluddin 10. 940 Sejarah 11. 942 Geografi 12. 944 Ekonomi 13. 946 Pengajian Perniagaan 14. 948 Perakaunan 15. 950 Mathematics (M) 16. 954 Mathematics (T) 17. 956 Further Mathematics 18. 958 Information and Communications Technology 19. 960 Physics 20. 962 Chemistry 21. 964 Biology 22. 4966 Sains Sukan 23. 970 Seni Visual

Berapakah jumlah mata pelajaran yang boleh diambil oleh calon? STPM baharu juga merupakan sijil terbuka. Calon boleh memilih mana-mana mata pelajaran, tertakluk kepada sekatan mata pelajaran tertentu. Bilangan maksimum mata pelajaran yang boleh diambil ialah lima, termasuk Pengajian Am. Untuk tujuan kemasukan ke IPTA, keputusan yang terbaik bagi empat mata pelajaran akan diambil kira termasuk Pengajian Am. Bagaimanakah pelaksanaan kerja kursus bagi calon yang mengambil mata pelajaran di luar pakej yang ditawarkan di sekolah? Calon yang mengambil mata pelajaran di luar pakej yang ditawarkan di sekolah dikehendaki menduduki kertas peperiksaan bertulis, iaitu Kertas 5 sebagai ganti Pentaksiran Berasaskan Sekolah. Sekiranya sesuatu mata pelajaran tidak menawarkan Kertas 5, maka calon itu dikehendaki melaksanakan kerja kursus seperti calon persendirian individu.

BAYARAN YURAN Berapakah bayaran yuran untuk menduduki peperiksaan STPM yang baharu? Bayaran yuran asas untuk menduduki peperiksaan adalah sebanyak RM120.00 manakala bayaran yuran bagi setiap mata pelajaran adalah sebanyak RM90.00. Berapakah bayaran yuran untuk mengulang peperiksaan bagi setiap kertas? Bayaran yuran untuk mengulang peperiksaan bagi setiap kertas adalah sebanyak RM50.00.

PELAKSANAAN KERJA KURSUS Adakah pelaksanaan kerja kursus mengambil alih pelaksanaan kajian projek penyelidikan dan kolokium yang dilaksanakan oleh pelajar Tingkatan Enam di bawah kelolaan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (Unit Tingkatan Enam)? Penentuan sama ada pelaksanaan kajian projek penyelidikan dan kolokium yang dilaksanakan oleh pelajar Tingkatan Enam pada masa ini akan diteruskan atau tidak adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (Unit Tingkatan Enam). Apakah komponen yang terkandung dalam PBS? Komponen yang terkandung dalam PBS ialah laporan kerja kursus, pembentangan hasil kerja kursus, dan soal jawab. Adakah kerja kursus bagi setiap mata pelajaran dilaksanakan pada setiap penggal? Tidak. Pelaksanaan kerja kursus adalah mengikut keperluan mata pelajaran seperti dalam jadual di bawah. Bil. Mata pelajaran 1. Pengajian Am 2. Bahasa Melayu 3. Bahasa Arab 4. Kesusasteraan Melayu Komunikatif 5. Syariah 6. Usuluddin 7. Sejarah 8. Geografi 9. Ekonomi 10. Pengajian Peniagaan 11. Perakaunan 12. Mathematics (M) 13. Mathematics (T) 14. Information and Communications Technology 15. Physics 16. Chemistry Penggal 1 Penggal 2 v v v v v v v v v v v v v v v Penggal 3 v v

17. Biology 18. Sains Sukan 19. Seni Visual

v v v

Bagaimanakah kerja kursus bagi calon sekolah, calon sekolah swasta, dan calon persendirian individu dilaksanakan? Calon sekolah melaksanakan kerja kursus dengan dibimbing dan diperiksa oleh guru sekolah masing-masing. Calon sekolah swasta melaksanakan kerja kursus dengan bimbingan guru masing-masing tetapi pemeriksaan kerja kursus dilakukan oleh pemeriksa yang dilantik oleh MPM. Calon persendirian individu pula melaksanakan kerja kursus secara individu dan pemeriksaan kerja kursus dilakukan oleh pemeriksa yang dilantik oleh MPM.

Bagi mata pelajaran dalam kumpulan A, calon sekolah kerajaan, calon sekolah bantuan kerajaan, calon sekolah swasta, dan calon persendirian individu dikehendaki mengambil Kertas 4, iaitu kerja kursus. Bagi mata pelajaran dalam kumpulan B, calon sekolah kerajaan, calon sekolah bantuan kerajaan, dan calon sekolah swasta yang dibenarkan oleh MPM dikehendaki mengambil Kertas 4, iaitu kerja kursus. Calon persendirian individu dan calon sekolah swasta yang tidak dibenarkan oleh

MPM untuk menjalankan kerja kursus pula dikehendaki mengambil Kertas 5, iaitu ujian amali bertulis bagi mata pelajaran sains dan latihan amali bertulis bagi mata peljaran Sains Sukan. Bagi mata pelajaran dalam kumpulan C, semua jenis calon dikehendaki mengambil Kertas 4 dan Kertas 5, iaitu kerja kursus. Bagi mata pelajaran dalam kumpulan D, semua jenis calon dikehendaki mengambil Kertas 5, iaitu kerja kursus. Bagi mata pelajaran dalam kumpulan E, calon sekolah kerajaan dan calon sekolah bantuan kerajaan dikehendaki mengambil Kertas 4, iaitu kerja kursus. Calon sekolah swasta dan calon persendirian individu pula dikehendaki mengambil Kertas 5, iaitu alternatif kajian luar ( ujian bertulis) bagi mata pelajaran Geografi dan ujian kerja kursus bertulis bagi mata pelajaran Perakaunan. Bagi mata pelajaran dalam kumpulan F, calon sekolah kerajaan, calon sekolah bantuan kerajaan, dan calon sekolah swasta yang dibenarkan oleh MPM dikehendaki mengambil Kertas 4, iaitu kerja kursus. Calon sekolah swasta yang tidak dibenarkan oleh MPM dan calon persendirian individu tidak boleh mengambil mata pelajaran ini. Bagi mata pelajaran dalam kumpulan G, calon sekolah kerajaan dan calon sekolah bantuan kerajaan dikehendaki mengambil Kertas 3, iaitu projek. Calon sekolah swasta dan calon persendirian individu pula dikehendaki mengambil Kertas 4, iaitu ujian bertulis.

Bagaimanakah calon boleh memperoleh maklumat untuk menjalankan kerja kursus? Calon boleh mendapatkan maklumat untuk menjalankan kerja kursus melalui portal MPM. Berapa lamakah waktu yang diperlukan untuk sesi perjumpaan atau konsultasi secara khusus berkaitan PBS dalam jadual waktu mengajar? Waktu yang diperlukan untuk sesi perjumpaan atau konsultasi secara khusus berkaitan PBS dalam jadual waktu mengajar tidak ditentukan secara khusus. Adakah terdapat syarat tertentu tentang skop atau ruang lingkup kawasan yang dibolehkan untuk calon menjalankan kerja lapangan atau kajian luar? Ya, khas untuk mata pelajaran Geografi, pemilihan lokasi kajian luar hendaklah mengambil kira jarak dari sekolah kerana ini akan melibatkan kos pengangkutan dan masa perjalanan. Perjalanan pergi dan balik dari lokasi seharusnya memakan masa tidak lebih daripada dua jam, dan pelajar mempunyai masa sekurang-kurangnya enam jam untuk melakukan kajian luar di lapangan. Adakah MPM mengeluarkan surat kebenaran atau surat pengenalan rasmi yang memperakukan calon untuk menjalankan kerja kursus sama ada yang melibatkan kerja lapangan, kajian luar, atau yang memerlukan calon berjumpa dengan pihak ketiga? Surat kebenaran atau surat pengenalan rasmi tidak dikeluarkan oleh MPM. Sekolah perlu menguruskan pengeluaran surat tersebut.

Adakah pembentangan kerja kursus boleh dijalankan secara individu atau secara berkumpulan? Pembentangan boleh dilaksanakan secara individu atau berkumpulan, bergantung kepada kehendak kerja kursus bagi sesuatu mata pelajaran. Adakah calon yang mendaftar lewat perlu melaksanakan kerja kursus? Ya. Calon yang mendaftar lewat perlu melaksanakan kerja kursus. Bagaimanakah calon yang mendaftar lewat melaksanakan kerja kursus? Calon yang mendaftar lewat dikehendaki menyiapkan kerja kursus Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mengikut keperluan mata pelajaran yang diambil. Apakah tindakan yang akan diambil oleh MPM atau guru jika terdapat calon yang tidak menyiapkan kerja kursus atau lewat menghantar kerja kursus? Bagi semua mata pelajaran, kerja kursus hendaklah dihantar kepada guru/pemeriksa pada tarikh yang telah ditetapkan oleh MPM. Kegagalan calon menghantar kerja kursus pada tarikh yang telah ditetapkan akan menyebabkan calon tidak diberikan sebarang markah dan keputusan calon bagi mata pelajaran tersebut tidak akan dikeluarkan. Adakah calon kelainan upaya dikehendaki melaksanakan kerja kursus? Calon perlu mengemukakan permohonan berserta surat pengesahan doktor kepada MPM semasa pendaftaran untuk pengecualian kerja kursus. MPM akan meneliti permohonan calon kelainan upaya tersebut dan pengecualian yang diberikan adalah berdasarkan tahap ketidakupayaan calon. Adakah pertimbangan khas diberikan kepada calon yang ditimpa kemalangan yang menyebabkan kerja kursus tidak dapat disiapkan dalam tempoh yangditetapkan? Calon perlu menghantar hasil kerja kursus setakat mana hasil yang telah disiapkan. MPM akan meneliti permohonan calon tersebut dan pertimbangan khas akan diberikan berdasarkan tahap kemalangan yang dialami oleh calon. Bagaimanakah penyetaraan markah kerja kursus bagi setiap pemeriksa dilakukan? MPM akan melantik penyelaras mengikut negeri/zon. Mesyuarat penyelarasan antara penyelaras dan ketua pemeriksa akan diadakan sebelum pemarkahan PBS dimulakan, dan penyelaras akan memberi taklimat kepada semua guru yang terlibat dengan pemarkahan PBS. Semasa pemeriksaan dilaksanakan, penyelaras akan memantau dan menyederhanakan (moderate) pemarkahan pemeriksa. Apakah prosedur keselamatan bahan kerja kursus yang telah dihantar oleh calon kepada guru?

Keselamatan bahan kerja kursus adalah di bawah tanggungjawab guru. Calon juga dinasihatkan agar menyimpan softcopy bahan yang dihantar kepada guru. MPM tidak akan bertanggungjawab ke atas keselamatan bahan yang dihantar kepada guru. Apakah prosedur pelupusan bahan kerja kursus oleh pihak sekolah? Bahan kerja kursus hendaklah dilupuskan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh MPM.

TANGGUNGJAWAB/TUGAS GURU Bagaimanakah guru boleh mendapat maklumat tentang kaedah pengendalian dan pemeriksaan kerja kursus secara PBS? Guru boleh mendapatkan maklumat tentang kaedah pengendalian kerja kursus melalui Eduweb TV (www.eduwebtv.com). Guru boleh merujuk kepada Jurulatih Utama (JU) Negeri sekiranya terdapat sebarang kemusykilan. Adakah tugas guru sebagai pemeriksa PBS dibayar elaun pemeriksaan untuk semua jenis calon? Tidak. Guru yang mentaksir calon sekolahnya sendiri tidak akan dibayar elaun pemeriksaan PBS. Elaun pemeriksaan hanya dibayar kepada guru yang dilantik sebagai pemeriksa PBS bagi calon sekolah swasta dan calon persendirian individu. Adakah guru perlu memberikan penjelasan kepada ibu bapa tentang pelaksanaan kerja kursus secara PBS dan kemungkinan calon perlu berada di luar sekolah bagi tujuan memenuhi keperluan kerja kursus? Guru mata pelajaran yang terlibat perlu memberikan penjelasan kepada ibu bapa tentang pelaksanaan kerja kursus PBS dan kemungkinan calon perlu berada di luar sekolah bagi tujuan memenuhi keperluan kerja kursus. Sekolah boleh mengeluarkan garis panduan kepada ibu bapa sebagai makluman tentang keperluan kerja kursus.

JADUAL WAKTU PEPERIKSAAN Bilakah peperiksaan setiap penggal dilaksanakan? Peperiksaan setiap penggal akan dilaksanakan semasa cuti persekolahan seperti yang berikut: a. Penggal Pertama dan Penggal Ketiga peperiksaan berlangsung pada bulan November/Disember b. Penggal Kedua peperiksaan berlangsung pada bulan Mei/Jun. Bilangan hari peperiksaan bagi setiap penggal adalah selama lima hari. Berapakah tempoh masa untuk menjawab ujian bertulis bagi setiap kertas? Tempoh masa untuk menjawab ujian bertulis adalah berbeza mengikut kertas, iaitu antara 1 jam 15 minit hingga 2 jam.

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN Bagaimanakah keputusan peperiksaan bagi setiap mata pelajaran dikeluarkan? Keputusan peperiksaan akan dikeluarkan pada setiap penggal. Keputusan PBS akan dikeluarkan bersama dengan keputusan bagi penggal yang berkenaan. Keputusan mata pelajaran adalah hasil agregat bagi tiga penggal dan PBS.

RAYUAN TERHADAP KEPUTUSAN PEPERIKSAAN DAN PENGULANGAN PEPERIKSAAN Selepas keputusan peperiksaan setiap penggal dikeluarkan, bolehkah calon membuat rayuan terhadap keputusan peperiksaan? Rayuan boleh dibuat kepada MPM berserta dengan bayaran. Bolehkah calon mengulang peperiksaan tanpa membuat rayuan terlebih dahulu? Ya, calon boleh mengulang peperiksaan tanpa membuat rayuan terlebih dahulu kepada MPM. Adakah calon boleh mengulang kerja kursus untuk membaiki keputusan peperiksaan? Calon yang ingin mengulang PBS untuk membaiki keputusan peperiksaannya tidak boleh melaksanakan semula kerja kursus. Calon dikehendaki menduduki kertas peperiksaan bertulis bagi menggantikan PBS. Sekiranya tidak ada kertas peperiksaan yang sedemikian bagi sesuatu mata pelajaran, maka markah PBS yang diperoleh dalam peperiksaan STPM sebelumnya akan digunakan untuk skor PBS tahun mengulang. Kemudahan ini tidak boleh digunakan sekiranya calon mengulang peperiksaan STPM dua tahun atau lebih selepas menduduki peperiksaan pertama. Adakah calon boleh mengulang kerja kursus bagi penggal pertama, penggal kedua, dan penggal ketiga? Calon tidak boleh mengulang kerja kursus bagi penggal pertama, penggal kedua, dan penggal ketiga. Adakah calon mengulang boleh mengikuti kelas calon lain bagi kertas yang ingin diulang? Contohnya, calon yang ingin mengulang kertas 1 mengikuti kelas calon yang bakal menduduki kertas 1? Calon mengulang boleh mengikuti kelas calon lain bagi kertas yang ingin diulang. Hal ini bergantung kepada kebenaran pihak sekolah.

SALAH LAKU/PLAGIAT Apakah langkah yang diguna pakai untuk mencegah kegiatan plagiat dalam penghasilan kerja kursus oleh calon? Langkah yang diguna pakai untuk mencegah kegiatan plagiat dalam penghasilan kerja kursus oleh calon ialah guru hendaklah memberikan taklimat mengenai plagiat kepada calon sebelum memulakan kerja kursus. Taklimat ini merupakan usaha untuk mendidik dan mencegah yang

berkesan supaya calon benar-benar faham mengenai isu plagiat. Penggunaan buku log oleh setiap calon berfungsi sebagai catatan pemantauan berterusan oleh guru. Dengan demikian, plagiat dapat dicegah dengan lebih awal. Selain itu, guru perlu mengingatkan calon tentang risiko plagiat, iaitu jika sabit kesalahan, keputusan peperiksaan calon akan dibatalkan dan calon tidak dibenarkan untuk menghasilkan semula kerja kursus tersebut. Apakah tindakan yang perlu diambil jika berlaku kes plagiat dalam penghasilan kerja kursus? Guru hendaklah melaporkan secara bertulis tentang kes plagiat berserta bukti kepada MPM dengan kadar segera untuk tindakan.

PEMERIKSA Apakah kriteria pemilihan dan pelantikan pemeriksa bagi peperiksaan bertulis? Kriteria pemilihan dan pelantikan pemeriksa adalah seperti yang berikut:

a. memiliki kelulusan dan pengkhususan dalam bidang berkenaan (kecuali bagi guru mata pelajaran Pengajian Am) sekurang-kurangnya di peringkat ijazah pertama, b. mempunyai pengalaman mengajar mata pelajaran berkenaan sekurang-kurangnya tiga tahun, c. sedang mengajar mata pelajaran berkenaan, d. merupakan guru akademik Tingkatan Enam bagi mata pelajaran berkenaan, e. keutamaan pemilihan diberikan kepada guru yang sedang atau pernah terlibat secara langsung dengan MPM sama ada sebagai pemeriksa atau penggubal atau penaksir atau panel sukatan mata pelajaran. Apakah kriteria pemilihan dan pelantikan pemeriksa bagi PBS calon sekolah? Guru yang mengajar mata pelajaran berkenaan bagi calon berkenaan akan dilantik sebagai pemeriksa PBS. Apakah kriteria pemilihan dan pelantikan pemeriksa bagi PBS calon sekolah swasta dan calon persendirian individu? Guru yang telah dilantik sebagai pemeriksa bagi calon sekolah kerajaan dan yang terdekat jaraknya dengan calon swasta dan calon persendirian individu tersebut.

PENANGGUHAN PEPERIKSAAN Setelah calon membuat pendaftaran untuk mengambil peperiksaan, adakah calon boleh menangguhkan untuk menduduki peperiksaan kepada sesi yang akan datang? Calon yang ingin menangguhkan peperiksaannya hendaklah mengemukakan permohonannya, dengan memberikan sebab dan menyertakan bukti kepada MPM sebelum tarikh peperiksaan bermula. Kelulusan permohonan untuk menangguhkan peperiksaan ini tertakluk kepada pertimbangan MPM. Calon yang telah diluluskan penangguhan peperiksaannya hendaklah membayar semula yuran asas sebanyak RM120.00.

TUKAR/PINDAH PUSAT Bolehkah calon memohon pertukaran/perpindahan pusat peperiksaan selepas pendaftaran? Permohonan untuk bertukar/berpindah ke pusat peperiksaan yang lain hendaklah dibuat secara dalam talian tidak lewat daripada empat minggu sebelum hari pertama peperiksaan bagi sesuatu penggal. Permohonan yang diterima selepas tarikh tersebut tidak akan dilayan.

TUKAR/TAMBAH/KURANGKAN MATA PELAJARAN Bolehkah calon menukar, menambah, atau mengurangkan mata pelajaran yang telah didaftar? Jika calon telah mendaftar bagi sesuatu mata pelajaran dan ingin menukar mata pelajaran itu dengan mata pelajaran yang lain selepas tamat tempoh yang ditetapkan, caj sebanyak RM50.00 akan dikenakan. Penukaran mata pelajaran hanya dibenarkan pada penggal pertama dan penggal kedua sahaja. Jika calon ingin menambah mata pelajaran, caj sebanyak RM50.00 akan dikenakan disamping caj mata pelajaran yang ditambah, iaitu sebanyak RM90.00 per mata pelajaran. Penambahan mata pelajaran hanya boleh dibuat pada penggal pertama dan penggal kedua sahaja. Bagi calon yang menggugurkan sesuatu mata pelajaran, bayaran bagi mata pelajaran yang digugurkan itu tidak akan dikembalikan.

You might also like