You are on page 1of 11

Huraikan dan bandingkan ciri - ciri bentuk kerajaan agraria dan kerajaan maritim di

Asia Tenggara dengan mengemukakan contoh - contoh daripada


kewujudan kerajaan - kerajaan tersebut.

1.0

Pengenalan
Sejarah kerajaan di Asia Tenggara telah menunjukkan pelbagai interaksi di antara kuasa -

kuasa tempatan dan asing. Setiap negara adalah saling berkait antara satu dengan yang lain.
Sebagai contoh, kerajaan Melayu Srivijaya dan Melaka adalah meliputi negara Indonesia dan
Malaysia pada masa kini manakala kerajaan Burma, Thai dan Khmer adalah sebahagian daripada
Indochina. Terdapat banyak bukti yang menunjukkan kemunculan tamadun awal di Asia
Tenggara. Bukti kukuh yang dapat dilihat adalah dengan kewujudan kerajaan awal di Tanah
Besar seperti kerajaan Funan, Angkor, Chenla, Sukhotai dan Ayuthia. Di kawasan kepulauan
Melayu pula wujud banyak kerajaan seperti Kedah Tua, Gangga Negara, Srivijaya, Langkasuka,
Majapahit, Singhasari dan Mataram.
Kerajaan - kerajaan awal ini boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu agraria dan
maritim. Kegiatan ekonomi yang utama bagi kerajaan agraria ialah pertanian. Kebanyakan
daripada kerajaan agraria ini terletak di kawasan tanah besar Asia Tenggara. Kerajaan maritim
pula bergantung sepenuhnya pada perdagangan laut. Antaranya ialah kerajaan Melaka dan
Srivijaya. Kaedah penentuan jangka masa kemunculan sesuatu kerajaan dibuat berdasarkan
sumber bertulis dan artifak arkeologi1. Contohnya, kerajaan terawal di Asia Tenggara adalah
Funan iaitu sekitar abad ke-2 Masihi berdasarkan bukti penemuan langgam seni arca yang
dipengaruhi oleh langgam seni arca Amravati India. Selain itu, hubungan awal dengan kerajaan
besar dari rantau lain juga menjadi sumber rujukan bagi pengenalan kerajaan awal Asia
Tenggara. Contohnya, hubungan diplomatik dengan China, hubungan kebudayaan dengan India
dan hubungan perdagangan antarabangsa berdasarkan penemuan gendang gangsa di Dongson2,
Vietnam, Batu Buruk di Terengganu dan Sungai Klang di Selangor. Hubungan perdagangan
dengan Rom juga berlaku dengan penemuan manik di Kota Tinggi dan Muar. Bijih timah telah
diproses menjadi gendang gangsa di Dongson dan menjadi pelabuhan pembekal. Kebanyakan
petempatan awal ini belum boleh ditakrif sebagai kerajaan kerana masih belum mempunyai raja.
1

Sejarah ditulis berasaskan kajian terhadap sumber sejarah seperti artifak, fosil, dokumen, peta, manuskrip, dan
sumber lisan.
2
Gendang gangsa merupakan salah satu hasil pertukangan logam yang terbaik.

Jumpaan manik dan tembikar membuktikan perdagangan maritim berlaku sejak abad ke5
Sebelum Masihi tetapi kerajaan awal Asia Tenggara hanya muncul pada abad ke 2 M.

2.0

Kerajaan Agraria
Kerajaan agraria merupakan kerajaan yang berasaskan ekonomi pertanian, penternakan

dan pemungutan hasil hutan dan sungai. Dalam bidang pertanian, tanaman utama yang
diusahakan oleh kerajaan ini ialah padi sawah, padi huma, jagung, pisang, keledek dan sayur sayuran. Hasil ternakan haiwan pula ialah seperti lembu, kerbau, kambing dan ayam. Hasil hutan
yang dipungut ialah seperti gaharu, kapur barus, tanduk, gading, damar, kayu cendana dan
pelbagai jenis buah. Terdapat juga rempah ratus yang dipungut seperti cengkih dan lada hitam.
Kegiatan ekonomi yang lain ialah mengumpul sarang burung untuk dijual, menangkap ikan di
sungai, sawah dan paya atau mengumpul kulit kura - kura. Tahap awal pertanian penduduk
adalah untuk sara diri yang kemudian berkembang menjadi komersil. Perubahan tersebut banyak
dipengaruhi oleh pembinaan sistem pengairan yang mantap.

Kerajaan agraria terbentuk

berhampiran lembangan sungai yang mempunyai tanah yang subur seperti kerajaan Dvaravati
yang terletak di Sungai Menam. Kerajaan Ayuthia yang juga merupakan salah sebuah kerajaan
agraria terletak di delta Chao Phraya. Contoh lain ialah empayar Khmer di tasik Tonle Sap.
Selain itu, terdapat juga kerajaan agraria yang terletak di kawasan pedalaman yang berbukit atau
lereng gunung berapi seperti kerajaan Taruma yang berada di Tanah Tinggi Dieng Indonesia.
Dua buah kerajaan awal agraria yang terkenal ialah Funan dan Angkor.
Kerajaan Funan telah diasaskan pada abad 1 Masihi dan merupakan kerajaan terawal di
Asia Tenggara. Menurut laporan dari dua wakil Cina, K'ang T'ai dan Chu Ying, negara Funan
diasaskan oleh Brahimin India bernama Kaundinya. Beliau mendapat arahan dalam mimpi untuk
mengambil mangkuk ajaib dari kuil dan mengalahkan Soma iaitu ratu Khmer. Soma, anak
kepada raja Nagas, berkahwin dengan Kaundinya dan keturunan mereka menjadi dinasti raja
Funan. Perkataan Funan adalah diambil daripada bahasa Cina yang maksudnya masih tidak dapat
ditranskripkan. Nama ini ditemui dalam teks sejarah Cina yang menjelaskan tentang kerajaan
tersebut berdasarkan laporan dua diplomat China yang bertugas ke kerajaan tersebut. Walau
bagaimanapun, nama Funan tidak ditemui dalam mana - mana skrip yang ditemui di negara itu
dan tidak diketahui nama apakah yang diberikan oleh penduduk Funan kepada kerajaan mereka.
3

Kerajaan agraria terbentuk secara evolusi daripada petempatan kekal yang kemudian menjadi bandar dan kerajaan.

Pusat pentadbiran kerajaan ini terletak di Vyadhapura. Empangan, saliran dan takungan air
dibina untuk

mengairi kawasan sawah padi. Kerajaan Funan mendapatkan bekalan airnya

daripada Sungai Mekong dan kawasan pesisir pantai. Raja Funan yang pertama ialah Kaundinya
yang digelar sebagai Kurung Bnam yang bermaksud raja - raja gunung. Gunung suci tersebut
menjadi simbol kuasa raja pada masa tersebut. Salah satu watak penting dalam kerajaan Funan
ialah Fan Shih-man yang merupakan seorang jeneral yang agung. Pelabuhan utama Funan ialah
Oc Eo yang bermaksud terusan kaca di mana Sungai Mekong merupakan jalan perhubungan
perdagangan. Funan merupakan pusat ekonomi agung Asia Tenggara yang pertama. Ia menjadi
mewah kerana perkembangannya daripada kerajaan agraria kepada kerajaan maritim. Ini terbukti
dengan jumpaan barangan yang berasal dari empayar Rom, Cina dan India dalam penggalian
arkeologi di Oc Eo di selatan Vietnam.
Kerajaan Angkor pula telah diasaskan pada abad ke-7 Masihi. Pusat pentadbiran kerajaan
terletak di hilir Sungai Mekong. Kawasan utama pertaniannya ialah di sekitar tasik Tonle Sap
yang telah dibina pada abad ke-10 Masihi dan terletak di bahagian tengah Kampuchea. Tasik ini
banyak menyumbang kepada pertanian padi sawah. Kerajaan Angkor membina baray untuk
kemudahan sistem pertanian. 4Baray merupakan sebuah kolam air besar yang dibina untuk
menampung 30 juta meter padu air yang disalirkan ke 12.5 juta ekar sawah bagi membantu
mendapatkan hasil yang banyak. Sistem pemerintahan Angkor adalah berbentuk raja berkuasa
mutlak dan dianggap sebagai Devaraja iaitu wakil Tuhan untuk memimpin manusia. Raja akan
dibantu oleh kaum kerabatnya untuk menjalankan proses pentadbiran. Zaman kegemilangan
Angkor ialah pada masa pemerintahan Raja Suryavarman II. Baginda naik takhta selepas
memenangi pertempuran dengan musuhnya iaitu putera yang lain. Agama utama kerajaan ini
ialah Hindu - Buddha yang kewujudannya dibuktikan dengan Angkor Wat, hasil binaan Raja
Suryavarman II. Baginda mendedikasikan Angkor Wat ini kepada Dewa Visnu. Panjang
dindingnya hampir mencecah setengah kilometer di setiap sisi. Menara tengahnya mewakili
Gunung Meru iaitu rumah bagi dewa - dewa. Ukiran di permukaan dinding dihiasi dengan
gambaran berunsur mistik dan juga kehidupan baginda. Dalam suatu babak di ukiran tersebut,
baginda digambarkan dengan sangat besar berbanding unsur sekeliling sambil duduk dengan

http://en.wikipedia.org/wiki/History_of_Southeast_Asia

kaki yang bersilang dan bersemayam di takhtanya serta dikelilingi oleh pengikut dan hamba hambanya.

3.0

Kerajaan Maritim
Kerajaan Maritim ialah kerajaan yang menjalankan ekonomi perdagangan pelabuhan dan

laut, perkapalan dan perikanan. Ia terletak di pesisiran pantai, lembah sungai dan kepulauan
seperti Srivijaya di Sungai Musi dan Kedah Tua di Sungai Merbok. Pada mulanya, aktiviti sara
diri bermula dengan menangkap ikan dan memungut hasil laut. Lama - kelamaan, ia berubah
menjadi sebuah perkampungan nelayan. Terdapat juga yang berkembang menjadi kawasan
perlombongan emas dan timah. Apabila wujud pengeluaran secara berlebihan, kesemua hasil
sungai dan laut tersebut didagangkan yang kemudiannya menyebabkan perkampungan nelayan
berubah menjadi pusat perdagangan. Apabila wujudnya kawasan pelabuhan kapal, para
pembekal dan pembeli dari rantau lain seperti Eropah, Arab, China dan India akan singgah untuk
mendapatkan barang seperti damar, rotan, emas, timah dan hasil laut. Antara kerajaan maritim
yang utama ialah Champa, Chih Tu, Srivijaya, Kedah Tua dan Majapahit. Setiap kerajaan ini
mempunyai pelabuhan entrepot yang menyediakan pelbagai kemudahan seperti tempat tinggal,
pergudangan dan kawasan untuk berjual beli. Masyarakat dalam kerajaan maritim mempunyai
kemahiran untuk membuat kapal, menguasai ilmu pelayaran dan mampu berlayar hingga ke
Afrika Tengah. Penduduk kerajaan maritim biasanya terdiri daripada orang tempatan, Orang
Laut dan pedagang luar. Kerajaan maritim mempunyai lebih daripada satu bahasa yang
digunakan. Namun begitu, bahasa Melayu digunakan dalam urusan perdagangan dan sebagai
bahasa perhubungan (lingua franca) di rantau Asia Tenggara ini. Kawasan di sekitar
Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera sememangnya kaya dengan logam, emas dan timah
yang dapat menarik pedagang asing ke pelabuhan-pelabuhan di sini. Buktinya, dalam catatan
Yunani, Ptolemy memberikan nama

Golden Khersinese (Semenanjung Emas) kepada

Semenanjung Tanah Melayu. Saudagar-saudagar India pula memberikan nama Suvarnadvipa


(Semenanjung Emas) dan Suvarnabhumi (Bumi Emas) kepada Semenanjung Tanah Melayu
dan Sumatera.
Terdapat tiga kategori pelabuhan yang wujud di kerajaan - kerajaan maritim. Pertama,
pelabuhan pembekal iaitu merupakan pelabuhan peringkat terawal. Pelabuhan ini berfungsi
5

Wheatley, P. (1980), The Golden Khersonese.

sebagai pembekal hasil tempatan seperti logam (timah dan emas), hasil hutan (damar, kayu
gaharu dan rotan), hasil laut dan juga makanan kepada pedagang - pedagang yang singgah.
Contoh pelabuhan pembekal ialah Kuala Selinsing yang terletak di Perak, Jenderaan Hilir dan
Klang yang terletak di Selangor dan Kuala Berang yang terletak di Terengganu. Pelabuhan yang
kedua ialah pelabuhan kerajaan yang telah berkembang maju apabila terbina sebuah kerajaan
besar di sekitar pelabuhan pembekal. Peranan pelabuhan kerajaan masih lagi seperti pelabuhan
pembekal dan tempat berdagang tetapi untuk kawasan yang lebih luas. Antara pelabuhan
kerajaan yang wujud ialah Champa, Kedah Tua, Langkasuka dan Srivijaya. Pada awalnya,
pelabuhan itu berdagang dengan kawasan yang berhampiran, contohnya antara Champa dengan
Langkasuka. Pelabuhan tersebut kemudiannya berkembang sehingga dapat menarik perhatian
pedagang dari pesisir pantai Teluk Siam, Kemboja, Vietnam, China Selatan, India dan barat.
Pelabuhan lain ialah pelabuhan entrepot6 yang merupakan pelabuhan yang memperdagangkan
hasil tempatan serta hasil dari kerajaan lain yang dibekalkan kepadanya kepada pedagang
antarabangsa yang berdagang di pelabuhannya. Pelabuhan ini juga membeli barangan daripada
pedagang antarabangsa untuk diedarkan kepada saudagar-saudagar yang datang dari pelabuhan
sekitarnya dan yang datang dari kawasan takluknya. Pelabuhan ini berkembang dari pelabuhan
kerajaan yang mempunyai kedudukan yang amat strategik. Contohnya Kedah Tua dan Srivijaya,
Ini berdasarkan lokasinya di Selat Melaka dan Selat Sunda, kedudukannya di lautan perdagangan
di antara India dan China dan kawasan sekitarnya yang kaya dengan pelbagai hasil logam, hasil
hutan dan hasil pertanian.
Kerajaan Champa telah diasaskan sekitar tahun 192 Masihi oleh Chu-Lien. Pemerintahan
Raja Champa banyak dipengaruhi oleh agama Hindu dan dalam struktur pentadbirannya,
terdapat pegawai pemungut cukai. Pelabuhan kerajaan Champa yang terkenal ialah Inderapura.
Ia telah ditadbir oleh 14 dinasti dan pada akhir kurun ke-13, kerajaan ini telah dipengaruhi oleh
China sehingga melenyapkan pengaruhnya pada kurun ke-15. Nama Champa telah wujud pada
tahun 655 Masihi. Menurut sumber sanskrit, pada tahun 400 Masihi ia telah ditadbir oleh
Bhadravarnom.
Kerajaan Chih-Tu juga dikenali dengan nama lain seperti Ho-La-Tan atau Tan-Tan serta
Kilatan. Kerajaan ini juga pernah dikenali dengan nama berbeza seperti Kerajaan Chermin dan

pusat perdagangan, biasanya bandar pelabuhan, yang menjadi tempat mengimport dan mengeksport semula
barang-barang dagangan.

Langkasuka. Menurut catatan I-Ching, Chih-Tu bermaksud Tanah Merah. Kerajaan Chih-Tu
telah diasaskan oleh Raja Guatama pada kurun ke-6 Masihi. Sistem pentadbiran kerajaan ini
diketuai oleh seorang raja yang berkuasa mutlak dan dibantu oleh tiga orang menteri. Sistem
pemerintahan beraja Chih-Tu adalah mengikut corak pemerintahan Srivijaya yang menerima
pengaruh Hindu. Rekod dinasti Sui (581 - 618) menunjukkan kewujudan sebuah kerajaan
Melayu Purba yang merujuk kepada Chih-Tu.
Kerajaan Chih-Tu yang sama bentuk dengan Funan adalah terletak di laut selatan.
Melalui laut, ia boleh dicapai lebih dari 100 hari perjalanan. Warna tanah di tempat itu adalah
merah, dengannya nama kerajaan itu dinamakan. Di timurnya ialah kerajaan Po-lo-la, di barat
ialah kerajaan Po-lo-suo dan di selatan ialah Ho-lo-tan. Di utaranya ialah laut. Negeri ini
keluasannya beberapa ribu li (1 li bersamaan 6.667 meter persegi). Nama keluarga rajanya
ialah Qu-tan,namanya pula ialah Li-fu-dou-sai,
7

(Dinasti Sui, abad ke-7 Masihi)

Kerajaan Srivijaya telah diasaskan sekitar abad ke-7 Masihi dan berpusat di Palembang,
Sumatera. Kerajaan ini juga mengamalkan sistem beraja yang berkuasa mutlak. Menurut catatan
Arab, raja dianggap sebagai Raja di Gunung dan Maharaja di Pulau. Menteri merupakan
orang perantaraan antara raja dengan rakyat. Suatu batu bersurat bertarikh 683 Masihi yang
dijumpai di Telaga Batu menyatakan pentadbiran kerajaan Srivijaya terbahagi kepada tiga
bahagian iaitu pentadbiran diraja, pentadbiran ketenteraan dan pentadbiran daerah. Kerajaan
Srivijaya telah menguasai Selat Melaka, Selat Sunda dan Laut Jawa untuk mengawal seluruh
kegiatan perdagangan maritim di Kepulauan Melayu. Pelabuhannya yang paling penting ialah
Palembang. Antara barangan dagangan di pelabuhan Palembang ialah seperti damar, cendana,
kapur barus, kemenyan dan lada hitam. Pada masa kegemilangannya, pelabuhan tersebut menjadi
pusat pertukaran barangan dalam kegiatan perdagangan antara China, India dan Barat.
Kerajaan Kedah Tua merupakan sebuah kerajaan awal yang terkenal di Semenanjung
Tanah Melayu. Ia juga dikenali sebagai Kataha, Kadaram, Sai, Kalah, Kalah Bar dan Kalagram.
Menurut catatan I Ching dari negara China, Kedah Tua juga disebut sebagai Cheh-Cha. Kerajaan
Kedah Tua diasaskan pada abad ke-5. Pada peringkat awal, Sungai Mas merupakan pelabuhan
utama tetapi kemudian dipindah ke Lembah Bujang. Kedah Tua dipengaruhi oleh agama Buddha
7

Catatan awal daripada dua orang pegawai Cina yang membuat lawatan diplomatik ke sana.

dan seterusnya diikuti oleh agama Hindu, pengaruh Hindu-Buddha ini boleh dibuktikan melalui
peninggalan candi yang terletak di Lembah Bujang. Gunung Jerai telah menjadi petunjuk atau
panduan kepada pedagang luar untuk singgah di pelabuhan Lembah Bujang ataupun di Sungai
Mas. Pelabuhan Kedah Tua telah menjadi tempat penukaran barang, tempat persinggahan dan
tempat membaiki kapal pelayar dan pedagang dari Arab, India, Sri Lanka, Parsi dan Eropah
sebelum mereka meneruskan perjalanan mereka ke Timur. Ia juga menjadi pusat perdagangan
pelbagai hasil tempatan yang dikumpul oleh penduduk tempatan seperti bijih timah, emas, beras,
lada hitam, gading, damar, rotan, tanduk dan sebagainya. Walaupun ia adalah sebuah kerajaan
samudera tetapi juga menjadi pengeluar padi terkenal kerana dikurniakan tanah pamah yang rata
dan luas. Kegemilangan kerajaan Kedah Tua dibuktikan melalui penemuan wang perak semasa
pemerintahan Sultan al-Mutawakil sekitar tahun 847 hingga 861 Masihi, manik dari India dan
barangan kaca dari Timur Tengah.
Kerajaan Majapahit pula telah diasaskan oleh Raden Wijaya yang telah menerima
pengaruh Hindu - Buddha di mana pentadbirannya adalah berdasarkan undang - undang Manu.
Kerajaan ini juga mengamalkan konsep Devaraja dan raja dibantu oleh perdana menteri serta
empat orang menteri. Kerajaan Majapahit mencapai zaman kegemilangannya sewaktu
pemerintahan Hayam Wuruk (Raja Senagara) dan Perdana Menterinya, Patih Gajah Mada.
Pedagang - pedagang dari China, India dan Timur Tengah datang untuk berdagang di Majapahit
sehingga ia menjadi tempat perdagangan yang utama pada abad ke - 15. Pelabuhan utamanya
ialah Kataha dan Temasik.

4.0

Hubungan Kerajaan Agraria dan Maritim


Terdapat kebergantungan yang nyata dan saling melengkapi di antara kedua - dua

kerajaan agraria dan maritim. Salah satu contoh adalah sumber buruh iaitu kerajaan agraria
mempunyai ramai penduduk bagi membekalkan tenaga kerja kepada kerajaan maritim seperti
tukang kayu dan batu yang mahir. Kerajaan agraria menghasilkan makanan seperti beras dan
hasil hutan kepada kerajaan maritim kerana kerajaan agraria mempunyai ekonomi yang
berasaskan pertanian. Makanan sememangnya penting kepada kerajaan maritim yang sentiasa
sibuk dan dilawati oleh pedagang - pedagang asing. Beras merupakan barangan dagangan utama
antara kerajaan agraria dengan kerajaan maritim. Contohnya, kerajaan Sailendra di Jawa Tengah

yang mempunyai penduduk yang ramai serta sistem pertanian yang lebih baik mampu
menghasilkan beras yang berlebihan untuk dibekalkan kepada kerajaan - kerajaan maritim.
Kerajaan maritim berfungsi sebagai pembekal barangan mewah seperti tembikar, tekstil,
gelas dan manik kepada kerajaan agraria. Mengapakah kerajaan agraria yang terletak di
pedalaman memerlukan barangan mewah tersebut? Sebenarnya, barangan mewah yang diperoleh
itu dapat menjadi sumber kekayaan dan simbol keagungan kerajaan agraria. Antara barangan
mewah yang popular di kalangan kerajaan agraria ialah tembikar China, tekstil dari India dan
China serta barangan gelas dan manik. Perdagangan berlaku di antara kedua - dua kerajaan ini
melalui cara tukar barang yang lebih dikenali sebagai sistem barter. Kerajaan maritim telah
membawa masuk pelbagai jenis barangan untuk ditukarkan dengan kerajaan agraria yang
memang memerlukan barangan itu. Kerajaan maritim juga memerlukan kayu daripada kerajaan
agraria untuk membuat kapal. Kayu yang baik boleh diperoleh di kawasan pedalaman kerajaan
agraria, contohnya daripada kerajaan Pegu di Burma. Selain itu, kerajaan maritim juga
memerlukan binatang kenderaaan seperti gajah untuk dijadikan kenderaan raja. Ini boleh
diperoleh dari kerajaan agraria seperti di Burma dan Siam.
Dalam suatu tempoh masa yang lama, kerajaan agraria berpeluang untuk berkembang
menjadi kerajaan maritim. Sebagai contoh, kerajaan Funan. Kerajaan Funan mencapai
kemuncaknya di bawah pemerintahan Fan Shih-man pada awal abad ke 3 Masihi, mengunjur di
selatan sehingga utara Malaysia dan di barat sehingga ke Burma. Funan berjaya menubuhkan
sistem perdagangan dan monopoli perniagaan yang kukuh dan menjadi corak pentadbiran di
kawasan ini. Fan Shih-man telah memperbesarkan angkatan laut dan memperbaiki birokrasi
Funan, membentuk bentuk separuh-feudal (quasi-feudal) yang membiarkan adat dan pengenalan
tempatan kekal, terutamanya yang terletak di bahagian sempadan kerajaan.
Kerajaan - kerajaan awal di Asia Tenggara menerima pengaruh Hindu - Buddha dalam
sistem pentadbiran, binaan, kebudayaan dan agama.8 Peranan penyebaran pengaruh Hindu Buddha diambil oleh Ksyatria atau tentera melalui proses penaklukan, para pedagang atau
Vaisya dan pendeta atau Brahmin. Ciri budaya India yang menarik sahaja yang disesuaikan
dengan budaya tempatan, buktinya arca bercirikan Asia Tenggara di Srivijaya iaitu ikatan tali
kulit harimau yang hanya ada di Srivijaya. Aspek Hindu - Buddha yang diambil berbeza - beza
8

http://en.wikipedia.org/wiki/Buddhism_in_Southeast_Asia
http://en.wikipedia.org/wiki/Hinduism_in_Southeast_Asia

dari seorang pemerintah dengan pemerintah Asia Tenggara yang lain. Sebagai contoh, kerajaan
Kedah Tua dipengaruhi oleh Buddha, Dieng di Indonesia dipengaruhi oleh Hindu dan Pulau
Bangka dipengaruhi oleh Hindu mazhab Vishnu. Pengaruh Hindu - Buddha berlaku serentak
dengan hubungan perdagangan, apabila Rom menghentikan perdagangan emas ke India maka
India beralih mendapat emas di Asia Tenggara.
Dalam aspek pentadbiran, gelaran raja bermula selepas kedatangan pengaruh sistem
beraja India. Di bawah raja ialah kerabat diraja dan pembesar termasuk ahli agama seperti
Brahmin. Selepas itu rakyat dan hamba yang bawah sekali. Raja berkuasa mutlak dalam semua
hal, perintahnya menjadi undang undang, sesiapa yang menentangnya dianggap derhaka.
Walau bagaimanapun raja harus adil kepada golongan diperintah. Rakyat takut derhaka maka
muncul konsep dewa-raja yang mempunyai sakti. Unsur mitos dan lagenda digunakan untuk
memperkuatkan kedudukan pemerintahannya. Upacara pertabalan dipimpin oleh Brahmin
bertujuan membezakan kedudukan raja daripada golongan diperintah. Raja yang terpengaruh
sistem Hindu - Buddha membina kompleks kota yang melambangkan alam semesta (orde
kosmos). Negara dianggap sebagai alam semesta, raja dan ibu kota ialah pusat alam (pusat
pemerintahan), maka raja perlu mengatur kesejahteraan negara dan rakyat (alam semesta).
Hasil tinggalan hidup daripada kedua - dua kerajaan ini ialah monumen dan kesenian
yang masih boleh dilihat sehingga hari ini. Monumen iaitu binaan atau bangunan daripada batu
untuk memperingati orang ternama atau peristiwa penting seperti candi, kuil, wat, stupa, arca dan
patung. Candi pula berperanan sebagai rumah ibadat, menyimpan abu jenazah raja dan
keluarganya, menyimpan patung dewa utama dan lambang kehebatan raja. Angkor Wat dan
Borobudur melambangkan orde kosmos. Rumah ibadat di Thailand, Kemboja, Vietnam disebut
wat, tetapi di Burma disebut stupa manakala di Indonesia disebut candi. Candi Dieng dan
Prambanan di Indonesia untuk agama Hindu, tetapi candi seperti Chaiya dan Yarang di Thailand
adalah untuk agama Buddha. Patung Hindu yang dibina adalah seperti patung dewa Siva,
Brahma dan Durga. Patung Buddha pula seperti patung Avalokitesvara. Candi dan patung di
Asia Tenggara merupakan hasil campuran gaya tempatan dan India. Antara pengaruh India
tersebut ialah patung zaman Dinasti Gupta.

5.0

Penutup

Ciri - ciri bentuk kerajaan awal di Asia Tenggara membolehkan pemahaman mengenai
sejarah dan warisan rantau ini dibuat. Secara ringkasnya, terdapat empat ciri pengkelasan yang
boleh dibuat untuk membandingkan kerajaan agraria dan maritim iaitu lokasi, kegiatan ekonomi,
asas kerajaan dan masyarakat. Kedua - dua kerajaan ini adalah saling bergantung dan melengkapi
antara satu sama lain. Kegemilangan kerajaan awal Asia Tenggara membuktikan bahawa rantau
ini pernah menjadi pusat pertemuan yang sibuk dan mewah suatu ketika dahulu. Kekayaan hasil
bumi dan sistem pentadbiran yang cekap menunjukkan rantau Asia Tenggara sebenarnya boleh
dan sepatutnya berkembang maju setaraf dengan rantau Eropah dan Amerika pada masa kini.
Walau bagaimanapun, penjajahan kuasa asing menyebabkan kesemua empayar ini lenyap dan
yang tinggal hanya binaan serta asimilasi kebudayaan yang masih boleh dilihat sehingga kini.
Seorang ahli falsafah iaitu George Santayana menyatakan Those who cannot remember the past
are condemned to repeat it. Kuasa - kuasa besar pada masa kini seperti Amerika Syarikat,
Jepun dan Russia berlumba - lumba untuk melengkapkan pertahanan masing - masing
terutamanya dalam bidang ketenteraan. Ini kerana sejarah menunjukkan kerajaan agung masa
lalu jatuh akibat serangan kuasa luar. Walau bagaimanapun, persaingan senjata telah
menyebabkan dunia ini menjadi tidak lagi aman kerana wujud ketakutan dan tertekan di
kalangan negara yang bersaing sehingga boleh menyebabkan peperangan.
Sehingga kini, monumen tinggalan daripada kerajaan awal telah menjadi suatu destinasi
pelancongan yang banyak menarik kemasukan pelancong - pelancong dari rantau lain. Asia
Tenggara juga kini masih kekal sebagai tempat pertemuan perdagangan dunia seperti di
Singapura. Sebagai perbandingan, kerajaan Funan dan Champa ialah sebahagian Vietnam pada
masa kini, Angkor ialah Kemboja, Chih-Tu ialah Kelantan, Kedah Tua ialah Kedah, Srivijaya
dan Majapahit pula ialah Indonesia.

6.0

Rujukan

Abdullah Mohamed, (1981), Keturunan Raja - raja Kelantan dan Peristiwa - peristiwa
Bersejarah, Kota Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.

Abdul Rahman Haji Abdullah, (2000), Wacana Falsafah Sejarah: Perspektif Barat dan Timur.
Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributor Sdn. Bhd.

Ahmad Fawzi b. Mohd. Basri, Mohd. Foad b. Sakdan dan Azami b. Man. (2005) Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah: Sejarah Tingkatan 1 Buku Teks. Dewan Bahasa dan
Pustaka.

http://en.wikipedia.org/wiki/History_of_Southeast_Asia
http://en.wikipedia.org/wiki/Buddhism_in_Southeast_Asia
http://en.wikipedia.org/wiki/Hinduism_in_Southeast_Asia
http://en.wikipedia.org/wiki/History_of_Cambodia
http://en.wikipedia.org/wiki/History_of_Malaysia
http://en.wikipedia.org/wiki/History_of_Indonesia
http://en.wikipedia.org/wiki/History_of_Laos
http://en.wikipedia.org/wiki/History_of_Myanmar
http://en.wikipedia.org/wiki/History_of_Vietnam
http://en.wikipedia.org/wiki/Sui_Dynasty

Munoz, Paul Michel (2006). Early Kingdoms of the Indonesian Archipelago and the Malay
Peninsula. Editions Didier Millet

Wolters, O. W., (1970), The Fall of Srivijaya in Malay History, Ithaca, New York and London.

Wheatley, P. (1980), The Golden Khersonese. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

You might also like