You are on page 1of 8

GAYA KEIBUBAPAAN

Gaya keibubapaan ialah amalan yang digunakan oleh ibu bapa dalam mendidik,
mengasuh, menunjuk ajar, menjaga dan membentuk sahsiah anak-anak.
Memang tidak dinafikan kini ibu bapa berhadapan dengan pelbagai cabaran
dalam mendidik anak-anak mereka terutamanya apabila anak-anak mula
memasuki alam remaja iaitu dalam lingkungan usia 11 tahun hingga 18 tahun.
Ini merupakan satu tempoh peralihan dalam pusingan hidup yang melibatkan
banyak perubahan berlaku, sama ada dari segi perkembangan fizikal, emosi dan
kognitif. Tugas mendidik anak-anak dalam peringkat remaja pada masa sekarang
dikatakan lebih mencabar kerana terdapat banyak pengaruh dari luar yang boleh
membentuk sikap dan tingkah laku mereka.

Jurang generasi yang semakin luas di antara ibu bapa dengan anak-anak boleh
menyumbang kepada pelbagai percanggahan dalam keluarga. Ini boleh
menimbulkan tekanan bukan sahaja kepada anak-anak malah kepada ibu bapa
sendiri. Menurut Hamilton (1989), ibu bapa yang tertekan boleh mengakibatkan
kes penderaan terhadap anak-anak. Manakala anak-anak yang tertekan pula
akan melalui suatu perkembangan psikologi yang bermasalah dan ini secara
tidak langsung boleh menyumbangkan kepada peningkatan masalah gejala
sosial. Jika masalah begini terus berlaku maka ianya akan menggangu
keharmonian sesebuah keluarga, masyarakat dan negara.

Bercakap tentang soal gaya keibubapaan, menurut Baumrind (1971), gaya


keibubapaan terbahagi kepada tiga jenis iaitu gaya keibubapaan authoritarian,
autoritatif dan permisif pada mulanya. Dan kemudian Maccoby&Martin (1983)
pula menambah satu lagi gaya keibubapaan iaitu uninvolved parenting atau
gaya keibubapaan pengabaian dan menjadikannya secara langsung empat jenis
gaya keibubapaan yang ada. Dalam erti kata lain, setiap dari gaya keibubapaan
menggunakan pendekatan yang berbeza untuk disiplinkan anak dan mempunyai
kebaikan dan keburukan yang tersendiri.

2.1.GAYA KEIBUBAPAAN AUTORITARIAN

Dalam gaya keibubapaan ini, kita dapat lihat di mana ibu bapa mengenakan
kawalan yang ketat terhadap anak mereka iaitu tidak bertolak ansur atau
fleksibel dalam mendidik anak-anak. Gaya sebegini juga dikenali sebagai 'kuku
besi'. Ini kerana, ibu bapa akan menentukan peraturan atau undang-undang
keluarga dan nilai yang perlu diikuti oleh anak. Peraturan yang telah ditetapkan
tidak boleh dipersoalkan oleh anak-anak dan kuasa adalah mutlak di tangan ibu
bapa. Secara tidak langsung ini bermaksud apabila anak melanggar peraturan
yang telah ditetapkan, mereka akan dihukum tanpa penjelasan terhadap
kesalahan yang dilakukan dan mereka tidak boleh membantah hukuman
tersebut walaupun bukan kesalahan bukan berpunca dari mereka. Menurut
Baumrind (1991), beliau menyatakan bahawa ibu bapa sebagai obedience dan
mengharapkan pesanan mereka kepada anak-anak perlu untuk ditaati tanpa
sebarang penjelasan.

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Lawrence (1986), beliau mendapati remaja
yang diberi kasih sayang yang terlalu keras atau tidak diambil peduli, autokratik,
pasif serta didiskriminasi oleh ibu bapa akan menghasilkan anak-anak remaja
yang bermasalah, memberontak dan menuju tingkah laku yang terpesong dan
menyeleweng. Ibu bapa yang mengamalkan gaya keibubapaan ini selalunya
menggunakan kaedah disiplin yang berbentuk hukuman. Kesannya, anak yang
dididik secara autoritarian akan mempercayai bahawa setiap keputusan dari ibu
bapa tidak boleh dibantah dan mematuhinya tanpa menyoal. Maka, anak-anak
ini cenderung menjadi terlalu bergantung kepada keputusan dan arahan ibu
bapa.

Selain itu, Anak-anak yang dibesarkan dengan gaya keibubapaan seperti ini juga
biasanya akan menjadi seorang yang moody, tidak bahagia, ketakutan dan
rapuh. Mereka lebih cenderung menjadi anak yang pemalu, menjauhkan diri dan
kurang percaya diri. Dalam kata lain, jika kasih sayang tidak diekspresikan pada
anak-anak, biasanya mereka ini menjadi seorang yang kuat membangkang dan
anti sosial kelak.

2.2.GAYA KEIBUBAPAAN AUTORITATIF

Gaya keibubapaan ini lebih bersifat demokrasi di mana ibu bapa dalam situasi ini
selalunya membenarkan atau mewujudkan komunikasi terbuka dengan anak. Ibu
bapa jenis ini juga lebih bersikap terbuka, lebih rasional dan fleksibel dalam
mendidik anak-anak. Anak-anak mereka akan sentiasa dididik agar belajar
berdikari. Namun begitu, bersesuaian dengan tahap kematangan anak, kawalan
yang tegas diutamakan di samping memberikan kebebasan kepada anak. Dalam
kata lain, gaya keibubapaan sebegini merupakan gabungan antara gaya
keibubapaan autoritarian dan permisif.

Anak-anak yang dibesarkan oleh ibu bapa dengan cara ini juga cenderung
menjadi lebih bertenaga, mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi,
berdedikasi, dapat kawal diri dan berpuas hati terhadap rakan sebaya. Gaya
keibubapaan autoritatif dikatakan merupakan yang paling berkesan dalam
mendidik anak-anak. Hal ini kerana, melalui gaya didikan begini, anak-anak
bebas melakukan apa yang hendak lakukan tetapi tingkah laku mereka akan
sentiasa diperhatikan dan dipantau oleh ibu bapa. Jika perkara yang hendak
dilakukan tidak mendatangkan keburukan maka ibu bapa akan membiarkan akan
mereka melakukannya dan jika perkara yang hendak dilakukan sebaliknya, ibu
bapa akan melarang anak mereka daripada melakukan perkara tersebut.

Anak-anak juga diberi peluang untuk meluahkan pendapat mereka dan bukannya
hanya mendengar arahan daripada ibu bapa mereka. Dalam maksud lain, anak-
anak bebas untuk meneroka dan berfikir tentang perkara yang mereka hendak
lakukan sama ada baik atau tidak. Secara tidak langsung ini dapat meningkatkan
perasaan ingin tahu mereka terhadap sesuatu perkara itu. Sementara itu,
menurut Baumrind (1989), anak-anak yang dibesarkan oleh ibu bapa yang
demokratik cenderung menjadi lebih bertenaga, suka menjelajah, mempunyai
perasaan ingin tahu tinggi, berdedikasi, dapat mengawal diri, berpuas hati
dengan diri dan bersikap positif terhadap rakan sebaya.

2.3.GAYA KEIBUBAPAAN PERMISIF

Dalam gaya keibubapaan ini, apa yang kita dapat lihat di mana ibu bapa
memberikan kebebasan sepenuhnya kepada anak-anak mereka tanpa sebarang
kawalan. Dalam erti kata lain, ibu bapa lebih memenuhi keperluan anak-anak
serta juga tidak membentuk peraturan keluarga yang jelas dan tidak
menerangkan antara tingkah laku yang baik dan buruk. Ibu bapa yang
menggunakan gaya keibubapaan ini akan membentuk sifat kurang matang,
kurang kawalan diri, kurang tanggungjawab sosial dan kurang keyakinan diri
pada anak-anak mereka. Ini kerana, jika permintaan mereka tidak dipenuhi
mereka akan merajuk dan memberontak kepada ibu bapa.

Walau bagaimanapun, menurut Baumrind (1989), anak-anak akan lebih gembira


dan cepat sembuh daripada sesuatu tekanan atau pun krisis berbanding kanak-
kanak yang dibesarkan secara autokratik. Kajian yang dijalankan oleh Mitchell
(1989) dan DAngelo dan rakan-rakan (1995), ada menunjukkan bahawa
kekurangan perhatian dari ibu bapa memainkan peranan penting dalam
pembentukan tingkah laku anti sosial. Kajian juga menunjukkan di mana remaja
yang bertingkah laku anti sosial biasanya kurang diberi perhatian oleh keluarga
mereka.

Sementara itu, kajian dari Slaby&Guerra (1988), mereka mendapati bahawa


anak-anak yang bertingkah laku devian dan delinkuen mempunyai kurang
kawalan diri dan tingkah laku mereka banyak dipengaruhi oleh kawalan luar dari
persekitaran. Selain itu, menurut Herzoy dan rakan-rakan (1988), mereka
mendapati sebanyak 70 peratus anak yang lari dari rumah dan terlibat dengan
dadah disebabkan oleh suasana rumah yang terlalu menekan, sikap ibu bapa
yang tidak mengambil tahu dan jurang antara mereka.
2.4.GAYA KEIBUBAPAAN PENGABAIAN ATAU KURANG PENGLIBATAN

Gaya keibubapaan ini dikemukan oleh Maccoby dan John Martin bagi
mengembangkan lagi gaya keibubapaan yang diberikan oleh Baumrind yang
menitikberatkan tentang tahap mengawal anak-anak dan tahap penerimaan
atau tindak balas daripada ibu bapa. Justeru, dengan menggabungkan kedua-dua
elemen iaitu mengawal dan tindak balas maka, wujudlah empat jenis gaya
keibubapaan.

Dalam gaya keibubapaan pengabaian ini, dikatakan banyak mendatangkan


kesan-kesan negatif kepada ahli keluarga. Ini kerana, tahap mengawal anak-anak
dan tahap penerimaan ibu bapa terhadap anak mereka adalah sangat rendah.
Ibu bapa tidak mengambil peduli langsung di mana anak mereka berada, apa
aktiviti yang mereka lakukan, dengan siapa mereka berkawan, tidak ambil tahu
tentang hal ehwal pelajaran anak serta suasana persekitaran sosial anak
mereka. Ibu bapa terlalu sibuk mencari nafkah sehinggakan mereka
mengabaikan keperluan anak-anak dari pelbagai segi. Secara tidak langsung,
keluarga sebegini berkemungkinan menghadapi masalah kewangan yang serius
sehingga anak-anak mereka dijaga tanpa pengawasan yang sepatutnya. Selain
itu, ibu atau bapa yang berpenyakit mental juga dikategorikan di bawah
golongan ini.

Gaya keibubapaan sebegini juga dapat dikatakan sebagai tiada pertalian yang
utuh antara ibu bapa dengan anak mereka. Hubungan tersebut dilihat begitu
asing antara satu sama lain. Kelakuan anak-anak yang dibesarkan dengan gaya
keibubapaan sebegini adalah yang paling teruk jika dibandingkan dengan ketiga-
tiga gaya keibubapaan diatas. Selain itu, anak-anak ini juga akan selalu
dipandang rendah oleh masyarakat dan menyebabkan mereka tidak suka
bergaul dengan orang lain. Gaya keibubapaan sebegini boleh dikategorikan
sebagai kecuaian dari ibu bapa itu sendiri kerana tiadanya permintaan, tiada
disiplin, hala tuju serta memberikan kebebasan penuh kepada anak mereka.

3.KESAN GAYA KEIBUBAPAAN

Dalam dunia yang semakin mencabar ini terdapat pelbagai corak didikan anak-
anak yang diamalkan oleh sesebuah keluarga. Corak yang diamalkan inilah yang
akan menghasilkan pelbagai personaliti. Personaliti juga akan menjadi lambang
kepada keperibadian seseorang individu itu. Mahu atau tidak, ibu bapa perlu
menjadi yang contoh baik, membimbing dan melatih anak-anak dalam membuat
keputusan, mewujudkan suasana yang menyeronokkan di rumah, mengetahui
apa yang anak lakukan serta perkembangannya selain perlu mengenali rakan
sebaya anak. Segala-galanya bermula di rumah dengan mewujudkan suasana
rumah yang harmoni dan sejahtera. Ini dapat dicapai melalui perbincangan
dengan anak tentang pelbagai perkara, meluangkan masa dan mendengar
masalah anak.

Oleh demikian, proses mendidik dan membentuk anak yang cemerlang ialah
proses berulang dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Menurut Profesor Yahya
Don dari Universiti Utara Malaysia (UUM), perkataan jemu untuk menegur,
mendidik, mengajar, membimbing dan membentuk keperibadian mulia, tidak
boleh wujud dalam diri setiap ibu bapa. Beliau juga berpendapat bahawa
perubahan tingkah laku biasanya melalui proses dan jangka masa tertentu.

Cepat atau singkat perubahan tingkah laku itu bergantung kepada pengaruh
motivasi dan persekitaran anak-anak. Ibu bapa bertanggungjawab mendidik dan
mengawal tingkah laku anak-anak bagi mencapai kecemerlangan. Tetapi, akibat
sikap tidak sabar untuk melihat perubahan serta merta maka, terjadilah tindakan
seperti menampar, mengherdik, merotan dan sebagainya. Kesannya akan
berlaku kerenggangan di antara anak-anak dengan ibu bapa, hilang motivasi,
dendam, murung, stres, tingkah laku ganas dan sebagainya.

Bercakap soal kesan gaya keibubapaan terhadap saya, apa yang saya dapat
katakan bahawa ibu bapa saya mendidik saya dengan cara autoritatif di mana
ibu bapa saya menggalakkan komunikasi terbuka dalam keluatga. Selain itu,
keadaan dan suasana dalam rumah yang tenteram dan beberapa ciri asuhan
yang autoritatif yang baik menjadikan saya seorang yang bersikap positif.
Memang tidak dinafikan bahawa ibu bapa saya seorang yang tegas, lebih-lebih
lagi ayah saya seorang anggota polis. Sungguh pun begitu, mereka menerapkan
disiplin dengan kasih sayang dan bukan dengan kekuatan. Mereka juga
menjelaskan akan peraturan kepada saya bukan dengan cara yang memaksa.
Walaupun terdapat peraturan dalam keluarga, ibu bapa saya membuka peluang
untuk berbincang sekiranya saya tidak memahami atau tidak bersetuju dengan
peraturan yang ditetapkan. Dalam erti kata lain ianya lebih bersifat demokrasi
dalam keluarga.

Antara kesan dari gaya keibubapaan ini kepada saya ialah saya kini lebih bersifat
terbuka, dapat mengawal diri dan menjadi seorang yang mempunyai perasaan
ingin tahu. Pada pendapat saya sendiri, cara yang terbaik untuk mendisiplinkan
anak-anak ialah dengan menggunakan disiplin yang sederhana iaitu tidak
longgar dan tidak terlalu ketat seperti autoritatif. Dengan kata lain, setiap
sesuatu disiplin yang hendak digunakan kepada kanak-kanak mestilah
bersesuaian dengan tahap perkembangan mereka supaya anak-anak dapat
mengembangkan sifat-sifat kendiri yang positif. Dalam agama Islam pun perkara
sebegini sudah lama diajar iaitu melalui sabda Rasulullah S.A.W, suruhlah anak-
anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun dan pukul kerana
meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun dari Riwayat Abu Daud. Pukul
yang dimaksudkan bukanlah sehingga mencederakan tetapi cukup sekadar
memberi pelajaran kepada anak supaya melakukan yang wajib dan
meninggalkan yang dilarang.

4.CADANGAN DALAM MENINGKATKAN GAYA KEIBUBAPAAN

Antara cadangan ibu bapa dalam meningkatkan gaya keibubapaan yang sesuai
di kalangan komuniti yang terdiri darippada pelbagai kaum ialah seperti yang di
bawah :

Luangkan Masa Berkualiti Bersama Anak

Memperbaiki perhubungan sihat antara ibu bapa dan anak dengan menyediakan
peluang kepada ibu bapa untuk mengenali, memahami dan membimbing anak
masing-masing. contohnya seperti tunjukkan yang anda berminat dengan aktiviti
anak atau meraikan kejayaan apabila anak telah mencapai sesuatu yang
dikehendakinya.

Kerap Menggunakan Kata-Kata Pujian

Penggunaan kata-kata pujian amat penting dalam mendidik anak. Pujian


membuatkan mereka memahami apakah tingka laku yang baik, merasai ibu-
bapa menyayanginya dan dapat meningkatkan rasa harga dirinya. Kata-kata
negatif tidak membantu malah ianya boleh merosakkan rasa harga diri anak.
Dengan ini, mereka tidak dapat belajar cara memperbaiki dirinya bila disindir
atau dimaki. Malah perasaan takut dan marah akan bersarang dalam dirinya
sehingga mereka meningkat dewasa. Contoh dalam menggunakan kata-kata
pujian seperti memanggil anak dengan namanya atau panggilan yang mesra.
Selain itu, beri perhatian tambahan terhadap perlakuan positifnya melalui
sentuhan, dakapan, ciuman atau tepukan. Di samping meluahkan pujian serta
merta secara konsisten setiap kali mereka berkelakuan baik.

Tetapkan Peraturan Yang Bersesuaian Dengan Keadaan Di Rumah

Setiap keluarga tanpa mengira kaum mestilah mempunyai peraturan di rumah


yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Dengan ini, anak perlu tahu apa yang
seharusnya mereka patuh. Adalah penting setiap ibu bapa menyatakan dengan
jelas kepada anak mereka tentang peraturan-peraturan yang ditetapkan. Sering
kali kita melihat di mana ada ibu bapa yang memarahi anak mereka apabila
berlaku sesuatu masalah tanpa memperjelaskan perlakuan yang diingini mereka.
Ini tidak seharusnya berlaku dalam keluarga yang ingin mewujudkan gaya
keibubapaan yang positif. Oleh demikian, apabila anak berkelakuan yang tidak
wajar kita perlulah menerangkan kepada mereka apakah tingkahlaku yang tidak
baik dan tunjukkan padanya perlakuan pilihan yang lebih sesuai serta terangkan
kepadanya juga apakah kesan positf dari tingkah laku tersebut.apa yang paling
penting ialah jangan marah anak semasa anda merasa amat marah kerana pada
masa itu anda tidak dapat berfikir dengan baik. Akibatnya anda gagal menjadi
contoh yang baik untuk anak anda belajar mengawal perasaan marahnya nanti.

Ibu Bapa Perlu Mempunyai Kemahiran Tambahan

Gaya keibubapaan merupakan salah satu cara mendidik. Justeru, pelbagai situasi
boleh timbul dari semasa ke semasa yang menuntut setiap ibu bapa mempunyai
kemahiran tambahan. Apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ialah seperti beri
anak anda pilihan untuk menggalakkan ia membuat keputusan. Jika mahu anak
anda menurut kehendak anda, beri arahan yang anda hendak mereka lakukan
dengan kata kerja sebagai contoh Tolong simpan mainan kamu. Walau
bagaimanapun, biarlah tuntutan atau harapan anda itu bersesuaian dengan apa
yang anak anda boleh lakukan atau dalam kata lain mengikut kemampuan
mereka.

5.KESIMPULAN

Apa yang kita dapat lihat ialah gaya keibubapaan yang berlainan akan
membentuk sikap dan tingkah laku anak-anak yang pelbagai atau berbeza. Gaya
keibubapaaan autoritatif adalah gaya keibubapaan yang paling positif dalam
mendidik anak-anak. Secara umumnya, banyak perkara yang di luar jangkaan
akan berlaku dalam mendididk anak-anak dan ini memang tidak dinafikan.

Perhubungan anatara manusia adalah berpunca daripada kasih sayang. Oleh itu,
ibu bapa haruslah meluangkan masa yang berkualiti bersama anak mereka. Hal
ini akan membuka peluang kepada ibu bapa untuk lebih mengenali, memahami
dan membimbing anak. Selain itu, ibu bapa sebagai ketau dalam keluarga
seharusnya menetapkan peraturan dalam rumah. Hal ini kerana, anak-anak perlu
tahu dan belajar apa yang mereka perlu patuhi dan hormati. Penggunaan pujian
juga amat penting. Dengan memberi pujian akan membuatkan anak-anak
memahami apakah tingkah laku yang baik. Di samping dapat merasakan kasih
sayang serta dapat meningkatkan keyakinan dalam diri. Dalam erti kata sebenar,
anak-anak akan mempelajari sesuatu perkara walaupun dalam keadaan apa
sekali pun.
Adakalanya, ibu bapa akan menegur tingkah laku anak mereka tetapi teguran itu
tidak memberi kesan yang positif kepada anak. Namun apa yang penting, ibu
bapa perlu memahami bahawa anak mereka sebenarnya amat memerlukan
perhatian dari tindakan mereka tersebut. Kadang-kadang, ibu bapa tidak perlu
untuk mengendahkan perbuatan anak mereka itu. Tindakan sebegini dipanggil
sebagai ignoring atau tak ambil endah. Apa yang penting disini ialah
membimbing anak dalam berfikir untuk diri mereka sendiri dan ibu bapa perlu
membantu anak-anak melalui proses atau langkah-langkah dalam membuat
keputusan. Mereka harus mengelakkan untuk terus membuat keputusan bagi
pihak anak.

You might also like