You are on page 1of 5

Iktibar kegemilangan Melaka

Unit Perancang Ekonomi kini dalam fasa terakhir menyediakan Rancangan


Malaysia Kesepuluh (RMK-10), yang akan dibentangkan di Parlimen pada 10 Jun
ini.

RMK-10 akan merangkumi tempoh 2011 hingga 2015. Kebetulan pula, tahun 2011
merupakan ulang tahun ke-500 kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada 1511.

Sebelum kejatuhan itu, terutamanya pad abad ke-15, Melaka amat berjaya dan
makmur sebagai pelabuhan perdagangan antarabangsa untuk rantau ini.

Saya percaya banyak perkara penting yang boleh kita pelajari daripada kejayaan
Kesultanan Melaka semasa abad ke-15. Saya ingin menghuraikan tiga faktor
kejayaan yang menyumbang kepada kegemilangan Kesultanan Melaka yang boleh
memberi pengajaran penting kepada kita pada masa kini.

Faktor kejayaan pertama ialah keupayaan Melaka dalam menggunakan kelebihan


geografinya. Melaka sememangnya mempunyai kelebihan geografi dan ia
menggunakan hampir keseluruhan kelebihan tersebut.

Perdagangan bergantung kepada kapal-kapal yang berlayar dan secara


strategiknya, Melaka terletak di tengah-tengah laluan perkapalan utama antara
India dan China, selain laluan mudah ke kepulauan rempah ratus Indonesia.

Malah, Selat Melaka adalah terlindung daripada monsun dan ini membolehkan
Melaka menjadi tempat penyediaan kapal dan tempat menunggu berakhirnya
monsun.

Musim monsunlah yang sebenarnya mengatur lalu lintas laut, dengan barangan
dari timur atau barat perlu disimpan sementara menunggu ketibaan pedagang
lain.

Di antara Disember dan Mac, kapal-kapal akan tiba dari tanah Barat dan Timur
Jauh manakala kapal-kapal dari Jawa dan timur kepulauan Indonesia akan tiba
dari Mei hingga September. Kelebihan geografi ini digunakan oleh Melaka
dengan:

Membina prasarana pelabuhan dan gudang,

Memastikan keselamatan barangan dan pedagang daripada serangan lanun.

Menyediakan kemudahan untuk pelbagai komuniti pedagang berlainan bagi


menghuni dan berdagang di Melaka.

Faktor kejayaan kedua ialah keupayaan Melaka untuk bersepadu dengan rantau
ini. Melaka dengan sendirinya tidak kaya dengan sumber asli dan tidak
mempunyai pertahanan keselamatan yang kukuh, tetapi ia dapat berkembang
maju menerusi jalinan sekutu untuk keselamatan yang berkesan dan keterbukaan
kepada perdagangan.

Di awal sejarah Kesultanan Melaka, Parameswara menjalin hubungan kukuh


dengan China, yang melindungi Melaka daripada ancaman Siam dan Majapahit.

Melaka terus menyampaikan sumbangan hadiah dan penghargaan ufti kepada


ketiga-tiga negara itu, sebagai balasan memudahkannya menjalankan
perdagangan.

Keterbukaan Melaka terhadap perdagangan memudahkan kepelbagaian dan


semasa kemuncaknya, pelabuhannya adalah sangat kosmopolitan dengan
komuniti perdagangan yang meluas, selain mempunyai penutur lebih 80 bahasa
di Melaka.

Kejayaan sebagai pelabuhan perdagangan, terus disokong oleh para pedagang


Melayu yang mengembara dan berdagang di kepulauan Melayu terutamanya
untuk tekstil, rempah ratus dan barangan yang diberikan oleh pedagang Barat dan
Timur yang mengunjungi Melaka.

Antara lain, strategi serantau Melaka berkisar kepada pelantikan empat


syahbandar yang setiap seorang menjaga keperluan pedagang berbeza; seorang
untuk Gujerat, seorang untuk India Selatan dan Bengal, seorang untuk pedagang
tempatan (termasuk dari Jawa, Palembang, Borneo) dan seorang untuk China.
Faktor kejayaan ketiga ialah keupayaan Melaka untuk menyediakan sistem
penyampaian yang cemerlang. Kejayaan Melaka sebagai sebuah pelabuhan
memerlukan penyampaian awam yang cekap dan berkesan.

Melaka diiktiraf sebagai mempunyai kerajaan yang amat tersusun dan ditadbir
dengan undang-undang yang dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka.

Kapten-kapten kapal yang tiba akan melapor kepada syahbandar masing-masing


yang kemudiannya akan menyediakan gajah untuk mengangkut kargo mereka ke
gudang-gudang tertentu. Para pedagang membayar cukai kastam sebanyak enam
peratus berdasarkan nilai kargo mereka.

Apabila cukai sudah dilunaskan, barangan boleh didagangkan dengan pedagang


residen. Proses ini dilihat sebagai adil dan pantas. Oleh itu, pedagang diberi
jaminan dapat menyempurnakan urusan perniagaan mereka dalam tempoh yang
mencukupi sebelum belayar pulang mengikut angin monsun.

Sememangnya kejayaan Kesultanan Melaka adalah amat menakjubkan,


memandangkan ia telah berkembang dari hanya sebuah perkampungan nelayan
yang dikelilingi empayar seteru, sehingga berupaya menjadi antara pelabuhan
yang terkaya di dunia.

Melaka mencapai kejayaan hebat ini bukan hanya kerana asas kedudukannya di
selat tetapi lebih kepada keupayaannya memupuk persekitaran yang kondusif
untuk perdagangan secara aman.

Dalam menghadapi pelbagai cabaran, penduduk dan pemimpin Melaka telah


berusaha bersama-sama dalam suasana positif dan konstruktif. Mereka dipacu
oleh semangat dalaman tetapi dalam pada itu menyedari tentang perkembangan
dan keperluan luar.

Mereka sedar tentang kekuatan dan kelemahan dalaman dan luaran mereka, dan
menggunakan kekuatan itu untuk mengambil kesempatan daripada
perkembangan yang berlaku di luar. Kesultanan Melaka tidak merasakan dirinya
kerdil berbanding dengan kerajaan yang lebih tua dan terkemuka di rantau ini.
Sebaliknya, ia mewujudkan pelabuhan yang diuruskan dengan amat baik dan
menempatkan dirinya sebagai sebuah negeri yang neutral dan mesra yang mana
semua bebas mengunjunginya sambil berdagang dalam suasana aman.

Melaka tidak bergantung kepada pihak lain untuk membantunya berkembang


maju. Melaka tidak mudah berasa kasihan kepada dirinya sendiri apabila
berdepan dengan masalah hal ehwal dalaman negeri. Sebaliknya, ia berpegang
kepada tanggungjawabnya dan bertindak memperbaiki dirinya dalam
menghadapi apa sahaja halangan dan cabaran.

Faktor kejayaan Kesultanan Melaka kira-kira 600 tahun dahulu dilihat terus
relevan kepada Malaysia pada masa kini.

Ia terutamanya berkaitan dengan apa yang kita saksikan dalam kebangkitan Asia
kini, berikutan peralihan keseimbangan kuasa ekonomi, sekali lagi ke Asia.

Ini dapat dilihat dengan kemunculan China, India, Indonesia dan Timur Tengah
sebagai penggerak utama bagi pertumbuhan dan kecairan ekonomi, seperti mana
yang berlaku di Melaka kira-kira 600 tahun lalu.

Kedudukan unik Malaysia di tengah-tengah pertumbuhan Asia dan beberapa


faktor kejayaan Melaka adalah kembali relevan. Saya senaraikan sebahagian
daripada ikhtibar pada kurun ke-15 tersebut untuk pengajaran kurun ke-21 di
Malaysia kini.

Pertama, Malaysia perlu menggunakan lokasinya yang strategik dalam cara yang
relevan dengan teknologi masa kini. Antara faktor yang menyumbang kepada
keadaan ini adalah perluasan rangkaian laluan penerbangan serantau dari
Malaysia ke seluruh Asia dan inisiatif Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi bagi
penghubungan telekomunikasi yang lebih mantap.

Kedua, sebagai negara yang agak kecil, kita perlu bersepadu secara berkesan
dengan negara-negara serantau yang besar dan pesat berkembang.

Ini dapat dicapai menerusi hubungan dagang yang kukuh seperti perjanjian
perdagangan bebas, serta hubungan pelaburan lebih besar seperti menerusi
syarikat-syarikat Malaysia yang mempunyai operasi serantau.
Transformasi industri domestik Malaysia perlu selari dengan pertumbuhan
rangkaian nilai pengeluaran untuk rantau ini.

Ketiga, tumpuan berterusan dalam meningkatkan sistem penyampaian awam


adalah penting ke arah memperluaskan lagi daya tarikan Malaysia sebagai
destinasi perdagangan dan pelaburan untuk perniagaan dalam dan luar negara.

Kegemilangan yang telah dicapai oleh Melaka kira-kira 600 tahun lalu ini perlu
dijadikan semangat bagi kita untuk mengulangi kejayaan tersebut, dalam
persekitaran di mana Asia berada pada puncak pertumbuhan dan perdagangan.

Pada abad ke-15, Kesultanan Melaka telah mencipta kejayaan dalam


melaksanakan landasan transformasi ekonomi dengan menjadikannya sebagai
hab perdagangan serantau, yang agak berbeza daripada model ekonomi sebelum
itu.

Bagaimanapun, Melaka mula mengalami kemerosotan pada penghujung abad ke-


15, dan seterusnya kecundang kepada Portugis pada 1511.

Kita terpaksa mengambil masa selama 446 tahun untuk mengembalikan


kemerdekaan kita. Iktibar daripada pengalaman ini ialah jika kita tidak memberi
tumpuan sepenuhnya terhadap usaha mencapai kejayaan, kita akan jatuh, dan
apabila kita tersungkur, ia akan mengambil masa yang amat panjang dan
kesukaran yang amat sangat untuk kembali pulih.

Bagi diri saya, saya amat optimis. Sambil kita mara ke hadapan dan melaksanakan
model ekonomi baru untuk mengubah ekonomi Malaysia, kita harus memandang
ke masa depan yang lebih cerah, bukan sahaja kebangkitan semula Asia tetapi
juga Malaysia yang maju dan makmur, demi generasi anak cucu kita.

Penulis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

You might also like