You are on page 1of 10

KAJIAN TINDAKAN

Soal selidik dan temu bual sering digunakan dalam kajian tindakan a. Jelaskan definisi soal selidik dan
temu bual. b. Huraikan tiga (3) kelebihan setiap kaedah tersebut.

Soal selidik ditakrifkan sebagai satu set soalan atau item dalam bentuk tulisan atau bercetak . Ia
digunakan untuk mengutip dan memperoleh data kajian secara laporan kendiri daripada subjek atau
responden kajian. Kaedah soal selidik ada dua jenis iaitu, soal selidik bentuk terbuka iaitu soalan yang
memberi kebebasan kepada responden atau subjek untuk menjawab dan soal selidik bentuk tertutup
iaitu soalan yang berstruktur dan responden hanya memilih jawapan yang ditentukan sahaja.

Antara kelebihan soal selidik ialah:

a) Kos membina borang soal selidik murah dan masa yang diperuntukkan singkat dimana proses
memungut data yang cepat, digemari dan mudah untuk ditadbirkan.

b) Pengkaji boleh memperolehi data atau maklumat dari jumlah responden yang ramai dan cepat serta
hubungan langsung penyelidik dengan subjek (yang diselidiki) dimana pengkaji boleh memilih saiz
sampel yang besar.

c) Kaedah soal selidik ini dijalankan untuk mendapatkan maklumat dengan lebih tepat dan betul dimana
fleksibiliti dari segi item soal selidik.

Temu bual adalah satu perbualan antara dua orang atau lebih (penemu bual dan yang ditemu bual).
Temu bual biasanya untuk memperolehi maklumat dari seseorang. Teknik temu bual boleh diguna
sebagai metod utama pengumpulan data, digabung dengan metod lain atau hanya dijadikan pendekatan
kajian (Robson 2011). Bagi kajian yang mengguna reka bentuk kajian kes, temu bual adalah teknik yang
baik bagi mengumpul data (Yin 2009). Temu bual adalah teknik kajian yang boleh diterima bagi mencari
isu yang berkaitan dengan polisi maklumat (Wenger et al. dlm. Forrest 2006).

Merriam (1998) menyatakan bahawa terdapat tiga jenis temubual yang boleh digunakan dalam
pengumpulan data iaitu (i) temubual berstruktur, (ii) temubual separa berstruktur, dan (iii) temubual
tidak berstruktur.

Temubual berstruktur memerlukan soalan-soalan yang ditujukan kepada peserta kajian dirancang bagi
mendapatkan respons yang spesifik.

Temubual tidak berstruktur pula memerlukan pengkaji memulakan sesuatu rangsangan umum apabila
menyoal. Peserta kajian pula digalakkan memberi respons secara bebas.Seterusnya soalan tambahan
boleh dikemukakan mengikut keperluan semasa.
Temubual separa berstruktur pula akan menggabungkan ciri-ciri temubual berstruktur dan tidak
berstruktur.

Antara kelebihan temubual ialah:

a)Data yang diperolehi daripada temubual bersifat fleksibel dan kemungkinan besar tidak dapat
diperoleh menerusi soal selidik.

b)Penemubual boleh mengemukakan soalan-soalan secara terbuka kepada peserta kajian bagi
mendapatkan maklumat yang mendalam dan menyeluruh.

c)Sesi temubual boleh dibuat secara semulajadi, bersahaja dan penemubual boleh menyesuaikan situasi
menerusi hubungan erat dan saling percaya mempercayai antara satu dan lain. Jawapan temubual
tersebut boleh menggambarkan pengalaman sebenar yang dilalui oleh peserta kajian boleh diambil kira
oleh pengkaji (Gay 1981).

Kelemahan Soal Selidik:


Masa menyedikan soalan agak lama.
Masa yang lama untuk menjawab bagi soalan selidik yang panjang.
Kurang mendapat kerjasama daripada responden untuk maklumat sebenar.
Soal sedidik yang diterima semula selalunya sedikit, jadi keputusan kurang tepat.

Kelemahan Temubual:
Melibatkan kos dan masa yang banyak.
Memerlukan penemubual yang mahir dengan bahasa komunikasi.
Perlukan latihan bagi penemubual yang ramai bagi mengelak ralat atau bias.
Subjek mungkin bersikap memuaskan hati penemubual sahaja.

Bincangkan peranan refleksi dalam kajian tindakan pendidikan.


Refleksi merupakan proses mengingat kembali pengalaman yang telah dilalui, memikirkannya,
mempertimbangkannya dan seterusnya membuat penillaian terhadap pengalaman tersebut. Refleksi
amat penting dalam Kajian Tindakan. Ia didefinisikan sebagai inkuiri yang sistematik oleh seseorang guru
terhadap amalan pengajaran sendiri bagi memperbaiki dan meningkatkan keberkesanannya serta
memperdalamkan kefahaman terhadapnya. Knowles (1992) menegaskan bahawa:
One way to think about the meaning of reflective is in terms of properties of mirrors and prisms.
Mirrors and transparent prisms reflect and refract light, they change the direction that light rays travel,
sometimes even bending them back on themselves, causing them to move in direction opposite to that
in which they originally travelled.

Semua guru perlu menjadi pemikir yang reflektif. Guru yang efektif adalah berkait rapat dengan guru
yang reflektif. Guru yang reflektif adalah guru yang responsif terhadap perubahan emosi dan keperluan
pendidikan setiap individu murid yang diajarnya, sentiasa memantau tindakan yang diambil dan
matlamat yang hendak dicapai, seterusnya melihat kembali matlamat pengajaran, kaedah dan bahan
pengajarannya.

Mengikut Dewey (1909; 1933), sikap yang perlu ada untuk menjadi seorang yang berfikiran reflektif
adalah berfikiran terbuka (open-mindedness), kesungguhan (whole-heartedness) dan tanggung jawab
intelek (intellectual responsibility). Seseorang yang berfikiran reflektif mempunyai kesediaan melihat
sesuatu masalah daripada pelbagai perspektif dengan penuh kesungguhan dan tanggungjawab.

Tujuan refleksi adalah untuk membolehkan guru:

a)menilai amalan pengajaran kendiri dan membaiki serta mempertingkatkannya;

b)menilai kesesuaian strategi pengajaran dan bahan bantu mengajar (BBM) yang digunakan;

c) menganalisis nilai-nilai pendidikan yang menjadi asas amalan pengajaran;

d) mengkaji dan menjelaskan peranan serta nilai peribadi berkaitan pendidikan secara berterusan; dan

e) menghurai penjelasan tentang murid, interaksi bilik darjah serta proses pengajaran dan
pembelajaran.

Refleksi adalah segala proses mengingat dan merenung kembali aktiviti yang telah dijalankan seseorang
di peringkat awal, semasa dan selepas menjalankan kajian tindakan.

Refleksi Peringkat Awal

Refleksi peringkat ini dilakukan sebelum memulakan sesuatu Kajian Tindakan. Antara langkah yang
boleh dijalankan adalah:

1)membuat analisis situasi serta menjelaskan isu, fenomena atau masalah pedagogi;

2) menganalisis kefahaman kendiri terhadap isu, fenomena atau masalah pedagogi;

3) menentukan isu/bidang keprihatinan; dan


4)mengenalpasti tindakan intervensi yang bersesuaian.

Refleksi Semasa Kajian

Refleksi peringkat ini dilakukan semasa kajian sedang dijalankan iaitu:

1)membuat keputusan awal terhadap perjalanan proses tindakan (intervensi);

2)menerima komen dan teguran spontan semasa menjalankan tindakan tersebut;

3)mengatasi segala rintangan dengan penambabaikan yang sewajarnya; dan

4)menilai keberkesanan tindakan intervensi tersebut.

Refleksi Selepas Kajian

Refleksi peringkat ini dilakukan selepas menjalankan tindakan, iaitu:

1)mensintesis perubahan dan peningkatan diri guru dan murid;

2)menilai kembali kesan tindakan yang telah diambil serta kefahaman baru yang diperolehi;

3)menentukan rumusan yang boleh dilaksanakan; dan

4)merancang tindakan susulan.

Hasil refleksi akan memberikan guru:

Kefahaman baru

Guru boleh memahami keberkesanan pengajarannya dengan lebih mendalam lagi, terutamanya kenapa
beliau berjaya atau tidak berjaya dalam sesuatu aktiviti yang dijalankan. Dengan memahami proses ini,
guru boleh mengambil tindakan pemulihan untuk menangani kelemahan dan memperkukuhkan teknik
pengajarannya.

Kesedaran
Guru akan sedar tentang pelaksanaan projek kajian tindakan beliau. Kesedaran ini boleh membantu
guru mengetahui persekitaran di mana beliau bekerja. Dalam perkataan lain, guru boleh membuat
environmental scanning untuk mendapatkan maklum balas bagi mewujudkan kesedaran tentang situasi
setempat.

Perubahan persepsi
Perubahan persepsi berkait dengan mewujudkan satu paradigma baru tentang situasi di mana
guru itu beroperasi. Sebagai contoh, kalau dahulunya guru menganggap pelajar mempunyai
masalah sikap belajar, perubahan persepsi pada seseorang guru akan mengakibatkan guru itu
mengubah persepsinya kepada sesuatu yang lebih positif. Hasil refleksi ini akan menjadikan guru
memikirkan cara terbaik untuk pendekatan pedagogi yang sesuai dengan konteks
pengajaran dan pembelajaran bilik darjah.

bagaimanakah aktiviti tindakan dalam kajian tindakan dilaksanakan


Proses kajian tindakan boleh ditunjukkan sebagai gelung spiral iaitu satu isu akan menjadi asas kepada
satu isu lain dan satu persoalan yang terjawab akan menjana persoalan-persoalan baru. Kajian Tindakan
melibatkan gelung spiral yang bermula daripada :

a)proses mereflek,

b)proses merancang,

c)bertindak dan

d)memerhati.

Kajian Tindakan bermula daripada proses refleksi iaitu proses imbas kembali yang dilakukan oleh
guru terhadap tugas seharian mereka. Kekuatan dan kelemahan p&p diteliti sama ada murid dapat
memahami apa yang ingin diajar serta masalah yang dihadapi oleh murid dan guru dalam melaksanakan
p&p. Proses refleksi ini perlu dilakukan secara kritis agar guru dapat melihat pelbagai isu dan masalah
yang wujud dalam melaksanakan tugas seharian.

Seterusnya selepas proses refleksi, guru harus merancang tindakan yang ingin diambil bagi mengatasi
masalah yang dikenal pasti. Guru dinasihatkan jangan terus merancang dan mengambil tindakan
penambahbaikan berdasarkan refleksi secara individu atau berkumpulan semata-mata. Ia disebabkan
perancangan tindakan sebegini akan hanya dibuat berdasarkan persepsi atau andaian guru sahaja,
bukannya berdasarkan maklumat sebenar. Hal ini boleh menyebabkan tindakan yang diambil nanti tidak
memberikan impak yang besar dan kadangkala berkemungkinan memberi kesan yang negatif kepada
guru dan murid.

Tinjauan awal melalui pengumpulan data atau maklumat secara tepat pada peringkat permulaan adalah
penting bagi membolehkan guru mengenalpasti punca sebenar berlakunya masalah tersebut.
Pengumpulan data ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti melalui

1.Ujian,
2.Soal selidik,

3.Temu bual,

4.Pemerhatian

5Analisis dokumen.

Setelah mengenalpasti punca masalah yang dihadapi murid melalui tinjauan awal, guru perlu
merancang tindakan intervensi bagi mengatasinya. Perancangan tindakan ini memerlukan kreativiti guru.
Antara tindakan intervensi yang boleh dilakukan adalah seperti:

a)mencari kaedah dan strategi p&p yang lebih berkesan,

b)menyediakan bahan bantu mengajar yang sesuai untuk digunapakai,

c)menggunakan kaedah visual atau maujud untuk menerangkan sesuatu konsep dan sebagainya ke arah
menangani masalah tersebut.

Seterusnya, guru harus melakukan tindakan melalui perancangan yang telah dibuat. Laksanakan segala
tindakan yang perlu bagi mengatasi masalah yang dihadapi sama ada oleh murid mahupun guru.
Kemudian guru perlu pula memerhati dan memantau sama ada tindakan itu berkesan atau tidak serta
sejauhmana ia dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi. Untuk ini, guru perlu sekali lagi mengumpul
data sama ada melalui ujian atau cara-cara yang telah dinyatakan di atas tadi. Data yang diperolehi perlu
dianalisis bagi membolehkan guru melakukan semula refleksi berkaitan kekuatan dan kelemahan
tindakan yang diambil, keberkesanan tindakan tersebut serta tindakan susulan yang perlu dilakukan.
Proses ini akan berterusan dalam kitaran kajian.

Bincangan Isu Keperihatinan dan kegunaan dalam kajian tindakan

Menentukan isu keprihatinan adalah penting bagi memudahkan penyelidik membuat perancangan
tindakan seterusnya. Isu keprihatinan yang tidak jelas akan menyebabkan tindakan yang diambil tidak
tepat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Kesilapan tersebut juga mengakibatkan tindakan
pembetulan tidak berkesan.

Berdasarkan refleksi, penyelidik perlu memfokuskan kepada satu daripada beberapa masalah yang
dinyatakan. Secara ringkasnya penentuan fokus kajian perlu memberi pertimbangan kepada perkara-
perkara berikut:

1. Masalah yang memerlukan tindakan segera dimana masalah tersebut merupakan keutamaan daripada
dua atau lebih masalah yang dikenal pasti.

2. Penyelesaian masalah itu penting untuk guru, murid dan sekolah.

3. Data boleh dikutip dngan cepat dan mudah dalam situasi di tempat kerja tarutamanya berkaitan
pengajaran dan pembelajaran

4. Bidang kajian berada dalam ruang lingkup kuasa guru untuk bertindak.
Menentukan isu keperihatinan atau fokus kajian adalah penting bagi memudahkan penyelidik membuat
perancangan tindakan seterusnya. Fokus kajian yang tidak jelas akan menyebabkan tindakan yang
diambil tidak tepat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Kesilapan tersebut juga mengakibatkan
tindakan pembetulan tidak berkesan.

Berdasarkan refleksi, penyelidik perlu memfokuskan kepada satu daripada beberapa masalah yang
dinyatakan. Secara ringkasnya penentuan fokus kajian perlu memberi pertimbangan kepada perkara-
perkara berikut:

i. Masalah yang memerlukan tindakan segera di mana masalah tersebut merupakan keutamaan
daripada dua atau lebih masalah yang telah dikenal pasti.

ii. Penyelesaian masalah itu penting untuk guru, murid dan sekolah.

iii. Data boleh dikutip dengan cepat dan mudah dalam situasi di tempat kerja terutamanya berkaitan
pengajaran dan pembelajaran
.

iv. Bidang kajian berada dalam ruang lingkup kuasa guru untuk bertindak.

Terdapat beberapa kriteria dalam menentukan fokus kajian. Antaranya ialah:

i. Skop Kajian

Adakah masalah itu wujud dalam kelas anda?

Adakah masalah itu serius dan mengganggu prestasi pengajaran anda?

Dapatkah anda melakukan sesuatu terhadap masalah tersebut bagi membaikinya?

Adakah anda terlalu bergantung kepada orang lain apabila hendak melakukan tindakan intervensi
terhadap masalah tersebut?

ii. Kerelevanan

Sejauh manakah pentingnya penyelesaian masalah itu dari segi:

Jangka masa pendek?


Jangka masa panjang?

Adakah anda berminat untuk menyelesaikan masalah itu?

Adakah anda perlu menyelesaikan masalah itu untuk membolehkan anda menyambung tugas
seterusnya?

Adakah masalah itu, jika tidak diselesaikan, mempunyai kesan ke atas tugas rakan sejawat yang lain?

Adakah masalah itu, sekiranya dibiarkan berterusan, mempunyai kesan negatif ke atas institusi tempat
anda bekerja?

iii. Kebolehurusan (manageability)

Adakah anda berkebolehan menyelesaikan masalah?

Adakah anda mempunyai masa untuk menangani masalah tersebut?

Apakah persiapan yang perlu anda lakukan?

Apakah kekangan yang mungkin dihadapi?

iv. Keserasian (compatibility)

Adakah ia melibatkan kerja-kerja yang sememangnya selalu anda lakukan?

Adakah mungkin aktiviti-aktiviti kajian itu dapat digabungkan dengan kerja-kerja mengajar?

Adakah anda boleh mendapat bantuan rakan sejawat untuk menyelesaikan masalah itu?

Apakah sokongan yang boleh diperolehi dari pihak atasan anda?

Sekiranya, penyelidik dapat memberikan jawapan yang meyakinkan kepada semua persoalan dalam
kriteria pemilihan di atas, maka penyelidik sudah menemui isu keperihatinan atau fokus kajian yang
tepat pada ketika itu.

Huraikan cara menganalisiskan data kajian tindakan yang berbentuk kualitatif dan kuantitatif
berdasarkan temu bual dan soal selidik sahaja
Kajian kualitatif merupakan kajian ke atas sesuatu situasi dan individu untuk mendapatkan maklumat
secara terperinci serta mendalam. Penyelidikan ini menerangkan proses, langkah dan sebab sesuatu
perkara berlaku. Kajian kualitatif merupakan kajian secara induktif iaitu penyelidik membina konsep,
hipotesis dan teori untuk di kembangkan, dinyatakan dan dijelaskan. Data kualitatif diperoleh dengan
cara pemerhatian, temubual, analisis dokumen atau apa-apa cara untuk mendapatkan data yang
lengkap. Saiz sampel bagi kajian ini lebih kecil berbanding kajian kualitatif.

Temu bual dalam analisis kualitatif

Temubual dalam penyelidikan kualitatif terbahagi kepada dua bahagian, iaitu temubual mendalam dan
temu bual kumpulan fokus.

Temu Bual Mendalam

Kaedah ini menggunakan penemu ramah yang menjalankan temu bual yang terperinci berdasarkan garis
panduan yang telah ditetapkan. Apa-apa yang disebutkan oleh responden merupakan data penting
kajian. Tindak balas yang relevan akan dicatatkan kata demi kata. Melalui kaedah ini seseorang pengkaji
boleh memperoleh kefahaman yang meluas dan sempurna dengan cara mendalami sesebuah topik
tertentu. Pada masa yang sama, pendekatan ini unik atas sebab yang berikut iaitu sampel yang lebih
kecil akan digunakan, pengkaji boleh memberikan keterangan yang terperinci tentang sebab di sebalik
jawapan responden dan ia juga mengizinkan pemerhatian yang lebih lama tentang respons. Hal ini
kerana temubual mampu menghasilkan data yang tidak terjangkau oleh responden kerana batasan
masa.

Temu bual kumpulan fokus

Kaedah perbincangan kumpulan fokus (Focus Group Discussion - FGD) merupakan kaedah kualitatif
yang popular. Melalui kaedah ini, pengkaji memilih sekumpulan orang yang mempunyai ciri tertentu untuk
mengadakan sesi perbincangan. Seorang fasilitator (pemudah cara) yang dilantik akan menentukan hala
tuju perbincangan tersebut. Apa-apa yang dikatakan oleh ahli kumpulan merupakan data penting dalam
FGD dan kaedah ini memberi peluang untuk berkongsi dan membuat perbandingan tentang pengalaman
dan pandangan peserta serta memberi peluang untuk berbual-bual tentang perkara yang terjadi dalam
dunia sebenar. Kaedah ini digunakan untuk mendapat kefahaman lebih mendalam tentang sesebuah
tajuk, contohnya motivasi, tingkah laku, perasaan, strategi membuat keputusan, atau pendapat orang-
orang tertentu terhadap sesuatu isu atau topik.

Kajian kuantitatif merupakan satu kajian secara umumnya menggunakan analisis statistik, ia lebih
bersifat objektif dan berorientasikan kepada hasil. Berdasarkan kepada istilah kuantiti, penyelidikan
kuantitatif dikaitkan dengan data numerika dan ketepatan. Ia adalah berdasarkan kaedah penyelidikan
inkuiri positivis dimana penyelidikan dilakukan melalui kajian eksperimental dan data numerika yang
dipungut dianalisis dengan ujian statistik. Data kuantitatif boleh diukur, melalui proses pengukuran dan
memerlukan alat-alat pengukuran seperti soal selidik dan ujian. Saiz sampel bagi kajian ini lebih besar
berbanding kajian kualitatif.

Soal selidik dalam analisis kuantitatif

Soal selidik ialah alat ukur yang paling popular dalam kajian tinjauan manakala temu bual dijalankan
untuk menyokong hasil kajian yang diperoleh. Soal selidik yang digunakan dalam kajian ini biasanya
disediakan oleh penyelidik. Walau bagaimanapun soal selidik yang sedia ada dan soal selidik
penyelidikan terdahulu iaitu yang telah melalui proses pengesahan dan diuji kebolehpercayaannya boleh
juga digunakan.
Menurut Chua, 2006, terdapat beberapa ciri instrumen soal selidik yang baik. Antaranya ialah sesuai
dengan kesediaan responden, format instrumen yang sistematik, arahan yang jelas, surat dan dokumen
disertakan bersama instrumen kajian dan ujian rintis dijalankan sebelum instrumen digunakan

Manakala, menurut Merican, 2006, antara panduan membentuk item-item soal selidik ialah penggunaan
bahasa yang mudah, selaras dengan responden, elakkan soalan yang sukar, soalan yang tidak
mempengaruhi pemilihan responden, elakkan soalan dwi-maksud, soal selidik yang terlalu panjang,
elakkan soalan yang kabur, elakkan mendorong jawapan yang digemari masyarakat, elakkan soalan
yang berarah dan item yang negatif. Item-item soal selidik boleh menggunakan ukuran dalam bentuk
skala likert, skala perbezaan semantik, skala Thurstone dan skala Gutman (Gay & Airasian, 2000).

You might also like