You are on page 1of 9

1.

0 PENGERTIAN BUDI

Menurut Kamus Dewan (2007), budi mempunyai beberapa pengertian. Budi dikaitkan
dengan erti berakal atau sifat baik, perbuatan santun, kebajikan dan kebijaksanaan. Budi juga
dikaitkan dengan sifat baik, perbuatan baik atau kelakuan kebajikan. Budi diertikan dalam
Kamus Dewan Edisi Keempat sebagai perangai, akhlak, tingkah laku, kelakuan dan watak.
Hal ini bererti budi adalah kaitan perlakuan yang dikatakan mempunyai pertalian dengan
tingkah laku atau perwatakan individu.

Menurut Asma Abdullah (2009), budi ditakrifkan sebagai intelek atau kebaikan. Budi
adalah sebahagian daripada sistem etika bagi orang-orang Melayu dan Malaysia. Ini
mencerminkan peribadi, asuhan serta didikan mereka yang boleh mempengaruhi cara
mereka berhubung dengan orang lain. Perjalanan kehidupan harian dipandu oleh budi yang
diwarisi daripada generasi yang terdahulu.

Menurut Noriati A.Rashid (2002), budi ialah akal, kebijaksanaan, perangai dan akhlak
yang baik. Pentakrifannya juga melibatkan perbuatan dan tingkah laku yang baik. Tegasnya
persoalan budi berkait rapat dengan kesedaran, kata hati, perasaan, rasa, hati, dan berhati
perut. Budi ialah satu keseluruhan sifat sikap, pemikiran, pengucapan, perlakuan dan akhlak
yang menjelaskan persoalan dalaman manusia. Jelasnya, budi ialah pancaran nilai utama
yang telah menetapkan corak akhlak dan nilai manusia.

Noresah Baharom (2000) pula berpendapat budi merupakan akal dan kebijaksanaan
seseorang. Dalam konteks yang lebih luas perkataan budi memberikan pengertian yang
tersendiri berdasarkan kehadirannya dalam konteks tertentu. Umpamanya perkataan budi
digunakan bersama perkataan pekerti iaitu budi pekerti, ianya memberikan maksud perangai,
akhlak, tingkah laku, kelakuan dan watak. Budi juga boleh memberikan maksud terhutang
atau berterima kasih terhadap kebaikan orang lain.

Kesimpulannya, budi adalah merujuk kepada sifat berilmu, bijaksana, pandai,


mengetahui, mengerti, berpengalaman dan berakal yang dimiliki oleh seseorang. Berbudi
menjadi keutamaan dalam proses sosialisasi dan pembudayaan. Guru-guru memerlukan
pembangunan budi yang terpuji dan sentiasa diamal dalam kehidupan seperti ketelusan,
kejujuran, integriti, adil, amanah dan akauntabiliti. Dengan ini, kita bukan sahaja mampu
membentuk aspek pembangunan luaran semata-mata tetapi perlu memperbaiki aspek
dalaman yang dikenali sebagai aspek keperibadian untuk menjadikan masyarakat sebagai
suatu masyarakat yang benar-benar bertamadun.
2.0 PENGERTIAN BAHASA

Bahasa ditakrifkan sebagai sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat
perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia khusunya medium komunikasi
individu dengan individu yang lain. Dalam konteks ini, bahasa merupakan percakapan yang
baik, tingkah laku yang beradab atau sopan santun.

Terdapat pelbagai takrif tentang bahasa. Nik Safiah Karim (1981) mentakrifkan bahasa
sebagai suatu sistem lambang pertuturan yang arbitrari yang digunakan oleh manusia
sebagai alat untuk berhubung. Menurut Syamsuddin (1986:2), bahasa memiliki dua
pengertian. Pertama, bahasa adalah alat yang dipakai untuk membentuk pikiran dan
perasaan, keinginan dan perbuatan-perbuatan, alat yang dipakai untuk mempengaruhi dan
dipengaruhi. Kedua, bahasa adalah tanda yang jelas dari kepribadian yang baik maupun yang
buruk, tanda yang jelas dari keluarga dan bangsa, tanda yang jelas dari budi kemanusiaan

Manakala Asmah Haji Omar (1998) pula, bahasa sebagai firasat atau petunjuk kepada
sesuatu kebudayaan. Dalam konteks ini, bahasa mencerminkan kebudayaan penuturnya iaitu
cara hidup dan persekitaran fizikal serta sosial masyarakat tersebut. Asmah Haji Omar
(2000:88) menginterpretasikan kesantunan menurut perspektif Melayu dengan mengatakan
bahawa kesantunan berbahasa ialah penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak
menimbulkan kegusaran, kemarahan, dan rasa tersinggung daripada pihak pendengar.
Menurut Teo Kok Seong (1996:40), kesopanan berbahasa ditakrifkan sebagai bentuk bahasa
atau penggunaan bahasa yang bermaksud untuk berlaku sopan kepada orang yang diajak
bercakap bagi tujuan menghormatinya, di samping memperlihatkan kehemahan pada orang
yang bercakap itu agar ia dianggap sebagai berbudi bahasa. Bagi S. Nathesan (2005:30)
pula, kesantunan berbahasa merujuk kepada budi bahasa yang tergambar dalam amalan
tegur sapa yang digunakan dalam satu-satu masyarakat bahasa. Amalan ini umumnya
ditentukan secara konvensi, iaitu persetujuan secara sebulat suara oleh masyarakat
berkenaan.

Menurut Abdullah Hassan dan Ainon Mohamad (1994:306-307) pula, untuk


mengetahui apa yang dimaksudkan dengan kesantunan berbahasa, cara mudah ialah dengan
mengetahui apa yang sebaliknya, iaitu kebiadaban berbahasa. Bentuk kebiadaban berbahasa
adalah seperti menulis memo, surat, notis dan laporan yang terlalu singkat dan tidak kena
pada tempatnya, ungkapan yang ada nada sindiran, kepura-puraan, marah, curiga,
penghinaan, tuduhan, mengajar-ngajar, kemesraan yang tidak diingini dan yang
mengandungi sangkaan tertentu, bentuk bahasa yang mencerminkan budi bahasa yang palsu
dan niat yang tidak ikhlas. Menurut mereka lagi, kesantunan berbahasa ialah timbang rasa
yang kita berikan kepada orang yang membaca karya kita atau mendengar kita bercakap.
Kesantunan bahasa juga ialah sifat bahasa yang membolehkan kita menolak permintaan
seseorang tanpa mengecilkan hatinya.

Tuntasnya, Bahasa merupakan adalah salah satu cara untuk menujukkan budaya
kesantunan kita terhadap masyarakat. Slogan Bahasa jiwa bangsa jelas menunjukkan
bahawa Bahasa menjadi lambang terhadap keperibadian seseorang.

3.0 PENGERTIAN BUDI BAHASA

Pepatah Melayu berbunyi orang berbudi kita berbahasa. Hal ini jelas menunjukkan
budi dan bahasa itu dua perkara yang saling berhubung rapat dan tidak dapat dipisahkan.
Andai budi bertentangan dengan bahasa, maka manusia tidak dapat menggunakan budi
sebagaimana sepatutnya.

Budi bahasa merujuk kepada tutur kata, kelakuan, sopan santun, tatatertib dan akal
bijaksana. Perbuatan kebajikan tercantum dalam kata-kata mulia, dengan kata lain, setiap
gerak laku, tutur kata, tatahidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain sebagai
peribadi mahupun pergaulan masyarakat terangkum dalam konsep budi bahasa. Menurut
Amat Johari Moain (1989), apabila seseorang itu hendak bercakap atau bertegur sapa dengan
seseorang yang lain, bahasa yang hendak digunakan mestilah difikirkan dan diteliti dengan
halus terlebih dahulu.

Ainon Mohd & Abdullah Hassan (2010) pula mentakrifkan budi bahasa sebagai etiket,
adab sopan santun, pekerti dan akhlak yang beradat dan berbahasa. Manakala Siti Hajar
Abdul Aziz (2009) berpendapat bahawa budi bahasa dan tingkah laku bertatasusila boleh
dilihat menerusi kesantunan berbahasa seseorang. Dalam erti kata lain, budi bahasa
seseorang dapat dilihat ketika dia menggunakan bahasa.

Mustafa Hj. Daud (1995:4) memberikan pengertian berbudi bahasa sebagai


percakapan yang baik, elok dalam tutur kata, halus tutur kata, hormat, bijaksana, tinggi budi
bicara, pemurah, belas kasihan, beradab, bersopan-santun, bertatatertib, berbudi pekerti
mulia, tingkah laku yang baik dan akhlak yang baik. Asmah Haji Omar dalam Ab. Razak Ab.
Karim (2000:1306) pula membahagikan kesopanan kepada dua jenis, iaitu kesopanan asas
dan kesopanan berkendala. Kesopanan asas ialah kesopanan yang sedia ada dan dijadikan
panduan oleh ahli masyarakat untuk berhubungan antara satu sama lain. Kesopanan
berkendala pula ialah kesopanan yang menggambarkan usaha yang dilakukan oleh ahli
masyarakat ketika berhubungan antara satu sama lain dengan memberikan perhatian kepada
kendala tertentu. Menurutnya lagi,strategi komunikasi yang menandai kesopanan melibatkan
perkara seperti perkaitan peranan, perbezaan taraf sosial, kewujudan kuasa, menjaga air
muka, kepatuhan pada tajuk atau bidang dan kepatuhan pada peraturan.

Menurut Abd Wahid Jais dan Faezah Kassim (2006:68), orang Melayu memandang
tinggi budi bahasa. Orang yang berbudi bahasa, berbudi mulia dan sopan dalam berbahasa
diberi nilai yang sangat tinggi. Orang yang tidak berbudi bahasa dan bercakap dengan cara
yang tidak sopan dianggap berperangai rendah, tidak berbudi dan dikatakan biadab.
Pengetahuan komponen komunikasi, antaranya boleh mewujudkan kesesuaian bahasa
semasa berkomunikasi dari beberapa segi seperti penggunaan ganti nama yang sesuai
mengikut angkubah sosial tertentu, misalnya usia, pangkat, dan jantina. Seterusnya,
penguasaan ciri prosodi seperti nada suara yang lantang dan intonasi tertentu untuk menyata
dan menyampaikan sesuatu sikap, pengamalan cara bahasa tertentu untuk menyata dan
menyampaikan sesuatu sikap, pengamalan cara berbahasa tertentu, misalnya merendah diri
semasa menerima pujian sebagai mematuhi sesuatu resam berbahasa, dan pengetahuan
perlakuan bukan verbal seperti aksi badan tertentu dalam bentuk penggunaan tangan kanan
yang dikaitkan dengan nilai sosial atau budaya tertentu (Teo Kok Seong, 2002:9).
Penyampaian sesuatu komunikasi secara berkesan itu, hendaklah mengambil kira bukan
sahaja peraturan nahu tetapi juga peraturan penggunaan bahasa yang terletak pada aspek
sosiolinguistik dan aspek pragmatik (Asmah Hj Omar, 2002:114).

Kesimpulannya, budi bahasa merujuk kepada tutur kata, kelakuan, sopan santun,
tatatertib, akal, kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan seseorang yang bergabung atau
bercantum dalam bentuk kata-kata yang mempunyai nilai akhlak yang mulia. Setiap gerak
laku, tutur kata, tata hidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain sebagai peribadi
mahupun pergaulan masyarakat terangkum dalam konsep budi bahasa. Justeru semua nilai
murni yang diterima dan diamalkan oleh masyarakat Malaysia sama ada diaplikasikan secara
individu, kekeluargaan, masyarakat dan negara merupakan nilai sejagat yang dituntut oleh
agama, kepercayaan, adat rasmi dan kebudayaan sesuatu masyarakat yang bertamadun.

4.0 PERBEZAAN AMALAN KESANTUNAN DALAM BUDAYA MASAYARAKAT MALAYSIA


PADA MASA DAHULU DAN MASA KINI

Kesantunan merupakan aturan perilaku yang ditetapkan dan disepakati bersama oleh
suatu masyarakat tertentu sehingga kesantunan sekaligus menjadi syarat yang disepakati
dalam perilaku sosial Robert (2004:217). Apabila dilihat pengertiannya, kesantunan dapat
dilihat daripada berbagai-bagai segi dalam pergaulan sehari-hari. Amalan kesantunan bagi
masyarakat Melayu pada masa dahulu tidak dapat disangkal lagi bahawa budaya sopan
mereka merupakan satu perkara yang amat dititikberatkan dan sentiasa diamalkan tidak kira
masa, tempat dan terhadap bangsa-bangsa lain. Akan tetapi, perubahan dalam kesantunan
ini jelas terhakis pada masa kini. Terdapat pelbagai perbezaan jika hendak dibandingkan cara
masyakat Melayu pada ketika dahulu dan pada masa sekarang yang serba modenisasi ini.

Kesantunan tercermin dalam cara berbahasa, bertindak dan berpakaian (Robert


Sibarani, 2004:218). Menurut beliau lagi, kesantunan perbuatan memerlukan berbagai-bagai
tatacara seperti pada waktu makan bersama, memerlukan kesantunan dari segi cara
berpakaian, cara duduk, cara mengunyah, dan Iain-lain. Za'ba (1950) turut membincangkan
aspek kesantunan perbuatan. Beliau mengatakan bahawa budi bahasa bukan sekadar
penggunaan bahasa semata-mata. Perlakuan dan tingkah laku seseorang, seperti amalan
berjabat tangan, menunjukkan muka yang manis, cara duduk yang tertib dan disenangi,
melayan tetamu dengan menghidangkan juadah, membongkokkan badan ketika melintas di
hadapan atau di belakang orang lain, serta menggunakan ibu jari, bukan jari telunjuk, apabila
mahu menunjukkan sesuatu sangat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu. Penggunaan
bahasa yang santun tidak akan lengkap tanpa disertai oleh perlakuan yang mulia itu.

4.1 KESANTUNAN BUDAYA KETIKA BERKUNJUNG KE RUMAH ORANG

Berikut beberapa panduan mengenai adat resam orang Melayu pada ketika dahulu
berhubung dengan lawatan dan kunjungan ke rumah orang. Bagi pengunjung beragama Islam
apabila tiba di rumah yang dikunjungi hendaklah memberikan salam dengan ucapan
Assalamualaikum. Sebelum masuk ke dalam rumah orang Melayu, pengunjung hendaklah
menanggalkan kasut terlebih dahulu dan meletakkannya di tempat yang sesuai secara kemas
dan teratur. Jika pada masa itu telah ada tetamu lain, pengunjung hendaklah mengenalkan
diri dan menundukkan sedikit kepala tanda hormat sambil berjabat tangan. Apabila seseorang
ingin berjalan lalu dihadapan satu kumpulan atau perhimpunan orang ramai hendaklah
menundukkan sedikit kepada dengan menghulurkan sebelah tangan. Ucapan-ucapan yang
sesuai bagi maksud ini ialah maafkan saya, tumpang lalu, minta jalan. Adalah menjadi
kebiasaan rumah Melayu, secara tradisinya, tetamu dan tuan rumah duduk bersila. Bagi orang
lelaki duduknya bersilang kaki dan bagi orang perempuan bersimpuh. Apabila tuan rumah
menghidangkan makanan adalah tidak manis tetamu menolaknya. Jika sudah kenyang
sekalipun hendaklah ia merasa sedikit hidangan yang disajikan itu. Anak gadis dikehendaki
menyenduk nasi ke dalam pinggan orang yang lebih tua. Jangan senduk terlalu penuh atau
sedikit tetapi sederhana banyaknya. Biarkan orang lebih tua mengambil makanan dahulu
kemudian barulah orang muda. Seeloknya ambillah hidangan yang berhampiran dengan kita
jangan menjangkau makanan yang terletak jauh dan sukar dicapai. Jika kita hendakkan
makanan yang sukar dicapai, mintalah bantuan orang lain yang berdekatan. Ketika menghulur
atau menyambut seeloknya siku atau pergelangan tanggan ditampung sedikit dengan tangan
sebelah lagi. Ketika menyenduk kuah atau nasi, gunakan tangan kiri supaya sudu atau senduk
tidak kotor. Jika bercakap pastikan tidak menimbulkan perkara-perkara kurang
menyenangkan sehingga boleh menganggu selera makan atau menyebabkan pertengkaran.
Gunakan nada suara sederhana bila bercakap terutamanya golongan muda. Jangan sesekali
meninggikan suara seperti orang menengking. Jika hendak bercakap sesuatu kepada orang
yang berada agak jauh dari kita, hampirilah dia jangan bercakap dengan menjerit-jerit dari
satu sudut ke satu sudut.

Namun bagai masyarakat Melayu masa kini, banyak perubahan dan adab yang kurang
sering dilakukan terutamanya bagi anak-anak muda. Misalnya, duduk di kerusi. Ia adalah
dianggap kurang sopan apabila seseorang itu bersilang kaki sehingga nampak tapak kaki,
berlunjur lurus ataupun membuka kaki dengan luas. Seterusnya, menunjukkan wajah yang
murung ketika menerima tetamu. Ketika di meja makan, bercakap ketika makan apatah lagi
ketika mulut sedang penuh, membunyikan perkara-perkara yang kurang menyenangkan
seperti menyenduk makanan dan bersiul dan mengambil makanan terlebih dahulu tanpa
menghormati orang yang lebih tua.

4.2 KESANTUNAN BUDAYA DALAM MERAIKAN SESUATU MAJLIS

Antara budaya Melayu yang mengalami persambungan dan mengalami perubahan


ialah budaya mengadakan majlis kesyukuran. Masyarakat Melayu dahulu mengadakan
kenduri kesyukuran dengan menjemput jiran tetangga, saudara-mara dan fakir miskin sebagai
tetamu. Semuanya dibuat berteraskan tuntutan Islam. Namun masyarakat Melayu pada masa
kini, terutamanya masyarakat bandar tidak lagi dan jarang mengamalkan tabiat ini. Walaupun
membuat kenduri kesyukuran masih diamalkan, tapi jemputan yang hadir pula
kebanyakannya adalah daripada golongan sedarjat mereka sahaja demi menjaga maruah.
Malah kenduri kesyukuran yang diadakan pula sudah ada yang bertukar kepada parti yang
mengabaikan terus pembacaan doa selamat pada hari jadi contohnya. Perkara yang berlaku
adalah nyanyian lagu hari jadi dan upacara tiupan lilin. Masyarakat dahulu akan mengadakan
majlis ulangtahun dengan kenduri kesyukuran dan doa sambal membuat kebajikan kepada
fakir miskin, tetapi masyarakat kini membuat kenduri untuk bersuka ria dan menjaga status
sahaja. Tetapi, amalan membuat kenduri masih dikekalkan cuma pelaksanaanya sahaja yang
berubah.
4.3 ADAT KESANTUNAN BERBUDAYA DALAM BERPAKAIAN

Dalam kesantunan berpakaian, bagi masyarakat Melayu, ada dua hal yang perlu
diperhatikan. Pertama, berpakaian dengan sopan di tempat umum, iaitu dengan menghindari
pakaian yang boleh mencolok mata orang lain dan menghairahkan. Misalnya ketika meraikan
perayaan Hari Raya, masyarakat Melayu pasti akan memakai baju Melayu bagi kaum lelaki
manakala bagi kaum wanita ialah baju kurung atau baju kebaya. Pemakaian ini masih
dikekalkan, namun masyarakat Melayu kini yang lebih menggemari trend semasa, mereka
menukarnya dengan memakai pakaian sehingga menampakkan sisa tubuh yang sangat
ketara. Kedua, berpakaian rapi dan sesuai dengan keadaan, yakni berpakaian rasmi dalam
acara rasmi atau berpakaian santai dalam situasi santai.

4.4 KESANTUNAN BERBUDAYA DALAM BERKOMUNIKASI

Kesantunan bahasa pula tercermin dalam tatacara berkomunikasi. Ketika


berkomunikasi, kita harus tunduk kepada norma-norma budaya yang hidup dalam masyarakat
Apabila tatacara berbahasa seseorang tidak sesuai dengan norma-norma budaya, maka dia
dituduh sebagai orang yang aneh, egois, sombong, tidak beradat atau tidak berbudaya.
Menurut Abdullah Hassan (2005), antara jenis kesalahan tatabahasa sosial yang sering
dilakukan dan adalah seperti menggunakan ganti nama yang merendahkan, seperti
menggunakan ganti nama kamu kepada orang yang lebih tinggi tarafnya, menggunakan
panggilan mesra sebagai panggilan hormat, seperti menggunakan bentuk panggilan keluarga,
iaitu makcik, pakcik, kakak dalam suasana rasmi, menggunakan panggilan intim seperti
abang, adik kepada orang yang bukan intim sebagai panggilan hormat menggunakan gelaran
sendaan seperti Bos sebagai panggilan hormat, menggunakan panggilan hormat seperti Sir
dan Mem kepada orang Inggeris tetapi tidak pula menggunakan Tuan dan Puan apabila
memanggil orang Melayu, menggunakan bahasa rendah (percampuran kod) seperti yu-ol,
dei-ol, ai, yu, wiol, diorang dalam majlis rasmi dan menyebut nama batang tubuh orang
bertaraf tinggi. Meskipun kata engkau, anda, saudara secara denotatif sama maknanya, tetapi
kesan kesantunannya berbeza.
Oleh itu gunakanlah Bahasa yang bersesuaian mengikut kesesuaian situasi, pangkat
dan umur. Misalnya, di dalam institusi kekeluargaan, panggilan yang sesuai digunakan ialah
ayah, ibu, kakak, abang dan adik.
BIBILOGRAFI

SUMBER BUKU

Abdullah Hassan & Ainon Mohamad (1994). Tatabahasa dinamika berdasarkan Tatabahasa
Dewan: ditulis menggunakan teknik pembelajaran berintegrasi dan perbahanan
terperingkat. Utusan

Abdullah Hassan & Ainon Mohamad (2005). Teori & Teknik Ucapan Berpengaruh. PTS
Profesional.

Abd Wahid Jais & Faezah Kassim (2006). Bahasa Verbal dan Bukan Verbal II, Volume 2.
Institut Terjemahan Bahasa Melayu.

Amat Johari Moain (1989). Sistem Panggilan Dalam Bahasa Melayu : Suatu Analisis
Sosiolinguistik. Dewan Bahasa dan Pustaka

Asma Abdullah (2009). Dimensi Budaya Dalam Pengurusan Malaysia. Institut Terjemahan
Negara Malaysia Berhad.

Asmah Haji Omar (1998) (2000) (2002). The Linguistic Scenery in Malaysia. Dewan Bahasa
dan Pustaka

Mustafa Haji Daud (1995). Budi Bahasa dalam Tamadun Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noriati A.Rashid (2002). Guru dan Cabaran Semasa. Oxford Fajar, Selangor Darul Ehsan.

Nik Safiah Karim ( 1981). Beberapa Persoalan Sosiolinguistik Bahasa Melayu. Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Robert Sibarani (2004). Penggunan Peribahasa Sebagai Jati Diri Wacana Bahasa
Melayu/Indonesia dalam Syed Muhammad Dawilah al-Edrus. Pemikiran Melayu
Tentang Alam dan Hakitkat Diri. Dewan Bahasa dan Pustaka.

S. Nathesan (2005). Pendekatan dan Teknik Pendidikan Bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Siti Hajar Abdul Aziz (2009). Pengajian Melayu : Komunikasi Bahasa. Kumpulan Budiman Sdn
Bhd. Kuala Lumpur.

Teo Kok Seong (1996) (2002). Penukaran Kod dan Bahasa : Satu Fenomena
Kedwibahasaan. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zaba (1950). Pelita Bahasa Melayu. Malay Publishing House. Singapura.

SUMBER INTERNET

http://www.jkkn.gov.my/ms/masyarakat-melayu-0

https://aswiza.wordpress.com/kajian-bahasa/

SUMBER JURNAL

Teo Kok Seng (2000). Kedominanan Bahasa Melayu di Malaysia, Jurnal Bahasa (43) hal. 23-
35.
Abdul Rashid Melebek (2010). Sosiolinguistik Bahasa Melayu : Siri Rampai Bahasa dan
Sastera Melayu. Universiti Kebangsaan Malaysia.

You might also like