You are on page 1of 8

1.

0 Pengenalan

Menurut Locke (1990), kaunseling silang budaya boleh dilihat sebagai sebuah proses
kaunseling yang memiliki kaunselor dan klien yang berbeza. Perbezaan tersebut boleh
dilihat melalui amalan seharian, agama dan kepercayaan dan bahasa yang digunakan.
Selain itu, kaunseling silang budaya juga boleh ditakrifkan sebagai pendekatan metateori
yang mengambil kira semua kaedah dalam hubungan menolong yang wujud atau terhasil
dalam konteks budaya (Ivey, D’ Andrea, Ivey & Simek-Morgan, 2007). Perkara yang
paling utama dalam meningkatkan keberkesanan dalam perkhidmatan kaunseling silang
budaya yang dijalankan ialah komunikasi yang wujud antara kaunselor dan klien.
Komunikasi ditakrifkan sebagai proses perkongsian maklumat, pendapat dan perasaan
dari individu kepada individu yang lain (Hybels & Weaver, 1989). Maka, komunikasi yang
efektif sangat diperlukan dalam mewujudkan kaunseling silang budaya yang bermakna
kepada diri kaunselor dan klien. Perkara ini bertepatan dengan konteks kepelbagaian
budaya yang terdapat di Malaysia pada hari ini. Hal ini adalah kerana, Malaysia
merupakan sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian etnik, agama dan budaya
(Sayuti Ab. Ghani, Redwan Yasin, Burhanudin Jalal & Mohd Mahzan Awang, 2016).
Maka, komunikasi yang baik sememangnya diperlukan dalam kaunseling silang budaya
dan banyak kepentingan yang dapat diperoleh dengan keperluan komunikasi tersebut di
dalam pelaksanaan kaunseling silang budaya.

2.0 Ulasan artikel

Tajuk artikel : Komunikasi Budaya Silang, Kompetensi, Pengajaran

dan Pembelajaran : Satu Analisis

Penulis : Jamilah Hj Ahmad & Niranjala Weerakkody

Bilangan muka surat : 9 muka surat

Artikel ini membincangkan tentang kemampuan komunikasi silang budaya dan


perkongsian maklumat pembelajaran yang wujud di dalam kelas pelbagai budaya di
Australia. Pengkaji juga menekankan tentang cabaran-cabaran yang wujud di dalam
perkongsian maklumat pembelajaran yang melibatkan kelas pelbagai budaya di Australia
dan mencadangkan beberapa garis panduan untuk mengatasi permasalahn komunikasi
silang budaya.
3.0 Keperluan-keperluan komunikasi dalam kaunseling silang budaya

3.1 Memahami dan menginterpretasi mesej yang disampaikan

Antara keperluan komunikasi di dalam kaunseling silang budaya yang dijalankan ialah
bagi memahami dan menginterpretasi mesej yang disampaikan. Berdasarkan artikel,
pengkaji telah memaparkan bahawa apabila individu gagal dalam memahami dan
mentafsir mesej yang disampaikan akan menyebabkan pemahaman mesej yang salah.
Komunikasi yang berkesan sangat diperlukan dalam memahami dan menginterpretasi
mesej yang disampaikan. Komunikasi juga penting bagi individu dan masyarakat untuk
memahami konsep interaksi yang menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat
madani (Muhammad Jeffery Hizwan, 2018). Masyarakat madani ialah masyarakat yang
maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan (Kamus Dewan, 2007). Maka,
kemajuan tersebut juga boleh diukur melalui komunikasi yang berkesan di dalam
perhubungan yang melibatkan latar belakang yang berbeza. Maka, guru bimbingan dan
kaunseling perlu berusaha untuk mengetahui sedikit sebanyak budaya yang dimiliki oleh
klien agar mesej yang disampaikan dapat difahami dan ditafsir dengan tepat.

Guru bimbingan dan kaunseling bukan sahaja perlu mahir dalam menyampaikan
mesej, malahan guru bimbingan dan kaunseling juga perlu bijak mentafsir mesej yang
diterima dan menganalisis mesej klien sehingga mampu untuk memberi tindak balas yang
berkesan terhadap sesuatu imej yang disampaikan oleh klien (Noriati A. Rashid, Boon, P.
Y., Sharifah Fakhriah Syed Ahmad & Zuraidah A. Majid, 2014). Maka, guru bimbingan &
kaunseling perlu memahami akan kebarangkalian permasalahan dari segi komunikasi
yang dihadapi klien dek kerana memiliki latar belakang budaya yang berbeza. Apabila
tiada kesefahaman yang wujud antara guru bimbingan dan kaunseling dan klien, suatu
tekanan perasaan akan menghambat diri klien sehingga menyebabkan klien sudah tidak
berminat untuk melaksanakan sesi kaunseling budaya bersama mana-mana kaunselor
untuk membantu dirinya berfungsi semula. Jelaslah bahawa, mesej yang difahami dan
diinterpretasi dengan betul merupakan salah satu keperluan komunikasi dalam
kaunseling silang budaya yang dijalankan.
3.2 Menyesuaikan diri dengan budaya setempat

Antara keperluan komunikasi di dalam kaunseling silang budaya yang dijalankan ialah
bagi menyesuaikan diri dengan budaya setempat yang memiliki kepelbagaian latar
belakang budaya dan etnik. Salah satu kaedah yang efektif untuk digunakan di dalam
penyesuaian diri dengan budaya setempat ialah melalui proses asimilasi. Menurut
Hamidah Abdul Rahman, Norlin Ahmad & Shah Rollah Abdul Wahab (2009), proses
asimilasi boleh berlaku apabila golongan minoriti bersedia untuk menyerap budaya
golongan majoriti dan golongan majoriti bersedia menerima golongan minoriti tersebut.
Terlalu banyak kes yang berlaku di dalam kehidupan seharian yang mempamerkan
bahawa seseorang individu tidak dapat menyesuaikan diri dengan budaya setempat
hanya kerana individu tersebut tidak dapat berkomunikasi secara berkesan dengan
masyarakat setempat. Menurut Kim (1991), tekanan dalam interaksi dan komunikasi di
dalam kehidupan seharian menyebabkan seseorang individu gagal untuk menjadi individu
yang seimbang. Kes sebegini tidak seharusnya berlaku kerana guru bimbingan dan
kaunseling seharusnya boleh mengadaptasi perubahan yang berlaku dalam kehidupan
seharian dengan mengurangkan perasaan etnosentrisme yang terdapat dalam diri.

Etnosentrisme ditaktifkan sebagai kecenderungan untuk membuat penilaian


tentang kepercayaan dan tingkah laku dalam budaya sendiri sebagai lebih baik, lebih logik
dan lebih bagus daripada budaya lain (Sri Hartati, 2009). Sekiranya guru bimbingan dan
kaunseling memiliki perasaan sedemikian, komunikasi terhadap klien yang berbeza latar
belakang tidak akan berjaya kerana klien akan merasakan bahawa dirinya ditindas oleh
kaunselor tersebut. Kes sebegini boleh diatasi melalui proses asimilasi yang diaplikasikan
oleh guru bimbingan dan kaunseling di dalam perhubungan terhadap klien. Hal tersebut
menjelaskan bahawa penyesuaian diri dengan budaya setempat perlu dilakukan melalui
proses komunikasi yang berlaku di dalam kaunseling silang budaya. Maka, guru
bimbingan dan kaunseling perlu mewujudkan hati yang terbuka dalam menyesuaikan diri
dengan budaya setempat agar nilai kesefahaman terhadap perbezaan latar belakang
dapat diwujudkan. Hal ini selaras dengan pernyataan Amir Aris & Ahmad Rozelan Yunus
(2009), bahawa komunikasi berfungsi untuk menjalinkan hubungan dengan masyarakat.
Jelaslah bahawa penyesuaian diri dengan budaya setempat merupakan salah satu
keperluan komunikasi dalam kaunseling silang budaya yang dijalankan.
4.0 Kepentingan keperluan komunikasi dalam kaunseling silang budaya

4.1 Menghormati kepelbagaian budaya

Antara kepentingan keperluan komunikasi dalam kaunseling silang budaya ialah bagi
menghormati kepelbagaian budaya yang dimiliki di dalam sesebuah masyarakat.
Berdasarkan artikel, pengkaji membuktikan bahawa sekiranya pelajar diberi penghargaan
terhadap budaya yang dimiliki, pelajar akan bertingkah laku secara lebih positif dalam sesi
pembelajaran dan perhubungan antara murid dan pengajar. (Ganter, 1997). Komunikasi
berkesan yang wujud antara kaunselor dan klien yang memiliki kepelbagaian budaya akan
menghasilkan sebuah sesi kaunseling silang budaya yang bermakna. Hal ini juga berlaku
kerana guru bimbingan dan kaunseling meraikan perbezaan yang dimiliki antara dirinya
dan klien. Antara cara yang mempamerkan sikap mennghormati kepelbagaian budaya
ialah apabila guru bimbingan dan kaunseling yang berbangsa Melayu menghormati
budaya yang dianuti oleh kliennya yang berbangsa India. Sebagai contoh, guru bimbingan
dan kaunseling tidak memanggil kliennya yang berbangsa India dengan gelaran ‘keling’
kerana menghormati budaya yang dimiliki oleh kliennya.

Sikap penerimaan tanpa syarat yang ditekankan di dalam Teori Pemusatan Klien
sangat bermanfaat di dalam pelaksanaan sesi kaunseling budaya bagi mewujudkan
komunikasi dan perhubungan yang baik antara guru bimbingan & kaunseling dan klien.
Menurut Amir Awang (1987), guru bimbingan & kaunseling yang menerima klien tanpa
mengira syarat tertentu akan membantu klien dalam meningkatkan perkembangan
kendiri manusia secara menyeluruh dan bersepadu. Guru bimbingan dan kaunseling
menyedari bahawa sekiranya dirinya tidak menghormati kepelbagaian budaya yang
dimiliki oleh klien, komunikasi yang berkesan tidak akan wujud dan perhubungan yang
baik antara guru bimbingan dan kaunseling dan klien akan terjejas. Jelaslah bahawa sikap
menghormati kepelbagaian budaya antara kaunselor dan klien merupakan salah satu
kepentingan keperluan komunikasi dalam kaunseling silang budaya yang dilaksanakan.
4.2 Mewujudkan suasana yang kondusif dalam sesi kaunseling silang budaya

Salah satu kepentingan keperluan komunikasi dalam kaunseling silang budaya


ialah dapat mewujudkan suasana yang kondusif dalam sesi kaunseling silang budaya.
Komunikasi bukan hanya terletak pada komunikasi lisan sahaja. Komunikasi bukan lisan
oleh klien juga perlu diambil berat oleh kaunselor agar sebuah sesi kaunseling silang
budaya yang berkesan dapat diwujudkan. Misalnya, ekspresi muka kaunselor yang
kelihatan tidak berpuas hati apabila mendapat klien yang memiliki latar belakang budaya
yang berbeza sememangnya akan menjejaskan sesi kaunseling silang budaya tersebut.
Maka, komunikasi sangat diperlukan di dalam sesi kaunseling budaya ini agar kaunselor
dapat menerima klien dengan hati yang terbuka dan tanpa syarat, dan pada masa yang
sama, klien dapat meluahkan isi hatinya dan permasalahan yang berlaku pada kaunselor
dengan selesa. Hal ini selaras dengan pernyataan pengkaji di dalam artikel yang
menyatakan bahawa apabila pelajar tersebut merasakan bahawa diri dan budayanya
tidak diterima di dalam sesebuah kelompok, maka pelajar tersebut akan rasa terhina dan
memilih untuk memencilkan dirinya daripada bergaul dan bersosial dengan rakan-rakan
yang memiliki latar belakang budaya yang berbeza. Hal ini jelas mempamerkan bahawa
suasana pelajar tersebut sangat tidak kondusif dan tidak menghargai kepelbagaian
budaya yang dimiliki oleh seseorang individu. Menurut Montgomery (2001), individu yang
diberi galakan dan sokongan terhadap budayanya, keyakinan diri individu tersebut dirinya
dan budayanya akan meningkat. Komunikasi yang wujud antara kaunselor dan klien akan
menghasilkan suasana yang kondusif apabila klien mampu menyatakan apa yang
dirasakan tanpa sebarang prejudis yang diterima daripada kaunselor. Sebagai contoh,
klien menyatakan dengan terbuka bahawa hatinya terluka dek kerana rakannya yang
berbangsa Melayu telah mengejek dirinya yang berkulit gelap. Maka, kaunselor yang juga
berbangsa Melayu seharusnya tidak bertindak rasis dan etnosentrisme terhadap kliennya
dengan menyokong perbuatan rakannya yang berbangsa Melayu itu tadi. Tindakan
rasional kaunselor ialah kaunselor berusaha untuk mendengar luahan hati kliennya tanpa
mewujudkan persepsi yang negatif terhadap klien. Maka, komunikasi yang berlaku antara
kaunselor dan klien akan membantu dalam menyelami masalah yang dialami dan
membantu klien dalam mencari jalan penyelesaian yang sesuai dengan dirinya. Jelaslah
bahawa, suasana yang kondusif terhasil merupakan salah satu kepentingan keperluan
komunikasi dalam kaunseling silang budaya yang dilaksanakan.
4.0 Rumusan

Kesimpulannya, artikel ini sangat membantu dalam perkembangan kendiri ke arah positif
di dalam kehidupan bermasyarakat yang memiliki kepelbagaian budaya. Kaunselor perlu
bertindak secara proaktif dalam mewujudkan komunikasi yang berkesan dalam
mewujudkan kaunseling silang budaya yang berkesan dan bermakna kepada diri
kaunselor sendiri dan juga kepada klien. Hal ini adalah kerana, tanpa kewujudan
komunikasi yang berkesan antara kauselor dan klien, perhubungan tersebut akan menjadi
tidak sempurna (Noraini Ahmad, 2002).
RUJUKAN

Amir Aris & Ahmad Rozelan Yunus. (2009). Komunikasi berkesan. Universiti Teknikal
Malaysia Melaka.

Amir Awang. (1987). Teori dan Amalan Psikoterapi. Pulau Pinang: Universiti Sains
Malaysia.

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2007). Kamus Dewan (Edisi Keempat). Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ganter, M. (1997). Lessons learnt from my students in the Barrio. Educational Leadership.
54(7): 44-45.

Hamidah Abdul Rahman, Norlin Ahmad & Shah Rollah Abdul Wahab. (2009). Konsep
konsep asas hubungan etnik. Universiti Teknologi Malaysia

Hybels dan Weaver (1989). Communicating Effectively. New York: McGraw Hill.

Ivey, A. E., D' Andrea, M., Ivey, M. B., & SimekMorgan, L. (2007). Theories of Counseling
and Psychotherapy: A Multicultural Perspective.(6th. Ed.). USA: Pearson.

Kim, Y. Y. (1991). Intercultural communication competence: A systems theoretic view. In


Cross–Cultural interpersonal communications, S-Ting-Toomey & F Korzenny
(eds.), Newbury Park, CA: Sage.

Locke, D. C. (1990). A not so provincial view of multicultural counseling. Counselor


Education and Supervision. 30, 18-25.

Montgomery, W. (2001). Creating culturally responsive, inclusive classrooms. Teaching


Exceptional Children. 33(4): 4-9

Muhammad Jeffery Hizwan. (2018). Kepentingan Teori Komunikasi Kepada Masyarakat.


Universiti Terbuka Malaysia.

Muhammad Jeffery Hizwan. (2018). Kepentingan teori komunikasi kepada masyarakat.


Universiti Terbuka Malaysia.

Noraini Ahmad. (2002). Kaunseling kekeluargaan: komunikasi berkesan dengan anak.


Kuala Lumpur:Utusan Publications Sdn Bhd.
Noriati A. Rashid, Boon, P. Y., Sharifah Fakhriah Syed Ahmad & Zuraidah A. Majid.
(2014). Budaya dan Pembelajaran. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Sayuti Ab. Ghani, Redwan Yasin, Burhanudin Jalal & Mohd Mahzan Awang. (2016).
Kepelbagaian budaya di Malaysia: Analisis dari perspektif Islam. Universiti
Pertahanan Nasional Malaysia.

Sri Hartati. (2009). Pengaruh Etnosentrisme Terhadap Komunikasi Antarbudaya Dan


Harmonisasi Kerja Di Pt. Sumber Tani Agung Medan. Universitas Sumatera Utara.

You might also like