You are on page 1of 3

1. Berikan definisi kesantunan berdasarkan pendapat Leech (1983) dan Asmah Hj.

Omar
(2000).

Definisi kesantunan berdasarkan pendapat Leech 1983 ialah perlakuan yang mewujudkan
pengiktirafan diri dalam sesuatu interaksi sosial. Beliau mendefinisikan kesopanan sebagai
strategi untuk mengelakkan persengketaan dalam interaksi. Strategi utama yang perlu
dipatuhi untuk mencapai sifat santun ialah penggunaan bahasa yang halus, beradab sopan,
sikap yang lemah lembut dan berbudi pekerti. Sehubungan itu, Leech telah mengemukakan
Prinsip Kesopanan yang memberikan penekanan kepada enam aspek atau maksim, iaitu
maksim santun, maksim budiman, maksim sokongan, maksim kerendahan hati, maksim
persetujuan dan maksim simpati. Keenam-enam maksim ini menjadi gagasan dalam model
Leech yang mengutamakan adab sopan dalam perbualan supaya tiada pihak yang
tersinggung. Definisi kesantunan berbahasa berdasarkan pendapat Asmah Hj. Omar (2000)
ialah kesantunan bermaksud perihal santun, kesopanan, dan kehalusan budi bahasa atau
budi pekerti. Bahasa pula bermaksud sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat
perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Menurutnya lagi, kesantunan dari
segi bahasa ialah penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran,
kemarahan atau rasa tersinggung dari pihak yang lain dikatakan mewakili penggunaan
bahasa yang sopan. Kesantunan berbahasa bermaksud perbuatan atau percakapan yang
baik atau halus atau beradab sama ada secara lisan atau tulisan. Asmah Hj. Omar
berpendapat bahawa bahasa merupakan wahana komunikasi paling berguna kepada
manusia, sebagai penghubung yang baik antara seorang individu dengan individu yang lain
atau organisasi. Pandangan ini memanifestasikan bahawa unsurunsur bahasa harus
digunakan dengan tepat, santun dan cakap berlapik agar penyampaian maklumat lebih
berkesan dan lengkap sekali gus berhubung rapat dengan kesopanan berbahasa. Asmah Hj.
Omar juga berpendapat kesantunan bukan strategi semata-mata sebaliknya kesantunan
merupakan ciri budaya yang menghendaki ahli masyarakatnya bersopan santun dan
menghormati antara satu sama lain. Pembinaan tingkah laku yang santun dalam kalangan
orang Melayu adalah menerusi proses didikan yang panjang dan berterusan. Ini menjadi ciri
budaya orang Melayu. Oleh hal yang yang demikian Islam adalah tunjang pembinaan budaya
orang Melayu

2. Huraikan maksud kesantunan bukan verbal berserta contoh.


Kesantunan nonverbal ialah komunikasi bahasa tanpa kata-kata atau dikenali sebagai bahasa
tubuh dengan cara beradab dan sopan .Bahasa tubuh merupakan proses pertukaran fikiran
dan idea di mana mesej yang disampaikan seperti melalui isyarat, ekspresi wajah,
pandangan mata, sentuhan, dan gerakan tubuh. Konsep kesantunan berbahasa non verbal
merujuk kepada semua perlakuan yang tidak menggunakan bahasa lisan untuk
menyampaikan mesej yang dapat difahami. Sebagai contoh, non verbal melalui media cetak
seperti surat khabar, majalah, jurnal dan buku. Antara contoh kesantunan bukan verbal ialah
Gerakan Anggota Badan. Gerakan anggota badan yang berlaku dalam komunikasi tanpa lisan
mempunyai makna tertentu. Oleh itu, penggerak anggota dapat menyampaikan mesej
dalam komunikasi yang dihasilkan. Biasanya pergerakan anggota badan membawa makna
sejagat yang difahami oleh semua orang seperti isyarat gerakan tangan ,isyarat air muka dan
bahasa tubuh. Seterusnya, Gerakan Mata. Gerakan mata mempunyai makna tertentu dalam
komunikasi tanpa lisan. Contohnya, mata yang bergerak ke sana ke mari menunjukkan tidak
berminat, mata dan dahi berkerut menunjukkan minat tetapi tidak percaya, mata berkelip
lebih laju daripada biasa menunjukkan dia berdusta, tidak memandang mata menunjukkan
berminat tetapi malu/ tidak tenteram perasaannya. Seterusnya, gerakan tangan .Gerakan
tangan mempunyai maksud sejagat yang difahami oleh kebanyakan orang tanpa mengira
latar belakang belakang kebudayaan. Gerakan tangan yang digunakan bersama-sama bahasa
lisan dapat mengukuhkan keberkesanan komunikasi yang berlaku. Contohnya, isyarat
gerakan tangan yang digunakan secara tersendiri untuk menyampaikan maksudnya.
Terdapat juga maksud sejagat seperti meletakkan jari telunjuk di depan mulut yang
bermakna diam/ tolong senyap. Isyarat gerakan tangan digunakan bersama-sama ucapan
lisan dan tujuannya adalah untuk membantu atau mengukuhkan ucapan lisan seseorang.
Secara sedar atau tidak, setiap kali seseorang itu bercakap, ia akan menggunakan tangan
untuk menggambarkan sesuatu yang ingin disampaikannya itu.

3. Perincikan dua bentuk kata sapaan atau panggilan hormat yang digunakan berdasarkan
pangkat atau status individu.

Status merupakan faktor penting dalam penentuan bahasa sapaan. Dalam pergaulan
seharian terdapat sekatan-sekatan sosial tertentu antara ahli masyarakat itu. Contohnya,
sekatan pangkat dalam pekerjaan atau kedudukan sosial. Dua bentuk kata sapaan atau
panggilan hormat yang digunakan berdasarkan pangkat atau status individu ialah gelaran
pergaulan formal dan gelaran kurniaan kerajaan. Pergaulan formal dimaksudkan sebagai
pergaulan yang menunjukkan adanya sekatan sosial tertentu sama ada sekatan pangkat
dalam pekerjaan atau kedudukan sosial, atau sekatan sosial disebabkan si penyapa tidak
begitu kenal antara satu sama lain. Contoh kata ganti diri sapaan bagi gelaran pergaulan
formal ialah Tuan, Puan, Encik dan Cik. Perkataan tuan digunakan sebagai rujukan hormat
kepada hadirin lelaki dalam sesuatu upacara rasmi. Contohnya, orang yang menjadi
pengerusi majlis akan dipanggil Tuan Pengerusi Majlis. Bagi gelaran Puan pula diberi kepada
orang perempuan yang sudah berkahwin , memegang jawatan dan menjadi rujukan hormat
kepada hadirin wanita dalam sesuatu upacara rasmi. Contohnya, orang perempuan yang
mempunyai jawatan pengetua akan dipanggil sebagai puan pengetua. Bentuk kata sapaan
kedua ialah gelaran kurniaan kerajaan. Gelaran kurniaan kerajaan ialah gelaran yang
dianugerahkan dari semasa ke semasa kepada orang dianggap berjasa. Antara gelaran yang
diberikan ialah Tun, Toh Puan, Tan Sri, Puan Sri dan Datin Paduka. Gelaran ini tidak perlu
diberi rujukan Tuan,Puan, Encik atau Cik kecuali mereka mempunyai gelaran lain seperti
Doktor, Profesor, Tengku atau Haji. Contohnya, Tun Dr Mahathir.

4. Berikan contoh-contoh amalan berbudi bahasa yang sesuai diamalkan dalam masyarakat
majmuk di Malaysia.

Contoh amalan berbudi bahasa yang sesuai diamalkan ialah berbudi bahasa antara keluarga.
Hubungan antara adik-beradik disusun oleh aturan kelahiran dari sulung kepada tengah dan
bongsu. Antara amalan berbudi Bahasa yang boleh diamalkan ialah golongan yang lebih
muda haruslah hormat kepada yang lebih tua , adik menghormati kakak dan abang dengan
memanggil secara baik gelaran atau pangkat yang lazim dalam masyarakat antaranya ialah
Gelaran abang long, abang ngah, kak cik atau sebagainya. Pergaulan dan kelakuan antara
adik beradik perlulah bersopan santun, hormat-menghormati dan setiakawan serta saling
membantu. Manakala antara saudara-mara seperti hubungan darah dan perkahwinan
dengan saudara- mara sebelah ibu dan bapa, ipar dan mentua dan sebagainya hendaklah
berasaskan rasa hormat,sopan dan santun melalui tegur sapa dan panggilan mereka.
Komunikasi dan pergaulan saudara-mara juga harus berasaskan rasa hormat, sopan dan
santun. Kunjung-mengunjungi antara saudara-mara adalah amat baik dan dapat
mengeratkan hubungan silaturrahim. Hubungan antara tua dan mudaharuslah sentiasa
berada dalam suasana hormat-menghormati,sayang-menyayangi dan
bertatasusila.Contohnya seperti, mendahulukan yang tua, bertegur sapa dengan panggilan
pakcik atau makcik atau kakak atau adik jika lebih muda bertutur,bercakap atau berbual
dengan nada suara lembut,bersopan dan rendah diri, tidak berjenaka sesuka hati ,memerli
atau memandang rendah,membantah dan bermegah-megah.

5. Prinsip Rukun Negara yang kelima, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan sangat berkait rapat
dengan penggunaan bahasa oleh individu. Penggunaan bahasa tersebut turut dikaitkan
dengan akhlak yang menjadi teras kehidupan. Sejauh manakah anda bersetuju dengan
pernyataan tersebut. Bincangkan.

Saya bersetuju dengan pernyataan di atas di mana Kesopanan dan Kesusilaan sangat berkait
rapat dengan penggunaan bahasa oleh individu. Hal ini demikian kerana, meletakkan nilai
yang baik pada tingkah laku, beradab sopan dan mengikut peraturan menjadi amalan yang
sentiasa dituntut mengikut falsafah Rukun Negara. Apabila ada tindakan individu atau
kumpulan yang melampaui batas, kurang ajar dan tidak sopan terutama melibatkan isu
sensitif, pasti akan menimbulkan rasa tidak puas hati hingga menimbulkan persoalan ke
mana hilangnya adab masyarakat hari ini. Sememangnya, tidak akan sempurna jati diri
seorang warganegara itu sekiranya tidak memahami, menghayati dan menjiwai prinsip
kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan terutama bagi mengekalkan
perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini. Jelas sekali,
teras kelima prinsip itu memberi penekanan terhadap aspek nilai kemanusiaan supaya setiap
warganegara boleh menghormati dan menerima perbezaan masing-masing bagi
kesejahteraan sosial. Bagi mencapai matlamat untuk meningkatkan kesejahteraan sosial,
kesopanan itu perlulah diterapkan dari rumah dengan mengajar anak-anak kita tentang
tingkah laku dan kelakuan baik serta menhormati antara satu sama lain. Kepimpinan melalui
teladan adalah penting dalam usaha menyemarakkan nilai-nilai dalam teras tersebut,
manakala kurikulum pendidikan memainkan peranan penting menyemai aspek Kesopanan
dan Kesusilaan. Golongan yang lebih tua perlu memperlihatkan kesopanan dalam erti
tingkah laku yang baik dan juga ada susilanya di situ dengan akhlaknya yang baik untuk
diikuti terutama oleh generasi muda. Keperibadian nilai murni datang daripada nilai sopan,
susila dan moral, malahan pembentukan identiti seseorang adalah berdasarkan kepada
sejauh manakah kita mampu memperkukuhkan jati diri tanpa sama sekali mengganggu-
gugat apa yang sudah dipelajari dan dibina dalam diri seseorang. Hal ini bermakna
kesopanan dan kesusilaan itu juga membentuk bukan sahaja diri kita, tetapi juga
mempertahankan identiti nasional di peringkat kebangsaan.

You might also like