You are on page 1of 1

Karangan Jenis Berita .

( Sambutan Hari Guru peringkat sekolah)

SIBU, Selasa Sekolah Kebangsaaan Parit 13 telah mengadakan sambutan Hari Guru peringkat
sekolah secara sederhana tetapi meriah. Perayaan Hari Guru tahun ini diadakan di dewan
sekolah yang dihias indah hasil kerjasama murid-murid yang dipimpin ketua pengawas sekolah;
Najmi bin Baharuddin. Majlis sambutan Hari Guru ini turut dihadiri tetamu-tetamu jemputan
termasuk Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

Majlis sambutan dimulakan dengan perhimpunan khas Hari Guru pada pukul 8.30 pagi. Guru
Besar menyampaikan ucapan alu-aluan diikuti ucapan perasmian daripada Yang Dipertua
Persatuan Ibu Bapa dan Guru ; Encik Jamahseri bin Saarani. Dalam ucapannya, Encik Jamahseri
menyeru semua guru berusaha dengan gigih demi mendidik anak bangsa.

Guru-guru di bawah pimpinan Guru Besar telah melafazkan Ikrar Guru serta menyanyikan lagu
Guru Malaysia dengan penuh bersemangat. Selepas itu diadakan upacara memotong kek Hari
Guru dengan iringan lagu Selamat Hari Guru daripada murid-murid.

Persembahan pentas daripada murid-murid menyusul selepas itu. Pelbagai persembahan


seperti koir, deklamasi sajak, tarian dan teater dipersembahkan. Persembahan-persembahan
tersebut ternyata amat menarik dan mendapat tepukan gemuruh daripada para penonton.

Selesai perhimpunan khas tersebut, semua tetamu dan guru diraikan dalam jamuan Hari Guru.
Jamuan tersebut telah disediakan khas oleh murid-murid Sekolah Kebangsaan Parit 13, sebagai
simbolik menghargai jasa guru-guru. Jamuan tersebut mengakhiri sambutan Perayaan Hari Guru
peringkat sekolah pada tahun ini.

Perayaan Hari Guru peringkat sekolah pada tahun ini berjalan lancar dan berjaya mencapai
objektif menunjukkan penghargaan kepada guru-guru. Guru Besar amat berpuas hati dan
melahirkan rasa gembira terhadap kerjasama dan usaha gigih murid-murid dalam merealisasi
majlis tersebut.

You might also like