You are on page 1of 4

Biodata dan Latar belakang

(Haji Mat Hassan Bin Munas/Tok Janggut)

Nama sebenar beliau ialah Haji Mat Hassan bin Munas, namun beliau lebih dikenali
sebagai Tok Janggut kerana memelihara janggut hingga ke paras dada. Tok Janggut
dilahirkan pada tahun 1853 di Kampung Saring daerah Jeram, Pasir Puteh, Kelantan.
Beliau menetap di Kampung Nering, Kelantan dan bekerja sebagai seorang petani dan
peniaga.

Tok Janggut mendapat pendidikan awal di negeri Kelantan dan seterusnya melanjutkan
pengajian di Mekah. Beliau mahir dalam pelbagai bidang ilmu termasuklah ilmu
persilatan. Tok Janggut dikatakan ada pertalian darah dengan Sultan Muhammad IV di
mana bonda baginda adalah adik-beradik kepada ayah atau ibu Tok Janggut dan ada
juga yang mengatakan bahawa Tok Janggut adalah anak murid Tok Ku Paloh.

Faktor Penentangan
Selepas Perjanjian Inggeris-Siam pada tahun 1909 an, pihak British mengambil alih pemerintahan
negeri Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari sudut
pentadbiran. Perubahan yang dibawa telah menyentuh isu keistimewaan tradisional negeri Kelantan.

Antara isu sensitif yang dibawa oleh penjajah British adalah:

a) British memperkenalkan peraturan cukai tanah yang mewajibkan petani membayar cukai tanah
pada tahun 1915 an.
b ) Petani dikenakan pelbagai cukai yang membebankan seperti cukai pokok kelapa yang berbuah,
cukai pokok pinang, cukai daun sirih dan ternakan lembu serta kerbau.

Rakyat menghadapi masalah kesukaran membayar cukai kerana pejabat cukai terletak jauh di
bandar. Penduduk yang gagal membayar cukai akan ditangkap dan didenda. Tambahan pula sikap
biadap pegawai British yang bertugas menimbulkan kemarahan penduduk terhadap British.
Sentimen anti-British meningkat apabila kerajaan Turki Uthmaniyah menyeru umat Islam berjihad
menentang penjajah Barat. Tok Janggut menyahut seruan tersebut dengan melancarkan
penentangan terhadap British di Pasir Puteh, Kelantan.

Tok Janggut dan Perjuangan


Kesedaran Mat Hassan terhadap agama, bangsa dan tanah air dipupuk sejak kecil lagi. Beliau
dilahirkan di Kampung Saring, daerah Jeram, Kelantan pada tahun 1850 an. Berikutan ayahandanya
berkhidmat sebagai panglima istana, beliau turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri Maharaja
Jeram. Beliau belajar ilmu agama di Mekah. Ketika berusia 52 tahun dan masih di Makkah, Patani
dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Ahmad memberi amanat kepada beliau supaya berikhtiar untuk
membebaskan tanah air beliau yang dikenali sebagai Negeri Serambi Mekah . Pada masa yang
sama, Inggeris mula melebarkan penjajahannya ke negeri Melayu di Utara dan Timur Semenanjung
selepas berjaya menguasai negeri di pantai Barat Semenanjung.

Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara Inggeris dan Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu,
Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di
bawah Siam. Kehadiran Inggeris di Kelantan tidak direstui oleh orang Melayu dan perubahan
pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas penduduk watan. Tok Janggut pulang ke
Kelantan tatkala Sultan dan pembesar Melayu di Kota Bharu tidak terdaya melawan Inggeris. Beliau
menawarkan diri kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan menentang penjajah itu.

Tok Janggut juga berhubung rapat dengan pejuang Melayu yang lain termasuklah pejuang Melayu di
negeri Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman. Sentimen anti-Inggeris semakin
meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada bulan Ogos 1914 an. Kerajaan Kelantan
yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan pada tahun 1910 an dipaksa
menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu. Keputusan kerajaan
Kelantan pada masa itu memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia
Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Syaikh
Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya.

Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan orang Melayu. Pada
mulanya Tok Janggut dan pengikut turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati. Kekacauan
bermula apabila pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil kerana hanya ada
seorang petugas hingga menyukarkan orang kampung. Berikutan itu, Tok Janggut memutuskan tidak
membayar cukai dan memulakan kempen penentangan. Disebabkan tidak sanggup menahan derita,
ramai penduduk menyebelahi Tok Janggut dan kesedaran untuk membela agama, bangsa dan tanah
air itulah menjadi prolog kisah perjuangannya.

Pada 29 April 1915, Tok Janggut bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di
Kampung Tok Akib mengenai strategi untuk menentang Inggeris dan akhirnya bersepakat untuk
mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan seterusnya mengisytiharkan jajahan tersebut
merdeka. Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui oleh Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang
berasal dari Singapura iaitu Latiff, yang kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis,
Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Tok Janggut. Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa
anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Tok Janggut menyerah
diri. Ketika tiba di kampung itu, Tok Janggut sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk.

Tok Janggut bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai
tindakannya. Layanan polis terhadapnya ketika itu menyebabkan timbul persengketaan. Beliau tidak
setuju polis berjalan di belakangnya kerana kelihatan seolah-olah mereka mengawal tindakannya
daripada melarikan diri dan mahu polis berjalan seiring atau di hadapannya. Bagaimanapun polis
tetap berkeras menyebabkan Tok Janggut menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya sehingga mati.
Itulah permulaan peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris.

Tok janggut dan pengikutnya bergerak ke Pasir Puteh menyebabkan pegawai Inggeris di jajahan itu
melarikan diri menggunakan bot ke Kota Bharu. Tok Janggut berjaya menawan Pasir Puteh dan
menubuhkan pentadbiran sendiri dan beliau diisytihar sebagai Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram
sebagai Raja. Perkembangan di Pasir Puteh membimbangkan pihak istana di Kota Bharu kerana
sebelum ini Sultan Muhammad IV sudah memberi jaminan bertulis kepada Inggeris akan memastikan
kekacauan tidak berlaku di Kelantan.

Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad IV mengarahkan Datuk


Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara Setia Nik Mahmud Ismail bertolak ke Pasir Puteh
untuk berunding dan mereka meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir. Ungku Besar dan Tok
Janggut menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya tidak berniat
menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dianggap sebagai penindas.

Dipendekkan cerita, atas cadangan Penasihat British dan sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk
Menteri, Sultan Muhammad IV memutuskan untuk menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas
kesalahan menderhaka. Malah, satu tawaran turut dihebahkan kepada masyarakat bahawa sesiapa
yang berjaya menangkap Tok Janggut dan 21 orang pengikut kanannya akan menerima ganjaran.
Langham-Carter tidak yakin dengan kemampuan Sultan menghadapi kebangkitan Tok Janggut, selain
mengesyaki baginda dan beberapa pembesar seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan
Tok Janggut.

Langham-Carter meminta Gabenor menghantar bantuan ketenteraan. Gabenor telah menghantar 239
askar Inggeris ke Kelantan pada 3 Mei 1915. Bagaimanapun pengikut Tok Janggut mengambil
keputusan bijak dengan cara bersembunyi. Selepas seminggu, tentera Inggeris terpaksa kembali ke
Singapura. Selepas mendapat tahu kumpulan Tok Janggut akan kembali menguasai Pasir Puteh,
Inggeris kembali membawa masuk tentera Sikh untuk membakar rumah penduduk kampung.
Tindakan itu mencetuskan kemarahan Tok Janggut dan menyerang khemah tentera di Pasir Puteh
pada jam 3 pagi, 24 Mei 1915.

Langham-Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai Inggeris pula memimpin pasukan Malay
State Guides memburu kumpulan Tok Janggut dan menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di
Kampung Merbol kerana mengesyakinya bersembunyi di situ. Khatib Abu Bakar cuba menghalang
askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan akibatnya beliau ditikam mati.
Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari
Kampung Merbol dan dengan laungan takbir, Tok Janggut dan pasukannya bertempur hebat.
Bagaimanapun, Tok Janggut syahid bersama ramai pengikutnya. Mayatnya kemudian diarak sekitar
Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di
Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan.

Pengajaran Daripada Perjuangan


1. Jadilah manusia yang berilmu kerana orang yang berilmu akan takut kepada Allah S.W.T.
dan membenci kezaliman.
2. Sentiasa mendampingi golongan ulama kerana kebenaran akan sentiasa berada dengan
ulama.
3. Contohilah dan teladanilah pejuang-pejuang Islam yang terdahulu walaupun nama mereka
tiada dalam sejarah kemerdekaan negara kerana nama mereka sudah pun terpahat di syurga.
4. Marilah kita semua bersatu dalam satu fikrah Islam bagi mengekalkan kemerdekaan yang
dikecapi sehingga sekarang.
5. Hidup ini mesti berjasa kepada agama, bangsa dan negara.
6. Bebaslah diri kamu dari belenggu-belenggu ideolisme yang pelbagai kepada fikrah yang satu
iaitu fikrah Islam, nescaya kamu akan merdeka selama-lamanya.

http://khairulikhram.blogspot.my

You might also like