You are on page 1of 15

Pengenalan PPSMI

Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
diwujudkan pada sesi persekolahan 2003 di bawah pentadbiran Perdana Menteri ketika itu iaitu
Tun Dr Mahathir bin Mohamad. Perintis kepada dasar PPSMI ialah murid Tahun Satu di
sekolah rendah serta murid Tingkatan Satu dan Tingkatan Enam Rendah di Sekolah Menengah.
Pelaksanaan penuh bermula pada tahun 2008 bagi sekolah rendah dan 2007 bagi sekolah
menengah. Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil langkah untuk melaksanakan
PPSMI dengan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah
Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)
dalam dwibahasa bermula daripada tahun 2003 hingga 2007.
Apabila keputusan dasar kerajaan ini diumumkan, terdapat pelbagai reaksi termasuk
daripada pemimpin masyarakat, guru dan ibu bapa. Terdapat golongan yang menyokong dan
ada juga yang tidak menyokong akan dasar ini. Salah faham timbul tentang apakah matlamat
dasar ini dibuat serta rasional kerajaan memilih mata pelajaran Sains dan Matematik yang lebih
mudah difahami jika diajar dalam bahasa ibunda. PPSMI seterusnya dimansuhkan mulai tahun
2012 di sekolah rendah dan sekolah menengah. Walau bagaimanapun, bahasa Inggeris tetap
menjadi bahasa pengantar di peringkat universiti, matrikulasi dan tingkatan enam. Pemansuhan
itu diumumkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada 8 Julai 2009.

Pelaksanaan PPSMI
Terdapat beberapa objektif pelaksanaan dasar PPSMI. Antaranya ialah memudahkan murid
untuk memahami bahan rujukan dan maklumat mengenai perkembangan sains dan matematik
yang rata-ratanya banyak terdapat dalam Bahasa Inggeris. Apabila mereka mempelajari Sains
dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka
mengakses sumber pembelajaran dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Jika kita lihat, buku-
buku rujukan, jurnal dan artikel-artikel berkaitan subjek Sains dan Matematik lebih mudah
didapati dalam Bahasa Inggeris. Sumber yang datang daripada Bahasa Melayu adalah terhad.
Pelbagai inovasi dan penemuan baru berlaku dengan pantas dan kebanyakan sumbernya adalah
dalam Bahasa Inggeris. Apabila mereka dapat mengakses segala maklumat tanpa sebarang
masalah, ilmu pengetahuan yang mereka perolehi adalah meluas.
Objektif yang kedua ialah memudahkan perolehan ilmu dalam Sains dan Matematik.
Peluang pendidikan Sains dan Matematik amat meluas di peringkat global. Sekiranya murid
mempunyai asas Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris maka mereka tidak mengalami
masalah yang besar sekiranya ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih di
universiti-universiti dalam mahupun luar negara. Mereka telah menyesuaikan diri dengan
Bahasa Inggeris sebagai medium mencari ilmu Sains dan Matematik sejak dari bangku sekolah
rendah lagi. Ini tidak memberikan satu kejutan yang besar sekiranya mereka belajar di
peringkat yang lebih tinggi kelak. Dengan terlaksananya dasar ini akan menyebabkan mereka
lebih bersedia dari segi ilmu pengetahuan Sains dan Matematik untuk bersaing dengan pelajar-
pelajar luar. Jika kita lihat dengan lebih mendalam, kebanyakan bidang pengajian seperti
perubatan, pergigian, kejuruteraan dan lain-lain memerlukan mereka untuk fasih dan
memahami Bahasa Inggeris dengan baik. Rata-rata negara menggunakan Bahasa Inggeris
sebagai medium penyampaian ilmu.
Untuk negara mencapai taraf negara maju selaras dengan Wawasan 2020 juga
memerlukan warganegara yang celik dan fasih berbahasa Inggeris. Ini bukan bermaksud negara
mengabaikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan bahasa rasmi negara. Kita harus
melihat konteks mendalami atau menekankan Bahasa Inggeris ini dalam konteks yang positif.
Kerajaan mengambil langkah atau inisiatif ini adalah untuk kesan jangka panjang. Dengan
penggunaan Bahasa Inggeris dalam Pendidikan Sains dan Matematik, akan menyediakan
pelajar yang mampu bersaing di peringkat global standing dengan pelajar-pelajar hebat dari
negara luar. Kita sendiri sedia maklum bahawa Bahasa Inggeris merupakan bahasa pengantar
antarabangsa. Untuk meneroka dunia luar memerlukan kita faham dan boleh menggunakan
Bahasa Inggeris dengan baik. Pemilihan pengambilan pekerja juga lebih menekankan mereka
yang mahir berbahasa Inggeris. Ketika mencadangkan dasar ini, Tun Dr Mahathir bin
Mohamad berpendapat bahawa Malaysia adalah makin ketinggalan dalam arus globalisasi, dan
mengharapkan dasar ini lebih membawa kebaikan kepada negara dengan mencontohi
Singapura dan India yang semakin kehadapan kerana kebiasaan dengan Bahasa Inggeris.
Implikasi PPSMI
Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
(PPSMI) pada tahun 2003 mendapat banyak jenis reaksi dari pelbagai pihak sama ada dari segi
penerimaan mahupun penentangan kepada dasar tersebut sehinggalah ianya dimansuhkan pada
Julai 2009. Sepanjang tempoh pelaksanaan dasar PPSMI tersebut pelbagai pihak terutamanya
pihak pendidik dapat melihat keburukan atau kelemahan-kelemahan yang telah membawa
kepada pemansuhan PPSMI. Walau bagaimanapun terdapat juga kesan positif yang dapat
dilihat melalui penerapan atau pelaksanaan PPSMI ini di seluruh sekolah di Malaysia.
Antara implikasi positif bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris adalah ianya boleh memudahkan perolehan ilmu oleh pelajar terutamanya dari
segi istilah-istilah yang terdapat dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Hal ini kerana
terdapat banyak istilah Bahasa Inggeris yang telah diterjemahkan kepada Bahasa Melayu dan
kadangkala menyebabkan murid salah faham atau kurang faham dengan istilah tersebut.
Tambahan pula kebanyakkan bahan rujukan bagi Sains dan Matematik adalah dalam Bahasa
Inggeris dan dengan melaksanakan PPSMI murid akan dapat memahami bahan rujukan
tersebut dengan mudah.
Selain itu melalui PPSMI ini juga negara telah dapat membangunkan generasi pelajar
yang mampu menguasai bidang Sains dan Matematik di tahap yang tinggi. Ini kerana melalui
pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris, negara Malaysia
dapat melahirkan pelajar yang mahir dan cerdik pandai bagi ketiga-tiga mata pelajaran iaitu
sains, matematik dan juga Bahasa Inggeris. Perkara ini juga membolehkan murid menjana ilmu
dan teknologi baru dalam bidang-bidang tersebut pada masa akan datang sebagai satu
sumbangan kepada masyarakat dan negara. Selain dapat menyumbang kepada masyarakat,
pendedahan kepada sains dan matematik dalam PPSMI juga dapat membantu murid mengakses
dan menerokai maklumat dengan mudah. Perkara ini sekaligus memberi kesedaran kepada
semua rakyat Malaysia tentang pentingnya menguasai Bahasa Inggeris agar negara kita mampu
bersaing dengan negara maju yang lain .
Selain memberi manfaat kepada murid dalam mengakses maklumat, PPSMI juga
mampu melahirkan pekerja yang berwibawa dan berkualiti standing dengan kualiti pekerja
yang dimiliki oleh negara maju yang lain yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa
perantaraan. Ini kerana para pekerja yang berpengalaman melalui dasar PPSMI sewaktu di
zaman persekolahan berpeluang meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris terutamanya
dalam sains dan matematik dan menyebabkan mereka lebih berkeyakinan dalam menggunakan
dan bertutur dalam Bahasa Inggeris dalam bidang pekerjaan yang mereka ceburi.
Walaupun dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa
Inggeris ini mempunyai kebaikan yang tersendiri namun wujud juga kritikan negatif yang
mengatakan dasar ini tidak wajar diteruskan dan akhirnya membawa kepada pemansuhan dasar
ini pada tahun 2009. Antara keburukan atau kesan negatif bagi PPSMI yang dapat dilihat
sepanjang ianya dilaksanakan selama lebih kurang 7 tahun ini adalah pertama dari segi kesan
negatif terhadap nasionalisme. Nasionalisme adalah satu semangat yang merujuk kepada
perasaan cinta akan negara. Terdapat pihak yang menganggap bahawa pelaksanaan PPSMI ini
boleh menyebabkan bahasa ibunda iaitu Bahasa Melayu akan ketinggalan dan dilupakan.
Mereka juga beranggapan bahawa PPSMI ini boleh menyebabkan masyarakat terutamanya
murid yang menjalani dasar ini kurang mempunyai semangat nasionalisme untuk
memartabatkan bahasa ibunda negara agar standing dengan negara lain.
Bagi pihak yang mungkin lebih fasih bertutur dalam bahasa Inggeris mereka mungkin
beranggapan bahawa PPSMI ini banyak memberi manfaat dan wajar diteruskan namun terdapat
pihak lain yang berpendapat pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa
Melayu adalah lebih mudah difahami kerana ianya merupakan bahasa yang digunakan dalam
kehidupan seharian. Terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa pelaksanaan PPSMI
tidak akan menyelesaikan masalah penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid kerana
masalah tersebut berpunca pada mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri dan bukannya
dengan menukar pengajaran sains dan matematik kepada bahasa Inggeris. Masalah penguasaan
murid dalam bahasa Inggeris tersebut berpunca daripada kaedah pengajaran dalam mata
pelajaran itu sendiri dan dapat diselesaikan dalam pengajaran mata pelajaran itu sendiri tanpa
melibatkan mata pelajaran lain seperti sains dan matematik.

Selain itu perbezaan ketara dapat dilihat melalui pencapaian murid di sekolah bandar
dan luar Bandar dalam sains dan matematik apabila dasar ini dilaksanakan. Perkara ini dapat
disimpulkan bahawa dasar ini jelas kelihatan lebih memihak kepada murid di sekolah Bandar
yang mempunyai lebih banyak kemudahan untuk belajar. Hal ini juga kemungkinan
disebabkan oleh perbezaan pendedahan kepada murid di sekolah Bandar dan luar Bandar.
Kebanyakkan murid yang berada di sekolah Bandar lebih terdedah kepada kemudahan
teknologi daripada murid sekolah luar Bandar yang kekurangan kemudahan teknologi.
Kebanyakan ibubapa bagi murid sekolah Bandar juga mempunyai pekerjaan dan tahap
pendidikan yang lebih baik daripada ibubapa bagi murid yang berada di sekolah luar Bandar.
PPSMI ini juga mewujudkan perbezaan prestasi antara murid yang mempunyai ibu
bapa berpendapatan rendah sama ada di luar Bandar dan di Bandar. Perkara ini kerana ibu bapa
yang berpendapatan rendah kurang mampu untuk menghantar anak mereka ke kelas tambahan
untuk membantu anak mereka mendapat pengetahuan tambahan selain daripada pengetahuan
yang diperolehi daripada kelas biasa di sekolah. Ini menyebabkan murid tersebut tidak
mempunyai peluang yang sama dengan murid yang mempunyai ibu bapa berpendapatan lebih
tinggi atau sosioekonomi yang lebih baik. Walaupun terdapat pihak yang berpendapat bahawa
taraf hidup tidak mempengaruhi pencapaian murid dan hanya usaha yang membezakan
pencapaian tersebut namun tidak dapat dinafikan bahawa perbezaan peluang tersebut dapat
dilihat dengan jelas dalam kalangan murid.
Keburukan atau kesan negatif yang terakhir yang akan dibincangkan adalah mengenai
risiko pelaksanaan dasar PPSMI itu sendiri. Keputusan kerajaan untuk melaksanakan dasar itu
sendiri pada tahun 2003 merupakan satu risiko yang sangat besar. Risiko tersebut wujud dari
segi kemampuan guru itu sendiri dalam melaksanakan dasar tersebut atau melaksanakan
pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Ini kerana guru sains dan maatematik
tidak semestinya guru yang fasih dan mahir berbahasa Inggeris. Perkara ini dikhuatiri akan
menjadi halangan yang paling besar dalam menyampaikan isi pengajaran dalam sains dan
matematik serta mempengaruhi objektif pembelajaran yang ditetapkan bagi sesuatu pengajaran
tersebut. Dalam perkara ini, risiko terbesar yang perlu ditanggung oleh pelbagai pihak adalah
wujud kemungkinan tiada peningkatan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid dan
pada masa yang sama penguasaan ilmu sains dan matematik terjejas disebabkan masalah
bahasa.
Konflik dalam PPSMI
Terdapat beberapa konflik yang timbul semasa pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran
Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Antara konflik tersebut adalah reaksi dari
pelbagai pihak yang menyatakan bahawa PPSMI mewujudkan jurang perbezaan dua
kumpulan. Kewujudan PPSMI juga telah mewujudkan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) serta
konflik mengenai guru tidak terlatih mengajar dalam Bahasa Inggeris serta perbezaan
pencapaian antara murid di sekolah Bandar dan luar Bandar. Empat konflik yang dinyatakan
ini merupakan yang utama walaupun masih terdapat konflik lain yang timbul dan mungkin
diperkatakan ketika PPSMI ini dilaksanakan.
Konflik pertama yang akan dihuraikan adalah berkaitan dengan wujudnya jurang
perbezaan antara dua kumpulan. Dua kumpulan tersebut adalah golongan murid mahupun guru
yang mampu belajar dan mengajar dalam bahasa Inggeris dan juga golongan murid atau guru
yang kurang mahir dalam bahasa Inggeris. Murid yang mahir dan boleh menerima bahan
pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan mempunyai anggapan positif
terhadap dasar PPSMI malah dapat memanfaatkan peluang tersebut untuk meningkatkan
penguasaan bahasa Inggeris mereka. Mereka juga dapat memikirkan rasional pelaksanaan
dasar PPSMI ini dan mengangggap diri mereka bertuah kerana berpeluang memahirkan diri
secara tidak langsung dalam menggunakan bahasa pengantara kebangsaan iaitu bahasa
Inggeris. Walau bagaimanapun bagi murid yang kurang mahir dan tidak dapat menerima bahan
pengajaran dalam bahasa Inggeris akan cenderung hilang minat terhadap mata pelajaran
tersebut disebabkan tidak faham akan isi pengajaran yang disampaikan.
Hal yang sama juga terjadi kepada para guru yang kurang mahir dalam menggunakan
bahasa Inggeris dalam pengajaran mereka. Jurang ini dapat dilihat melalui pencapaian murid
yang diajar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. Guru yang mahir dan berkebolehan
mengajar dalam bahasa Inggeris dapat menyampaikan isi pengajaran dengan berkesan dan
sekaligus dapat meningkatkan pencapaian murid manakala guru yang kurang mahir mengajar
dalam bahasa Inggeris berkemungkinan akan terus mengajar dalam bahasa Melayu dan
menyebabkan murid tidak dapat menjawab soalan peperiksaan yang diberikan kerana ianya
dalam bahasa Inggeris.
Konflik seterusnya adalah mengenai kewujudan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).
Gerakan ini telah diwujudkan dengan tujuan untuk membantah pelaksanaan PPSMI dan
mencadangkan pemansuhan PPSMI atas sebab-sebab tertentu. Antara sebab GMP membantah
PPSMI adalah kerana ianya dinyatakan tidak sah di sisi undang-undang serta bertentangan
dengan beberapa Akta Pendidikan seperti Seksyen 2 yang mentafsirkan bahawa Sekolah
Kebangsaan mahupun Sekolah Menengah sebagai sekolah kerajaan atau sekolah bantuan
kerajaan yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. Seksyen
17(1) Akta Pendidikan pula memperuntukkan bahawa Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi
bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan
kecuali sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28 atau mana-
mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan daripada sub seksyen ini.
Antara lain objektif GMP adalah kerana PPSMI ini dianggap membunuh Bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu dalam jangka masa yang panjang. Selain
itu, dasar ini juga dinyatakan telah menggelapkan masa depan pelajar sekolah luar Bandar
dalam bidang Sains dan Matematik. Ahli Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) juga menyatakan
bahawa mereka menyokong sekuatnya pengajaran bahasa Inggeris sebagai suatu bahasa tetapi
tidak melalui mata pelajaran Sains dan Matematik. Secara ringkasnya, motif bagi penubuhan
GMP ini adalah berhubung kait dengan nasionalisme, identiti bangsa serta semangat
patriotisme.
Selain konflik penubuhan GMP, konflik lain yang wujud disebabkan PPSMI ini adalah
dari segi pencapaian murid terutamanya murid di sekolah luar Bandar yang kurang terdedah
kepada penggunaan teknologi dan kemudahan dalam pembelajaran. Jurang pencapaian ini
mungkin tidak begitu jelas dan ketara di kawasan Bandar kerana murid yang berada di Bandar
lebih terdedah kepada kemudahan teknologi dan kurang mengalami kejutan budaya
pelaksanaan dasar PPSMI tersebut. Walau bagaimanapun bagi murid yang berada di sekolah
luar Bandar yang mempunyai pencapaian sederhana dalam Sains dan Matematik walaupun
diajar dalam bahasa kebangsaan apatah lagi apabila ianya diajar dalam Bahasa Inggeris
menghadapi masalah dalam memahami bahan pengajaran bagi mata pelajaran tersebut. Oleh
yang demikian perkara ini dapat disimpulkan bahawa walaupun terdapat kebaikan yang boleh
dilihat dan dirasai dalam pelaksanaan dasar PPSMI namun ianya akhirnya tidak menampakkan
dan memberikan hasil yang membolehkannya dikekalkan dalam sistem pendidikan negara.
Pengenalan MBMMBI
MBMBMBI ialah singkatan bagi Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa
Inggeris. Ia sebenarnya mula diperkenalkan setelah terdapat pelabagai polemik dan ketegangan
dalam masyarakat sejak PPSMI yang mula dilaksanakan pada tahun 2003. Pada 8 Julai 2009,
Kabinet memutuskan untuk melaksanakan MBMMBI ini setelah terdapat kajian dan
pemantauan Pelaksanaan PPSMI serta Meja Bulat PPSMI.

Definisi Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris


(MBMMBI)
Memartabatkan Bahasa Melayu bermaksud meletakkn Bahasa Melayu pada tempat yang
sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub
dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa pengantar
utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996. Memperkukuh Bahasa Inggeris pula
membawa maksud memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib
dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.

Tujuan MBMMBI
Tujuan utama untuk memartabatkan Bahasa Melayu adalah kerana Bahasa Melayu merupakan
bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu
kea rah membina Negara bangsa untuk mencapai hasrat 1 Malaysia. Tujuan utama
memperkukuh Bahaa Inggeris pula adalah kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa
komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan
penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.

Rasional MBMMBI
Rasionalnya pelaksanaan MBMMBI menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeri (PPSMI) adalah rentetan daripada status pelaksanaan PPSMI
itu sendiri. Didapati bahawa keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian
Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran MAlaysiai (SPM) memperlihatkan pencapaia
murid dalam Bahasa Melayu adalah jauh lebih tinggi daripada Bahasa Inggeris sama ada bagi
murid-murid di kawasan Bandar dan luar Bandar. Keputusan menunjukkan murid akan lebih
mudah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Melayu berbanding Bahasa
Inggeris.
Selain itu, keputusan peperikaan Sains dan Matematik UPSR di Sekolah Kebangsaan
(SK) menunjukkan penurunan pencapaian gred ABC bagi kohort pertama yang melalui PPSMI
sepenuhnya di sekolah rendah. Jurang pencapaian antara sekolah Bandar dan luar Bandar
dalam mata pelajaran Sains dan Matematik juga semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan.
Dapatan United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO)
menunjukkan pelajar lebih mudah mempelajari pelajaran dalam bahasa ibunda pada peingkat
awal persekolahan. Profisiensi Bahasa Inggeris guru pada tahap cemerlang dan baik adalah
sekitar 25%. Hanya sebahagian kecil guru menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya dalam
pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Ini menyukarkan proes pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan.
Secara purata peratusan penggunaan Bahasa Inggerisa adalah antara 53-58 peratus
daripada keseluruhan masa yang digunakan bagi matapelajaran Sains dan Matematik.
Penggunaan Bahasa Inggeris oleh guru dalam bilik darjah adalah sekitar 55%. Laporan Trends
in Mathematics Science Study (TIMSS) 2007 menunjukkan pencapaian murid Malysia
merosot dari tempat ke 10 pada tahun 2003 ke 20 bagi Matematik dan bagi mata pelajaran
Sains dari tempat ke 20 pada 2003 ke 21 pada tahun 2007.
Kajian pelbagai pihak menunjukkan kebanyakan murid khususnya daripada luar bandar
sukar memahami pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
Kajian universiti-universiti tempatan pula mendapai tahap peningkatan penguasaan Bahasa
Inggeri murid adalah normal, iaitu tidak lebih 3 peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI. Tahap
penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah
menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa
Inggeris. Selain itu, penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar telah mantap bagi
semua mata pelajaran yang dimulakan sejak tahun 1970an dan kebanyakan negara di dunia
berusaha keras untuk memartabatkan bahasa kebangsaan mereka masing-masing sebagai
bahasa ilmu.

Pelaksanaan MBMMBI
Antara strategi pelaksanaan MBMMBI dalam memartabatkan Bahasa Melayu ialah pengajaran
dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia di Tingkatan Satu hingga Lima
di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) manakala Bahasa
Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Bahasa Tamil di Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil (SJKT), menambah waktu pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia
di SJKC dan SJKT, menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia,
menyediakan bahan bacaan Bahasa Malaysia dan memperkenalkan seni bahasa dalam
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.
Manakala strategi bagi memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris pula ialah melalui
penyediaan guru Bahasa Inggeris yang mencukupi menerusi pengambilan guru bersara, guru
dari luar negara dan IPTS selain pengambilan melalui Institut Pendidikan Guru Malaysia
(IPGM) dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), menyediakan guru Bahasa Inggeris di
luar norma iaitu dua orang guru bagi setiap kelas berenrolmen tinggi contoh : melebihi 35 orang
pelajar), menyediakan bahan bacaan Bahasa Inggeris dan memperkenalkan seni bahasa dalam
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.
Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI)
Bil. 12/2011 Pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa
Inggeris (MBMMBI) bertarikh 4 November 2011 yang menjelaskan pelaksanaan dasar
MBMMBI. Di bawah dasar MBMMBI, pengajaran Sains dan Matematik dilaksanakan dalam
Bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK),
Bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan bahasa Tamil di Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil (SJKT). Bagi melicinkan pelaksanaan dasar tersebut dala tempoh peralihan
ini, garis panduan berikut disediakan bagi membantu pihak sekolah untuk membuat keputusan
tentang pemilihan bahasa dalam melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran Sains dan
Matematik.
Garis panduan ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan SPI Bil. 12/2011. Pihak
sekolah boleh meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran bagi Sains dan Matematik
berdasarkan situasi semasa yang sedang dijalankan di peringkat sekolah masing-masing iaitu :
a) Kelas yang menggunakan bahasa Malaysia dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan
Matematik hendaklah terus menggunakan bahasa tersebut atau
b) Kelas yang menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan
Matematik juga boleh terus menggunakan bahasa tersebut atau
c) Bagi kelas yang menggunakan dwibahasa, penggunaan bahasa Malaysia amat digalakkan.
Walaubagaimanapun, penggunaan Bahasa Inggeris dibenarkan bagi menerangkan istilah dan
konsep.
d) Murid dibenar untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam
bahasa yang diikuti sebelum ini.
Pemilihan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan
Matematik tertakluk kepada kesediaan guru dan murid di peringkat sekolah. Kesediaan guru
ini bermaksud kompetensi guru yang sediaada di sekolah untuk mengajar dalam bahasa
Inggeris dan Jawatankuasa Kurikulum Sekolah mempertimbangkan kesediaan murid untuk
mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris.
Selain itu, pihak sekolah dibenar untuk menentukan bilangan kelas yang akan
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris atau
bahasa Malaysia berdasarkan keputusan Jawatankuasa Kurikulum Sekolah. Sekolah pula
diminta menggunakan glosari yang dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan dalam usaha
untuk menerangkan istilah dan konsep Sains dan Matematik dalam pengajaran iaitu :
a) Sekolah akan dibekalkan dengan buku glosari bagi membantu PdP Sains dan Matematik.
b) Sekolah juga boleh memuat turun glosari daripada laman web Kementerian Pendidikan.
Tambahan pula, pengetua sekolah yang menerima murid Tingkatan 1 hendaklah
mengealpasti bahasa yang digunakan dalam pembelajaran dan pembelajaran Sains dan
Matematik semasa murid tersebut berada di Tahun 6. Bagi tujuan pendaftaran atau penempatan
murid ke Tingkatan 1, dasar dan prosedur penempatan yang sedia ada dikekalkan. Urusan
pendaftaran murid Tingkatan 1 perlu dilaksanakan pada awal bulan Disember.
Tujuan utama memartabatkan Bahasa Malaysia sangat jelas kerana ia merupakan
bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasaperhubungan utama dan bahasa ilmu
ke arah membina negara dan bangsa untuk menacapai hasrat 1Malaysia. Begitu pula dengan
memperkukuh Bahasa Inggeris kerana ia merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang
perlu dikuasai bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat
nasional dan global.
Dalam melaksanakan dasar MBMMBI, PdP Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris
diperlukan menerusi pendekatan yang lebih berkesan. Dengan pemansuhan menerusi PPSMI,
mulai tahun 2011, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan akan menggunakan Bahasa Malaysia
sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.
Dalam usaha menjayakan dasar ini, Kementerian Pendidikan Malaysia mengangkat
kembali mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran utama dan Bahasa Melayu
sebagai bahasa utama negara, semua rakyat negara malaysia khususnya guru mestilah menjaga
dan memelihara Bahasa Malaysia kerana hilang bahasa lenyaplah bangsa. Oleh demikian
peruntukan masa untuk pengajaran Bahasa Melayu akan ditambah mulai tahun 2011, apabila
dasar MBMMBI dilaksanakan sepenuhnya. Pertambahan masa BahasaMelayu daripada 270
minit kepada 330 minit di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil, manakala untuk Sekolah
Kebangsaan dikekalkan kepada 270 minit, menunjukkan komitmen KPM dalam usaha
memartabatkan kembali BahasaMelayu di sekolah.
Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri
Pelajaran, inisiatif berkenaan diambil sebagai usaha melaksanakan MBMMBI yang
menggantikan PPSMI mulai 2011. Namun begitu, dengan pertambahan masa tersebut tidak
akan memanjangkan waktu persekolahan semasa kerana ia hanya melibatkan pengubahsuaian
peringkat dalaman sahaja.Menurut pelbagai sumber media dasar yang diperkenalkan amat
ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar rakyat Malaysia yang sebenarnya lebih selesa
menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar. Langkah menambahkan masa
pembelajaran dalam Bahasa Inggeris adalah amat wajar bagi memperkukuhkan penguasaan
para pelajar. Kita perlu faham, Bahasa Inggeris bukan untuk Sains dan Matematik sahaja, tetapi
untuk semua mata pelajaran
ENCANA
ARKIB : 19/10/2011

Lupakan PPSMI, gerakkan MBMMBI

Oleh Sidek Baba

ISU Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
sepatutnya sudah selesai. Persiapan melancarkan program pendidikan Memartabat Bahasa
Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) sedang rancak berjalan.

Sebelum pendekatan MBMMBI diambil, perbincangan dilakukan melibatkan banyak


kelompok yang berkepentingan.

Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencari
kebijaksanaan atas aspirasi Perlembagaan, Perkara 152 dan Akta Pendidikan 1996
memperkenalkan jalan keluar menang-menang supaya bahasa Melayu diperteguhkan dan
Bahasa Inggeris diperkukuhkan.

Amat pelik terdapat sebahagian kecil orang Melayu yang mencadangkan supaya
persekolahan dua aliran bahasa iaitu satu bahasa Inggeris dan satu lagi bahasa Melayu supaya
memberi pilihan kepada ibu bapa untuk menghantar sekolah mana yang mereka suka.
Cadangan ini tidak mendukung aspirasi nasional yang menjadikan faktor bahasa Melayu
sebagai faktor pemersatu.

Bakal berlaku jurang dan strata sosial yang amat ketara sekiranya perkara itu terjadi. Akan
lebih terserlah golongan elitis seperti yang terjadi di awal 1970-an dahulu.

Ada juga kelompok yang ingin membawa isu ini ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
seolah-olah kepemimpinan negara ini dan pemimpin yang mempunyai kepentingan mengenai
isu bahasa Melayu tidak memiliki kekuatan ilmiah yang tinggi dan tidak pandai membuat
keputusan bijaksana sehingga perlu meminta bantuan pihak lain.

Ada juga yang berpendapat bahawa bahan-bahan rujukan mengenai sains dan matematik
banyak dalam bahasa Inggeris dan usaha menterjemahkannya memakan masa. Bagaimana
Cina, Korea Selatan dan Jepun mengatasi perkara ini harus memberi contoh kepada kita di
Malaysia, bukan bersifat mengalah.

Lebih penting lagi seperti yang diungkapkan oleh Sapir 1949 dan Whorf 1956, dalam bahasa
apakah kita hendak anak-anak melihat dan berfikir tentang dunia dan alamnya. Bahasa
bukannya sekadar alat perantara ilmu dan kemahiran berfikir, ia membawa nilai dan budaya,
mewarnai jati diri, memberi makna kepada hati budi dan turut mencorakkan pandangan
kesemestaan yang akan memandunya dalam mengharungi kehidupan.

Muhyiddin baru-baru ini membuat penegasan bahawa MBMMBI akan diteruskan dan ia
suatu ketegasan yang amat ditunggu-tunggu. Tekanan yang dihadapi oleh beliau memang
tidak pernah reda. Tapi tekadnya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasa
bahasa Inggeris adalah suatu tindakan yang betul dan berhemah.

Pelaksanaan PPSMI yang berlaku pada tahun-tahun terdahulu tidak dibuat dengan persiapan
yang rapi. Terdapat guru Bahasa Inggeris yang mengajar bahasa Inggeris dan terdapat
sebahagian besar guru Sains dan Matematik yang tidak cekap berbahasa Inggeris yang
disuruh mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Dari sudut pedagogi ia adalah sesuatu yang salah. Akhirnya penguasaan ilmu di kalangan
murid ibarat pakai kain singkat, tarik ke atas nampak lutut dan tarik ke bawah nampak pusat.

Dengan tekad Kementerian Pelajaran untuk mengambil guru-guru yang bahasa ibundanya
bahasa Inggeris dari luar, melatih anak-anak yang berbakat dalam bahasa Inggeris menjadi
guru bahasa Inggeris yang terlatih, menyusun semula kurikulum bahasa Inggeris supaya
sesuai dengan etos Malaysia, menyediakan makmal bahasa yang mempercepatkan
penguasaan bahasa Inggeris, menyemak kembali pendekatan pedagogi yang lebih dinamik
adalah langkah-langkah berdaya maju yang boleh meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris
dengan berkesan.

Mengapa tidak dibenarkan strategi ini mengambil tempat dan penilaian terhadapnya boleh
dilakukan selepas ia dilaksanakan beberapa tahun akan datang. Ia adalah lebih adil dan
demokratik.

Mengadakan referendum juga adalah tidak perlu. Strategi MBMMBI adalah selari dengan
semangat Perlembagaan negara dan ia tidak bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996.
Melainkan dasar ini bercanggah dengan dengan Perkara 152 dalam Perlembagaan 152 dan
Akta Pendidikan 1996 maka referendum boleh menjadi salah satu kayu ukuran terhadap isu
ini.

Mengikut sumber yang saya petik daripada Prof. Dr. Ahmad Termizi, seorang sarjana fizik
dari Universiti Teknologi Malaysia menyatakan penukaran bahasa pengantar di sekolah
daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu telah menghampirkan kepada matlamat
mewujudkan peluang yang lebih saksama.

Pencapaian pelajar bumiputera, secara keseluruhannya, lebih setara dengan pencapaian


pelajar bukan bumiputera, jika dibandingkan dengan pencapaian sebelum 30 tahun yang
lampau iaitu semasa pengajaran menggunakan bahasa Inggeris.

Buat pertama kalinya dalam sejarah, jumlah pelajar bumiputera yang memperoleh gred
cemerlang dan kepujian dalam mata pelajaran Fizik telah melebihi jumlah pelajar bukan
bumiputera dalam peperiksaan SPM 2001 iaitu bumiputera 23,157 orang dan bukan
bumiputera 22,929 orang.

Kini jumlahnya setara dengan jumlah pelajar bukan bumiputera. Dari segi kuantiti, matlamat
kesaksamaan ini hampir dicapai walaupun dari segi kualiti masih banyak usaha gigih perlu
dilakukan.

Kestabilan relatif yang telah memberi peluang yang saksama antara pelajar bumiputera ini
tidak wajar diganggu-gugat dengan sesuatu yang masih tidak menentu kesannya dan
mengandungi unsur risiko yang tinggi.
Berdasarkan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris yang masih berlaku kini di kalangan
pelajar bumiputera, kerisauan bahawa penggunaan bahasa Inggeris secara tunggal bagi mata
pelajaran Sains dan Matematik berkemungkinan akan merencatkan pencapaian pelajar
bumiputera, mempunyai asas yang wajar diambil kira dan tidak boleh diketepikan begitu saja.

Kita memerlukan tekad politik dan azam memartabatkan bahasa Melayu yang tinggi supaya
akhirnya bahasa Melayu mampu menempatkan diri sebagai bahasa ilmu dan bahasa
antarabangsa.

Kalaulah isu globalisasi dijadikan faktor utama bahasa Inggeris perlu didaulatkan betapa
nanti Tanah Besar Cina bakal menjadi kuasa besar, apakah di waktu itu nanti kita bakal
beralih kepada bahasa Cina pula dan meninggalkan bahasa Inggeris.

Mempelajari bahasa Cina tidak salah tetapi menolak pemartabadan bahasa Melayu dalam
konteks negara Malaysia adalah suatu langkah yang silap. Ilmuwan Islam terdahulu
menguasai berbagai bahasa tamadun tetapi penggunaan bahasa Arab tetap menjadi
keutamaan.

Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1019&pub=Utusan_Malaysia&sec=
Rencana&pg=re_03.htm#ixzz4LSd4UGjR
Utusan Melayu (M) Bhd

You might also like