You are on page 1of 15

PEMBANGUNAN MODUL ASAS GRAFIK KEJURUTERAAN BAGI TOPIK

LUKISAN ORTOGRAFIK DENGAN MENGGUNAKAN PENDEKATAN INDUKTIF

Muhammad Aiman Bin Ishak


Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (Binaan Bangunan)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
aimanishak2112@gmail.com

ABSTRAK
Kajian ini tentang pembangunan modul Asas Grafik Kejuruteraan bagi topik Lukisan Ortografik dengan
menggunakan pendekatan induktif untuk digunakan semasa proses pembelajaran dan pengajaran. Seramai 3 orang
pensyarah pakar dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional dipilih sebagai sampel kajian ini. Bagi
mendapatkan data-data yang berkaitan, soal selidik telah digunakan dan analisis kualitatif iaitu menggunakan
borang soal selidik. Kajian ini fokus kepada dua objektif yang telah ditetapkan iaitu membangunkan sebuah modul
pengajaran dan pembelajaran Asas Grafik Kejuruteraan bagi topik Lukisan Ortografik dengan menggunakan
pendekatan induktif sebagai alat bahan bantu mengajar (ABBM) dan mengenalpasti kesesuaian isi kandungan dan
rekabentuk modul pengajaran dan pembelajaran Asas Grafik Kejuruteraan untuk digunakan sebagai alat bahan
bantu mengajar (ABBM) dalam topik Lukisan Ortografik. Kajian ini menggunakan Model Hannafin dan Peck
untuk penentuan masalah, rekabentuk dan pembangunan modul. Data kajian ini dikumpul melalui pengesahan
pakar yang berpengalaman dalam bidang ini. Pakar yang terlibat terdiri daripada tiga orang pensyarah Fakulti
Pendidikan Teknikal dan Vokasional, UTHM. Hasil kajian mendapati tahap peratusan persetujuan terhadap modul
Lukisan Ortografik ini tinggi dan sesuai untuk digunakan oleh pensyarah dan pelajar dalam proses pembelajaran
dan pengajaran (PdP).

PENGENALAN

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, pendidikan di Malaysia semakin berkembang
pesat seiring dengan arus pemodenan teknologi berpatutan dengan agenda negara untuk
mencapai Wawasan 2020. Bidang pendidikan di Malaysia sedikit demi sedikit bertambah baik
hasil daripada strategi penegasan kepada instrumen, kandungan mahupun sumber. Pelbagai
kaedah pengajaran dan pembelajaran telah diketengahkan bermula dari peringkat pra
persekolahan sehinggalah kepada institusi pengajian tinggi.
Bidang perguruan adalah merupakan suatu bidang yang mulia dan dipandang tinggi
oleh masyarakat. Masyarakat telah mengamanatkan kepada setiap guru dengan amanah untuk
membimbing anak bangsa kearah masyarakat minda kelas pertama. Untuk mencapai sasaran
masyarakat minda kelas pertama tersebut, pelbagai perubahan kreatif dan inovatif dalam
bidang perguruan amat diperlukan bagi menghadapi cabaran-cabaran dunia masa kini. Guru
memainkan peranan dan tanggungjawab yang penting untuk menjana idea lebih kreatif bagi
memastikan apa sahaja program pendidikan dapat dirancang dengan lebih teliti dan sistematik.
Dalam kepentingan memenuhi ciri dan kriteria seorang guru yang kreatif, inovatif dan
mampu berdaya saing, guru perlu menyediakan alat bahan bantu mengajar (ABBM) bagi tujuan
proses pengajaran dan pembelajaran. ABBM tidak sahaja terbatas kepada papan tulis mahupun
gambar-gambar yang dijadikan bahan bantu mengajar namun ABBM boleh meliputi apa yang
dilihat dan didengar oleh pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang boleh
membantu pelajar lebih mudah untuk menguasai isi sesuatu pelajaran tersebut. Meskipun
teknologi pendidikan pada masa kini sangat pesat membangun, namun pembelajaran
berbantukan modul masih relevan dan dikatakan dapat memenuhi kehendak pengguna kerana
maklumat mudah dicapai dan difahami. Pelajar tidak semestinya hanya menunggu suapan nota-
nota daripada pensyarah seterusnya bersikap pasif tetapi perlu dibekalkan dengan pengetahuan
dan kemahiran untuk mendapatkan dan menganalisis maklumat. Modul yang berkesan tidak
memerlukan masa yang banyak untuk memastikan pengguna modul memahami sesuatu
pengetahuan dan kemahiran itu, Warwick D (1998). Menurut Noresah (2000), modul
merupakan satu isi pelajaran mahupun kursus latihan yang dilaksanakan untuk mencapai
sesuatu kemahiran ataupun kelayakan.
Dalam kajian ini, pengkaji ingin membangunkan modul pengajaran dan pembelajaran
Asas Grafik Kejuruteraan bagi topik Lukisan Ortografik dengan menggunakan pendekatan
induktif. Asas Grafik Kejuruteraan merupakan satu subjek yang meliputi pembelajaran lukisan
unjuran ortografik, lukisan unjuran isometrik dan lukisan unjuran oblik. Lukisan Ortografik ini
boleh dikatakan dapat menambah tahap kognitif pelajar kerana pelajar perlu mempunyai
kemahiran imaginasi yang tinggi untuk menghasilkan lukisan ini. Selain itu, aspek psikomotor
juga terlibat ketika proses menghasilkan lukisan ortografik ini. Aspek emosi seperti tekun dan
sabar juga turut diterapkan semasa proses penghasilan lukisan ini agar sesuatu lukisan yang
dihasilkan berkualiti. Modul ini akan dibangunkan dengan menggunakan pendekatan
pengajaran secara induktif dimana bersesuaian dengan topik lukisan ortografik ini.
Pendekatan pengajaran dan pembelajaran induktif merupakan salah satu kaedah mengajar yang
sesuai diaplikasikan dalam pengajaran bagi pelbagai mata pelajaran, terutamanya Bahasa,
Sains dan Matematik (Mok Soon Sang, 2001). Pengajaran menggunakan pendekatan induktif
merupakan satu gaya mengajar yang melibatkan satu proses penaakulan yang tinggi di mana
ia merangkumi aktiviti mengumpul dan mentafsir maklumat-maklumat, kemudian membuat
generalisasi atau kesimpulan (Kamarudin Husin & Siti Hajar Abdul Aziz, 2004). Hilda Taba
mempercayai bahawa pelajar membuat generalisasi hanya setelah maklumat dapat diorganisasi
dengan sempurna. Model Taba adalah lebih dikenali dengan model pengajarannya yang
melibatkan pemikiran induktif. Menurut beliau, dengan menggunakan pelbagai strategi, pelajar
boleh dibantu menyelesaikan masalah dengan jayanya. Strategi induktif ini digunakan dalam
proses kognitif dan memerlukan pelajar untuk menggunakan teknik soalan-soalan ringkas
(Hilda Taba, 1962). Pendekatan Induktif memberi peluang kepada pelajar membuat
kesimpulan sendiri mengenai sesuatu konsep ataupun benda. Ianya mengutamakan contoh-
contoh pada awal pengajaran dan dibuat generalisasi daripadanya.
Modul ini dihasilkan untuk dijadikan sebagai panduan oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda bagi
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
khususnya dalam bidang binaan bangunan dimana ketika ini kurang sumber untuk dijadikan
rujukan bagi subjek Grafik Kejuruteraan yang kebanyakkannya hanya bergantung kepada
kuliah daripada pensyarah dan rujukan daripada perpustakaan yang terhad. Tambahan lagi,
bebanan pengajaran pensyarah dapat dikurangkan dengan adanya modul ini yang dapat
dijadikan sebagai rujukan kepada pelajar.

LATAR BELAKANG MASALAH

Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) merupakan di antara tiga buah fakulti
yang baru ditubuhkan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Meskipun dikenali
dengan nama baru, FPTV sudah mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan khususnya
berteraskan teknikal dan vokasional. Mendidik dan melatih sumber manusia yang profesional
bertaraf dunia dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional untuk mempelopori,
mengembang dan mengaplikasikan ilmu dan teknologi terkini bertunjangkan tauhid
merupakan misi yang ingin digapai FPTV. Untuk mencapai misi tersebut, pensyarah
khususnya perlu merancang pelbagai strategi bagi memperbaiki dan memperkemaskan lagi
proses pengajaran dan pembelajaran ketika kuliah.
Menurut Ruhaizan et.al (2012), kekurangan alat bahan bantu mengajar (ABBM)
menimbulkan masalah dalam perlaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran lukisan
kejuruteraan. Salah satu cara untuk memperbaiki dan memperkemaskan perlaksanaan proses
pengajaran dan pembelajaran adalah melalui kaedah pembelajaran bermodul. Menurut Nordin
dan Yap (1994), pembelajaran bermodul mungkin belum begitu jelas kepada sesetengah pelajar
namun halatuju perkembangan pendidikan di Malaysia sekarang adalah selari dengan matlamat
dan konsep pembelajaran yang lebih menumpukan kepada individu iaitu pelajar itu sendiri.
Bagi memenuhi keperluan tersebut, pembangunan modul pengajaran dan pembelajaran asas
Grafik Kejuruteraan bagi topik Lukisan Ortografik ini perlu diterangkan dengan lebih
terperinci, mudah difahami dan tidak membosankan. Dengan adanya modul ini, ia dapat
dijadikan sebagai sumber panduan kepada pelajar untuk menghasilkan lukisan ortografik
secara lebih sistematik dan juga membantu memperbanyakkan pilihan alat bahan bantu
mengajar bagi digunakan oleh pensyarah di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Pelajar zaman sekarang mempunyai kemahiran yang tinggi dalam
menterjemahkan idea secara visual. Berdasarkan tinjauan awal yang dilakukan melalui
temubual dengan pensyarah subjek Grafik Kejuruteraan, pelajar kurang mahir dalam
membezakan jenis-jenis garisan yang amnya merupakan pengetahuan asas sebelum
memulakan sesuatu lukisan. Ini kerana berdasarkan beberapa pelajar yang telah ditemubual,
mereka kurang mengambil berat akan hal ini disebabkan beranggapan bahawa garisan tidak
penting dan dianggap hal kecil. Justeru itu, pembangunan modul ini sedikit sebanyak akan
dapat memberi input mengenai jenis-jenis garisan yang akan disertakan di awal kandungan
modul bagi menyediakan pelajar dengan ilmu garisan sebelum melangkah ke topik yang lebih
sukar iaitu Lukisan Ortografik.
Tambahan lagi, pensyarah yang ditemubual juga ada menyatakan bahawa bahan
rujukan untuk lukisan ortografik di perpustakaan UTHM masih lagi terhad dan tidak
mencukupi. Selain pensyarah, pelajar juga masih lagi berhadapan dengan beberapa kekangan
dan memerlukan sokongan dari segi sumber-sumber bahan rujukan khususnya ABBM
tambahan sebagai sokongan untuk dijadikan sebagai rujukan tambahan bagi membantu pelajar
untuk mengimaginasi sesuatu tugasan lukisan yang diberikan mahupun untuk mengulangkaji
pelajaran bagi kursus Asas Grafik Kejuruteraan. Oleh yang demikian, pembangunan modul
sedikit sebanyak dapat menyelesaikan masalah kurangnya sumber bahan rujukan bagi
pensyarah mahupun pelajar.
Bagi kajian ini, pengkaji menumpukan kepada pembangunan modul pengajaran dan
pembelajaran untuk subjek Grafik Kejuruteraan bagi topik Lukisan Ortografik. Dengan adanya
modul ini, ia dapat membantu pensyarah dan pelajar dalam melancarkan proses pengajaran dan
pembelajaran. Selain itu, penggunaan modul ini diharap dapat membantu pelajar
menyelesaikan masalah ketika mencari sumber rujukan yang sesuai bagi menyiapkan tugasan.
Justeru itu, penghasilan modul Asas Grafik Kejuruteraan bagi topik Lukisan Ortografik sebagai
alat bahan bantu mengajar di FPTV sesuai untuk dibangunkan.

PENYATAAN MASALAH

Berpandukan hasil perbincangan di dalam latar belakang masalah kajian di atas, terdapat
beberapa permasalahan yang dihadapi oleh pensyarah dan pelajar ketika proses pengajaran dan
pembelajaran bagi subjek Asas Grafik Kejuruteraan untuk topik Lukisan Ortografik. Masalah
yang dapat dikenalpasti adalah pelajar seringkali menghadapi masalah untuk belajar topik ini
kerana mereka kurang faham akan input yang diberikan. Ini disebabkan kurangnya ABBM
untuk dijadikan bantuan sokongan bagi membantu pelajar mengasah kemahiran untuk
berimaginasi bagi menghasilkan lukisan ortografik ini. Tambahan lagi, pelajar kurang mahir
dalam membandingkan jenis-jenis garisan yang menjadi asas dalam sesuatu lukisan. Tanpa
adanya pengetahuan mengenai garisan, hasil lukisan pelajar tidak kemas dan kurang berkualiti.
Selain itu, sumber bahan rujukan bagi subjek ini terhad dan kurang diperolehi. Tanpa
adanya rujukan yang khusus, pelajar akan menghadapi masalah untuk menguasai kemahiran
dalam subjek Grafik Kejuruteraan bagi topik Lukisan Ortografik selain membataskan had
rujukan untuk menyiapkan tugasan serta mengulangkaji pelajaran. Kesan negatif daripada hal
ini menyebabkan dorongan motivasi dan kecenderungan untuk belajar menurun dan
menyebabkan pelajar kurang berminat untuk belajar subjek tersebut. Justeru itu, daripada
permasalahan yang dihadapi oleh pelajar maka sebuah modul pengajaran dan pembelajaran
topik Lukisan Ortografik perlu dibangunkan bagi menambah ABBM di dalam subjek Asas
Grafik Kejuruteraan supaya dapat melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran sekaligus
dapat membantu pelajar di dalam proses pembelajaran.

PERSOALAN KAJIAN

i. Apakah reka bentuk yang sesuai untuk digunakan bagi membangunkan modul
pengajaran dan pembelajaran bagi topik Lukisan Ortografik sebagai ABBM dalam
subjek Asas Grafik Kejuruteraan?
ii. Adakah isi kandungan modul pengajaran dan pembelajaran bagi topik Lukisan
Ortografik ini mempunyai kesesuaian untuk digunakan sebagai ABBM dalam subjek
Asas Grafik Kejuruteraan?
iii. Adakah reka bentuk modul pengajaran dan pembelajaran bagi topik Lukisan Ortografik
ini mempunyai kesesuaian untuk digunakan sebagai ABBM dalam subjek Asas Grafik
Kejuruteraan?

OBJEKTIF KAJIAN

i. Membangunkan sebuah modul pengajaran dan pembelajaran Asas Grafik Kejuruteraan


bagi topik Lukisan Ortografik dengan menggunakan pendekatan induktif sebagai alat
bahan bantu mengajar (ABBM).
ii. Mengenalpasti kesesuaian isi kandungan modul pengajaran dan pembelajaran Asas
Grafik Kejuruteraan untuk digunakan sebagai alat bahan bantu mengajar (ABBM)
dalam topik Lukisan Ortografik.
iii. Mengenalpasti rekabentuk modul pengajaran dan pembelajaran Asas Grafik
Kejuruteraan untuk digunakan sebagai alat bahan bantu mengajar (ABBM) dalam topik
Lukisan Ortografik.

KEPENTINGAN KAJIAN

Kepentingan kajian ini boleh dibahagikan kepada tiga pihak iaitu pelajar, pensyarah, dan
program Binaan Bangunan Fakulti Pendidikan Teknik dan Vokasional (FPTV).
i. Pelajar
 Pelajar merupakan individu yang akan menerima input hasil daripada proses
pengajaran dan pembelajaran. Dengan adanya bantuan modul ini, pelajar dapat
lebih memahami dan cepat menguasai proses pengajaran dan pembelajaran
sekaligus menghasilkan pelajar yang lebih berkualiti.
ii. Pensyarah
 Terhasilnya modul ini, ia dapat membantu pensyarah dalam membuat rujukan
ketika proses pengajaran dan pembelajaran selain dapat membantu pensyarah
mengurangkan kadar waktu ketika menerangkan sesuatu topik. Selain itu, dengan
adanya modul ini ia memberi peluang kepada pensyarah dalam melakukan
pemilihan sumber rujukan yang lebih luas.
iii. Program Binaan Bangunan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV)
 Bahan dan sumber pembelajaran di FPTV dapat dipelbagaikan sekaligus
memudahkan untuk melakukan rujukan bagi program binaan bangunan semasa
proses pengajaran dan pembelajaran.

MODEL HANNAFIN DAN PECK

Terdapat pelbagai jenis model yang boleh digunakan untuk membangunkan sebuah modul
pengajaran dan pembelajaran. Antaranya adalah seperti yang berikut:-
a) Model Addie
b) Model Assure
c) Model Rekabentuk Pengajaran Dick & Carey
d) Model Rekabentuk Hannafin & Peck
e) Model Air Terjun (Waterfall)
Walaubagaimanapun, setelah perbincangan dan perbandingan dibuat ke atas semua model
yang dinyatakan di atas, model Hannafin dan Peck dipilih untuk diterapkan dalam proses
merekabentuk pembangunan modul Asas Grafik Kejuruteraan bagi topik Lukisan Ortografik.
Model Hannafin & Peck ini mempunyai kelebihan berbanding model lain seperti model
ADDIE adalah ia mempunyai aliran proses yang jelas dimana setiap fasa akan dilakukan
penilaian dan pengulangan (Hannafin & Peck, 1988, Jamalludin, Baharuddin & Zaidatun,
2001). Selain daripada itu, model ini dipilih berdasarkan kesesuaiannya dengan pembangunan
modul lukisan ortografik ini. Model ini merupakan salah satu daripada model reka bentuk
pembelajaran yang berorientasikan produk. Menurut Afandi dan Badarudin (2011), model
yang berorientasikan produk adalah model rekabentuk pembelajaran utuk menghasilkan suatu
produk, dimana kebiasaannya untuk menghasilkan media pembelajaran. Model reka bentuk
pembelajaran yang berorientasikan produk ini terdiri daripada tiga fasa utama iaitu fasa analisis
keperluan (need assessment), fasa rekabentuk (design phase), dan fasa pengembangan dan
implementasi (develop/implement). Penilaian dan pengulangan akan dijalankan pada setiap
peringkat sepanjang proses pembangunan modul ini dilakukan. Penilaian yang dilakukan
adalah penilaian kepada penyelia projek, kemudian setelah modul berjaya dibangunkan,
penilaian daripada pakar pula akan dilakukan untuk pengesahan isi kandungan modul.

FASA 1: FASA 3:
FASA 2:
ANALISIS PEMBANGUNAN /
REKABENTUK
KEPERLUAN IMPLEMENTASI

PENILAIAN DAN PENAMBAHBAIKAN


MULA

Rajah 1: Aliran Kerja Berdasarkan Model Hannafin Dan Peck


METODOLOGI KAJIAN

PENGENALAN

Metodologi kajian meliputi cara dan kaedah sesuatu kajian itu memperoleh maklumat bagi
mencapai sesuatu matlamat kajian yang ditetapkan. Metodologi kajian merupakan bahagian
yang terpenting. Tujuan utama metodologi kajian adalah untuk membantu untuk memahami
dengan lebih jelas dan terperinci mengenai pengaplikasian kaedah dengan membuat huraian
setiap fasa sepanjang proses kajian dijalankan. Justeru itu, metodologi kajian dapat memberi
bayangan dan panduan mengenai perjalanan proses melaksanakan penyelidikan kepada
penyelidik. Dengan adanya bab 3 ini, pengkaji akan dapat menjalankan kajian bagi
pembangunan modul dengan lebih teratur dan sistematik mengikut langkah-langkah yang telah
dirancang. Bahagian ini merangkumi huraian tentang kerangka konseptual dan reka bentuk
kajian selaras dengan persoalan kajian ini. Penjelasan tentang reka bentuk kajian meliputi
persampelan kajian, kaedah pengumpulan data dan penganalisisan data untuk menunjukkan
pendekatan yang digunakan oleh penyelidik dalam menjalankan kajian.

REKA BENTUK KAJIAN

Reka bentuk dalam sesuatu kajian merujuk kepada perancangan yang disediakan untuk
menjalankannya (Bogdan & Biklen, 1998; Yin, 1994). Bagi kajian ini, reka bentuk kajian
adalah reka bentuk pembangunan produk dimana produk yang dibangunkan adalah sebuah
Modul Asas Grafik Kejuruteraan bagi Topik Lukisan Ortografik dengan Menggunakan
Pendekatan Induktif. Perancangan penting kerana akan dijadikan sebagai panduan dalam
melakukan penyelidikannya. Pelaksanaan sesuatu perancangan penyelidikan akan melibatkan
aktiviti pemilihan kaedah kajian, persampelan, pengumpulan data, menganalisis dan menulis
laporan kajian. Pembangunan modul memerlukan pengesahan daripada pakar. Kesahan
daripada pakar perlu kerana isi kandungan dan rekabentuk modul perlu dinilaikan
kesesuaiannya untuk dijadikan panduan dan rujukan kepada para pengajar dan pelajar bagi
subjek Asas Grafik Kejuruteraan. Pengesahan pakar akan dilakukan oleh individu yang dipilih
berdasarkan kriteria-kriteria tertentu yang bersesuaian dengan kajian yang dijalankan. Bagi
mendapatkan data mengenai pengesahan pakar tentang kesesuaian isi kandungan dan reka
bentuk modul, pengkaji telah memilih kaedah kajian secara kuantitatif dengan menggunakan
borang soal selidik.

SAMPEL KAJIAN

Dalam kajian ini, sampel kajian yang terlibat adalah pakar untuk melakukan kesahan terhadap
modul yang dibangunkan, dimana pengkaji telah memilih sampel kajian yang terdiri daripada
pakar yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan supaya bersesuaian dengan topik
kajian. Pemilihan sampel yang bersesuaian sangat penting kerana penilaian keberhasilan
sesuatu produk yang dibangunkan dapat dilakukan dengan baik dan berkualiti. Dalam kajian
pembangunan modul ini, pengkaji membuat keputusan untuk melakukan pengesahan dan
penilaian daripada pakar sebanyak tiga orang pakar. Setelah mengenalpasti sampel yang
berpotensi untuk melakukan pengesahan modul yang akan dibangunkan, sampel dimaklumkan
mengenai maklumat yang berkaitan dengan pembangunan modul seperti tujuan pembangunan
modul, objektif, skop modul dan lain-lain yang diberikan menerusi emel, surat dan panggilan
telefon kepada sampel yang telah dipilih supaya mereka akan lebih jelas dan faham akan tujuan
perlunya kesahan modul untuk dilakukan. Sampel kajian terdiri daripada tiga orang pensyarah
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, UTHM. Pemilihan sampel kajian ini adalah
berdasarkan kepakaran dan pengalaman mereka yang luas di dalam bidang grafik kejuruteraan.

INSTRUMEN KAJIAN

Dalam kajian ini, instrumen kajian yang digunakan adalah borang soal selidik penilaian pakar.
Item-item di dalam soal selidik dibangunkan dan dibina berkaitan dengan penilaian terhadap
kesesuaian isi kandungan dan rekabentuk modul yang digunakan sebagai rujukan dan panduan
kepada pensyarah dan pelajar di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional yang mengajar
dan mengambil subjek Asas Grafik Kejuruteraan.

BORANG SOAL SELIDIK

Kajian yang dijalankan adalah jenis kajian tinjauan yang berbentuk kuantitatif iaitu melalui
borang soal selidik yang berkesan dan mudah untuk mendapatkan maklumat dari responden.
Dengan menggunakan soal selidik, respons adalah lebih mudah untuk diperoleh dan responden
juga tahu apa yang perlu difikirkan untuk menjawab soal selidik (Tuckmen, 1978). Soal selidik
yang dijalankan adalah untuk mendapatkan respon dan maklumat daripada responden. Borang
soal selidik penilaian pakar yang dibangunkan oleh pengkaji untuk tujuan kesahan modul yang
dibangunkan perlu melalui proses semakan terlebih dahulu daripada individu yang dipilih.
Pengkaji membuat keputusan untuk memilih melakukan semakan borang soal selidik penilaian
pakar dilakukan oleh tiga individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang pengukuran dan
penilaian dimana individu-individu tersebut merupakan pensyarah di Fakulti Pendidikan
Teknikal dan Vokasional, UTHM. Setelah borang soal selidik disemak dan disahkan, ia
kemudiannya diedarkan kepada pakar bagi tujuan penilaian dan pengesahan terhadap modul
yang telah dibangunkan.
Instrumen yang dirangka adalah terbahagi kepada tiga, iaitu bahagian A, B dan C. Bahagian
A adalah instrumen yang berkaitan dengan diri responden atau makna lain demografi
responden. Pakar atau responden hanyalah perlu menandakan di dalam ruangan yang
disediakan. Tujuan pembinaan item sebegini adalah bertujuan untuk memastikan responden
memberi maklumat dengan lebih tepat kerana jawapan yang mereka berikan adalah rahsia.
Manakala bahagian B dan bahagian C ialah soalan-soalan yang perlu dijawab oleh responden.
Pembinaan item adalah berdasarkan kepada objektif kajian. Semua pembinaan soalan adalah
diselaraskan penggunaan jawapan. Ini memudahkan responden memberi respon berdasarkan
penilaian mereka dengan menggunakan skala Likert.
Borang kaji selidik yang akan dibangunkan oleh pengkaji yang akan dijawab oleh pakar
penilai mengandungi tiga bahagian iaitu :
1. Bahagian A: Demografi responden.
2. Bahagian B: Penilaian kesahan kandungan modul.
3. Bahagian C: Penilaian kesahan reka bentuk modul.

Jadual 1: Skor Skala Likert

Maklum Balas Skala Likert


Sangat tidak setuju 1
Tidak setuju 2
Setuju 3
Sangat setuju 4
KAEDAH PENGUMPULAN DATA

Dalam kajian ini, pengkaji akan menggunakan kaedah kualitatif dan juga kuantitatif bagi proses
pengumpulan data dimana melibatkan tiga fasa. Dalam data kualitatif, data-data mengenai
pelbagai sumber rujukan melalui pensyarah serta buku-buku dari perpustakaan dan rujukan
dari nota-nota. Bagi data kuantitatif pula, data diperoleh daripada proses membuat kesahan
daripada pakar mengenai kesesuaian modul untuk digunakan di dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Fasa satu kajian ini adalah fasa analisis kajian dan data yang diperolehi dalam
bentuk data kualitatif dan untuk fasa dua iaitu fasa reka bentuk kajian, pembangunan modul
dan perlaksanaan modul dimana data yang diperolehi adalah berbentuk kualitatif, manakala
bagi fasa tiga iaitu fasa pengesahan pakar iaitu data diperolehi ialah berbentuk kuantitatif hasil
dapatan daripada borang penilaian pakar yang dibangunkan.
Bagi fasa pembangunan modul, data-data yang diperoleh adalah dalam bentuk kualitatif
iaitu data-data diperolehi seperti sumber-sumber rujukan daripada pensyarah yang mempunyai
kepakaran dalam bidang Grafik Kejuruteraan khususnya Lukisan Ortografik sebagai sumber
utama untuk diletakkan di dalam isi kandungan modul bagi membangunkan modul pengajaran
dan pembelajaran Grafik Kejuruteraan bagi Topik Lukisan Ortografik.
Kemudian, untuk fasa ketiga iaitu fasa penilaian modul data yang diperolehi adalah
data yang berbentuk kuantitatif dimana pengkaji memilih tiga orang panel pakar penilai
daripada kalangan pensyarah untuk melakukan pengesahan isi kandungan modul dan
kesesuaian modul untuk digunakan. Ketiga-tiga panel pakar dipilih berdasarkan kepakaran dan
pengalaman yang luas dalam bidang Grafik Kejuruteraan dan mereka merupakan tenaga
pengajar bagi subjek Asas Grafik Kejuruteraan di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional,
FPTV.

ANALISIS DATA

Kaedah analisis data yang digunakan dalam kajian ini adalah kaedah tinjau selidik yang akan
dianalisis secara kuantitatif berdasarkan pengiraan yang akan dibuat. Analisis data akan
dilakukan dengan menggunakan kaedah rumusan penilaian mengikut aras persetujuan
berdasarkan Jadual Penentu Tahap yang dikeluarkan oleh Mohamad Najib (2003) bagi
mendapatkan peratusan persetujuan pakar bagi kesahan kandungan setelah borang pengesahan
pakar diperolehi daripada responden kajian iaitu pakar penilai.
Hasil daripada keputusan analisis data, pengkaji akan dapat melihat sekiranya modul
yang dibangunkan sudah mencapai objektif dan dapat menjawab persoalan kajian atau tidak.
Aras persetujuan adalah seperti yang dinyatakan di dalam jadual 3.2.

Jadual 3.2 : Jadual Penentu Tahap (Mohamad Najib, 2003)

Penilaian Peratusan (%)


Tinggi 71 – 100
Sederhana 41 – 70
Rendah 0 – 40
KERANGKA PROSES MEREKA BENTUK MODUL PENGAJARAN BERDASARKAN
MODEL ADDIE

Berdasarkan rajah 2 di bawah, pengkaji menerangkan bagaimana proses bagi mereka bentuk
modul asas Grafik Kejuruteraan bagi topik Lukisan Ortografik berdasarkan teori Hannafin dan
Peck dan ianya jelas menunjukkan bahawa model Hannafin dan Peck merangka proses
menyeluruh mengenai aktiviti reka bentuk pengajaran dan ia menjadi kelebihan kepada model
Hannafin dan Peck berbanding dengan model-model yang lain.

MULA

Kajian Tinjauan

FASA 1
Analisis Input
(Analisis

PENILAIAN DAN PENAMBAHBAIKKAN


Keperluan)

Analisis Pengguna

FASA 2
Reka bentuk Ciri-ciri Modul (Reka
Bentuk)

Dokumentasi Produk
FASA 3
(Pembangunan/
Implementasi)
Penilaian dan Pengesahan Pakar

TAMAT

Rajah 2: Kerangka Pembangunan Modul Mengikut Model ADDIE


DAPATAN KAJIAN

Bagi mendapatkan kesahan mengenai kesesuaian isi kandungan dan rekabentuk modul asas
grafik kejuruteraan bagi topik lukisan ortografik, pengkaji telah menggunakan borang
penilaian pakar. Sampel kajian yang terlibat terdiri daripada tiga individu, iaitu terdiri daripada
pensyarah di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional. Kesemua sampel yang dipilih telah
memberikan kerjasama yang sangat baik dengan menjawab soal selidik yang diberikan.
Di dalam kajian ini, pengkaji telah membahagikan dapatan analisis penilaian dan
pengesahan daripada sampel kajian ini kepada tiga bahagian utama, iaitu:
i. Maklumat demografi sampel kajian yang terlibat di dalam memberi penilaian dan
pengesahan modul.
ii. Menilai kesahan isi kandungan Modul Lukisan Ortografik.
iii. Menilai kesahan reka bentuk Modul Lukisan Ortografik.

Bahagian A: Maklumat Demografi

Aspek Sampel 1 Sampel 2 Sampel 3


Jantina Lelaki Perempuan Perempuan
Bidang kepakaran - Lukisan - Binaan Bangunan - Lukisan
Kejuruteraan Kejuruteraan
- Binaan Bangunan - Binaan Bangunan
- Paip - Pedagogi
Pengalaman kerja 9 tahun dan ke atas 9 tahun dan ke atas 7 – 9 tahun

Bahagian B: Analisis Menilai Kesesuaian Isi Kandungan Modul

Analisis pada bahagian ini adalah bertujuan untuk melihat kesesuaian isi kandungan modul
yang dibangunkan oleh pengkaji. Setiap item yang terdapat pada bahagian B ini dianalisis
menggunakan min peratusan (%). Jadual 5 memperlihatkan min peratusan persetujuan
responden terhadap kandungan modul yang dibangunkan. Setelah dianalisis, dapat dinyatakan
bahawa responden bersetuju isi kandungan modul asas grafik kejuruteraan bagi topik lukisan
ortografik ini adalah bersesuaian.

Jadual 5: Peratusan Persetujuan Responden Terhadap Kandungan Modul

No. Item Bilangan Skor Min Peratusan (%) Penilaian

1 9 75.0 Tinggi

2 9 75.0 Tinggi

3 10 83.3 Tinggi

4 9 75.0 Tinggi

5 9 75.0 Tinggi
Bahagian C: Analisis Menilai Kesahan Rekabentuk Modul

Analisis pada bahagian ini pula adalah bertujuan untuk melihat min peratusan persetujuan
responden memberikan maklum balas terhadap rekabentuk modul yang dibangunkan oleh
pengkaji. Melalui Jadual 6 dapat dilihat bahawa responden memberikan maklum balas mereka
yang positif terhadap reka bentuk modul dan menyatakan bahawa reka bentuk modul yang
dibangunkan adalah sesuai dan menarik.

Jadual 6: Min Peratusan Persetujuan Responden Terhadap Rekabentuk Modul

No. Item Bilangan Skor Min Peratusan (%) Penilaian

1 8 66.7 Sederhana

2 10 83.3 Tinggi

3 9 75.0 Tinggi

4 10 83.3 Tinggi

5 9 75.0 Tinggi

6 8 66.7 Sederhana

7 11 91.7 Tinggi

8 8 66.7 Sederhana

9 9 75.0 Tinggi

10 9 75.0 Tinggi

PERBINCANGAN

Bahagian ini membincangkan hasil kajian yang dianalisis daripada bab yang sebelumnya.
Perkara yang dibincangkan merangkumi objektif dan persoalan kajian yang telah dibuat. Pada
akhir bab ini, beberapa cadangan penambahbaikan bagi meningkatkan lagi kualiti produk
dikemukakan pada bahagian perbincangan dan kesimpulan.

Pembangunan Modul

Berdasarkan kepada objektif pertama yang dinyatakan di dalam bab satu iaitu membangunkan
sebuah modul pengajaran dan pembelajaran Asas Grafik Kejuruteraan bagi topik Lukisan
Ortografik dengan menggunakan pendekatan induktif, telah terlaksana dengan jayanya. Hasil
dapatan kajian jelas menunjukkan bahawa pembangunan modul Lukisan Ortografik ini
mengikut strategi dan kaedah yang sesuai untuk menyusun maklumat, pendekatan, aktiviti dan
latihan-latihan bagi mencapai objektif satu. Hasil penilaian mendapati modul pengajaran dan
pembelajaran yang dibangunkan mempunyai elemen-elemen yang dapat menarik minat
pengguna. Elemen-elemen ini merupakan satu keperluan yang penting dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, objektif kedua iaitu mengenalpasti kesesuaian isi
kandungan dan reka bentuk modul pengajaran dan pembelajaran ini juga telah tercapai.
Analisis data menunjukkan responden bersetuju dengan elemen-elemen yang terdapat di dalam
modul ini. Ini dapat dibuktikan di mana skor min keseluruhan tahap persetujuan bagi aspek
kesesuaian isi kandungan dan reka bentuk modul berada pada tahap tinggi iaitu 76.7 % dan
75.8 %.
Keputusan ini menepati ciri-ciri modul yang dinyatakan oleh Winkel (2009), modul
pembelajaran adalah pembelajaran secara kendiri, dimana pelajar mampu untuk belajar dengan
sendiri tanpa perlu bergantung pada pihak lain dan juga isi kandungan yang mandiri, dimana
keseluruhan kandungan pembelajaran yang terdapat di dalam satu unit topik yang dipelajari
terdapat didalam satu modul yang lengkap. Pembangunan modul ini telah dijelaskan dalam
bab-bab sebelum ini dimana merangkumi komponen-komponen, kriteria-kriteria dan lain-lain
keperluan untuk pembelajaran. Setelah pengkaji berjaya membangunkan modul asas grafik
kejuruteraan bagi topik lukisan ortografik, borang pengesahan penilaian modul telah diedarkan
untuk dijadikan sebagai bukti yang mengesahkan bahawa penghasilan modul ini adalah
berpandukan garis panduan dan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan sebelum ini. Oleh yang
demikian, objektif utama pengkaji dalam kajian ini iaitu untuk membangunkan modul asas
grafik kejuruteraan bagi topik lukisan ortografik dengan menggunakan pendekatan induktif
berjaya mencapai objektif tersebut dan juga menjawab persoalan kajian ini.
Daripada dapatan kajian, ternyata bahawa modul pengajaran dan pembelajaran ini
boleh digunakan oleh pensyarah sebagai bahan rujukan tambahan bagi subjek Grafik
Kejuruteraan untuk topik Lukisan Ortografik. Merujuk kepada jadual tahap peratusan aras
penilaian pakar bagi item aspek kandungan dan reka bentuk modul menunjukkan status
kesesuaian modul pada tahap berada pada tahap yang amat sesuai untuk digunakan. Hasil
keputusan yang diperolehi daripada penilaian yang dilakukan telah menjawab persoalan kajian
yang kedua iaitu “adakah isi kandungan dan reka bentuk modul pengajaran dan pembelajaran
bagi topik Lukisan Ortografik ini mempunyai kesesuaian untuk digunakan sebagai ABBM
dalam subjek asas Grafik Kejuruteraan?”.
Walaupun berada pada tahap peratusan persetujuan tertinggi, namun modul ini masih
belum sempurna dan boleh diperbaiki supaya lebih berkesan dan isi kandungan yang lebih
tersusun. Dalam menghasilkan modul pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, ia
memerlukan penguasaan kandungan lukisan ortografik yang baik dan juga kemahiran
penggunaan perisian AutoCad yang tinggi. Tetapi tidak dinafikan bahawa pasti ada kekurangan
yang tidak dapat dielakkan di dalam penghasilan modul ini kerana manusia tiada yang
sempurna dan sering melakukan kesilapan.

Isi Kandungan Modul

Berdasarkan analisis kajian yang diperolehi, pengkaji mendapati responden bersetuju


bahawa modul pengajaran dan pembelajaran yang dibangunkan oleh pengkaji mengandungi isi
kandungan yang sesuai dengan topik dan maklumat yang disampaikan di dalam modul juga
tepat. Ini dapat dibuktikan dengan sebanyak 75.0 % responden bersetuju dengan item yang
menyatakan modul yang dibangunkan mempunyai isi kandungan yang sesuai dengan topik
serta maklumat yang disampaikan tepat. Ketepatan maklumat di dalam sesuatu modul penting
kerana maklumat yang dinyatakan di dalam modul akan diaplikasikan oleh pengguna sekaligus
boleh mendatangkan kesulitan jika maklumat yang disampaikan tidak tepat. Selain itu, isi
kandungan sesuatu modul juga perlu sesuai dengan topik yang hendak diajar adalah kerana
untuk memudahkan pelajar memahami maklumat yang hendak disampaikan tanpa berlaku
kecelaruan maklumat berlainan topik. Di atas persetujuan ini, maka objektif kedua kajian telah
tercapai kerana kesesuaian isi kandungan modul mendapat persetujuan yang tinggi daripada
responden.
Menurut Alsagoff (1986), sesebuah modul perlu mengandungi isi kandungan yang
serba lengkap selain arahan-arahan yang jelas dimana ia dapat menerangkan konsep,
kemahiran dan sebagainya. Isi kandungan di dalam modul haruslah saling berkait dan dapat
menerangkan segala keterangan yang perlu. Ia merupakan antara kriteria yang penting dalam
pembinaan sesuatu modul. Modul juga harus mengandungi latihan-latihan yang dapat menguji
pengetahuan dari segi konsep, kemahiran dan sebagainya. Modul yang baik perlu mempunyai
beberapa aspek penting seperti objektif pembelajaran, bahasa yang digunakan, contoh-contoh
serta soalan pengukuhan bagi setiap unit.
Dapatan daripada kajian juga menyatakan sebanyak masing 75 % bagi item yang
menilai persetujuan bagi pendekatan induktif yang diterapkan di dalam pembangunan modul
ini. Responden bersetuju bahawa pendekatan induktif yang digunakan sesuai dengan topik
yang diajar selain dapat membantu pelajar untuk lebih mudah memahami isi kandungan yang
disampaikan di dalam modul. Modul yang dibangunkan ini mengemukakan contoh dan latihan
yang khusus kepada pengguna kemudian pengguna akan berfikir seterusnya akan membuat
generalisasi atau kesimpulan umum yang berkaitan dengan contoh dan latihan tersebut. Perkara
ini dapat membimbing pengguna untuk memerhati, mengkaji, mengenal pasti prinsip atau fakta
penting yang terkandung dalam setiap contoh dan latihan itu. Dengan cara ini, pengguna akan
mudah untuk ingat dan faham dengan isi kandungan yang disampaikan kerana dengan
membuat teori atau kesimpulan umum tersebut pengguna mudah mengingati dan
mengaplikasikannya.
Hasil gabungan aspek-aspek penting ini maka terhasil sebuah modul yang
mengandungi isi kandungan yang dapat membantu pensyarah dan pelajar dalam memudahkan
proses pengajaran dan pembelajaran. Isi kandungan ini telah menerangkan segala penjelasan
yang berkaitan. Kesemua penjelasan ini diterangkan semata-mata untuk mencapai objektif
yang telah dinyatakan di dalam bab 1 iaitu kesesuaian isi kandungan modul untuk digunakan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Reka Bentuk Modul

Modul dibangunkan berpandukan reka bentuk yang sangat memenuhi kehendak pengguna.
Modul ini menggunakan kertas bersaiz A4 dengan berat 80 gsm. Reka bentuk fizikal modul ini
adalah penting kerana dapat memudahkan pengguna untuk menggunakannya selain dapat
dibawa kemana sahaja. Berdasarkan dapatan daripada analisis kajian, didapati peratusan
persetujuan responden adalah 83.3 % membuktikan responden sangat bersetuju dengan saiz
tulisan yang digunakan manakala 75 % reponden bersetuju bahawa jenis tulisan yang dipilih
menarik, 66.7 % responden bersetuju dengan penggunaan warna tema yang menarik dan 83.3
% responden bersetuju bahawa maklumat yang disusun di dalam modul dapat menarik minat
pelajar untuk membaca. Hal ini kerana modul yang mempunyai saiz tulisan yang sesuai, jenis
tulisan yang menarik, penggunaan warna tema yang sesuai dan susunan maklumat yang kreatif
dapat menarik minat pengguna untuk menggunakan modul dan juga dapat merangsang minda
pelajar untuk mudah mengingati sesuatu input yang diberikan.
Hasil dapatan kajian juga ada mengatakan 75.0 % responden bersetuju bahawa format
yang digunakan kemas dan teratur. Menurut Kamdi Kamil (1990), untuk menghasilkan modul
yang berkualiti perlu berpandukan prinsip-prinsip yang ditetapkan iaitu isi kandungan yang
dinyatakan perlu disusun dengan kreatif, mudah untuk difahami dan dapat mewujudkan
pembelajaran yang aktif. Selain itu, modul yang tersusun kemas tanpa format yang terlampau
padat memudahkan pengguna untuk mencari maklumat yang diperlukan semasa aktiviti
pembelajaran. Selain itu, sebanyak 66.7 % responden bersetuju dimana gambar yang
digunakan di dalam modul jelas dan sebanyak 91.7 % responden bersetuju bahawa perkadaran
antara saiz tulisan dan saiz gambar juga bersesuaian. Hal ini kerana ia dapat memberikan
pengguna keselesaan ketika membaca disebabkan gambar yang digunakan jelas dan
perkadaran antara saiz tulisan dan saiz gambar bersesuaian antara satu sama lain. Di samping
itu, kesalahan ejaan di dalam modul hanya sedikit dan dapat dibuktikan dengan 75 % responden
bersetuju dengan pernyataan tersebut. Dalam proses penghasilan modul yang berkualiti,
kesalahan ejaan perlu diminimakan sebaik mungkin supaya dapat mengelakkan dari masalah
pemahaman input yang hendak disampaikan kepada pengguna.
Kesemua penjelasan ini diterangkan semata-mata untuk mencapai objektif yang telah
dinyatakan di dalam bab 1 iaitu kesesuaian reka bentuk modul untuk digunakan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran.

KESIMPULAN

Dengan adanya usaha pembangunan modul pengajaran dan pembelajaran Lukisan Ortografik
ini, maka sumber bagi bahan bantu mengajar dapat dipelbagaikan. Bagi kajian akan datang,
terdapat beberapa cadangan yang boleh diketengahkan untuk meningkatkan lagi mutu dan
kualiti modul pengajaran dan pembelajaran ini. Hasil daripada pembangunan modul ini,
diharapkan para pengguna dapat menggunakannya untuk memudahkan proses pembelajaran
serta membantu dalam meningkatkan pemahaman terhadap perkara yang dipelajari. Tidak
dinafikan dalam proses mereka bentuk sesuatu modul merupakan usaha yang mencabar dan
memakan masa yang lama namun banyak kelebihan yang diperolehi selain dapat menarik
minat pengguna untuk menjadikan modul ini sebagai salah satu bahan rujukan tambahan bagi
proses pembelajaran khususnya bagi subjek grafik kejuruteraan bagi topik lukisan ortografik.
Diharap kajian yang dilakukan ini dapat sedikit sebanyak menyumbang dan membantu
pensyarah dan pelajar dalam mencari rujukan tambahan dalam proses pembelajaran. Pengkaji
juga berharap segala maklumat dan input yang dikemukakan dapat membantu pensyarah dan
pelajar dalam memahami subjek Grafik Kejuruteraan terutamanya bagi topik Lukisan
Ortografik ini. Secara keseluruhannya, Projek Sarjana Muda ini telah mencapai objektif kajian
yang telah ditetapkan.

CADANGAN

Setelah selesai menganalisis dapatan kajian, modul yang dibangunkan mendapat tanggapan
yang positif dan memberangsangkan. Walaubagaimanapun, disebabkan ini merupakan
pengalaman pertama pengkaji membangunkan modul maka wujud ralat-ralat kecil yang masih
boleh diperbaiki untuk meningkatkan lagi mutu dan kualiti modul. Maka beberapa cadangan
yang diperolehi daripada sampel kajian boleh digunapakai dalam proses penambahbaikkan
kelak. Antaranya ialah:
i. Memperbanyakkan lagi soalan latihan dari pelbagai aras kesukaran bagi setiap unit.
ii. Menunjukkan dengan lebih terperinci langkah-langkah untuk melukis Lukisan
Ortografik menggunakan unjuran sudut yang tertentu.
iii. Format skema jawapan perlu dimurnikan lagi.
RUJUKAN

Mok Soon Sang (2001). Psikologi Pendidikan Untuk Diploma Perguruan Semester 1. Selangor
: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Kamarudin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz. 2004.Pedagogi Asas Pendidikan Kuala
Lumpur: Kayazano Enterprise.
Hilda Taba. 1962. Curriculum Development: Theory and Practice.
Ruhaizan M.Yasin etc.al (2012). Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Mata Pelajaran
Lukisan Kejuruteraan Di Sekolah Menengah. Asia Pacific Jurnal of Educators and
Education, Vol. 27, 23-36, 2012.
Nordin & Yap (1994). Keberkesanan Animasi Grafik Dalam Kalangan Pelajar Berbeza Gaya
Icognitif Dan Kebolehan Visualisasi Spatial Di Politeknik. Johor, Universiti Teknologi
Malaysia.
Isnamawi et.al (1999). Tinjauan Kritikal Kepentingan Modul Pembelajaran Kepada Pelajar-
Pelajar ITTHO. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Tesis Sarjana Pendidikan.
Hirst, P. and Hindess, B. Pre-Capitalist Modes of Production. London: Routledge & Kegan
Paul, 1975.
Purwanto. 2002. Penalaran Induktif dan Deduktif. [Online]. Tersedia:
http://ssantoso.blogspot.com/2008/08/penalaran-induktif-dan-deduktifmateri. html [24
september 2009]
Baxter, Hughes, Tight (2003). How To Research Second Edition. Open University Press.
Buckingham
Sulaiman Masri (2005). Kaedah Penyelidikan Dan Panduan Penulisan. Kuala Lumpur: Utusan
Publications And Distributors.
Abdullah. A (2009). Kepelbagaian Gaya Pembelajaran Dan Budaya. Petaling Jaya : Fajar Bakti
Sdn. Bhd.
Major, F.T. (2006). The Squencing of Content Inductive and Deductive Approach. Inductive-
Deductive Approach.
Winkel. (2009). Psikologi Pengajaran. Yogyakarta: Media Abadi.
Anwar, Ilham. (2010). Pengembangan Bahan Ajar. Bahan Kuliah Online. Direktori UPI.
Bandung.
Afandi, Muhammad dan Badarudin. (2011). Perencanaan Pembelajaran. Bandung: Alfabeta
Sagala, Syaiful. (2010). Konsep dan Makna Pembelajaran. Alfabeta: Bandung.
Sanjaya, Winna. 2008. Strategi Pembelajaran Berorientasi Standar Proses Pendidikan. Jakarta:
Kencana Prenada Media Group.
Ahmad Johari Sihes. (2011). Konsep Pembelajaran. Universiti Teknologi Malaysia.
Mok Soon Sang. (2000). Nota dan Latihan Ilmu Pendidikan: Pendidikan di Malaysia dan
Psikologi Pendidikan 1. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Nasser Nooh.
Noriati A.Rashid. Boon Poon Ying. Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2009).Murid dan Alam
Belajar. Oxford Fajar. Selangor
Abdul Jalil Othman, dan Bahtiar Omar, (2005). Aplikasi Pembelajaran Secarakonstruktivisme
dalam Pengajaran Karangan-berpandu [Application of constructivism in learning and
teaching guided composition]. Masalah Pendidikan, 28 . pp. 221-232.
Baharuddin Aris, Mohammad Bilal Ali, Jamalludin Harun dan Zaidatun Tasir. (2001). Sistem
Komputer & Aplikasinya. Kuala Lumpur : Venton Publishing.
Sharifah Alwiah Alsagoff. (1986). Psikologi Pembelajaran dan Kognitif, Bimbingan dan
Kaunseling. Petaling Jaya : Heinemann (Malaysia) Sdn. Bhd.
Kamdi Kamil (1990). Potensi Modul Sebagai Bahan Pengajaran Kendiri Dalam Mata Pelajaran
Alam dan Manusia. Jurnal Pendidikan Guru. Bil. 6:14-34

You might also like