You are on page 1of 9

BAB 3

METADOLOGI KAJIAN

3.1 Pengenalan

Bab ini menunjukkan kajian yang akan dijalankan yang bertujuan untuk menilai tahap
keberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran koperatif ke atas prestasi dan sikap para pelajar
terhadap mata pelajaran Sains. Selain itu, dapatan kajian ini juga akan digunakan bagi menyokong
atau menolak pendapat tentang kaedah pengajaran koperatif lebih berkesan digunakan untuk
meningkatkan pencapaian dan sikap pelajar. Oleh yang demikian, bab ini menjelaskan reka bentuk
kajian, populasi dan sampel kajian, instrumen kajian, soal selidik dan pengukuran kajian.

3.2 Rekabentuk Kajian

Kajian ini berbentuk quasi-eksperimen yang menggunakan reka bentuk kumpulan rawatan,
kumpulan kawalan, ujian pra dan ujian pos serta skor sikap terhadap kaedah pembelajaran secara
koperatif dan kaedah tradisional. Kajian ini dijalankan di mana dua kumpulan pelajar dipilih
mengikut kelas sedia ada. Kemudian pelajar ini akan diberi ujian pra. Selepas diberi ujian pra,
jawapan-jawapan yang dikumpul dan dianalisis. Hasil daripada ujian ini, akan digunakan oleh guru
untuk menyediakan rancangan pengajaran. Guru akan mengenalpasti kumpulan pelajar yang akan
menjalani pembelajaran menggunakan kaedah koperatif dan kumpulan yang mengikuti
pembelajaran secara tradisional.

Berdasarkan kepada analisa ujian pra yang dijalankan, pengkaji akan menyediakan
rancangan pengajaran yang berasaskan kepada kaedah koperatif bagi mengatasi masalah yang
telah dikenalpasti daripada ujian pra tadi. Kumpulan pelajar eksperimen tadi akan menjalani sesi
pembelajaran yang menggunakan kaedah koperatif sementara satu kumpulan pelajar lagi akan
menjalani pembelajaran secara tradisional.
Selepas suatu jangka masa pembelajaran satu ujian pos akan diberikan kepada kedua-dua
kumpulan pelajar tadi untuk melihat keberkesanan kaedah koperatif model Jigsaw terhadap
pencapaian Sains mereka dalam pembelajaran. Pembolehubah bersandar dalam kajian ini adalah
markah yang diperolehi di dalam ujian pra, ujian pos serta skor sikap terhadap kaedah
pembelajaran secara koperatif dan kaedah tradisional dalam mata pelajaran Sains. Manakala
pembolehubah tak bersandar pula ialah kaedah pembelajaran koperatif dan kaedah tradisional.

3.3 Populasi Dan Sampel Kajian

Sampel kajian ini akan melibatkan 40 orang pelajar-pelajar tingkatan satu dari Sekolah
Menengah Kebangsaan Lukut (Yamtuan Raden), Port Dickson, Negeri Sembilan yang akan dipilih
secara rawak melibatkan pelbagai aras pencapaian dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Satu
kumpulan terdiri daripada 20 orang pelajar dinamakan kumpulan rawatan manakala 20 orang
pelajar lagi diletakkan di dalam kumpulan kawalan. Kumpulan pelajar di dalam kumpulan rawatan
akan diajar menggunakan kaedah pembelajaran secara koperatif dan kumpulan kawalan pula akan
diajar menggunakan kaedah pembelajaran secara tradisional. Populasi kajian ialah pelajar-pelajar
Tingkatan 1 yang mengandungi kategori seperti berikut :-
 Bangsa
 Jantina, dan
 Latar belakang sosio ekonomi
Pengambilan hanya melibatkan satu kawasan populasi berkenaan adalah kerana kekangan berikut
:-
 Masa
 Kos

3.4 Instrumen Kajian


Instrumen kajian yang akan digunakan adalah terdiri daripada borang maklumat soal
selidik tentang minat pelajar, ujian pra dan ujian pos. Pengkaji akan menggunakan bahan-bahan
yang dinyatakan bagi mengkaji perbezaan prestasi dan minat yang wujud dalam diri pelajar bagi
kumpulan rawatan mahupun kumpulan kawalan, sebelum dan selepas kaedah pembelajaran
koperatif. Untuk pengetahuan, semua instrument ini telah diuji rintis sebelum dilaksana dan
ditadbirkan kepada atas sampel kajian. Ujian rintis ini dijalankan ke atas sekumpulan pelajar di
sekolah yang sama tetapi bukan ke atas sampel yang sama.

3.4.1 Borang Soal-Selidik

Borang soal selidik akan diwujudkan bagi menilai prestasi para pelajar terhadap kaedah
pembelajaran secara koperatif. Borang ini mengandungi 20 item yang diukur dengan
menggunakan skala Likert 5 mata. Ia akan diedarkan kepada pelajar yang melibatkan kumpulan
rawatan dan kumpulan kawalan sebelum sesi pengajaran dan pembelajaran. Borang soal selidik
tentang sikap pelajar terhadap mata pelajaran Sains dinilai dengan menggunakan skala Likert 5
mata iaitu :-

1. Sangat Tidak Setuju ( STS )


2. Tidak Setuju ( TS )
3. Tidak pasti ( TP )
4. Setuju (S)
5. Sangat Setuju ( SS )

3.4.2 Ujian Pra Dan Ujian Pos

Kertas ujian pra mengandungi 20 soalan. Ia akan diberikan kepada semua pelajar untuk
dijawab sebelum kaedah pembelajaran koperatif dijalankan. Kertas ujian pos juga mengandungi
20 soalan yang akan dijawab oleh semua pelajar setelah sesi pengajaran dan pembelajaran berlaku.

3.5 Prosedur Pengumpulan Data


Prosedur pengumpulan data akan dibuat mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu dengan memohon kebenaran daripada Kementerian
Pelajaran Malaysia. Seterusnya kebenaran dari Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan diikuti oleh
kebenaran dari pihak sekolah yang ingin dijalankan kajian iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan
Yam Tuan Raden Lukut Port Dickson. Pengkaji mengumpulkan borang soal selidik, jawapan ujian
pra dan jawapan ujian pos pada 2 Ogos 2010 . Hasil daripada kajian ini akan dibuat satu laporan
menggunakan data kualitatif dan data kuantitatif. Ini boleh dilihat dalam carta aliran prosedur
pengumpulan data dalam Rajah 3.5.1 .

Rajah 3.5.1 : Carta Aliran Prosedur Pengumpulan Data

Kementerian Pendidikan Malaysia

Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan

Pengetua Sekolah

Guru Pembimbing

Pelajar

3.6 Prosedur Analisis Data


Pengumpulan data akan dilakukan dengan mengumpul markah setiap pelajar dari
kumpulan kawalan dan juga kumpulan rawatan. Kemudian, dengan mencari nilai purata markah
setiap markah pelajar bagi membuat perbandingan keberkesanan antara kedua-dua kaedah
pengajaran. Untuk memudahkan proses analisis data yang akan dikumpulkan, setiap jawapan yang
dipilih dalam ujian akan diberi tahap kefahaman tertentu berdasarkan kepada purata markah yang
diperolehi. Jadual 3.1 di bawah menunjukkan purata markah (%) ujian untuk mengenalpasti
masalah pemahaman dan pengetahuan pelajar tentang isi kandungan mata pelajaran Sains yang
dipelajari.

Jadual 3.6.1 : Purata Markah (%)

Purata Markah (%) Tahap Kefahaman


0 – 29 Amat Rendah
30 – 39 Rendah
40 – 59 Sederhana
60 – 69 Tinggi
70 – 100 Amat Tinggi

Bagi menunjukkan persepsi pelajar terhadap kaedah pembelajaran secara eksperimen


pengkaji akan mentafsir data dalam bentuk peratusan dan min skor dalam soal selidik yang diberi.
Jika purata min skor agak tinggi, ia menunjukkan penerimaanyang baik dan sebaliknya jika purata
min skor yang rendah, ia menunjukkan penerimaan yang kurang baik.

Data yang akan dikutip dalam kajian ini diproses dengan menggunakan perisian SPSS.
Bagi menunjukkan data dianalisa, setiap jawapan akan diberikan skor tertentu. Dalam kajian ini
terdapat 20 item soalan yang dibina untuk mengenalpasti tahap kefahaman pelajar tentang tajuk
“Heat”. Jika pelajar menjawab betul kesemua soalan tersebut bermakna pelajar memahami isi
pengajaran dan pembelajaran. Jika sebahagian sahaja yang betul bermakna pelajar kurang
memahami isi pengajaran dan pembelajaran, dan sekiranya jawapan yang diberi itu salah maka
ketidakfahaman adalah serius. Setiap skor soalan akan ditukarkan kepada 100 markah. Skor yang
minimum adalah 0 dan maksimum adalah 100.
3.7 Sampel Kajian

Kajian ini akan dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan Yam Tuan Raden Lukut Port
Dickson . Pelajar Sains Tingkatan1 terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan jantina serta
berbeza latar belakang ekonomi dan sosial. Menurut guru Sains sekolah ini, pencapaian pelajar-
pelajar ini adalah baik. Walau bagaimanapun masih terdapat pelajar yang agak lemah.

Secara keseluruhannya, pelajar-pelajar di sekolah ini mempunyai latar belakang


pendidikan yang baik dari sekolah rendah lagi. Jadi tidaklah menjadi suatu masalah besar bagi
guru-guru di sini untuk mengajar di sini. Sebuah kelas akan dipilih untuk menjadi kumpulan
eksperimen dan kumpulan kawalan. Kumpulan yang dipilih ini adalah dari kumpulan yang
mempunyai pencapaian yang agak sama supaya setelah pembelajaran menggunakan kaedah
koperatif dijalankan nanti perbezaan pencapaian dapat dilihat.

3.8 Prosedur Kajian

Pengkaji akan menyediakan soal selidik tentang pandangan pelajar terhadap Sains, soal
selidik tentang pandangan pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran Sains, kertas ujian pos
dan ujian pra . Kajian rintis dijalankan ke atas soalan-soalan yang dibina. Kajian rintis ini bertujuan
untuk menyediakan item yang memudahkan pemahaman sampel kajian.

Analisis akan dilakukan bagi menilai pencapaian sebenar murid melalui pembelajaran
kaedah tradisional dalam kajian rintis. Daripada data yang akan diperolehi, pengkaji akan
menyediakan satu rancangan pengajaran yang difikirkan dapat mengatasi masalah yang wujud.

Pengkaji perlu berbincang terlebih dahulu bersama penyelia untuk mencari kesesuaian
rancangan serta menyediakan rancangan pengajaran yang sesuai. Pelajar akan diberi satu soal
selidik untuk mengetahui sikap mereka terhadap Sains. Seterusnya pengkaji akan menjalankan
pengajaran menggunakan kaedah koperatif ke atas kumpulan eksperimen sementara kumpulan
kawalan akan mengikuti pembelajaran secara biasa. Setelah selesai pembelajaran, kedua-dua
kumpulan akan diberikan ujian pos bagi mendapatkan hasil pembelajaran. Data yang didapati akan
menunjukkan keputusan di antara kedua-dua kumpulan. Seterusnya kumpulan eksperimen akan
diberikan borang soal selidik bagi mendapatkan persepsi pelajar terhadap penggunaan kaedah
koperatif dalam pembelajaran. Rajah di bawah menunjukkan prosedur bagi kajian ini.

Rajah 3.8.1 : Carta Aliran Prosedur Kajian

TINJAUAN AWAL

MERANCANG DAN MELAKSANAKAN


TINDAKAN

KUMPUL DATA

ANALISA DAN INTERPRETASI


DATA

REFLEKSI

3.9 Pemprosesan Data


Penganalisaan data kuantitatif dilakukan dengan menggunakan statistik deskriptif dan
inferens. Statistik deskriptif dilakukan dengan menentukan min, sisihan, piawai, frekuensi dan
peratusan untuk melihat masalah yang sering berlaku di kalangan pelajar serta membandingkan
ujian pra dan ujian pos antara kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan. Statistik inferens
digunakan untuk mengira nilai-t dalam menentukan hipotesis kajian.

Untuk menunjukkan persepsi pelajar terhadap kaedah yang digunakan, pengkaji akan
mentafsirkan datanya dalam bentuk peratusan dan min skor setiap item dalam soal selidik. Purata
min skor yang bagi setiap item akan menunjukkan penerimaan yang positif dan sebaliknya purata
min skor yang rendah menunjukkan penerimaan yang negatif.

3.10 Rumusan
Kajian ini dijalankan untuk mengkaji sejauh mana kesan penggunaan kaedah pembelajaran
koperatif (Jigsaw) mampu meningkatkan prestasi pencapaian pelajar. Kajian ini akan
menggunakan rekabentuk ‘quasi eksperimen’ melibatkan kumpulan sasaran yang terdiri daripada
kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Kedua-dua kumpulan ini akan menjalani ujian pra dan
juga ujian pos. Kumpulan eksperimen akan mengikuti pengajaran secara kaedah koperatif.
Selepas selesai pembelajaran, sampel kajian akan diminta mengambil ujian pos dan menjawab
soalan-soalan di dalam borang soal selidik.

Bagi kumpulan kawalan, mereka hanya mengikuti pembelajaran dengan kaedah


tradisional dan turut menduduki ujian pos yang sama. Data yang akan diperolehi, dianalisis melalui
statistik deskriptif dan inferens.

Dapatan daripada ujian pos yang akan diberikan selepas sesi pembelajaran di kelas ini
penting untuk menunjukkan sama ada berlakunya perbezaan prestasi pencapaian di kalangan
pelajar ini. Data yang akan diperolehi dianalisis melalui SPSS yang dapat menganalisis data
dengan lebih tepat. Oleh itu, keberkesanan kaedah pembelajaran koperatif kaedah Jigsaw akan
dapat dinilai dan diuji berbanding dengan kaedah biasa terhadap prestasi mata pelajaran Sains
tingkatan satu bagi tajuk “Heat”.

You might also like