You are on page 1of 2

REFLEKSI TENTANG KERJA KURSUS GKB 1053

Saya, Nurul Arifah Nabilah Binti Rosli pelajar PPISMP Semester 1 Sejarah mengucapkan
rasa syukur kerana saya telah berjaya menyiapkan tugasan kerja kursus GKB 1053 dengan
baiknya. Melalui tugasan yang diberi oleh pensyarah saya iaitu Dr Zalela Binti Abd Aziz dan
Puan Zuraidah Binti Baharin, saya telah mempelajari tentang banyak perkara sekali gus
menambahkan ilmu pengetahuan saya yang tidak saya pelajari di sekolah menengah. Tajuk
bagi tugasan kerja kursus saya ialah Menganalisis Dan Mensintesis Isi Kandungan Pelajaran
Daripada Alat Berfikir Yang Dibina Serta Huraikan Keberkesanan Penggunaan Alat Berfikir.

Pertama sekali, selepas menerima tugasan ini, persoalan pertama yang timbul dan muncul
dalam kotak minda saya ialah mampukah saya menyiapkan tugasan kerja kursus ini
memandangkan pada masa yang sama terdapat juga beberapa tugasan yang lain yang perlu
disiapkan dalam tempoh yang sama. Situasi ini sedikit sebanyak telah memberi tekanan dan
menguji daya tahan saya untuk melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan tersebut.
Walau bagaimanapun, saya tetap tidak pernah berputus asa dan cuba sedaya upaya untuk
menyiapkan tugasan yang diberikan dengan sebaiknya.

Seterusnya, saya berpendapat bahawa soalan tugasan yang diberikan tidaklah begitu
sukar memandangkan tajuk yang dibincangkan bukanlah suatu tajuk yang asing bagi saya. Hal
ini kerana kehidupan pada hari dengan kelengkapan teknologi moden memudahkan kita
mengakses bahan maklumat dari pelbagai sumber iaitu internet, buku-buku di pusat sumber,
dan sebagainya. Kemudahan internet yang disediakan oleh pihak institut juga sedikit sebanyak
memudahkan saya mencari bahan-bahan yang berkenaan tajuk tugasan di laman sesawang.
Bukan itu sahaja, ketika proses mencari bahan rujukan, saya juga mengalami masalah untuk
mencari buku-buku yang bersesuaian berkaitan dengan tajuk tugasan. Ini disebabkan oleh
buku-buku yang berkaitan dengan tajuk tugasan yang terdapat di pusat sumber adalah sangat
terhad .

Di samping itu juga, saya juga mempunyai kekangan dari segi masa ekoran jadual kuliah
yang padat menyebabkan saya sukar untuk ke perpustakaan. Seperti yang kita sedia maklum,
kita dikelilingi oleh pelbagai jenis maklumat sama ada dalam bentuk sumber primer atau
sumber sekunder. Namun begitu, kemahiran diperlukan untuk memproses bahan tersebut
dengan baik supaya ia dapat dimanfaatkan dan digunakan untuk tujuan yang berfaedah.
Bukanlah satu perkara yang mudah untuk saya mencari bahan maklumat di Internet kerana
terdapat banyak sumber maklumat dari bahasa asing, ketidakpastian dalam kesahihan sumber
serta penambahan unsur negatif dalam bahan maklumat tersebut. Bagi mengatasi kekangan
dan kesukaran yang telah saya nyatakan di atas, saya telah mengadakan perbincangan
bersama rakan-rakan sekelas dan pensyarah yang terlibat untuk membantu saya dalam
menyiapkan tugasan ini dengan sempurna.

Tambahan pula, saya juga dapat meningkatkan kemahiran saya dalam menganalisis
maklumat yang dikumpul. Dalam kemahiran menganalisis ini saya dapat menggunakan
kemahiran saya menggunakan pelbagai kaedah dalam menganalisis maklumat seperti jadual,
graf bar, carta pai, piktograf dan graf lengkung. Tugasan ini telah meningkatkan daya pemikiran
saya untuk menganalisis dan menilai sesuatu peristiwa mahupun perkara yang dibincangkan.
Saya juga sedar bahawa tugasan ini terkandung sub tajuk yang menerangkan kepada saya
tentang kaedah-kaedah mentafsir dan membuat kesimpulan dengan tepat. Dalam setiap sub
tajuk, berdasarkan pemerhatian saya, saya dapati terdapat pelbagai kemahiran boleh
diaplikasikan. Contohnya, kemahiran mentafsir maklumat, mentafsir teks, lakaran, peta, carta
alir, gambar rajah, foto serta membuat kesimpulan. Akhirnya, tugasan ini juga mendidik saya
mengetahui sendiri cara-cara menilai maklumat yang betul berdasarkan kaedah-kaedah yang
terperinci supaya maklumat-maklumat tersebut dapat dinilai dengan jelas dan sahih. Hasilnya,
saya akan dapat menghasilkan sebuah penulisan yang berkualiti bagi tugasan kerja kursus
yang seterusnya.

Selepas menyempurnakan tugasan ini, saya telah mendapati bahawa semangat kerjasama
merupakan suatu aspek yang penting yang perlu diamalkan. Hal ini kerana, melalui semangat
bekerjasama kita dapat berbincang dan seterusnya menghasilkan kerja kursus yang lebih
berkualiti. Selain itu, kemahiran yang tinggi terhadap penggunaan komputer juga merupakan
suatu perkara yang wajib kerana secara keseluruhannya tugasan ini perlu disiapkan dengan
menggunakan komputer. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan
kepada Dr Zalela Binti Abd Aziz dan Puan Zuraidah Binti Baharin atas kesudian mereka untuk
meluangkan masa memberi tunjuk ajar dan membimbing saya dalam menyempurnakan
tugasan ini. Selain itu, beliau juga mempunyai kesabaran yang tinggi untuk menerangkan
dengan jelas dan terperinci tentang tugasan ini dan akhirnya saya mampu menyempurnakan
tugasan yang diarah oleh beliau tepat pada masa yang telah ditetapkan

You might also like