You are on page 1of 5

Abstrak

Malaysia terkenal dengan kepelbagaian bangsa, agama dan budaya. Aspek tersebut menjadi
penyumbang kepada perkembangan pemakanan yang mempengaruhi perpaduan kaum di Malaysia.
Objektif utama kajian ini ialah mengenali dengan lebih mendalam makanan yang terkenal antara tiga
bangsa terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India selain mengetahui keunikan yang ada pada
setiap jenis makanan tersebut. Objektif lain yang turut dikaji adalah berkenaan pemahaman tahap
dan perpaduan kaum di Malaysia melalui makanan. Kajian ini menggunakan kaedah soal selidik
dalam kalangan masyarakat sekitar Melaka yang terdiri daripada pelbagai kaum. Seramai 30
responden telah dipilih untuk menyertai kajian ini dan berdasarkan maklumat yang diperolehi,
hubungan antara tahap perpaduan dan makanan bagi setiap kaum adalah memuaskan. Oleh itu,
makanan memainkan peranan yang penting dalam memupuk hubungan yang erat antara kaum
utama di Malaysia. Pendedahan mengenai makanan-makanan dari pelbagai jenis kaum di Malaysia
perlu dikaji dan diperkemas lagi supaya masyarakat di Malaysia mengetahui tentang makanan dan
tidak melupakan makanan-makanan tradisi masyarakat yang ada di Malaysia.

Kata Kunci: perpaduan kaum, makanan tradisi

1.0 PENGENALAN

Malaysia adalah sebuah negara yang aman dan damai dipenuhi oleh penduduk yang berbilang kaum.
Hari ini, kaum Melayu adalah kumpulan etnik terbesar di Malaysia iaitu merangkumi lebih 57 peratus
penduduk negara ini. Di Malaysia, jika merujuk kepada orang Melayu menunjukkan orang itu
beragama Islam dan mengamalkan kebudayaan Melayu, berbahasa Melayu dan berketurunan
Melayu. Pada asalnya mereka penganut Theravada Buddha dan Hindu pada kurun ke 1400-an, dan
dengan pengaruh Istana Melaka ketika itu mereka menganut Islam. Orang Melayu terkenal dengan
sifat peramah dan budaya seni mereka yang sangat kaya.
Penduduk Melayu, Cina, India dan pelbagai kaum etnik yang lain telah hidup bersama sejak
beberapa generasi yang lalu. Pelbagai budaya yang berbeza ini telah saling mempengaruhi antara
satu sama lain, menghasilkan gabungan budaya Malaysia yang unik. Jumlah kaum terbesar di
Malaysia adalah kaum Melayu, Cina dan India. Tiga kaum terbesar ini mempunyai pelbagai adat dan
budaya tersendiri dalam mengeratkan silaturrahim dan menguatkan perpaduan antara satu sama
lain. Negeri Sabah dan Sarawak juga mempunyai pelbagai kumpulan etnik peribumi, masing-masing
dengan budaya serta warisan yang unik dan tersendiri.

Dalam menyumbang kepada perpaduan kaum, terdapat banyak aspek yang mempengaruhinya
seperti cara pemakanan, sambutan perayaan, pemakaian tradisional dan pelbagai lagi. Dalam kajian
ini, kami telah memilih untuk mengkaji bagaimana tradisi makanan sesuatu kaum itu dalam
menyumbang ke arah perpaduan kaum. Seperti yang kita sedia maklum, setiap kaum di Malaysia ini
mempunyai sejarah tentang makanan tradisional kaum masing-masing. Pada hari ini, makanan
bukan penghalang untuk mengeratkan perpaduan sesama kaum. Roti canai, nasi lemak, lontong
bukan hanya di makan oleh kaum Melayu, tosei, capati dan roti nan bukan sahaja untuk kaum India,
yong tau fu bukan hanya dimakan oleh kaum Cina tetapi tanpa mengira bangsa dan kaum, makanan
ini dimakan oleh sesiapa sahaja, bukan mengira Melayu, Cina ataupun India. Jadi sememangnya,
pada hari ini, boleh dikatakan makanan tradisi kaum dapat mempengaruhi perpaduan di negara ini.

1.1 Latar Belakang Kajian

Dalam menjalankan kajian ini, lokasi kajian ialah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan
sekitar Melaka. Terdapat 30 orang responden yang telah diplih secara rawak yang terdiri daripada 20
orang pelajar UTeM dan 10 orang awam sekitar Melaka.

1.2 Objektif Kajian

Dalam menjalankan kajian ini, tiga objektif telah ditetapkan untuk dicapai. Pertama, mengenal pasti
makanan yang terkenal di antara tiga bangsa terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.
Kedua, mengetahui keunikan dan daya tarikan yang ada pada setiap jenis makanan tersebut dan
ketiga ialah membincangkan bagaimana keunikan makanan tradisi setiap kaum ini mampu untuk
membentuk perpaduan antara kaum.

1.3 Kepentingan Kajian

Kajian ini telah dijalankan atas dasar dapat mengenal pasti makanan tradisi tiga kaum terbesar di
Malaysia. Kajian ini juga dapat menunjukkan betapa makanan tradisi dapat membentuk perpaduan
kaum di Malaysia.

2.0 SOROTAN KAJIAN

“Bagai aur dengan tebing” merupakan peribahasa yang amat sinonim dengan kehidupan masyarakat
Malaysia. Walaupun penduduk Malaysia berbilang kaum namun semangat tolong-menolong sesama
masyarakat amat penting untuk melaksanakan sesuatu perkara. Bertitik tolak daripada sikap saling
menolong ini, akan lahirlah masyarakat yang bersatu padu. Perpaduan merupakan aset terpenting
Malaysia kerana tanpa perpaduan, tidak mungkin keharmonian dapat dinikmati ibarat “bersatu kita
teguh, bercerai kita roboh“.

Kajian terkini oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia mendapati masyarakat pada
hari ini tidak lagi menampilkan cirri-ciri perkauman yang kental dalam beberapa aspek kehidupan
mereka. Ini tentulah sesuatu petanda yang positif bagi masa depan sebuah negara berbilang kaum di
Malaysia. Sikap masyarakat pada hari ini seperti yang diperolehi daripada kajian yang dilakukan oleh
Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia itu mencerminkan penerimaan mereka yang baik
tanpa prejudis terhadap semua kaum di Malaysia.
Masa depan ekonomi negara juga diyakini akan bertambah baik dan ini tentulah akan dapat
mengekalkan keharmonian di antara kaum. Hasil kajian ini membuktikan bahawa majoriti menyatakan
keadaan ekonomi semakin baik jika perpaduan terjalin antara masyarakat di Malaysia. Berdasarkan
sejarah dan pengalaman negara ini, masalah ekonomi dapat memberi kesan terutama kewujudan
jurang antara kaum dan ini jika tidak dibendung akan dapat mencetus rasa cemburu sehingga
membawa kepada permusuhan antara kaum.

Pada hari ini, kita melihat orang Cina menjual asam laksa dan nasi lemak, manakala orang Melayu
memakan mi, kueh tiaw, yong tau foo, roti nan, capati dan tosai. Demikian pula orang India makan
apa saja yang dimakan oleh rakan mereka dalam kalangan Melayu dan Cina.

Nasi lemak adalah contoh makanan orang Melayu yg dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia
dan ia patut dijadikan makanan kebangsaan Malaysia. Ia bukan sahaja menjadi kegemaran orang
Melayu tetapi turut dipelopori oleh kaum Cina dan India. Nasi lemak dahulunya dihidang untuk
sarapan pagi tetapi pada masa kini dijadikan hidangan tengah hari dan malam. Ia juga turut dihidang
pada rumah terbuka dan dijadikan salah satu menu (ala carte) di hotel-hotel. Nasi lemak turut diiringi
dengan beberapa lauk sampingan seperti kari ayam, rendang (ayam dan daging), sambal (sotong
kering atau ikan bilis), ayam goreng dan paru goreng.

Putu mayam ialah sejenis makanan manis yang selalunya dimakan ketika sarapan pagi ataupun
sebagai snek. Putu mayam diperbuat daripada adunan tepung beras yang dicampur dengan air dan
santan kelapa yang kemudiannya ditekan ke penyaring untuk menjadikannya seperti mi halus.
Selepas itu, ia akan dikukus dengan perahan air daun untuk dijadikan sebagai perasa. Setelah siap,
mi itu akan dihidangkan bersama-sama parutan kelapa dan gula Melaka. Putu mayam adalah contoh
makanan masyarakat India yang juga digemari oleh semua kaum di Malaysia.

Bagi kaum Cina pula bahan utama dalam masakan mereka ialah bahan soya (tahu, taucu, kicap
soya) cendawan, bunga lily, biji-bijan dan lain-lain. Bahan ini kemudiannya akan diolah bersama
rempah yang digunakan oleh orang Melayu seperti biji ketumbar, kayu manis dan sebagainya.
Kebanyakan masakan Cina di negara kita ini, kebanyakan resipinya berasal dari Negera China
seperti yong tau foo, char koay teow, dim sum dan lain-lain. Masakan ini telah diminati semenjak
abad ke-18. Lok lok adalah satu-satu makanan Cina yang masih dijaja dan menjadi kegemaran kaum
Cina. Lok lok atau dikenali dengan sate celup merupakan makanan ringan dari sayuran, daging dan
makanan laut. Nasi ayam bukan sahaja dipelopori oleh kaum Cina tetapi diminati oleh semua rakyat
Malaysia. Nasi ayam dihidangkan bersama ayam goreng, ayam panggang atau ayam kukus. Bagi
orang Melayu mereka lebih meminati ayam yang bergoreng atau dipanggang dan kaum Cina memilih
yang dikukus. Minuman iringan bagi kaum Cina ialah teh Cina dan manisan kegemaran mereka ialah
buah-buahan segar dan manisan berasaskan kekacang.

Perayaan besar disambut bersama dengan menghidangkan makanan pelbagai kaum. Hakikatnya
jelas, dengan hanya makan, kita boleh menggerakkan sesuatu kaum atau bangsa semakin dekat
dalam perhubungan walaupun hanya sekadar beberapa inci. Semua ini terhasil daripada jalan awal
yang inginkan keharmonian dan perpaduan di negara ini. Semua ini akan terus menjadi ikon yang
menjadi identiti sebuah masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Ikon yang menjadi identiti sebuah
bangsa Malaysia yang aman dan harmoni.

3.0 METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini dijalankan melalui pemerhatian, kajian soal selidik, dokumentasi dan temu bual.

3.1 Reka Bentuk Kajian

Aspek-aspek yang diguna pakai dalam kajian ini antaranya ialah pendekatan kajian, kaedah
persampelan, cara pengumpulan data, teknik memproses dan menganalisis data dan penulisan
laporan. Reka bentuk kajian kuantitatif yang digunakan dalam kajian ini ialah tinjauan (survey). Dalam
kajian ini, tinjauan dibuat di sekitar kawasan Melaka untuk mendapatkan pandangan penduduk
tentang hal-hal berkaitan dengan perpaduan kaum melalui makanan tradisi.

Manakala reka bentuk kajian kualitatif yang digunakan ialah kajian etnografi dan kajian sejarah.
Dalam kajian kes, kajian etnografi digunakan bagi mengkaji ciri-ciri makanan tradisi dalam kalangan
penduduk di Melaka. Kajian sejarah pula digunakan bagi mengkaji rekod dan penulisan lampau
antaranya dapatan daripada jurnal untuk dikaitkan dalam kajian perpaduan melalui makanan tradisi.

3.2 Sampel Kajian

Ketika melakukan survey (tinjauan) borang kaji selidik telah diedarkan. Sampel terdiri daripada
responden di sekitar Melaka. Seramai 30 orang pelbagai bangsa telah dipilih secara rawak bagi
menjalankan tinjauan ini. Setiap kaum dari Melayu, Cina dan India dipilih seramai sembilan orang
manakala tiga orang dari lain-lain kaum.

3.3 Instrumen Kajian

Instrumen utama kajian ini ialah soal selidik di mana kami telah mengedarkan borang kaji selidik
kepada penduduk sekitar Melaka. Instrumen kajian kualitatif pula ialah soalan temu bual tidak
berstruktur. Data-data yang diperolehi telah dianalisis menggunakan SPSS.

4.0 HASIL KAJIAN DAN PERBINCANGAN

Bahagian ini membincangkan keseluruhan hasil kajian yang dijalankan. Selain itu, rumusan akan
dibuat mengenai pengaruh makanan tradisi sesuatu kaum dalam perpaduan rakyat Malaysia.

Taburan Jadual 1 di atas, menunjukan kekerapan pengambilan makanan tradisi lain dalam semingu.
Taburan ini menunjukan bahawa jumlah responden tertinggi ialah tiga hingga lima kali seminggu
dalam pengambilan makanan kaum lain. Untuk kekerapan sekali hingga dua pula menunjukan hanya
tiga responden sahaja. Responden yang mengakui amat kerap menjadikan makanan tradisi kaum
lain sebagai menu pilahan mereka pula ialah enam responden.

Berdasarkan Rajah 1 di atas, dapat dilihat nasi lemak menjadi pilihan tertinggi dalam kaji selidik ini.
Nasi lemak menjadi pilihan 13 orang daripada 30 orang responden. Char kuey teow pula
mencatatkan enam pilihan berbanding kari hanya empat responden yang memilih makanan tradisi
India tersebut. Hanya tiga responden memilih yong tau fu diikuti putu mayam dan kuih bahulu yang
menjadi pilihan dua responden setiap satu.

Berdasarkan Rajah 2 di bawah, sebanyak 80% responden sangat setuju dengan pendapat kajian
yang menyatakan makanan tradisi kaum mempengaruhi hidup mereka. 15% pula hanya menyatakan
yang mereka bersetuju dengan pendapat sedemikian. Selain itu, hanya 5% sahaja yang tidak
bersetuju.

Pengkaji membuat perbincangan berdasarkan kepada borang kaji selidik yang telah diproses, iaitu
bahagian A dan B. Bahagian A merupakan latar belakang responden seperti jantina, bangsa, tempat
tinggal, umur dan pekerjaan. Bahagian B pula merupakan soalan yang berkaitan dengan kaji selidik.
Soalan ini ditanya untuk mengukuhkan objektif kajian dimana makanan tradisi kaum boleh
membentuk perpaduan bangsa. Selain itu, tujuan lain kajian ini adalah untuk memperkenalkan
makanan tradisi kaum lain kepada masyarakat lain.

Hasil kajian menunjukkan tidak kira latar belakang mereka siapa dan dari mana asal mereka,
responden memberi respon yang baik untuk setiap makanan tradisi kaum lain. Ini menunjukkan
bahawa masyarakat di Melaka ini mempunyai pengetahuan tentang makanan tradisi kaum lain.
Selain itu, dalam kehidupan harian, kita dapat melihat makanan tradisi sesuatu kaum ini bukan hanya
boleh dimasak oleh kaum sendiri sahaja tetapi oleh bangsa lain juga. Sebagai contoh, nasi lemak
juga dimasak dan disediakan oleh orang India dan roti canai juga dibuat oleh orang Melayu dalam
perniagaan warung mereka.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, pola pengambilan responden terhadap makanan tradisi
kaum lain amat kerap iaitu di antara tiga hingga lima kali seminggu. Ini memberi respon positif
bahawa masyarakat di Melaka ini boleh menerima makanan tradisi kaum lain. Di samping itu, ramai
yang mengakui yang pengambilan makanan tradisi kaum juga mempengaruhi hidup mereka. Ini
bermakna, apabila mereka menyukai sesuatu makanan tradisi kaum lain, mereka akan berusaha
untuk mempejari atau mengetahui cara penyediaannya.

Hasil daripada kaji selidik yang dijalankan juga, boleh dilihat yang pengambilan makanan tradisi kaum
lain amat mempengaruhi perpaduan antara masyarakat di sini. Hampir semua responden (80%)
bersetuju bahawa perpaduan boleh terbentuk melalui pengambilan makana tradisi kaum lain. Mereka
memberi pandangan bahawa makanan tradisi kaum amatlah penting didalam kehidupan sesuatu
kaum. Selain itu, amalan penyediaan dan memasarkan makanan tradisi ini perlu dikekalak agar ia
tidak dilupakan oleh generasi sekarang dan yang akan datang. Antara pandangan lain pula, makanan
tradisi sememangnya dapat diterima oleh semua golongan masyarakat. Hal ini disebabkan
penyediaan makanan tradisi kaum agak mudah dan ringkas sahaja.

Berdasarkan kajian, nasi lemak menjadi pilihan 13 orang daripada 30 orang responden. Char kuey
teow pula mencatatkan enam pilihan berbanding kari hanya empat responden yang memilih makanan
tradisi India tersebut. Hanya tiga responden memilih yong tau fu diikuti putu mayam dan kuih bahulu
yang menjadi pilihan dua responden setiap satu. Ini menunjukkan bahawa responden tidak memilih
makanan untuk dimakan dan mereka mengenali makanan yang dipilih dengan baik.

5.0 KESIMPULAN

Secara keseluruhan, dapat dirumuskan bahawa makanan tradisi sesuatu kaum dapat membentuk
perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Melaka ini. Masyarakat dapat mengenali dengan
lebih mendalam makanan yang terkenal antara tiga bangsa terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina
dan India selain mengetahui keunikan yang ada pada setiap jenis makanan tersebut di mana
makanan tradisi ini pula mempunyai keunikan yang tersendiri yang mampu menarik kaum lain untuk
merasa. Selain itu, berdasarkan kajian mengenai makanan pelbagai bangsa ini turut menyumbang
kepada tahap pemahaman dan perpaduan kaum di Melaka melalui makanan. Mereka lebih
memahami dan mengetahui pelbagai variasi makanan kaum di Melaka dengan melihat kajian kaji
selidik. Kesimpulan yang didapati dalam kajian ini mencerminkan bahawa tahap perpaduan mengikut
makanan setiap kaum masih di tahap yang memuaskan. Oleh itu, makanan juga dapat memainkan
peranan dan semangat perpaduan di kalangan kaum.

Berdasarkan kajian, menunjukkan bahawa kajian terhadap perpaduan kaum terhadap makanan
membawa kepada perkara positif. Dimana dapat dibuktikan melalui analisis data dan borang kaji
selidik. Oleh itu, pendedahan mengenai makanan-makanan dari pelbagai jenis kaum di Malaysia
perlu dikaji dan diperkemas supaya masyarakat di Malaysia mengetahui tentang makanan dan tidak
melupakan makanan-makanana tradisi masyarakat yang ada di Malaysia. Kerajaan juga perlu
memainkan peranan dengan membuat kempen dan pesta makanan malaysia yang dapat membantu
masyarakat lebih mengenali makanan pelbagai kaum ini. Makanan masyarakat di Malaysia juga
bukan sahaja boleh diperkenal di peringkattempatan malah perlu di luar negara supaya masyarakat
membuka mata dan merasa bangga dengan kepelbagaian makanan yang dapat mengeratkan
perpaduan antara kaum.

You might also like