You are on page 1of 2

Ulasan Kritis: Nilaikan sumbangan Malaysia dalam PBB

Malaysia sebagai bakal sebuah negara kuasa pertengahan sememangnya banyak


menyumbang dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terutamanya dalam
menyelesaikan konflik antarabangsa. Sumbangan Malaysia dalam menyelesaikan konflik
antarabangsa bermula dengan penyertaan Malaysia dalam misi pengaman PBB di Congo
pada tahun 1960. Ketika itu Malaysia masih dalam proses pembentukan dan baru sahaja
selesai kekecohan yang berlaku akibat komunis (Ahmad Farhan, 2008). Malaysia yang
lantang menentang dasar Aparteid seterusnya menyertai misi pengaman PBB di Namibia di
samping menderma kepada Tabung Afrika bagi membantu negara Afrika yang diancam oleh
Afrika Selatan (New Straits Times, 1988). Malaysia juga menyertai misi pengaman PBB di
Kemboja untuk memulihkan keamanan negara Kemboja setelah musnah akibat perang
saudara serta turut menghantar pasukan-pasukan terpilih ke Somalia sebagai pasukan
pengaman dan pegawai di Pejabat PBB (Ahmad Farhan, 2008).
Di samping itu, Malaysia turut menyertai misi pengaman PBB di Bosnia dan terus memberi
sokongan kepada Bosnia walaupun PBB mengundur diri daripada menghadapi konflik
tersebut. Sikap PBB yang mengundur diri dan tidak bersungguh-sungguh dalam misi
pengaman di Bosnia telah mengundang kritikan daripada Tun Mahathir (Wan Shawaluddin,
2000). Tun Mahathir seterusnya menggunakan pelbagai saluran diplomatik seperti OIC bagi
meraih sokongan untuk Bosnia dan meyakinkan negara-negara Islam supaya menghantar
tentera di bawah payung PBB (Azlizan, 2010). Walaupun pembabitan Malaysia di Bosnia
sedikit sebanyak telah menjejaskan imej Malaysia di mata dunia serta diberi tanggapan negatif
oleh pihak Barat, dasar Bosnia yang melibatkan perbelanjaan yang besar telah diwujudkan
oleh kerajaan Malaysia atas dasar Islam memandangkan sebahagian besar yang menderita
di Bosnia terdiri daripada orang Islam.
Tindakan PBB yang tidak bersungguh-sungguh membantu Bosnia membuktikan bahawa
walaupun PBB merupakan badan utama untuk membantu masalah-masalah yang berlaku di
pelusuk dunia, badan ini dikawal oleh kuasa-kuasa veto seperti Amerika Syarikat dan Rusia
(Ahmad Farhan, 2010). Kawalan kuasa veto akan menyekat PBB daripada membantu
negara-negara Islam. Sikap pilih kasih atau double standard yang diamalkan oleh PBB juga
dapat dilihat dalam kes keganasan etnik di Myanmar yang melibatkan orang Islam. Hal yang
sama turut berlaku dalam kes Palestin sehingga mendesak Malaysia untuk menekan PBB
dalam kes ini dengan menganjurkan Persidangan Antarabangsa di Kuala Lumpur.
Oleh itu, dapat disimpulkan, walaupun Malaysia hanyalah kuasa kecil dalam PBB,
Malaysia mempunyai pengaruh dan banyak menyumbang dalam PBB. Meskipun perjuangan
Malaysia menjaga keamanan dan kepentingan negara membangun dan negara Islam tidak
mengubah sikap serta dasar negara maju terhadap negara-negara tersebut, sekurang-
kurangnya tindakan keberanian dan kelantangan Malaysia bersuara dapat membuka mata
masyarakat dunia terhadap kelemahan-kelemahan yang wujud dan berusaha mencari jalan
penyelesaian. Diharapkan pada masa akan datang Malaysia akan terus berperanan aktif
sebagai anggota PBB dalam menyumbang ke arah usaha menangani isu asas dan mencapai
keadilan selain penyelesaian secara aman dalam konflik antarabangsa.

You might also like