You are on page 1of 4

KARANGAN SPM 4/16

Soalan:

Pada masa ini, teknologi maklumat memberikan banyak kebaikan dalam


kehidupan seharian. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada masyarakat dan negara.

Zaman beralih musim berubah, fasa demi fasa perubahan dunia telah
berlaku. Dari zaman falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke
zaman industri dan zaman atom, kini sampailah pada hari ini yang
disebut dengan zaman teknologi maklumat (ICT). Dalam setiap zaman
yang dilalui oleh manusia telah menempuh pelbagai cabaran dan
seyogianya manusia memperoleh pelbagai input baharu. Daripada
pelbagai sumber pengetahuan, penemuan bidang ICT telah berjaya
menginjak tamadun dunia kepada situasi yang lebih kompetitif. Teknologi
ICT telah mewajarkan manusia mencapai pelbagai kemajuan lebih-lebih
lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan maklumat yang paling canggih.
Di Malaysia, teknologi maklumat dan komunikasi merupakan agenda
baharu yang begitu diberikan perhatian. Kerajaan telah mengambil
pelbagai langkah yang serius untuk menerapkan budaya ICT kepada
masyarakat. Berbagai-bagai kempen dijalankan untuk menjelaskan
kepada masyarakat tentang pentingnya teknologi maklumat. Sejumlah
peruntukan yang besar telah dilaburkan untuk tujuan itu. Berdasarkan
usaha dan iltizam kerajaan yang tinggi itu, ternyatalah bahawa bidang
ICT mempunyai manfaat yang sangat besar kepada masyarakat dan
negara ini.

Teknologi maklumat dan komunikasi mampu menjadikan masyarakat


negara ini sebagai sebuah masyarakat yang sentiasa peka dengan
perkembangan dan pergolakan dunia. Melalui kemajuan dalam bidang
penyebaran maklumat, masyarakat negara ini tidak ketinggalan untuk
mengikuti perkembangan di dalam dan di luar negara. Maklumat yang
disalurkan amat pantas. Hanya dengan memiliki sebuah komputer
peribadi yang disambung dengan perkhidmatan Internet, masyarakat
boleh mendapatkan maklumat dari seluruh dunia. Mereka hanya perlu
menggerakkan tetikus untuk mendapatkan maklumat terkini dalam
sesuatu bidang. Contohnya masyarakat Malaysia boleh mengikuti
pergolakan politik di Timur Tengah melalui skrin komputer mereka.
Dengan ini, masyarakat Malaysia tidak akan keciciran maklumat dalam
menelusuri arus perdana yang pantas bergerak bagai belut diketil ekor
ini. Gelaran katak di bawah tempurung tidak akan dilabel pada setiap
rakyat Malaysia. Oleh itu penguasaan teknologi maklumat mampu
menjadi masyarakat Malaysia sebagai masyarakat berinformasi.

Selain itu, dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat


dan komunikasi dapat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang
berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat
berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila
masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana
pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan
agar rakyat dapat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan
seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah
jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas
daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara
terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar
melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk
dalam kalangan rakyat pelbagai negara dan berbilang kaum. Bukankah
teknologi ini satu anugerah yang tiada tolok bandingnya? Jelaslah bahawa
kemajuan ICT dapat merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama
lain walaupun berada di benua yang berbeza. Kejauhan tidak lagi menjadi
penghalang untuk menjadikan hubungan semakin akrab bagai isi dengan
kuku.

Jika kita tinjau kebaikan ICT kepada negara pula, kehadiran teknologi
maklumat dan telekomunikasi merupakan anugerah istimewa kepada
dunia pendidikan. Kewujudan ICT dapat membantu dalam sistem
pengajaran dan pembelajaran (P&P). Sistem pendidikan di sekolah dapat
dimajukan oleh ICT sekali gus mewujudkan sekolah bestari. Pelajar
mendapatkan maklumat dari seluruh dunia melalui Internet untuk
melakukan kerja atau projek-projek di sekolah. Pelajar akan belajar
mengikut kemampuan mereka serta melahirkan generasi yang celik
komputer. Pendidikan di sekolah atau di institusi lebih bercirikan
pendidikan jarak jauh. Peluang pendidikan menjadi lebih luas, selain
menjimatkan kos. Pelajar pintar dan celik IT tidak disekat oleh faktor
kelas dan usia. Hal ini melahirkan lebih ramai cendekiawan. Fakta ini
nyata terbukti apabila ada kanak-kanak yang baru berusia setahun
jagung sudah boleh menguasai mata pelajaran Matematik jauh lebih baik
daripada pelajar yang sudah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).
Pelajaran di sekolah rendah ataupun pelajaran sekolah menengah dapat
dipelajari melalui modul pemelajaran yang disediakan dalam cakera
padat-ingatan baca sahaja (CD-ROM) yang telah disediakan oleh pihak
Kementerian Pendidikan Malaysia. Izharlah bahawa kemajuan ICT mampu
menjadi pemudah cara dan menjadi tarikan dalam memajukan sistem
pendidikan di negara kita.
Selain membantu dalam sistem pendidikan, ICT juga menjadi
penyumbang penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara.
Kes jenayah yang semakin berleluasa di negara Malaysia dapat diatasi
dengan bantuan ICT. Televisyen atau kamera litar tertutup (CCTV)
banyak digunakan dan ditempatkan di kawasan-kawasan seperti bank,
kasino, lapangan terbang, pangkalan terbang, dan pasar-pasar raya.
Sistem CCTV ini ialah penggunaan kamera video untuk menghantar
isyarat ke tempat-tempat tertentu. Isyarat yang dihantarnya tidak
dihantar secara terbuka. Hal ini berbeza sekali dengan televisyen. CCTV
ini digunakan untuk mengawas keselamatan sesuatu tempat yang
tertentu sahaja. Di samping itu, kegiatan jenayah yang berlaku dapat
dikesan dan seterusnya memberkas penjenayah yang terbabit. Dengan
bantuan CCTV, akhirnya kanak-kanak yang bernama Nurin Jazlin berjaya
ditemui. Kes penculikan kanak-kanak yang penuh tragis tersebut pernah
menggegarkan seluruh masyarakat Malaysia. Kejadian ini tentu sekali
kes jenayah yang sangat kejam. Walaupun mayat kanak-kanak tersebut
ditemui dalam keadaan yang menyayatkan hati namun dengan adanya
kamera video dapat merakamkan lokasi beg yang mengandungi mayat
kanak-kanak tersebut. Dengan kemajuan bidang ICT, keselamatan
negara dapat dipelihara dan secara implisitnya, kehidupan rakyat juga
tidak akan terancam. Tugas anggota keselamatan negara juga akan
menjadi lebih mudah. Pendek kata, keamanan dan keselamatan dapat
dijaga melalui kemajuan bidang ICT di negara kita.
Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat dan telekomunikasi
juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita.
Perkembangan bidang ICT secara langsung atau tidak membantu
meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan
dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum.
Umpamanya, dengan adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat dihantar
dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa
teknologi maklumat, kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa.
Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan
Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan
teknologi maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika Bill Gates, insan
terkaya di dunia melawat Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali
sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750
kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji
Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat
multimedianya. Oleh itu, terbuktilah bahawa pembangunan teknologi
maklumat membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama
rendah dengan negara-negara maju yang lain.
Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa ICT memainkan
peranan yang penting kepada masyarakat dan negara. Kita tidak harus
ketinggalan untuk menguasai kemahiran ICT kerana bidang ini akan terus
berkembang dari semasa ke semasa dengan pantas. Sistem hidup
manusia masa depan akan lebih bergantung kepada kemajuan dalam
bidang ini. Malah pada masa ini pun, kebergantungan manusia terhadap
teknologi maklumat sememangnya tidak dapat dinafikan. Oleh itu,
sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menyokong usaha ini di samping
menyediakan diri untuk mempelajari pengetahuan baharu berkaitan ICT
agar kita tidak dianggap seperti katak di bawah tempurung. Namun
begitu, sebagai pengguna yang bijak kita tidak harus menyalahgunakan
kemudahan ICT. Semua pihak harus bersinergi bagai aur dengan tebing
dan mengambil langkah sederap untuk memastikan tiada unsur negatif
yang berlaku seiring dengan ledakan teknologi berinformasi ini. Sudah
menjadi tugas kita bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang
keruh. Semoga impian negara untuk melahirkan masyarakat yang maju
dan berinformasi tercapai bagi memudahkan negara merealisasikan visi
kudsi Wawasan 2020.

You might also like