You are on page 1of 10

1: Sektor pelancongan merupakan salah satu industri perkhidmatan terpenting di

negara kita. Bincangkan faktor-faktor yang merangsang perkembangan industri


pelancongan tersebut.

............Malaysia merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di dunia. Saban


tahun, jumlah pelancong yang direkodkan semakin bertambah bukan sahaja pelancong
dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia malah turut menjadi tumpuan
pelancong asing dari Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat. Industri pelancongan ini
juga mempunyai potensi besar dan mampu dijadikan sumber ekonomi baharu yang
menguntungkan. Justeru, banyak syarikat besar yang tumbuh “bak cendawan selepas
hujan” mahupun agensi kerajaan yang giat melaksanakan usaha bagi menarik pelancong
berkunjung ke Malaysia. Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan
Malaysia menjadi tumpuan pelancong.

............Antara faktor tersebut adalah kerana Malaysia mempunyai banyak tempat


menarik untuk dilawati. Tempat menarik tersebut lazimnya menjadi tumpuan pelancong
asing yang berkunjung ke negara kita. Sebagai contohnya, Malaysia memiliki kawasan
rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk seperti Cameron Highlands dan
Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong dapat menikmati keindahan alam
semula jadi yang unik di samping melihat pelbagai tanaman hawa sederhana iaitu sayur-
sayuran serta buah-buahan tropika. Malaysia juga mempunyai hutan semula jadi iaitu
hutan hujan Khatulistiwa yang berusia lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan semula
jadi ini pelancong dapat menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya
mahupun menjalankan kajian tentang flora dan fauna yang terdapat di situ. Justeru,
kewujudan kawasan reakrasi seperti ini dapat menarik pelancong dari dalam dan dari luar
negara.

............Selain itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga disebabkan


oleh keadaan iklim semula jadinya yang panas sepanjang tahun. Corak iklim seperti ini
amat digemari oleh pelancong asing khususnya pelancong dari negara-negara barat
seperti negara Eropah dan Amerika Syarikat. Ramai pelancong barat yang mengambil
kesempatan bercuti di Malaysia untuk berjemur di bawah sinaran matahari terik
terutamanya di kawasan pantai yang terdapat di Malaysia. Hal ini disebabkan juga oleh
keadaan pantai yang terdapat di Malaysia amat cantik, bersih dan berpasir putih. Di
kawasan pantai ini juga disediakan pelbagai aktiviti untuk para pelancong seperti
berkayak, berperahu layar mahupun mandi-manda. Oleh itu, keistimewaan tersebut
berjaya menambat hati para pelancong untuk terus berkunjung ke negara kita.

............Di samping itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga turut
disebabkan oleh kewujudan banyak pulau yang indah dan menarik. Di antara pulau yang
menjadi tumpuan para pelancong di negara kita termasuklah Pulau redang, Pulau Kapas
dan Pulau Tioman. Kemudahan prasarana di kawasan ini dijaga dengan rapi bagi
memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selesa untuk kunjungan para pelancong. Para
pelancong juga akan dapat merasai “syurga dunia” dengan melakukan aktiviti skuba di
kawasan batu karang yang terletak di Pulau Kapas sehingga diakui sebagai satu daripada
tujuh keajaiban dunia. Bagi memastikan pelancong dapat menikmati keindahan semula
jadi di kawasan pulau tersebut, kerajaan telah mewartakan kawasan itu sebagai Taman
Laut. Jadi, dengan adanya keistimewaan tersebut, Malaysia dapat menarik lebih ramai
pelancong yang sekaligus dapat menjana kemajuan industri pelancongan negara.

.............Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh
wujudnya keunikan budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah
negara yang memiliki masyarakat majmuk maka pelbagai budaya menarik terdapat di
sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India telah berjaya meningkatkan
kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu umpamanya terkenal dengan
tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan tarian naga. Selain itu,
Malaysia juga kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh para
pelancong. Masyarakat Melayu misalnya terkenal dengan makanan seperti Sate, ketupat
dan rendang manakala kaum India pula terkenal dengan masakan kari, tosei, idali dan
lain-lain. Justeru keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah berjaya menjadi daya
tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita.

.............Peranan pihak kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan pelancongan
juga turut memajukan sektor pelancongan di Malaysia. Sebagai contohnya, Kementeria
Pelancongan telah mengadakan pelbagai pertunjukan kebudayaan dan destinasi
pelancongan Malaysia ke beberapa buah negara sebagai usaha mempromosikan Malaysia
kepada pelancong asing. Tumpuan promosi bukan sahaja terhad ke negara-negara Eropah
atau Amerika Syarikat malah meliputi semua negara di dunia termasuk di Asia Barat dan
di Asia Timur. Pada masa yang sama, kerajaan juga turut mengadakan pelbagai aktiviti
tahunan bagi menarik lebih ramai pelancong seperti mengadakan Pesta Flora Kuala
Lumpur, Pesta Makanan Tradisional Malaysia, sukan Le Tour De Langkawi dan
sebagainya. Malaysia juga turut memperkenalkan konsep pelancongan baru seperti
“ekopelancongan”, “agrotourism”, pelancongan perubatan, pelancongan pendidikan dan
lain-lain. Dengan usaha yang berterusan ini maka sektor pelancongan di Malaysia
semakin berkembang maju.

.............Intihanya, sektor pelancongan merupakan sektor baru yang berpotensi untuk


menyumbang pada ekonomi negara. Industri ini masih perlu diterokai kerana “kalau tidak
dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Justeru, peranan kerajaan dan agensi
pelancongan berserta dengan kerjasama daripada semua masyarakat adalah amat
diperlukan. Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan
negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk
dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka.
2:Kejadian Buli Dalam Kalangan Remaja

Buli semakin berleluasa di sekolah kita. Keadaan ini menyebabkan masyarakat


semakin gusar. Huraikan punca-punca dan langkah-langkah yang tercetus.

............Apakah itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan
seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang
dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa
dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini
telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak
seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.

............Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam
kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan
pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya.
Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah
kes buli ini.

............Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar
yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian
hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada
orang lain. Ringkasnya, mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan dalam diri
mereka sendiri.

............Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin
kapada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu
sibuk mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka
terhadap anak mereka.

............Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah
setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-
kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan
kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar
di sekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang
ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain.

............Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat pelbagai


langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini.
Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah
harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata
pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan
sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan
satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan
buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit
dalam kes buli ini.
............Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan
secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar
agar menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh
dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.

............Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan
di setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima
sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka
yang mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya.

............Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab
Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh
lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar
menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi
yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.

............Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana
para pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya.
Contohnya, jika kawannya minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan
dipengaruhi dan membaca bersama-sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu
sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di sekolah.

............Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah
dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu
berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan
kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat
mungkin demi kesejahteraan sekolah.

............Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar
juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan
sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak
dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi.

.............Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam
kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar
tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman
yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan
juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.

............Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk
membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada
anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada
tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti.
Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga
sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak
rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’.
............Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk
bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka
semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada
mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk
anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa
sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya
bersama-sama.

............Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin
melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai
khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan
tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar
merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan.
Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu,
semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah
kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri
ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang
dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.
NISHA SHAKILA ZULKIFLI
3:Masalah Pengangkutan Awam Di Negara Kita

Pengangkutan awam merupakan salah satu pengangkutan yang amat penting di


negara kita. Namun begitu, masih banyak kelemahan yang kerap menjadi sungutan
orang ramai. Terangkan kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam di
negara ini.
.
.
..........Dalam sistem perhubungan, pengangkutan awam menjadi pilihan orang ramai
untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Sistem pengangkutan ini
turut menjadi pilihan golongan marhaen khususnya bagi mereka daripada golongan
masyarakat pertengahan dan yang kurang berkemampuan. Rangkaian pengangkutan
awam di negara kita adalah seperti pengangkutan bas awam, teksi, Sistem Transit Tren
Ringan (LRT), monorel dan sebagainya. Memang sudah banyak usaha yang dilakukan
untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu,
pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami
untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan sekian lama.
.
..........Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem
pengangkutan awam kita ialah kos atau tambangnya yang agak mahal. Kadar tambang
terutamanya bagi penumpang teksi dan LRT adalah dianggap mahal terutamanya bagi
mereka yang berpendapatan rendah serta menghalang mereka daripada menggunakan
sistem pengangkutan itu dengan lebih kerap. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna
pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh. Kebanyakan
daripada mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya apabila terdesak atau
hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan
jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan pengangkutan
awam tersebut.
.
...........Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan dengan amalan
pengurusannya yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam
terutamanya bas awam tidak boleh diharap dari segi ketepatan waktu operasinya.
Kelewatan bas kerap berlaku dan tidak mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan. Hal
ini menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan
yang bakal mereka hadapi. Masalah kelewatan sampai ke tempat kerja menjadi isu utama
akibat kegagalan pihak pengurusan mengatasi masalah tersebut. Masalah penjagaan bas
awam, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori yang mengecewakan
kerana penyelenggaraannya yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja
kecewa melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadual perjalanan malah pada
masa yang sama kegagalan untuk menjaga kualiti perkhidmatan pengangkutan awam
turut dirasai.
.
..........Kita juga sering terdengar rungutan orang awam yang mengatakan bahawa
tumpuan perkhidmatan awam di negara kita tidak menyeluruh. Kemudahan stesen LRT
umpamanya hanya terletak di kawasan tertentu yang kadang-kala menyukarkan orang
ramai tiba ke pejabat. Hal ini bertambah rumit kerana masalah kekurangan pengangkutan
tambahan atau “fider bus” di kawasan itu. Kalau anda sering menggunakan pengangkutan
awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan,
contohnya di antara stesen monorel dengan stesen LRT atau di antara stesen bas dengan
tesen monorel. Hal ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa
beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula. Dalam
era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap
merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus
diadakan oleh kerajaan sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
..
..........Malah, pengangkutan awam turut turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja
mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu.
Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya
yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam
ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja
yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara kerana seekor kerbau membawa
lumpur, semuanya terpalit. Ada di antara mereka yang masih mengamalkan sikap ingin
menjadi sang juara di jalan raya. Hal ini bukan sahaja membahayakan penumpang
kenderaan tersebut malah pada masa yang sama turut membahayakan keselamatan
pengguna jalan raya yang lain. Justeru, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi
satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh
pelanggan serta masyarakat awam yang lain.
.
..........Banyak juga aduan yang sering kita baca di dada-dada akhbar mengenai rungutan
orang awam tentang kekurangan tempat letak kereta di stesen LRT dan komuter. Hal ini
berlaku kerana kurangnya perancangan yang teliti sebelum projek tersebut dilaksanakan.
Kelemahan ini bukan sahaja menyukarkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka
malah menghalang orang ramai untuk menaiki kemudahan awam tersebut. Di beberapa
buah stesen komuter dan LRT di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya, kekurangan tempat
untuk meletakkan kenderaan menyebabkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka
sesuka hati atau di tepi-tepi jalan. Hal ini bukan sahaja menyebabkan berlakunya
kesesakan malah kadang-kala boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Lebih malang
pula, ada sebahagian kenderaan tersebut turut di saman oleh pihak polis biarpun masalah
ini timbul akibat kelemahan pengurusan terbabit. Jelasnya, rungutan pengguna
pengangkutan awam tersebut perlu ditangani dengan baik agar pengangkutan awam di
negara kita tidak menjadi “indah khabar dari rupa”.
.
..........Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam di negara kita amat perlu diambil
berat oleh pihak yang terbabit. Sekiranya perkara tersebut masih terus didiamkan tanpa
sebarang tindakan, kita bimbang hasrat kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam
sebagai salah satu pengangkutan utama di negara kita akan terkubur. Kesungguhan pihak
kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam menangani masalah ini amat ditagih dan
pihak berwajib tidak harus bertindak hanya apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat
dalam media massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas
dalam kemelut ini dan bukan bersikap “sudah terhantuk baru terngadah”.
4. Langkah Untuk Menggalakkan Orang Ramai Menaiki Pengangkutan
Awam di Negara Kita.

Pengangkutan awam di negara kita sedang berkembang maju. Kerajaan juga telah
mengadakan pelbagai langkah untuk menggalakkan orang ramai supaya
menggunakan pengangkutan awam bagi mengatasi masalah kesesakan khususnya
di kawasan bandar. Jelaskan langkah-langkah untuk menggalakkan orang ramai
menggunakan pengangkutan awam
.
..........“Zaman beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan asing selama 446
tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu
ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri di mata dunia dan memenuhi
kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan paradigma. Kerajaan telah
berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem
pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh
dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Kereta
api, komuter dan monorel. Jikalau bukan kita sebagai warganegara Malaysia yang
menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi yang mesti menyokongnya? Lantaran itu,
langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk
menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.
.
..........Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak pihak mengatakan
bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam
yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke
destinasi lain dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan
haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu dengan harga yang mampu dibeli oleh
orang ramai khususnya mereka yang berpendapatan rendah supaya dapat menggalakkan
orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah
Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan awam di negara
kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu
yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh
pelaksanaannya di negara barat seperti di Melbourne, Australia. Di Melborune
penumpang hanya perlu membeli satu tiket pada kos yang rendah untuk menaiki kereta
api atau menaiki bas. Hal ini bertepatan dengan peribahasa “serampang dua mata”.
Pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang golongan yang kurang berupaya
tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan harian mereka.
Jadi jikalau sistem tiket bersepadu ini dapat direalisasikan, jumlah penumpang pastilah
dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali pengangkutan awam.
.
..........Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki
pengangkutan awam ialah meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam.
Bilangan kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan jumlahnya bagi memenuhi
kehendak rakyat serta mengatasi masalah kekurangan pengangkutan awam di sesetengah
kawasan yang menjadi rungutan orang ramai. Selain itu, KTM (Kereta Api Tanah
Melayu) haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di negara Jepun yang telah
menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train) sehingga mencapai kelajuan
melebihi 200 kilometer sejam. Dengan menggunakan lokomotif berkuasa elektrik,
kekerapan KTM di negara kita pasti dapat ditingkatkan. Kekerapan pengangkutan awam
adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang
memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan kekerapan perjalanan
pengangkutan awam yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk
menunggu ketibaan pengangkutan awam tersebut. Hal ini dapat mengurangkan masa
perjalanan orang ramai secara keseluruhannya. Dalam era globalisasi yang
mengutamakan kepantasan, kelemahan perkhidmatan dan kelewatan jadual perjalanan
pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka
kurang berkeyakinan terhadap pengakutan awam di negara kita. Lantaran itu, cara ini
haruslah dilaksanakan untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem
perkhidmatan pengangkutan awam.
.
..........Pada masa yang sama, langkah kerajaan menggalakkan pemasangan televisyen di
dalam bas ekspres mendapat banyak komen yang baik daripada orang ramai. Hal ini
kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para
penumpang berpeluang untuk menonton pelbagai siaran televisyen ketika berada dalam
perjalanan mereka dan menjadikan perjalanan lebih menarik. Perkara ini haruslah
diperluaskan dalam pengangkutan awam yang lain seperti Komuter dan LRT untuk
menarik lebih banyak penumpang menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan
para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan
semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta
akan negara, rancangan yang mengimbas kembali detik-detik bersejarah di negara kita
dan sebagainya. Kemudahan seperti alat pendingin udara juga perlu dipertingkatkan bagi
menjadikan penumpang berasa lebih selesa apabila menaiki pengangkutan tersebut.
Kemudahan-kemudahan sampingan seperti ini pasti akan dapat meningkatkan bilangan
penumpang pengangkutan awam kerana orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan
yang berkualiti dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang
televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang untuk menaiki
pengangkutan awam.
...........Bagi mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang kurang berdisiplin,
sistem perakam perlu dipasang di semua kenderaan awam di negara kita. Pemasangan
alat perakam ini dapat merakamkan bukan sahaja perkara yang berlaku di sepanjang
perjalanan malah dapat merakamkan kelajuan pengangkutan awam tersebut. Hal ini akan
dapat mengurangkan masalah kenderaan awam seperti bas yang dipandu terlalu laju
sehingga melebihi had yang dibenarkan. Pada masa yang sama, pemasangan alat ini dapat
mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya bas yang sering diperkatakan oleh
orang ramai. Kerajaan juga perlu lebih kerap mengadakan pemeriksaan bagi memastikan
pemandu pengangkutan benar-benar mereka yang berkelayakan atau bebas daripada
sebarang penyalahgunaan dadah. Tindakan kerajaan menyenaraihitamkan pemandu yang
kurang berdisiplin akan dapat mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang tidak
bersopan sekali gus melenyapkan pekerja yang tidak berkualiti. Pemeriksaan oleh pihak
berwajib seperti Jabatan Pengangkutan Jalan atau pihak polis juga perlu menyeluruh
bukan sahaja kepada kakitangan pengangkutan awam tetapi perlu juga melihat pada
keadaan dan keselamatan pengangkutan awam yang digunakan bagi memastikan
keselamatan pengguna pengangkutan tersebut terjamin. Dengan cara itu, keyakinan orang
ramai untuk menggunakan pengangkutan awam di negara kita akan meningkat.
.
..........Pihak pengurusan atau pengendali pengangkutan awam juga perlulah lebih peka
untuk menyediakan kemudahan hiliran bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan
ini. Di kawasan stesen komuter atau LRT umpamanya, tempat meletakkan kenderaan
perlu ditambah bagi mengelakkan orang ramai meletak kenderaan mereka di tepi-tepi
jalan atau di tempat lain yang tidak sesuai. Hal ini sentiasa menjadi rungutan orang ramai
kerana bukan sahaja boleh mengakibatkan kesesakan malah pada masa yang sama turut
menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya. Begitu juga halnya dengan
pengangkutan tambahan atau “bas fider” yang dikatakan menjadi masalah kepada
pengguna komuter dan LRT. Kekurangan pengangkutan bas tambahan ini telah
menyukarkan pengguna pengangkutan tersebut jika kawasan stesen tersebut jauh dari
pejabat. Justeru adalah penting sekiranya bas-bas tambahan ditambah bilangannya bagi
memudahkan dan mempercepat perjalanan seseorang dari rumah ke destinasi yang dituju.
Jarak atau lokasi pengangkutan awam seperti komuter dan LRT juga perlu ditambah dari
semasa ke semasa agar lingkungan pengguna yang dapat menaiki kemudahan awam
tersebut turut meningkat. Biarpun langkah ini memerlukan biaya yang agak tinggi namun
kesannya pada sistem perhubungan di negara kita adalah amat besar. Oleh itu langkah-
langkah menyediakan kemudahan tambahan bagi meningkatkan kualiti pengangkutan
awam tersebut perlu dilaksanakan agar pengangkutan awam di negara kita tidak dianggap
“indah khabar dari rupa”.
.
..........Seperti kata peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari
rebungnya”, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk
menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Pihak sekolah dicadangkan
supaya memberi penerangan tentang kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan
awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanam
konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar agar menaiki perkhidmatan awam. Usaha
ini bukan sahaja perlu ditumpukan kepada para pelajar, tetapi harus juga diperluas kepada
mereka yang dewasa untuk mengubah imej dalam hati mereka apabila menaiki
pengangkutan awam. Melalui pendidikan, kita dapat melahirkan golongan yang
bergantung pada perkhidmatan awam seperti kereta api dan bas sebagai pengangkutan
utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang untuk menaiki
pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kendera sendiri, tetapi mereka tetap
akan menggunakan perkhidmatan awam sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep
kebaikan menggunakan pengangkutan awam tertanam dalam jiwa mereka.
.
..........Kesimpulannya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan kepada
masyarakat di negara kita seperti dapat mengurangkan kesesakan dan kemalangan,
mengurangkan pencemaran udara, menjimatkankan masa malah mengurangkan kos
kehidupan kita sehari-hari. Oleh itu, sebagai pengguna jalan raya yang bijak, kita perlulah
menyahut seruan kerajaan agar menggunakan pengangkutan awam sebagai kaedah untuk
bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Kita juga berharap agar dengan
langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan ini maka pengangkutan awam di
negara kita akan menjadi lebih maju setanding dengan pengangkutan awam di negara-
negara lain seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.

You might also like