You are on page 1of 8

Soalan:

Assalamualaikum cikgu, saya Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin merupakan siswa guru
IPG Kampus Tawau. Saya ingin melakukan temu bual terhadap cikgu untuk memenuhi
keperluan tugasan kursus asas pendidikan EDUP3083 Asas Kepemimpinan dan
Pembangunan Profesionalisme Guru.

Jawapan:

Waalaikumsalam, baiklah Afzan kamu boleh menemu bual saya kerana kebetulan saya tidak
mempunyai kelas pada masa ini.

Soalan:

Cikgu sebelum saya melanjutkan temu bual ini, terlebih dahulu saya ingin meminta cikgu
untuk memperkenalkan latar belakang cikgu secara ringkas.

Jawapan:

Nama saya ialah Siti Rahema binti Palingei yang juga merupakan ketua panitia matematik di
Sekolah Kebangsaan Batu 4 Jalan Apas, Tawau. Saya merupakan anak jati daerah Tawau. Saya
telah menjadi guru selama 25 tahun iaitu sejak tahun 1992 lagi. Saya telah mendapat pendidikan
awal di SK Kinabutan Besar, kemudian melanjutkan pelajaran peringkat menengah di SMK
Tawau. Setelah tamat pendidikan menengah, saya melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan
Gaya. Setelah tamat pengajian di Maktab Perguruan Gaya, saya memulakan kerjaya sebagai
pendidik di SK Mentadak Baru di Pulau Sebatik. Kemudian, saya dipindahkan ke Sekolah
Kebangsaan Kem Kabota dan barulah berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Batu 4 Jalan Apas
sehingga kini. Di sekolah ini, saya merupakan ketua panitia matematik.

Soalan:

Signifikan dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia yang ingin meningkatkan


profesionalisme profesion keguruan, kerjaya sebagai guru merupakan salah satu kerjaya
yang dianggap profesional. Berdasarkan pernyataan tersebut, apakah yang cikgu faham
tentang profesional dalam kerjaya guru?
Jawapan:

Berdasarkan pemahaman saya, kerjaya sebagai guru dianggap sebagai profesional kerana
memberikan perkhidmatan yang penting iaitu mendidik anak bangsa. Selain itu, kerjaya sebagai
seorang guru juga banyak menggunakan keupayaan kognitif untuk mengajar murid tentang
sesuatu tajuk pelajaran. Guru juga mendapat latihan khusus seperti yang kita dapat dilihat di IPG
dan juga universiti yang menawarkan kursus pendidikan. Menerusi latihan tersebut, guru
memperoleh pelbagai pengetahuan yang diperlukan untuk menjalankan tugasnya. Akhir sekali,
guru dianggap sebagai seorang yang profesional kerana mempunyai kod etika yang perlu
dipatuhi semasa menjalankan tugasnya. Jadi berdasarkan pernyataan yang saya berikan,
jelaslah bahawa kerjaya sebagai guru dianggap sebagai kerjaya yang profesional.

Soalan:

Secara amnya, peranan guru sebagai pemimpin profesional dapat diklasifikasikan kepada
beberapa aspek iaitu perancangan, pengelolaan, pengarahan dan pengawalan. Aspek
tersebut memainkan peranan penting untuk memastikan guru melaksanakan proses
pembelajaran dan pemudahcaraan dengan lebih berkesan. Perancangan merujuk kepada
penentuan matlamat jangka panjang dan jangka pendek. Dari aspek perancangan, apakah
peranan cikgu sebagai ketua panitia Matematik?

Jawapan:

Peranan saya dari segi perancangan sebagai ketua panitia Matematik ialah saya mengadakan
mesyuarat untuk panitia Matematik di sekolah ini. Dalam mesyuarat tersebut, saya antara perkara
yang dibincangkan ialah agihan tugasan setiap ahli panitia. Penetapan tugas dari segi kurikulum
merangkumi setiausaha panitia, penyelaras mata pelajaran Matematik untuk setiap darjah dan
aktiviti akademik yang melibatkan mata pelajaran Matematik. Perkara ini saya lakukan untuk
memastikan ahli-ahli dalam panitia Matematik mendapat tugasan secara adil. Hal ini bertujuan
untuk memastikan mereka dapat melaksanakan tugasan yang diberikan dengan lebih efektif.

Soalan:

Selain daripada agihan tugas, apakah perkara lain yang turut dibincangkan dalam
mesyuarat panitia tersebut dalam konteks perancangan pelaksanaan proses pembelajaran
dan pemudahcaraan di dalam bilik darjah?
Jawapan:

Semasa mesyuarat panitia juga, saya sebagai ketua panitia bersama dengan guru panitia
Matematik yang lain turut berbincang berkenaan dengan penghasilan Rancangan Pengajaran
Tahunan (RPT), Rancangan Pengajaran Mingguan (RPM) dan Rancangan Pengajaran Harian
(RPH). Perkara tersebut dilakukan adalah bertujuan untuk membolehkan guru-guru Matematik
melaksanakan proses pembelajaran dan pemudahcaraan yang sesuai mengikut masa yang telah
ditetapkan. Hal ini secara tidak langsung membolehkan guru Matematik menghabiskan sukatan
pelajaran yang perlu diajar dengan mudah. Penggubalan RPT, RPM dan RPH disesuaikan
mengikut takwim sekolah. Selain itu juga, terdapat beberapa aktiviti berbentuk akademik yang
panitia Matematik rancang semasa mesyuarat dilaksanakan. Antaranya ialah kelas tambahan
Matematik untuk murid tahun 6 yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR)
pada tahun ini. Selain itu, panitia Matematik juga turut mengadakan bengkel menjawab soalan
Matematik UPSR bagi murid tahun 6. Ini dilakukan untuk membolehkan panitia Matematik
mencapai peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi subjek Matematik yang
sebelum ini berada pada tahap sederhana iaitu 3.88.

Soalan:

Aspek kepemimpinan yang seterusnya ialah pengelolaan. Dalam hal ini, pengelolaan yang
berkesan akan meningkatkan penyempurnaan perancangan dan membantu mencapai
matlamat organisasi sekolah. Berdasarkan penyataan tersebut, apakah peranan cikgu
sebagai ketua panitia Matematik dari aspek pengelolaan?

Jawapan:

Peranan saya dari segi pengelolaan sebagai ketua panitia matematik ialah saya mengelola
program berasaskan akademik dan bukan akademik yang dianjurkan oleh panitia matematik di
sekolah ini. Program yang dikelolakan oleh panitia ini adalah mengikut takwim sekolah untuk
mengelakkan daripada berlakunya pertindihan dengan program lain.

Soalan:

Sebentar tadi cikgu menyatakan bahawa cikgu mengelola program berasaskan akademik
dan bukan akademik. Program akademik secara asasnya merujuk kepada pembelajaran
dan pemudahcaraan. Apakah program berasaskan akademik yang panitia cikgu anjurkan?
Jawapan:

Untuk program berasaskan akademik, panitia matematik melaksanakan program kelas tambahan
untuk murid-murid tahun 6 yang bakal menduduki UPSR. Kelas tambahan ini bertujuan untuk
mengukuhkan kefahaman murid terhadap setiap topik yang terdapat dalam sukatan pelajaran
seperti mana yang terkandung dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Matematik
Sekolah Kebangsaan. Selain itu, kelas tambahan juga dilakukan untuk membiasakan murid
dengan format soalan Matematik UPSR yang telah berubah formatnya bermula pada tahun 2016.
Soalan Matematik UPSR kini arasnya lebih sukar kerana diterapkan unsur-unsur Kemahiran
Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Teknik menjawab soalan Matematik UPSR juga panitia matematik
anjurkan. Penganjuran ini bertujuan untuk membolehkan murid-murid menguasai teknik
menjawab soalan-soalan UPSR dengan lebih mudah. Kebiasaannya, ceramah teknik menjawab
ini disampaikan oleh guru pakar Matematik di daerah ini.

Soalan:

Di samping bidang akademik, sistem pendidikan negara kita jua turut memberi fokus
terhadap penglibatan aktif murid dalam aspek kokurikulum untuk mengembangkan
kemahiran insaniah mereka. Sebagai ketua panitia matematik, apakah yang cikgu lakukan
dalam konteks aktiviti kokurikulum?

Jawapan:

Aktiviti bukan berasaskan akademik pula dapat dilihat menerusi penganjuran kuiz Matematik
yang dikelolakan oleh panitia matematik. Tujuan kuiz tersebut dianjurkan adalah untuk dan
memilih wakil sekolah bagi pertandingan Kangroo Math Competetion. Dalam pelaksanaan
Kangroo Math Competetion, saya sebagai ketua panitia matematik dipertanggungjawabkan
sebagai guru penyelaras dan melakukan pendaftaran rasmi menerusi borang yang dimuat turun
dari laman web Kangroo Math Competetion. Kemudian, guru penyelaras akan melakukan
pembayaran secara pukal yuran yang dikumpulkan.

Soalan:

Aspek kepemimpinan yang seterusnya ialah pengarahan. Secara umum, pengarahan


bermaksud bagaimana seseorang pemimpin memberikan tugas dan mempengaruhi
individu yang dipimpinnya dan mendapatkan kerjasama mereka bagi melaksanakan tugas.
Berlandaskan aspek tersebut, apakah peranan cikgu sebagai ketua panitia matematik di
sekolah ini dalam konteks pengarahan.
Jawapan:

Seperti yang kita sedia maklum, kita sebagai guru menerima arahan daripada pihak atasan
signifikan dengan perubahan dasar yang berlaku. Berdasarkan pengalaman saya yang telah
lama dalam bidang ini, saya dapat lihat bahawa bidang pendidikan sentiasa mengalami
perubahan mengikut keperluan semasa. Perubahan tersebut adalah berlandaskan dasar
pendidikan negara seperti mana yang kita dapat lihat pada hari ini menerusi peralihan KBSR
kepada KSSR. Dalam konteks ini, saya sebagai ketua panitia matematik mengarahkan guru
Matematik di sekolah ini untuk melaksanakan pembelajaran dan pemudahcaraan mengikut
Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Matematik Sekolah Rendah bagi Tahap 2 dan
Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Matematik Sekolah Rendah (Semakan) bagi
Tahap 1. Ini sejajar dengan perubahan kurikulum yang berlaku. Untuk itu, saya memberikan input
yang saya peroleh semasa menghadiri kursus Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran
Matematik Sekolah Rendah tersebut kepada semua guru Matematik di sekolah ini.

Soalan:

Pelaksanaan pendidikan abad ke-21 kini diberi penekanan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia signifikan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) untuk
melahirkan rakyat Malaysia yang berminda kelas pertama. Perkara ini bertepatan dengan
keperluan semasa dunia pendidikan kini. Untuk itu, apakah peranan cikgu untuk
memastikan guru-guru panitia matematik mengimplementasikan perkara tersebut?

Jawapan:

Seperti yang telah dinyatakan, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia juga kini menekankan
pembelajaran abad ke-21. Disebabkan perkara tersebut, saya telah mengikuti kursus-kursus
berkenaan dengan pedagogi abad ke-21 yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah
Tawau. Penekanan yang diberikan oleh pembelajaran abad ke-21 adalah seperti peranan guru
sebagai fasilitator, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi, pembelajaran berpusatkan
murid dan juga pembelajaran kolaboratif. Sebagai langkah untuk menjayakan hasrat
Kementerian Pendidikan Malaysia tersebut, saya mengarahkan setiap guru Matematik di sekolah
ini untuk mengimplementasikan elemen-elemen pembelajaran abad ke-21 dalam proses
pembelajaran dan pemudahcaraan bagi subjek Matematik. Untuk meningkatkan kefahaman guru
Matematik terhadap pembelajaran abad ke-21, saya sebagai ketua panitia telah memberikan
kursus kepada mereka tentang cara untuk mengaplikasikan pembelajaran abad ke-21 dalam bilik
darjah untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang bermakna.
Soalan:

Saya telah mendapat informasi bahawa pentaksiran bilik darjah telah mula dilaksanakan
di semua sekolah rendah bagi murid Tahap 1 bermula pada tahun ini. Sebagai ketua
panitia, apakah peranan cikgu dalam memastikan guru Matematik di sekolah ini
melaksanakan pentaksiran bilik darjah dengan efektif untuk merealisasikan hasrat
tersebut?

Jawapan:

Sebagai ketua panitia, saya perlu memastikan semua guru Matematik yang mengajar murid
Tahap 1 melaksanakan pentaksiran bilik darjah. Pentaksiran bilik darjah memerlukan peranan
guru sepenuhnya dalam melaksanakan pentaksiran terhadap murid. Murid yang dinilai secara
berterusan dalam pelbagai bentuk pentaksiran yang merupakan sebahagian daripada proses
pembelajaran dan pemudahcaraan iaitu dari aspek penilaian merangkumi pengetahuan,
kemahiran dan nilai. Kreativiti seseorang guru untuk menggunakan pelbagai kaedah dalam
menilai murid menerusi aktiviti-aktiviti seperti kuiz, permainan, main peranan, bercerita dan projek
mudah amat diperlukan. Namun demikian, guru-guru tetap tertakluk dengan pelaporan asas iaitu
Pelaporan Perkembangan Pelajaran Murid yang memantau perkembangan murid berdasarkan
skala-skala tertentu. Dalam hal ini, saya perlu memastikan bahawa semua guru Matematik Tahap
1 melaksanakan pentaksiran bilik darjah berdasarkan penerangan yang telah saya berikan
semasa perjumpaan panitia. Saya juga meminta semua guru Matematik Tahap 1 untuk
menghantar Pelaporan Perkembangan Pelajaran Murid setiap minggu.

Soalan:

Aspek kepemimpinan yang terakhir ialah pengawalan iaitu proses untuk menentukan dan
menjamin agar kegiatan pekerja terarah kepada pencapaian matlamat yang telah
ditetapkan. Oleh yang demikian, apakah yang cikgu lakukan untuk memastikan prestasi
guru-guru Matematik di sekolah ini berada pada tahap yang optimum khususnya dalam
pelaksanaan proses pembelajaran dan pemudahcaraan di dalam bilik darjah?
Jawapan:

Dari segi pengawalan, saya sebagai ketua panitia melakukan cerapan terhadap guru-guru
Matematik di sekolah ini. Tujuan cerapan yang saya lakukan terhadap guru-guru Matematik
adalah untuk menilai prestasi pelaksanaan proses pembelajaran dan pemudahcaraan guru
Matematik. Cerapan juga dilaksanakan untuk melihat sejauh mana penguasaan setiap guru
Matematik terhadap pelaksanaan pembelajaran dan pemudahcaraan berasaskan pedagogi abad
ke-21 yang kian diberikan penekanan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Di samping itu,
menerusi cerapan saya dapat melihat kelemahan guru-guru yang lain sekali gus membolehkan
saya untuk membimbing mereka melaksanakan pembelajaran dan pemudahcaraan dengan lebih
berkesan.

Soalan:

Komuniti pembelajaran profesional merupakan salah satu indikator yang signifikan untuk
membimbing guru melaksanakan pembelajaran dan pemudahcaraan dengan lebih
berkesan. Sebagai ketua kepada guru-guru yang lain, adakah cikgu melaksanakan konsep
komuniti pembelajaran profesional dan terangkan cara pelaksanaan tersebut?

Jawapan:

Saya juga berperanan sebagai ketua dalam pelaksanaan konsep komuniti pembelajaran
profesional di sekolah ini dalam mata pelajaran Matematik. Komuniti pembelajaran profesional
merupakan satu budaya kolaboratif dalam kalangan guru untuk mencapai prestasi yang baik
untuk murid-murid mereka. Antara strategi komuniti pembelajaran profesional yang saya
laksanakan ialah bimbingan rakan sebaya guru. Berdasarkan strategi ini, saya sebagai ketua
panitia memerhatikan proses pembelajaran dan pemudahcaraan yang dilaksanakan oleh guru
yang lain untuk membimbing mereka. Selain itu, saya juga melaksanakan strategi pembelajaran
menggunakan rancangan pengajaran harian iaitu saya dan rakan-rakan panitia yang lain
berbincang untuk menghasilkan rancangan pengajaran harian untuk dilaksanakan di dalam bilik
darjah. Setelah pelaksanaan tersebut, saya bersama guru-guru yang lain melakukan
perbincangan untuk menambah baik pengajaran masing-masing. Di samping itu, strategi
komuniti pembelajaran profesional yang saya gunakan ialah sesi perkongsian guru yang mana
semua guru Matematik berkongsi dan berbincang berkenaan dengan amalan pedagogi yang
baik.
Soalan:

Besar sungguh tanggungjawab cikgu sebagai ketua panitia matematik di sekolah ini.
Terima kasih cikgu kerana sudi melakukan sesi temu bual bersama dengan saya. Saya
berharap agar cikgu terus cemerlang dalam melaksanakan tugas dan menjadi pemimpin
yang berkaliber sebagai ketua panitia di sekolah ini. Saya juga berharap agar segala
perancangan yang dilakukan oleh panitia cikgu dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Jawapan:

Sama-sama Afzan, terima kasih juga kerana sudi menemu bual saya. Saya berharap agar kamu
memperoleh input-input baharu hasil daripada temu bual ini pada masa akan datang. Segala
yang saya sampaikan sebentar tadi boleh kamu jadikan panduan apabila bergelar guru pada
masa hadapan kelak.

You might also like