You are on page 1of 6

TUGASAN 1: ULASAN KRITIS

Tajuk Artikel : Teacher Professional Development in Malaysia: Issues and Challenges


(Pembangunan Profesion Keguruan di Malaysia: Isu dan Cabaran)

Pengarang : Hazri Jamil, Nordin Abd. Razak, Reena Raju dan Abdul Rashid Mohamed

Sumber : Jurnal - Universiti Sains Malaysia (2014)

Ulasan Artikel:

Seiring dengan perubahan zaman, sistem pendidikan di seluruh dunia juga


mengalami perubahan dan pembaharuan. Hal ini turut berlaku dalam bidang
pembangunan profesional keguruan. Guru pada zaman globalisasi ini bukan sahaja
memainkan peranan sebagai pendidik yang menyampaikan ilmu pengetahuan
malah juga berperanan sebagai agen perubahan dalam transformasi pendidikan di
seluruh dunia. Kualiti pendidikan Malaysia dan kualiti pendidik adalah amat penting
dalam usaha membina masyarakat yang maju dan saintifik selaras dengan matlamat
Wawasan 2020. Oleh itu, bagi memastikan matlamat tersebut tercapai, Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) telah memainkan peranan yang penting dalam
pembangunan profesional keguruan.

Pembangunan profesional dalam konteks pendidikan merujuk kepada


perkembangan guru dalam bidang profesionalnya. Pembangunan profesional
merupakan satu proses perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam
kalangan guru seiring dengan peredaran zaman yang semakin mencabar ini. Bagi
memastikan kualiti profesional keguruan di Malaysia, Kementerian Pendidikan
Malaysia telah mewujudkan dua jenis latihan keguruan, iaitu Institut Pengajian Tinggi
Awam (IPTA) untuk guru-guru sekolah menengah dan juga Institut Pendidikan Guru
(IPG) untuk guru-guru sekolah rendah serta guru prasekolah.
Guru merupakan individu yang memainkan peranan yang amat penting dalam
meningkatkan kualiti pendidikan dan melahirkan modal insan. Oleh hal yang
demikian, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk meningkatkan
perkembangan profesionalisme keguruan. Antaranya ialah latihan pra perkhidmatan.
Kelayakan merupakan satu syarat yang amat penting dalam menjamin
profesionalisme dalam bidang pendidikan. Bagi mendapat kelayakan tersebut,
seseorang guru harus mendapat pendidikan dan latihan ikhtisas untuk satu tempoh
tertentu seperti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Pendidikan guru yang
seumpama ini adalah amat penting bagi memastikan guru memahami dan
mendalami perkembangan kanak-kanak serta pedagogi pengajaran yang sesuai
diaplikasikan di bilik darjah. Dengan ini, guru dapat membantu murid-murid untuk
memperkembangkan potensi mereka mengikut minat dan keupayaan masing-
masing.

Di samping itu, seseorang guru harus meningkatkan perkembangan


profesionalisme dari semasa ke semasa bagi menjamin dan mengekalkan kualiti
profesional. Salah satu usaha untuk meningkatkan kualiti pengajaran ialah
melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran mengajar. Kerajaan
Malaysia telah menyediakan pelbagai seminar, kursus, latihan dan juga program
untuk guru supaya mereka sentiasa seiring dengan perubahan zaman. Hal ini turut
menunjukkan akauntabiliti guru terhadap diri sendiri kerana sentiasa berusaha
melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan ilmu-ilmu semasa. Guru harus
menguasai pedagogi pengajaran yang terkini supaya dapat memberi manfaat
maksimum kepada generasi muda negara.

Pelan Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPPB) untuk guru dan


pemimpin sekolah telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia mulai
tahun 2014 bagi memberi autonomi kepada mereka dalam meningkatkan
akauntabiliti terhadap pembangunan profesionalisme secara kendiri. Tujuan utama
pelaksanaan PPPB adalah untuk meningkatkan kualiti guru dan pemimpin sekolah
serta memperkasa profesion keguruan. Dato’ Sri Dr. Khair Mohamad Yusof dalam
Buletin Transformasi Pendidikan Malaysia 2015 mengatakan bahawa guru perlu
sentiasa melengkapkan diri dengan ciri-ciri pendidik profesion abad ke-21 bagi
memastikan mereka kekal relevan dan efektif dalam ekosistem pendidikan yang
dinamik dan mencabar ini. Lantaran itu, program-program seperti Latihan Dalam
Perkhidmatan dan Latihan Pembangunan Staf telah dilaksanakan.

Selain itu, guru juga harus menguasai kemahiran Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (TMK) bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Kemahiran TMK
merupakan satu kemahiran yang amat diperlukan bagi guru-guru zaman sekarang
kerana kebanyakan kerja-kerja pengurusan menggunakan komputer dan secara
talian. Sekiranya seseorang guru tidak mempunyai kemahiran TMK akan
mengakibatkan guru tersebut ketinggalan zaman. Tambahan pula, pengintegrasian
TMK dalam pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja dapat meningkatkan minat
murid terhadap sesuatu pelajaran malah juga dapat membantu murid untuk
memahami dan menguasai sesuatu konsep dengan lebih jelas. Semangat guru
dalam melengkapkan diri dengan ilmu TMK turut menunjukkan akauntabiliti
seseorang guru terhadap diri dan juga terhadap murid serta profesional keguruan.

Walaupun penggunaan TMK memainkan peranan yang amat penting dalam


dunia tanpa sempadan ini, namun seseorang guru tetap harus mematuhi kod etika
perguruan Malaysia. Sering kali terdapat guru yang suka berkongsi gambar-gambar
anak murid mereka di laman web sosial terutamanya Facebook dan Instagram.
Tindakan guru yang sebegini sebenarnya telah melanggar kod etika perguruan
kerana guru seharusnya menghormati hak setiap murid supaya maklumat sulit
mengenai diri murid tidak diberitahu kepada orang atau agensi yang tidak berkenaan.
Gambar-gambar murid seeloknya tidak didedahkan di mana-mana laman web sosial
tanpa kebenaran ibu bapa atau penjaga kerana dikhuatiri disalahgunakan oleh
pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dalam usaha mempertingkatkan profesionalisme keguruan, guru-guru turut


menghadapi masalah dalam pengagihan masa. Guru sering dibebani dengan
pelbagai kerja dan tugas di samping mengajar. Dalam artikel ini, pengarang telah
menyatakan bahawa kekangan masa merupakan cabaran terbesar dalam
pelaksanaan pembangunan profesional keguruan yang berkesan. Hal ini demikian
kerana guru mungkin menghadapi masalah dalam merancang pengajaran dan
pembelajaran dengan baik serta menjalankan penilaian perkembangan murid
dengan berkesan. Keupayaan guru untuk menguruskan masa dengan baik
menunjukkan akauntabiliti guru terhadap tugas dan kerja. Oleh itu, sebagai seorang
guru yang berkualiti dan efektif, kita haruslah bijak mengagihkan dan menguruskan
masa supaya semua kerja dapat dilaksanakan dengan baik.

Dalam hal ini, kemahiran pengurusan masa dapat membantu seseorang guru
menumpukan kepada kerja-kerja yang penting dahulu dan melakukannya dengan
lebih bijak. Contohnya, pada pendapat saya seseorang guru perlu merancang jadual
bekerja secara tersusun di mana tugasan rasmi perlu diutamakan dan diselesaikan
terlebih dahulu barulah diikuti dengan tugas-tugas sampingan seperti program
sekolah ataupun aktiviti kokurikulum sekolah. Sementara itu, guru juga harus
meluangkan masa lapang individu yang secukupnya untuk kegunaan diri. Hal ini
demikian kerana ruang masa untuk diri sendiri penting bagi melakukan perkara yang
diingini seperti berehat, bersukan atau berborak-borak dengan guru lain supaya
dapat mengurangkan beban stres yang dihadapi untuk seketika waktu.

Pada hemat saya, guru juga sepatutnya diberi pengkhususan tugas iaitu
memberikan tumpuan kepada pengajaran sahaja. Cadangan ini wujud dalam fikiran
saya kerana saya mendapati tugas guru di sekolah bukan sahaja mengajar
sebaliknya melakukan tugas-tugas pengurusan yang lain, di mana tugas-tugas
tersebut sepatutnya dijalankan oleh individu lain. Lebih-lebih lagi, saya merasakan
kerja-kerja lain guru lagi banyak daripada tugas mengajar sehinggakan proses
pengajaran dan pembelajaran sering terabai. Sebagai contoh, pada minggu hari
sukan sekolah yang diadakan pada minggu pertama saya menjalani internship, saya
melihat hampir semua guru diberi tugas seperti membuat bahan untuk hias rumah
sukan, melatih pembarisan dan persembahan murid, menguruskan padang sekolah,
menguruskan raptai hari sukan dan banyak lagi. Perkara ini menyebabkan ramai
guru tidak mempunyai masa untuk menyediakan bahan pengajaran dan
pembelajaran. Malah saya juga dapat melihat sesetengah guru sanggup membawa
murid ke tepi tapak perhimpunan untuk mengajar sambil menghias bahan rumah
sukan. Bukan itu sahaja, guru-guru pada zaman sekarang juga dipenuhi dengan
pelbagai jawatan seperti ketua kelas, pengendali kokurikulum, pengurusan data
murid dan sebagainya. Perkara ini semestinya akan mengganggu komitmen mereka
terhadap tugas-tugas hakiki di sekolah di mana hal ini akan menjadi semakin serius
apabila murid-murid mendapat implikasi negatif seperti gagal dalam peperiksaan
atau menghadapi masalah disiplin.
Dalam konteks ini, cara untuk menangani masalah yang sentiasa menjadi
kekangan besar guru-guru ini, saya mencadangkan pihak pentadbir sekolah untuk
mengehadkan jawatan besar dan tugas-tugas pengurusan kepada maksimum tiga
sahaja bagi seorang guru dalam sepanjang tahun. Contohnya, seseorang guru
hanya boleh memegang jawatan sebagai guru kelas, ketua Persatuan Bahasa
Melayu dan pengerusi Sambutan Hari Guru dalam sesuatu tahun. Saya yakin
dengan strategi ini di mana guru dapat mengurangkan beban mereka kerana guru
hanya perlu merancang dan mengendalikan tiga program itu sahaja dari awal tahun.
Selain itu, guru juga dipercayai boleh menjalankan tugasan yang diberikan dengan
lebih efektif kerana mereka dimaklumkan pada awal tahun supaya dapat membuat
segala aktiviti dengan terancang. Dengan ini barulah guru dapat membahagikan
tugas mengajar dan tugasan lain dengan tersusun dan seimbang.

Tambahan pula, tekanan emosi guru juga semakin ketara di sekolah akibat
beban kerja yang dipengaruhi oleh globalisasi dan modenisasi dalam bidang
pendidikan. Oleh itu, tanggungjawab guru semakin mencabar dan peranan guru juga
berubah menjadi lebih besar. Hal ini telah menyebabkan para guru menghadapi
tekanan emosi dan terdapat segelintir guru tidak dapat menghadapi tekanan kerja
dengan sebaik mungkin sehingga menjejaskan kesihatannya. Dalam konteks ini,
seorang guru yang gagal menjalankan tanggungjawab dan tugas akan memberi
mudarat kepada seluruh generasi (Chek Mat, 2008). Justeru, guru yang baik
mestilah sentiasa sedar akan kepentingan diri dan amanah yang dipikul oleh
mereka. Oleh yang demikian, guru mestilah memastikan diri mereka terlepas dari
masalah stres yang memudaratkan kesihatan atau kehidupan mereka. Pemeriksaan
kesihatan yang berkala perlu sentiasa dijalankan oleh para guru dalam memastikan
tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan yang baik. Guru mestilah berusaha
menjaga tahap kesihatan mereka kerana hal ini memberi kesan yang amat
mendalam kepada seorang guru. Umpamanya, guru yang mengalami masalah
kesihatan akan lebih cenderung mengalami masalah stres di sekolah sekaligus
memberi mudarat kepada profesion secara umumnya dan murid secara khususnya.

Kesimpulannya, akauntabiliti guru dan kod etika perguruan merupakan


elemen yang penting dalam perkembangan pembangunan profesionalisme
perguruan. Sebagai pendidik, guru bertanggungjawab terhadap tugas yang
diamanahkan iaitu menyampaikan kurikulum yang telah disediakan kepada murid-
murid dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Guru
seharusnya menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi, tidak
mementingkan diri sendiri dan tidak pilih kasih. Ciri-ciri ini adalah amat penting
kerana tugas guru berkait rapat dengan kualiti profesionalisme dalam bidang
perguruan. Disebabkan tingkah laku guru akan menjadi ikutan murid-murid di
sekolah, guru haruslah menunjukkan contoh yang baik dengan mematuhi kod etika
perguruan. Hal ini adalah bagi memastikan guru tidak akan lari dari landasan dan
tidak akan melakukan tindakan yang tidak wajar.

You might also like