You are on page 1of 5

PENULISAN ILMIAH

Perpaduan dan integrasi nasional merupakan dua konsep yang berkait rapat antara
satu sama lain dan sering digunakan secara berganti-ganti. Akan tetapi, perpaduan dan
integrasi merujuk kepada dua proses yang berbeza. Fadzil dan Ahmad (2010) menyatakan
bahawa perpaduan dalam sebuah negara merujuk kepada satu keadaan di mana rakyat dari
pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang
bersatu dengan memberi komitmen yang penuh dengan identiti kebangsaan berdasarkan
kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Integrasi nasional pula merupakan
satu proses dinamik yang merapatkan masyarakat antara negeri dan wilayah untuk
membentuk satu bangsa negara yang mempunyai identitinya sendiri berteraskan
Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Bagaimanapun, setelah berlakunya tragedi
13 Mei 1969, kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai dasar ekonomi dalam
memupuk perpaduan dan integrasi nasional antara berbilang etnik di negara ini.

Masalah ketidakseimbangan ekonomi di Malaysia ini telah wujud semasa era


penjajahan pihak asing dan selepas kemerdekaan Malaysia yang menjejaskan hubungan
antara etnik yang terdapat di negara ini. Antara faktor utama berlakunya ketidakseimbangan
ekonomi antara etnik perlu diteliti melalui agenda kemasukan pihak British dalam menjajah
Tanah Melayu dan melaksanakan dasar Pecah dan Perintah. Ramli dan Jamaludin (2011)
menyatakan bahawa dasar Pecah dan Perintah ini digunakan untuk spesialisasi pekerjaan,
segregasi tempat tinggal, pemisahan proses sosialisasi dan mobility, dan isolasi budaya.
Kesan dasar Pecah dan Perintah oleh penjajah British telah menimbulkan dwi-ekonomi iaitu
etnik bukan bumiputera dibiarkan maju dalam ekonomi moden seperti perniagaan, pembuatan,
pengeluaran getah dan perlombongan bijih timah yang memberi pendapatan yang tinggi,
manakala bumiputera dibiarkan bergiat terus dalam ekonomi pertanian tradisional (Ab
Rahman, Daud & Ahmad, 2009). Contohnya, kebanyakan orang Melayu didapati bekerja
dalam sektor pertanian tradisional dan dalam kerajaan manakala orang Cina dan India
menguasai sektor perdagangan, pembuatan, perlombongan, binaan dan estet getah pada
masa itu. Hal ini menyebabkan etnik Melayu mendapatkan pendapatan yang lebih rendah
daripada etnik Cina dan India. Masyarakat petani berbangsa Melayu, peniaga Cina dan juga
buruh ladang berketurunan India pada ketika itu merasa curiga antara satu sama lain serta
tidak berkomunikasi secara langsung disebabkan oleh taktik kotor yang diterapkan oleh British.

Ketidakseimbangan ekonomi antara etnik bertambah krisis lagi apabila jurang


kemiskinan yang luas antara etnik berlaku disebabkan oleh dasar penjajahan pihak British.
Etnik Cina tinggal di bandar-bandar menjalankan perniagaan dan juga di kawasan-kawasan
lombong sebagai pelombong lalu mereka sebenarnya memiliki aset yang tinggi dalam
ekonomi masyarakat Tanah Melayu. Sementara Etnik Melayu tinggal di luar bandar sebagai
petani atau nelayan kecil. Kaum India pula kebanyakannya sebagai buruh kasar kerajaan dan
pekerja di ladang. Pada hakikatnya, kegiatan ekonomi Etnik Melayu dan India adalah bercorak
sara diri. Keadaan ini menyebabkan kedudukan ekonomi masyarakat bumiputera khususnya
Melayu menjadi lemah dan ketinggalan. Corak penglibatan ekonomi antara etnik dalam
kegiatan ekonomi yang berbeza telah menjadikan kedudukan sosioekonomi mereka tidak
seimbang. Tujuan tempat tinggal dan penempatan pelbagai etnik ditempatkan di kedudukan
yang berbeza-beza adalah kerana pihak British ingin mengelakkan dan menyekat sebarang
usaha penyatuan yang membawa risiko penentangan kepada penjajahan (Rahim, Jalal, Alias
dan Ismail, 2018). British juga mengekalkan penduduk peribumi di kampung-kampung untuk
aktiviti pertanian bagi memastikan bekalan makanan penduduk Tanah Melayu tidak terjejas
dan mereka tidak digalakkan berhijrah ke kawasan-kawasan perlombongan, ladang atau ke
bandar untuk bekerja dengan Inggeris. Pola kependudukan ini telah menunjukkan
ketidakseimbangan taburan antara etnik lalu akan menimbulkan prasangka dan stereotaip
dalam kalangan ahli sesuatu golongan etnik terhadap golongan etnik yang lain.

Kegiatan ekonomi yang berbeza ini telah mewujudkan jurang pendapatan yang
berbeza antara satu etnik dengan etnik yang lain. Hal ini telah menimbulkan rasa tidak puas
hati dalam kalangan etnik dan persaingan ekonomi secara tidak sihat lalu menjadi salah satu
pencetus kepada peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa ini menjadikan ekonomi di Tanah Melayu
lagi teruk dan hubungan antara etnik menjadi amat tegang. Hasim (1986) menjelaskan
kejadian 13 Mei merupakan satu rusuhan antara orang Melayu dan Cina yang disertai juga
oleh orang India yang berlaku di Kuala Lumpur pada malam 13 Mei berikutan pilihan raya
umum ketiga. Kejadian tragedi ini telah mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda
yang banyak dan menjadi satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia. Kejadian dahsyat
ini telah membawa kerugian teruk kepada kerajaan kerana pelabur asing tidak lagi melakukan
perdagangan dan pelaburan dalam negara ini. Hal ini menyebabkan ekonomi negara menjadi
tidak seimbang. Etnik-etnik yang mengalami masalah ekonomi semestinya tidak mampu
melihat etnik yang lain mempunyai keupayaan ekonomi yang lebih baik daripada dirinya. Hal
yang demikian menyebabkan hubungan antara etnik terjejas akibat ketidakseimbangan
ekonomi yang berlaku dalam sekeliling mereka.

Ekoran daripada Peristiwa 13 Mei 1969, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi
Nasional di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah
ditubuhkan bagi menggerakkan program-program yang boleh memupuk perpaduan dan
muhibah dalam masyarakat (Ramli, 2018). Selanjutnya pelbagai program dari Rukun
Tetangga sehingga kepada program Sekolah Wawasan dan Program Khidmat Negara, telah
direka dan dilaksanakan untuk menangani dan memupuk perpaduan dan integrasi secara
lebih menyeluruh. Skim Rukun Tetangga telah dilancarkan untuk memastikan keselamatan
penduduk di kawasan-kawasan tertentu yang dikenali sebagai sektor berikutan kejadian-
kejadian yang menggugat perpaduan nasional seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969. Rukun
Tetangga berkembang sebagai organisasi sukarela di peringkat akar umbi berlandaskan Akta
Rukun Tetangga 2012 yang melaksanakan aktiviti atau perkhidmatan untuk tujuan memupuk,
meningkatkan dan mengukuhkan semangat kejiranan, perpaduan, kesejahteraan dan kualiti
hidup di dalam kalangan masyarakat (Abidin, Lyndon & Rahim, 2018). Hubungan pelbagai
etnik dapat dibaiki dengan menyertai aktiviti dan program yang dirancang oleh Jawatankuasa
Rukun Negara. Melalui aktiviti seperti permainan sukaneka, masyarakat pelbagai etnik di
tempat itu akan lebih mengenali sesama lain dari aspek agama dan budaya. Hal ini
membolehkan mereka lebih saling memahami dan semangat perpaduan dan integrasi
nasional dapat dipupuk. Dengan adanya perpaduan antara etnik, keseimbangan ekonomi
antara etnik tidak terjejas kerana semua masyarakat dapat hidup dengan sejahtera.

Langkah kerajaan yang seterusnya dalam menyeimbangkan ekonomi etnik dalam


memupuk perpaduan dan integrasi nasional dalam negara adalah dengan memperkenalkan
sekolah bestari dan diikuti dengan konsep sekolah wawasan. Razak (2009) memberi
pendapat mengenai konsep sekolah ini adalah bertujuan menggabungkan beberapa sekolah
yang terdiri daripada sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dalam satu kawasan
yang sama. Kerajaan mewujudkan sekolah yang berkonsepkan sebegini adalah untuk
melahirkan generasi yang boleh berinteraksi dan bekerjasama tanpa mengira kaum atau etnik.
Kebanyakan kemudahan sekolah seperti padang sekolah adalah digunakan secara bersama
oleh murid-murid yang pelbagai etnik. Dengan usaha ini, interaksi yang maksimum antara
semua warga sekolah yang berbilang etnik dapat digalakkan dan dapat mewujudkan generasi
yang mempunyai sifat toleransi dan persefahaman yang tinggi antara sesama lain. Dengan
pelaksanaan aktiviti-aktiviti di sekolah wawasan, murid-murid dapat mengenali kawan yang
berbagai-bagai bangsa dan latar belakang lalu dapat memupuk semangat integrasi dan
perpaduan di kalangan murid-murid. Generasi yang mempunyai semangat perpaduan dalam
jiwa semestinya dapat mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu dalam mengatasi
masalah masyarakat seperti masalah ketidakseimbangan ekonomi antara etnik dengan
mudahnya.

Dasar kerajaan yang seterusnya dalam usaha menyeimbangkan ekonomi antara etnik
adalah dengan melancarkan Program Latihan Khidmat Negara. Program Latihan Khidmat
Negara (PLKN) dilancarkan buat pertama kali pada 16 Februari 2004 setelah diluluskan oleh
parlimen dan program ini dianggap sebagai satu agenda nasional (Don, Shaari & Ajis, 2005).
Program Latihan Khidmat Negara merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan di Pusat
Latihan PLKN seluruh Malaysia bagi sesetengah daripada mereka yang terpilih apabila
menamatkan pendidikan sekolah menengah di Malaysia atau berumur 17 tahun ke atas.
Dasar ini dilaksanakan bertujuan bagi pembinaan sahsiah diri dan bermatlamatkan membina
serta mengukuhkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, memupuk perpaduan
kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.
Walaupun program ini telah ditangguhkan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Haji Mohd
Najib bin Tun Haji Abdul Razak semasa mengumumkan semakan Belanjawan 2015 pada 20
Januari 2015 untuk tujuan penjimatan kewangan, tidak dapat dinafikan bahawa program ini
mampu memupuk perpaduan dan integrasi nasional antara etnik (Keling & Mohamad, 2016).
Hal ini kerana program ini melibatkan masa latihan selama 3 bulan secara berkhemah dan
berasrama, oleh itu, peserta-peserta yang terdiri daripada pelbagai etnik harus saling
menolong dalam menyelesaikan latihan yang bertempoh lama ini. Peserta-peserta dapat
mengeratkan hubungan sesama lain semasa aktiviti PLKN yang memerlukan semangat
kerjasama yang tinggi. Peserta-peserta yang mengharungi tempoh latihan yang lama ini
semestinya mempunyai semangat cinta akan negara yang tinggi lalu akan lebih memahami
pentingnya mengekalkan hubungan baik dengan etnik lain dalam bersatu padu menjamin
keseimbangan ekonomi di Malaysia ini.

Kesimpulannya, Malaysia terdiri daripada etnik yang berbagai-bagai serta mempunyai


budaya dan amalan yang tersendiri. Masyarakat yang berbilang etnik harus saling memahami
dan menghormati etnik yang lain supaya tidak berlaku lagi peristiwa pahit yang boleh
menjejaskan hubungan etnik seperti tragedi 13 Mei 1969. Seluruh rakyat harus mengambil
iktibar daripada peristiwa yang lalu dan bersama-sama tidak membiarkan perkara yang sama
diulangi. Inisiatif yang paling kukuh adalah dengan melalui memupuk perpaduan dan integrasi
nasional dalam kalangan etnik-etnik di seluruh negara ini. Dengan adanya semangat
perpaduan dan integrasi nasional yang kukuh, ekonomi negara akan bertambah baik, jurang
ekonomi antara etnik juga dapat diseimbangkan lalu seluruh masyarakat dapat hidup dengan
aman dan sejahtera.
RUJUKAN

Ab Rahman, H., bin Daud, M., & binti Ahmad, N. (2009). Pembangunan Ekonomi dalam
Hubungan Etnik. Hubungan Etnik di Malaysia: Perspektif Teori dan Praktik, 185-198.

Abidin, N. Z., Lyndon, N., & Rahim, M. H. A. (2018). IMPAK PROJEK INOVASI
PENCEGAHAN JENAYAH KAWASAN PERUMAHAN: ANALISA DARIPADA
PANDANGAN KOMUNITI LOKAL (The Impact of Crime Prevention Project Innovation
of Housing Area: Analysis of the Views of Local Communities). e-Bangi, 13(5).

Don, Y., Shaari, A. S., & Ajis, M. N. E. (2005). Penilaian Program Latihan Khidmat Negara
(PLKN) melalui gagasan latihan fizikal.

Fadzil, N. S. H., & Ahmad, J. (2010, November). Kepentingan Kokurikulum Dalam Pendidikan
Di Sekolah Menengah. In Proceedings of The 4th International Conference on Teacher
Education.

Hasim, M. S. (1986). Pengaliran Berita Antarabangsa: Satu Kajian Terhadap Laporan


Kejadian 13 Mei, 1969 Oleh Akhbar Barat. Akademika, 28(1).

Keling, M. F., & Mohamad, M. H. (2016). Problems in the Malaysian Armed Forces (ATM) and
its Effects on Malaysia's National Defense Policy. Malaysian Journal of Social
Sciences and Humanities (MJSSH), 1(3), 66-82.

Rahim, R. A. A., Jalal, A. F. A., Alias, A. W., & Ismail, H. (2018). Perbandingan Pendekatan
Penjajahan British Dan Belanda. Jurnal Socio-Politica, 8(1), 111-126.

Ramli, A. F. (2018). SEJARAH DIALOG ANTARA AGAMA DI MALAYSIA (A History of


Interfaith Dialogue in Malaysia). Jurnal Hadhari: An International Journal, 10(2), 169-
190.

Ramli, M. A., & Jamaludin, M. A. (2011). Uruf Majmuk: Konsep Dan Amalannya Dalam
Masyarakat Majmuk Di Malaysia. Jurnal Fiqh, 8, 45-64.

Razak, M. R. A. (2009). Pembinaan Negara Bangsa Malaysia: Peranan Pendidikan Sejarah


dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. JEBAT: Malaysian Journal of History, Politics &
Strategic Studies, 36, 90-106.

You might also like