You are on page 1of 14

BML 3053

MORFOLOGI BAHASA MELAYU

Kata Akronim

EMIRA SYAZA WAFA BINTI MD RAFAR


(D20161074201)

ISMP MUZIK
SEM 2, SESI 2018/2019

PENSYARAH:
PROF. MADYA AHMAD KHAIR BIN MOHAMAD NOR

FAKULTI BAHASA DAN KOMUNIKASI


SENARAI KANDUNGAN

SENARAI KANDUNGAN i

1 KONSEP/DEFINISI 1

2 BENTUK 2

3 JENIS 6

4 PERBANDINGAN

4.1 Zaiton Ab. Rahman dan Rudiah Hj. Arshad (1982) 8

4.2 Amat Jauhari Moain (1985) 9

4.3 Nik Safiah Karim (2009) 10

5 KESIMPULAN 11

6 RUJUKAN 12
1. KONSEP/DEFINISI

Menurut Nik Safiah Karim (2009) proses pembentukan kata ialah proses yang terlibat dalam
penghasilan binaan-binaan perkataan. Proses ini adalah proses yang menunjukkan bagaimana
morfem dicantumkan dan disusun untuk membentuk perkataan sebagai unsur perkataan.

Menurut Tatabahasa Asas, perkataan dalam sesuatu Bahasa dapat dibahagikan kepada
beberapa bentuk. Yang dikatakan bentuk kata ialah pewujudan lahiriah sesuatu unsur kata. Selain
itu, kata akronim ialah kata yang dibentuk dengan cara menggabungkan bahagian-bahagian faripafa
beberapa perkataan sehingga menjadi satu perkataan.

Perkataan dalam Bahasa Melayu dibina melalui proses tertentu, yang disebut sebagai proses
morfologi atau proses pembentukan kata. Proses morfologi ialah proses yang dilakukan pada
sesuatu kata untuk membentuk kata lain. Sebagai contoh, kata dasar boleh melalui proses morfologi
untuk membentuk kata terbitan. Terdapat empat proses morfologi dalam Bahasa Melayu, iaitu
pengimbuhan, penggandaan, pemajmukan dan pengakroniman. Proses morfologi ini akan
menghasilkan beberapa bentuk kata iaitu kata terbitan, kata ganda, kata majmuk dan kata akronim.
Kata tunggal adalah kata yang tidak melalui apa-apa proses morfologi.

Pengakroniman ialah proses pemendekan yang menghasilkan item akronim, dengan tiem ini
dilafaz sebagai perkataan yang mantap. Menurut Tatabahasa Dewan, turut tergolong ke dalam
bentuk kata tunggal ialah kata akronim. Kata akronim ialah kata singkatan yang terbentuk dengan
menggabungkan huruf awal suku kata atau gabungan huruf awal dengan suku kata daripada satu
rangkai kata dan ditulis serta dilafazkan sebagai kata yang wajar.

!1
2. BENTUK

Menurut Tatabahasa Asas, kata tunggal ialah bentuk kata yang terdiri daripada morfem
bebas. Hal ini bermaksud bahawa kata tunggal ialah kata yang tidak mengalami apa-apa proses
morfologi kecuali akronim. Antara contoh bagi kata tunggal ialah bas, tidur, lupa, hidup dan cerpen.

Kata tunggal boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu kata sempurna dan kata tugas. Kata
sempurna adalah kata tunggal yang dapat berdiri sendiri. Selain itu, kata sempurna turut boleh
menjadi ayat minimal. Hal ini bermaksud bahawa kata sempurna ini boleh menjadi ayat yang
membawa mesej yang lengkap, tetapi terdiri daripada hanya satu perkataan. Sebagai contoh:

1. Dia.
2. Sana.
3. Buruk.
4. Pergi!
5. Kenapa?

Bentuk kata tunggal yang terdiri daripada kata tugas memerlukan sekurang-kurangnya salah
satu daripada kata sempurna untuk melaksanakan tugas tatabahasa. Sebagai contoh, kata-kata yang
ditulis condong di bawah tidak akan dapat berdiri sendiri tanpa bantuan daripada kata yang
mengikutinya.

6. di tandas
7. dengan basikal
8. untuk siapa?
9. oleh dia?

Kata tunggal dalam Bahasa Melayu boleh terdiri daripada satu suku kata, dua suku kata atau
lebih. Terdapat banyak kata tunggal yang boleh didapati daripada dua suku kata. Walaupun
demikian, terdapat juga kata tunggal yang terdiri daripada tiga suku kata atau lebih. Kebanyakan
kata tunggal yang terdiri daripada tiga suku kata atau lebih adalah kata pinjaman.

!2
Sesuatu suku kata hanya boleh terbentuk daripada satu vokal sahaja atau gabungan vokal
dengan konsonan. Konsonan boleh hadir sama ada di bahagian hadapan vokal atau di belakang
vokal. Juga, konsonan boleh hadir di bahagian hadapan dan belakang vokal secara serentak.

Bentuk Kata Tunggal Contoh Perkataan

Kata tunggal satu suku kata golf, pin, bom, roh


Kata tunggal dua suku kata ulat, tua, makan, pedang
Kata tunggal tiga suku kata derhaka, cuaca, manfaat, isteri
Kata tunggal empat suku kata atau lebih bijaksana, hulubalang, cenderawasih

Bentuk kata tunggal turut boleh terdiri daripada banyak golongan kata. Golongan kata
adalah kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Antara contoh kata tunggal yang terdiri
daripada golongan kata berikut ialah:

Golongan Kata Contoh Kata Tunggal

Kata Nama pasar, bunga, basikal, epal


Kata Kerja duduk, makan, masak, main
Kata Adjektif cantik, basah, keras, awl
Kata Tugas belum, pada, sungguh, dari

Kata akronim adalah kata yang dibentuk dengan cara menggabungkan bahagian-bahagian
daripada beberapa perkataan. Kesemua bahagian ini akan digabung sehingga menjadi satu
perkataan baru. Akronim adalah perkataan yang akan ditulis dan disebut sebagai satu perkataan
yang tergolong dalam kata tunggal.

Pengakroniman adalah satu proses pembentukan kata yang baharu dalam Bahasa Melayu,
terutamanya bagi pembentukan kata yang berkaitan dengan istilah. Pada sekitar tahun 1960-an dan
awal 1970-an, pada peringkat awal pelaksanaan perancangan dan pembinaan bahasa Melayu oleh
Dewa Bahasa dan Pustaka, pengakroniman merupakan salah satu kaedah dalam usaha untuk
membentuk istilah. Namun begitu, mulai tahun 1975, Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia telah

!3
memutuskan bahawa pembentukan istilah melalui kaedah tersebut tidak dibolehkan lagi kecuali jika
ada keperluan.

Selepas penetapan peraturan tersebut, bagi penggubalan istilah dalam bentuk akronim,
terutamanya bagi bidang ilmu telah berkurangan. Oleh itu, istilah yang terbit daripada gabungan
suku kata daripada perkataan “makan daun” iaitu “maging” dan “haiwan dualam” tidak lagi
popular. Istilah asal daripada Bahasa sumbernya iaitu Bahasa Inggeris dipinjam terus dan dijadikan
istilah Bahasa Melyu dengan dilakukan penyesuaian untuk menggantikan istilah-istilah tersebut.

Pembentukan akronim tidak digalakkan walaupun untuk tujuan istilah ilmu. Namun begitu,
akronim masih terus dibentuk dan digunakan oleh organisasi, syarikat, institusi, persatuan dan
pertubuhan-pertubuhan tertentu sama ada dalam sektor awam mahupun swasta. Hal ini adalah
bertujuan untuk memberi nama kepada organisasi, syarikat, institusi, persatuan dan pertubuhan-
pertubuhan tersebut. Hal ini demikian kerana, nama-nama yang dibina dalam bentuk akronim
adalah lebih senang untuk diingati dan disebut oleh orang ramai.

Akronim sebenarnya mempunyai pembentukan yang agak longgar, iaitu tidak berdasarkan
prinsip yang jelas. Sebaliknya, akronim lebih berprinsipkan kesan pembunyian gabungan beberapa
bahagian kata. Sebagai contoh, huruf dan huruf, huruf dengan suku kata, atau suku kata dengan
huruf daripada kata-kata yang mendasarinya. Akronim dan singkatan adalah dua perkara yang
berbeza kerana akronim dapat disebut seperti satu kata yang penuh. Sebagai contoh, UMNO dan
PAS adalah akronim kerana kedua-dua perkataan ini boleh disebut sebagai satu perkataan, tetapi
MIC dan MCA bukanlah akronim kerana kedua-dua perkataan ini tidak dapat dilafazkan sebagai
satu kata. Kata akronim termasuk dalam golongan kata tunggal serta dapat memasuki sistem nahu.
Sebagai contoh, ada antara kata akronim yang dapat digolongkan sebagai kata nama khas, kata
nama am, kata adjektif dan ada juga yang dapat menerima imbuhan.

Selain itu, terdapat juga akronim dalam Bahasa Melayu yang terbentuk hasil daripada
perkataan daripada Bahasa Inggeris. Misalnya, UDA (Urban Development Authority), MARDI
(Malaysian Agricultural Research and Development Institute) dan juga MAMPU (Management of
Man Power Unit). Juga, terdapat akronim yang terbentuk hasil daripada gabungan perkataan
daripada Bahasa Melayu juga banyak dan selalu digunakan. Nama-nama ini khususnya melibatkan

!4
nama institusi, pusat pengajian dan juga badan berkanun. Antara nama-nama berikut adalah
PETRONAS, INTAN, UPSI, JAKIM dan UNITEN. Kata-kata akronim tersebut adalah sama ada
berasaskan perkataan Bahasa Melayu ataupun Bahasa Inggeris. Kata-kata ini telah pun menjadi
sebahagian daripada kosa kata Bahasa Melayu walaupun ada yang tidak digunakan lagi pada masa
sekarang.

!5
3. JENIS

Berdasarkan kata-kata akronim yang ada dalam Bahasa Melayu, secara umumnya, kata-kata
tersebut dibentuk melalui beberapa gabungan. Gabungan tersebut adalah:

1. Gabungan huruf awal beberapa perkataan

ADUN - Ahli Dewan Undangan Negeri


ABIM - Angkatan Belia Islam Malaysia
UDA - Urban Development Authority
IPTAR - Institut Penyiaran Tun Abdul Razak

2. Gabungan suku kata dengan suku kata beberapa perkataan

hakis - habis kikis


tadika - taman didikan kanak-kanak
berdikari - berdiri di atas kaki sendiri
motel - motoris hotel
kugiran - kumpulan gitar rancak

3. Gabungan suku kata beberapa perkataan dengan huruf awal perkataan

UNITEN - Uniten Tenaga Nasional


INTAN - Institut Tadbiran Awam Negara
Perkim - Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia
UniKL - Universiti Kuala Lumpur
Perhilitan - Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara

4. Gabungan suku kata dengan perkataan penuh

purata - pukul rata


debunga - debu bunga
jentolak - jentera tolak
hartanah - harta tanah

!6
5. Gabungan bahagian-bahagian kata secara bebas

Petronas - Petroleum Nasional


Mara - Majlis Amanah Rakyat
Kementah - Kementerian Pertahanan
Puspanita - Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam
ucaptama - ucapan utama
puisidra - puisi drama
melodrama - melodi drama
cerpen - cerita pendek
SUARAM - Suara Rakyat Malaysia
PUSPATI - Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail
FELDA - Federal Land and Development Association

!7
4. PERBANDINGAN

Belum banyak penyelidikan yang mendalam tentang proses-proses pemendekan, iaitu


pembentukan kata yang berasaskan mekanisme pengurangan sebagai salah satu langkah
pembentukan kata dalam Bahasa Melayu dilakukan oleh para pengkaji bahasa Melayu. Kajian yang
dilakukan oleh tokoh yang berbeza telah pun mendapati hasil kajian yang berbeza.

4.1 Zaiton Ab. Rahman dan Rudiah Hj. Arshad (1982)

Kajian yang dibuat oleh Zaiton Ab. Rahman dan Rudiah Hj. Arshad (1982)
membincangkan pembentukan kata secara cantuman, iaitu “..kata yang dibentuk daripada
dua kata bebas atau lebih yang dicantumkan untuk menghasil satu kata baru.” Menurut
mereka, kata cantuman ini boleh terhasil daripada beberapa unsur kata. Hal ini bermakna
bahawa unsur kata tersebut adalah sama ada beberapa huruf, suku kata atau gabungan bagi
kedua-duanya dalam satu rangkai kata, serta dapat dilafazkan sebagai satu kata yang wajar
dah mempunyai makna tersendiri.

Menurut mereka lagi, pembentukan kata cantuman boleh terbahagi kepada tiga cara.
Kaedah pertama ialah penggabungan suku kata unsur sama ada suku kata pertama, kedua
ataupun suku kata akhir daripada perkataan-perkataan di dalam rangkai kata. Walau
bagaimanapun, suku kata yang menjadi pilihan sebagai cantuman perlulah dipilih
sembarangan dan kata cantuman yang terhasil “…mestilah sedap dan serasi dengan lidah
Melayu.” (Zaiton Ab. Rahman & Rudiah Hj. Arshad 1982). Sebagai contoh, berdikari
(berdiri atas kaki sendiri), lupus (luput hapus), dan linjah (lintang darjah). Selain itu,
penggabungan suku kata dengan kata sempurna atau kata wajar yang, menurut Zaiton Ab.
Rahman & Rudiah Hj. Arshad (1982), kata cantuman sebaliknya boleh merupakan unsur
kedua, sebagai contoh; kulapak (kulat lapuk), jenama (jenis nama) dan jalangkah (jalan
langkah).

Kaedah kedua adalah melalui kaedah penggabungan dan peleburan. Proses ini akan
menghasilkan banyak perkataan yang mempunyai unsur akhir kata pertama yang sama
dengan unsur awal kata kedua, manakala unsur yang terlibat mungkin dua huruf atau lebih

!8
yang tidak merupakan satu suku kata. Sebagai contoh, perkataan debunga (debu bunga),
rumpair (rumput air), dan jadualmanak (jadual almanak). Proses yang ketiga adalah
pemotongan dan penggabungan yang memotong unsur kata dalam rangkai kata untuk
menjadi unsur kata cantuman. Menurut Zaiton Ab. Rahman & Rudiah Hj. Arshad (1982),
“Unsur yang terpotong itu mungkin terdiri daripada beberapa huruf sahaja dan sering kali
juga salah satu unsur itu mempunyai konsosnan.” Antara contoh perkataan hasil daripada
cantuman ini adalah seperti cerpen (cerita pendek), bangkali (barang kali), dan andartu
(anak dara tua).

4.2 Amat Jauhari Moain (1985)

Perbincangan Amat Jauhari Moain pada tahun 1985 berkenaan pembentukan kata
dan istilah baharu telah turut menyelitkan beberapa perkara mengenaikan pembentukan
kata. Walaupun beliau memperkatakan proses-proses tersebut secara umum dengan
merujuk kepada bahasa-bahasa asing, beliau telah turut mengaitkan proses-proses tersebut
dengan bahasa Melayu. Proses-proses yang dimaksudkan adalah proses akronim,
pengemblengan dan penyingkatan.

Akronim adalah “…dilafazkan sebagai satu kata yang wajar” (amat Jauhari Moain
1985). Hal ini boleh dijadikan contoh dengan perkataan UMNO (United Malays National
Organisation) di mana huruf pangkal bagi setiap perkataan menjadi kata bagi konstituen
dalam akronim itu. Pengemblengan pula adalah proses menggemblengkan dua kata atau
lebih dengan menggugurkan sebahagian atau beberapa bahagian pada setiap kata yang
digembleng. Sebagai contoh, Kejora (Perbadanan Kemajuan Johor Tenggara), Proton
(Perusahaan Otomobil Nasional), cerpen (cerita pendek), dan hakis (habis kikis).
Penyingkatan pula adalah proses yang menyingkatkan perkataan panjang yang terdiri
daripada pelbagai kelas perkataan seperti kata nama am, kata nama khas dan kata adjektif.
Sebagai contoh, Yam Tuan (Yang di-Pertuan), Mat (Muhammad), lelabah (labah-labah),
lapan (delapan) dan baru (baharu).

!9
4.3 Nik Safiah Karim (2009)

Dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, Nik Safiah Karim menyatakan bahawa
akronim sebagai salah satu bentuk kata tunggal dalam Bahasa Melayu yang berlaku hasil
daripada proses pengakroniman. Akronim adalah kata singkatan yang terbentuk hasil
daripada gabungan huruf awal dan suku kata daripada satu rangkai kata. Akronim turut
boleh ditulis dan dilafazkan sebagai perkataan yang utuh.

Pada pendapat Nik Safiah Karim (2009), terdapat tiga proses pengkroniman. Proses
pengakroniman yang pertama ialah dengan menggabungkan beberapa huruf awal rangkai
kata yang kemudiannya ditulis dengan huruf besar kesemuanya kerana sering kali
merupakan kata nama khas. Sebagai contoh, akronim ABIM (Angkatan Belia Islam
Malaysia), dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri). Jenis kedua Ialah pengakroniman
yang menggabungkan suku kata dengan huruf awal atau gabungan suku kata dengan suku
kata, seperti akronim Mara (Majlis Amanah Rakyat Malaysia) dan Perkeso (Pertubuhan
Keselamatan Sosial). Akhir sekali, pengakroniman yang ketiga adalah pembentukan
akronim melalui penggabungan suku kata dengan suku kata. Sebagai contoh, perkataan
tabika (taman bimbingan kanak-kanak) dan pawagam (panggung wayang gambar).

!10
5. KESIMPULAN

Natijahnya, jelaslah bahawa penggunaan kata akronim telah banyak membantu orang ramai
dalam mengingati nama-nama yang sukar untuk diingati terutamanya dalam proses pembelajaran.
Kata akronim juga dapat membantu guru dalam proses pembelajaran di mana kata akronim
membantu guru-guru dalam menjadikan pembelajaran lebih menarik. Namun begitu, kata akronim
ini tidak banyak mendapat perhatian oleh pakar-pakar bahasa kerana mereka merasakan bahawa
pembentukan akronim tidak mempunyai peraturan yang mantap. Oleh itu, lebih banyak kajian perlu
dilaksanakan agar proses pembentukan kata akronim boleh diteruskan dan mempunyai peraturan
yang tersendiri.

!11
6. RUJUKAN

1. Safiah Karim (2009). Tatabahasa Dewan. Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
2. Proses Pemendekan dalam Pembentukan Kata Submorfologi Bahasa Melayu: Satu
Tinjauan Awal. (2014).
3. Ahmad Khair Mohd Nor. (2012). Tatabahasa Asas. Edisi Kedua. Rawang, Selangor:
Persatuan Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia.
4. Ahmad Khair Mohd Nor. (2019). Teks Lengkap Tatabahasa Bahasa Melayu STPM.
Edisi Ketiga. Kundang Jaya, Selangor: Pustaka Salam Sdn. Bhd.

!12

You might also like