You are on page 1of 18

SMK TUN ABDUL RAZAK,

36200 SELEKOH.

KERJA KURSUS SEJARAH


940/4

PROPOSAL KAJIAN

TAJUK
Tokoh Seni Budaya Encik Zulkepli Bin Nordin:
Signifikan Dalam Melestarikan Tarian Dabus
Di Bagan Datuk Pada Tahun
(1989-2011).

NAMA: MAIZATUL ASHIDAH BINTI ISHA (990421-08-9038)


KELAS: 6 A1 (SESI 2018)
PEMBIMBING: PUAN KHAIRUL BADARIAH BINTI SHAHARUDDIN
PENGHARGAAN

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pentadbir sekolah SMK Tun
Abdul Razak khasnya kepada pengetua , Puan Zuraida Binti Zainal Abidin dan Penolong Kanan
Tingkatan Enam Encik Mohamad Nazim Shah Bin Mohd Nasir kerana memberi sokongan dan
kelulusan kepada saya untuk melaksanakan kerja kursus ini.

Dalam usaha menjayakan kerja kursus ini , saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan
kepada Puan Khairul Badariah Binti Shaharuddin selaku guru Sejarah saya. Beliau telah
meluangkan banyak masa dalam memberi tunjuk ajar dan membimbing saya untuk
menyempurnakan kerja kursus ini. Seterusnya, saya juga berterima kasih ktelah memberi nasihat
, mengorbankan masa dan memberi galakan kepada saya sepanjang penghasilan kerja kursus ini.

Tidak lupa juga kepada ibu saya yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada saya dalam
menyiapkan kerja kursus ini, iaitu Sharifah Nazirah Binti Syed Arfaksaz. Jutaan terima kasih juga
kepada bapa saya iaitu Isha Bin Basri yang tidak putus asa memberi semangat kepada saya agar
menyiapkan tugasan ini.

Penghargaan juga diberikan kepada responden saya iaitu Encik Zulkepli Bin Nordin kerana sudi
meluangkan masa untuk berkongsi cerita mengenai dirinya kepada saya.

Akhir kata, seikhlas tulus kepada semua pihak yang telah membantu saya secara langsung atau
tidak langsung dalam menyiapkan kerja kursus ini.

PENGENALAN
Dabus adalah kesenian yang mempertunjukkan kemampuan manusia luar biasa,seperti
kebal terhadap senjata api atau minum air keras.Tarian Dabus ini dikenal juga sebagai tarian
kepahlawanan kerana memperlihatkan “keluarbiasaan” dalam pertunjukannya.Menurut catatan
sejarah,tarian dabus telah dibawa ke Malaysia oleh Nurrudin Ar-Raniry iaitu daripada Acheh pada
tahun 1637.Tarian ini telah berkembang di Perak yang telah dibawa oleh Nakhoda Lembang dan
Nakhoda Topah pada tahun 1600 M.Di Perak,tarian dabus telah berkembang di tiga kawasan
utama iaitu daerah Pasir Panjang Laut,Bagan Datoh dan Kuala Selangor.Di Bagan Datuk
pula,terdapat tokoh yang telah melestarikan tarian dabus iaitu Encik Zulkepli Bin Nordin.Beliau
telah menyambung legasi ayahnya Encik Nordin Bin Ahmad yang merupakan orang kuat dalam
tarian dabus di Bagan Datuk.Sehingga kini,beliau telah mempunyai kumpulan dabus yang dikenali
sebagai Kumpulan Intan Terpilih.Tokoh Seni Budaya ini juga telah membuka kelas supaya
masyarakat dapat didedahkan dengan seni tarian ini agar dapat dikekalkan dan diwarisi oleh
generasi akan datang.

OBJEKTIF KAJIAN

Kajian ini dilaksanakan bagi mencapai beberapa objektif.Antaranya:


1) Pengkaji ingin mengetahui sejarah asal-usul Tarian Dabus di Negeri Perak.

2) Pengkaji ingin mengkaji latar belakang keluarga dan pendidikan tokoh seni budaya dalam
Tarian Dabus di Bagan Datuk.

3) Pengkaji dapat menyelidiki peranan dan cabaran yang dihadapi oleh tokoh seni budaya Encik
Zulkepli Bin Nordin dalam melestarikan Tarian Dabus di Bagan Datuk.

4) Pengkaji dapat menganalisis pencapaian yang telah diperoleh oleh tokoh seni budaya Encik
Zulkepli Bin Nordin dalam melestarikan Tarian Dabus di Bagan Datuk.

PERSOALAN/PERMASALAHAN KAJIAN

1) Pengkaji dapat mengetahui asal-usul Tarian Dabus di Bagan Datuk.

2) Pengkaji dapat menceritakan latar belakang keluarga Encik Zulkepli Bin Nordin.

3) Pengkaji dapat mengetahui latar belakang pendidikan yang diterima oleh tokoh daripada
sekolah rendah sehingga sekolah menengah.

4) Pengkaji juga dapat mengaitkan peranan tokoh sebagai penyambung legasi dalam
melestarikan Tarian Dabus di Bagan Datuk.

5) Pengkaji juga dapat menjelaskan cabaran tokoh dalam memartabatkan Tarian Dabus
sepanjang 20 tahun di Bagan Datuk.

6) Kajian ini juga dapat menganalisis pencapaian yang telah diperolehi oleh tokoh dalam
mengangkat Tarian Dabus sebagai tarian warisan di Bagan Datuk.

SKOP KAJIAN

Aspek tema kajian dipilih melibatkan tokoh dalam bidang kesenian dan kebudayaan di
mana tokoh tersebut merupakan anak jati Bagan Datuk yang banyak menabur jasa dalam
mengangkat seni Tarian Dabus.Malah,masih belum ada kajian berkaitan tokoh ini dijalankan.
Dalam usaha menonjolkan tokoh tempatan ini,skop masa yang dipilih merangkumi
tempoh 20 tahun iaitu dari tahun 1989 hingga tahun 2011.Tempoh kajian ini dipilih berdasarkan
peranan dan cabaran dalam memartabatkan Tarian Dabus di Bagan Datuk.Pencapaian yang telah
diterima oleh beliau turut dikaji dalam tempoh masa kajian ini dijalankan.

Bagi skop kawasan pula,Daerah Bagan Datuk dilihat sangat sesuai memandangkan
sepanjang tempoh kajian tokoh telah lahir,menetap dan berkecimpung di kawasan tersebut dan
impak pencapaian tokoh sangat jelas di kawasan ini.

KAEDAH KAJIAN

Dalam penghasilan kajian sejarah ini,kaedah kajian yang diguna pakai sangat penting
dalam usaha mendapat pelbagai maklumat berkaitan tokoh yang dikaji.

Antaranya,kaedah kepustakaan di mana pusat sumber menjadi lokasi utama bagi


mendapatkan sumber rujukan yang sesuai sama ada dari sumber buku, jurnal, artikel dan sumber
internet.
Kaedah seterusnya ialah kaedah temubual bagi memperolehi sumber primer secara
lisan.Temubual dianggap antara kaedah yang penting kerana melaluinya,pelbagai sumber primer
dapat diperolehi.Temubual boleh dijalankan bersama tokoh, ahli keluarga terdekat dan pelajar
yang menyertai Pertubuhan Tarian Dabus ini.

Akhirnya,kaedah lapangan turut digunakan bagi melengkapkan maklumat berkaitan


tajuk.Kerja lapangan ini melibatkan pengkaji.mengunjungi kawasan kajian bagi menjalankan soal
selidik terhadap responden yang pernah terlibat di bawah pimpinan tokoh .Maklumat kerja
lapangan mampu memperkukuhkan maklumat berkaitan kajian tokoh tersebut.

PEMBAHAGIAN STUKTUR ESEI

Secara keseluruhannya,kajian dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu


pengenalan,isi dan kesimpulan.

Bahagian pengenalan menerangkan asal-usul Tarian Dabus di Perak.Perkara umum


berkaitan tokoh seperti latar belakang keluarga,pendidikan dan penglibatan awal dalam bidang
kesenian dan kebudayaan, dan mengaitkannya secara umum tujuan kajian dilakukan.Melalui
pengenalan,dapat membantu pengkaji mengenali tokoh secara umum.
Bahagian isi,pengkaji memberi fokus kepada tiga aspek utama yang menjadi
permasalahan / persoalan kajian iaitu peranan,cabaran dan pencapaian tokoh dalam bidang
kesenian dan kebudayaan.Jelas menunjukkan tokoh banyak memperolehi pencapaian dan
meninggalkan impak yang positif dalam aspek kesenian dan kebudayaan di Daerah Bagan Datuk.

Bahagian kesimpulan menjelaskan rumusan hasil kajian berkaitan tokoh di mana kajian
ini bakal menjadi kajian rintis berkaitan tokoh berkenaan.

PENUTUP

Tarian Dabus telah berkembang dengan baik di Bagan Datuk kerana tarian ini telah
melambangkan identiti dan menjadi satu warisan yang dapat dibanggakan.Tarian ini juga dapat
ditonjolkan kepada pelancong agar dikenali oleh negara luar.Ini kerana, Tarian Dabus merupakan
salah satu tarian yang unik.Oleh itu,tarian ini perlu diajar kepada anak-anak muda supaya mereka
lebih mengenali tarian warisan ini.Harapan saya agar Tarian Dabus terus dikekalkan untuk
generasi akan datang agar tidak pupus dan lenyap.

SOROTAN KAJIAN

Dalam kajian ini,pengkaji akan menggunakan fakta-fakta yang pernah diterbitkan.Pengkaji


akan menggunakan bahan-bahan rujukan seperti buku,majalah,jurnal,artikel dan akhbar yang
berkaitan dengan Tarian Dabus ini. Pengkaji dapat menganalisa sumber rujukan supaya
memperolehi maklumat mengenai kajian yang telah ditulis oleh Rohana Salim dan Mohamed
Roselan Malek melalui buku Tarian Tradisional,Dabus yang menerangkan peralatan muzik yang
digunakan dalam Tarian Dabus.Buku ini juga menyatakan seni kata lagunya berkait rapat dengan
unsur keagamaan.Kajian ini telah disokong melalui jurnal yang ditulis oleh Nurfarhana Shahira
Rosly dan Mohd Sharifudin Yusop, Analisis Interpretasi Lirik Dabus Yang Diamalkan oleh
Masyarakat di Bagan Serai,Perak .Melalui bahan ini,pengkaji dapat mengetahui seni kata lirik
Tarian Dabus yang berkaitan tema ketuhanan.
Seterusnya,melalui artikel Dabus tulisan Oni Moraza pada tahun 1989. Artikel ini
menceritakan bahawa setiap langkah dalam Tarian Dabus mempunyai nama dan membawa
maksud yang tersendiri.Artikel ini telah disokong oleh Utusan Melayu,August 7,2006 melalui
artikel Tarian Dabus Begitu Unik .Melalui artikel ini pula,menjelaskan bahawa Tarian Dabus
adalah tarian untuk pahlawan yang menang dalam peperangan.Di samping itu,tulisan umi
Abdullah turut menyokong kajian ini menerusi buku yanag bertajuk Dabus:Siri Mengenal Budaya
.Dalam buku ini,Umi Abdullah telah menerangkan bahawa setiap tarian mempunyai interpretasi
pergerakan yang lemah-lembut dan unik dari segi lenggang-lenggok.Melalui kajian ilmiah,saya
mendapat maklumat baru tentang Tarian Dabus dari aspek akademik.
Tokoh Seni Budaya Encik Zulkepli Bin Nordin:

Signifikan dalam Melestarikan Tarian Dabus Di Bagan Datuk Pada Tahun (1989-2011)

Sejarah Asal Usul Tarian Dabus

Tarian Dabus adalah kesenian yang mempertunjukkan kemampuan manusia yang luar biasa
seperti kebal terhadap senjata yang tajam.Dabus ini juga merupakan tarian kesenian bagi Negeri
Perak.Menurut catatan sejarah, dabus ini sebenarnya ada hubungan dengan Tarikat Rifaiah yang
dibawa oleh Nurrudin Ar-Raniry ke Acheh pada tahun 1937 M.Pada mulanya, dabus ini bukanlah
sejenis tarian tetapi merupakan seni bela diri.Disebabkan itu, dabus dikenali juga dengan tarian
kepahlawanan.Dalam sejarah kesenian Melayu, dabus bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi
juga sebagai kontribusi untuk mempertahankan kedaulatan serta mengangkat martabat suatu
bangsa.Dalam konteks kekinian pula, dabus ini hanya bertujuan untuk hiburan.Tarian dengan
semangat kepahlawanan ini dijadikan simbol-simbol keberanian yang banyak digemari oleh
masyarakat ramai.

Dari aspek Islam pula, Tarian Dabus diperkenalkan oleh pengikut Sayidina Ali (Kaum
Syiah) yang dipersembahkan untuk memperlihatkan kehebatan dan kekebalan orang Syiah dalam
suasana perang agar pihak lawan tidak berani mengganggu mereka.Kesenian ini pernah
berkembang di Acheh dengan sebutan Daboh melalui pedagang Arab dan kemudian tersebar ke
seluruh nusantara seperti Banten dengan sebutan Debus manakala Bugis dan Malaysia menyebut
Dabus.

Pada tahun 1600 M, tarian ini telah berkembang di Perak melalui dua orang pedagang dari
Batu Bahara yang bergelar Nakhoda Lembang dan Nakhoda Topah. Mereka telah merantau ke
Perak dan tinggal di daerah Telaga Nenas, Sitiawan. Semasa berada di daerah ini, mereka telah
berlatih dengan memainkan dabus pada malam hari sehingga mampu menarik perhatian penduduk
setempat .Oleh yang demikian, penduduk setempat telah mempelajari tarian ini dan mula
diperkembangkan. Beberapa tahun kemudian, Nakhoda Lembang dan Nakhoda Topah telah
berpindah ke daerah Pasir Panjang Laut, Bagan Datoh dan Kuala Selangor. Tarian Dabus turut
diajar di daerah ini.
Latar Belakang Keluarga Encik Zulkepli Bin Nordin

Di Bagan Datuk, terdapat seorang tokoh yang telah melestarikan Tarian Dabus iaitu Encik
Zulkepli Bin Nordin. Beliau merupakan seorang tokoh yang amat disegani oleh penduduk Bagan
Datuk kerana beliau banyak menabur khidmat dan sumbangan kepada penduduk tempatan
terutamanya dalam bidang kesenian dan kebudayaan. Beliau yang kini lebih lagi dikenali sebagai
Encik Jeko oleh penduduk tempatan telah dilahirkan pada tanggal 26 Mac 1965 di Bagan Datuk,
Perak dan kini umurnya sudah mencecah 53 tahun. Beliau merupakan anak ke-10 daripada 11
orang adik-beradik dan telah dibesarkan bersama-sama oleh ibu bapanya yang tercinta di Bagan
Datuk. Beliau merupakan anak kepada pasangan Encik Nordin Bin Ahmad yang berasal dari
Kampung Pasang Api, Bagan Datuk dan Puan Mariah Binti Taib yang berasal dari Kampung
Sungai Nipah Baroh, Bagan Datuk.Bapa beliau telah pun meninggal dunia manakala ibunya masih
ada dan tinggal bersamanya.

Semasa kecil, kehidupan beliau tidaklah begitu senang. Bapa beliau hanya bekerja
kampung. Oleh itu, pendapatan bapanya tidaklah begitu banyak. Hampir setiap hari mereka akan
makan makanan yang sama iaitu nasi berlauk ikan bilis. Jika pagi pula, ibunya pasti akan
menyediakan cekodok untuk keluarganya. Selain itu, beliau akan menolong ibunya untuk
melakukan kerja rumah seperti membasuh baju, menyapu sampah dan sebagainya jika ada masa
terluang. Selepas itu, beliau akan menyiapkan kerja sekolahnya bersama-sama adik- beradiknya.
Setiap petang pula,beliau akan bermain- main bersama adik-beradiknya seperti bermain ting-ting
dan konda kondi. Dengan ini, hubungan beliau bersama adik-beradiknya akan lebih erat lagi.
Beliau juga akan memancing di sungai ataupun parit-parit untuk mendapatkan rezeki. Jika hasil
yang diperoleh pada hari itu banyak, beliau akan menjualnya untuk mendapatkan sedikit wang
tabungan. Walaupun begitu, beliau tidak pernah pulang lewat ke rumah kerana ayahnya akan
marah jika pulang lewat. Ini kerana ayahnya menyatakan bahawa jika pulang pada waktu senja,
banyak syaitan yang sedang berkeliaran.

Apabila malam, Encik Zulkepli akan belajar mengaji bersama-sama adik-beradiknya.


Ayahnya, Encik Nordin akan mengajar mereka setiap hari. Menurut beliau, ayahnya begitu tegas
semasa mengajar mereka mengaji. Jika ada di antara mereka yang membaca Al-Quran tidak betul,
pastinya ayah mereka akan memukul rotan pada lantai. Beliau juga turut berkongsi pengalamannya
semasa belajar mengaji dengan ayahnya. Menurut Encik Nordin, beliau pernah dimarahi oleh
ayahnya sehingga membuatkan dia menangis. Ini kerana beliau merupakan seorang yang manja
dan mudah tersentuh hatinya. Selain mengaji, beliau akan menunaikan solat berjemaah bersama
ahli keluarganya pada setiap waktu solat. Keluarga beliau sangat menitikberatkan agama.
Latar Belakang Pendidikan Encik Zulkepli Bin Nordin

Pada tahun 1972,Encik Zulkepli Bin Nordin telah mendapat pendidikan awal di Sekolah
Kebangsaan Bagan Datuk ketika berumur 7 tahun. Beliau memilih sekolah tersebut kerana
berdekatan dengan tempat kediaman beliau di Taman Perumahan Awam ,Bagan Datuk. Ketika di
sekolah rendah, beliau merupakan seorang murid yang baik serta mematuhi arahan guru. Tugasan
yang diberikan oleh guru sering disiapkan sebelum melakukan aktiviti lain. Namun begitu, beliau
tidaklah aktif dalam aktiviti kokurikulum semasa di sekolah. Encik Zulkepli telah menamatkan
pendidikan di sekolah rendah sehingga darjah enam. Beliau telah menduduki Penilaian Darjah
Lima pada tahun 1976.Tetapi ,keputusan yang diterima tidaklah begitu cemerlang. Semasa di
sekolah rendah, beliau hanya berbelanja sebanyak RM 1 sahaja kerana kehidupan keluarga beliau
yang susah. Ibu beliau pasti akan membekalkan makanan seperti ubi goreng dan cekodok untuk
beliau makan di sekolah. Wang saku yang diperolehi daripada bapa beliau akan di simpan sebagai
tabungan. Kadangkala beliau teringin untuk makan makanan seperti kawan-kawannya yang lain.
Tetapi keadaan hidup yang sederhana membuatkan beliau bersabar dengan dugaan hidup.

Pada tahun 1978,Encik Zulkepli Bin Nordin telah menyambung pelajarannya di Sekolah
Menengah Kebangsaan Bagan Datuk yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan
Seri Muara. Sekolah ini berdekatan dengan rumahnya kerana terletak bersebelahan dengan sekolah
rendah beliau. Pada tahun 1980,Encik Zulkepli telah menduduki Peperiksaan Sijil Rendah
Pelajaran (SRP) ketika berumur 15 tahun. Menurut beliau, SRP merupakan peperiksaan yang
dilaksanakan kepada murid Tingkatan Tiga yang kini telah ditukar kepada Pentaksiran Tingkatan
Tiga (PT3).Menurut beliau lagi, murid yang gagal dalam SRP tidak boleh meneruskan pelajaran
di Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima. Beliau bersyukur kerana telah lulus dalam peperiksaan
tersebut dan dapat meneruskan pelajaran sehingga Tingkatan Lima iaitu pada tahun 1982.Beliau
telah menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang merupakan pencapaian tertinggi beliau
dalam bidang pendidikan. Semasa di sekolah menengah, beliau juga tidak aktif dalam bidang
kokurikulum dan hanya merupakan ahli biasa sahaja. Di sekolah menengah, beliau lebih matang
dalam membuat keputusan. Beliau lebih memikirkan cara untuk meningkatkan taraf hidup supaya
lebih senang.
Latar Belakang Pekerjaan Encik Zulkepli Bin Nordin

Pada tahun 1983 hingga 1984,Encik Zulkepli telah menempuh alam pekerjaan ketika
berumur 19 tahun selepas menamatkan alam persekolahan. Beliau telah merantau ke Kuala
Lumpur untuk mencari kerja .Di Kuala Lumpur, beliau telah diterima kerja sebagai pembantu
kedai runcit .Kedai runcit tersebut terletak di Jalan Chowkit yang berhampiran dengan rumah
sewa beliau. Pada masa itu, beliau telah menerima gaji sebanyak RM 450 sebulan. Bagi beliau,
gaji yang diterima tidak mencukupi untuk menyara hidupnya kerana terpaksa membayar sewa
rumah sebanyak RM 150 yang dikongsi bersama rakan yang lain. Beliau terpaksa berkongsi bilik
air beramai-ramai, membayar bil elektrik dan bil air serta tambang bas untuk ke tempat kerja .Di
sana, beliau belajar kesusahan dalam menempuh alam pekerjaan demi menyara kehidupan. Oleh
sebab itu, beliau hanya bekerja selama setahun sahaja kerana kekangan hidup di Kuala Lumpur
yang tinggi.Akhirnya, Encik Zulkepli Bin Nordin telah pulang ke kampung untuk bekerja di
kampung. Beliau telah melakukan kerja-kerja kampung seperti meracun rumput, menebas rumput
di kebun dan mengait buah kelapa. Melalui kerja tersebut, beliau hanya menerima upah sebanyak
RM 10 hingga RM 15 sehari bagi menyara hidupnya. Sementara mencari kerja lain, beliau telah
mengambil keputusan untuk tinggal bersama keluarganya dalam tempoh setahun.

Pada tahun 1986 hingga tahun 1992,Encik Zulkepli telah diterima bekerja di Majlis Daerah
Hilir Perak iaitu di Teluk Intan selepas melakukan permohonan menggunakan keputusan SPM
beliau. Beliau telah bekerja di sana selama 6 tahun. Setiap bulan,beliau hanya menerima gaji
sebanyak RM 879 sahaja. Namun, beliau bersyukur kerana telah diterima bekerja di sana. Ini
kerana, pekerjaan tersebut sukar untuk diperolehi pada ketika itu. Bagi beliau, kenangan manis
bersama rakan-rakan ketika melaksanakan tugas tidak dapat dilupakan. Beliau pernah kehabisan
wang sementara menunggu gaji keluar. Selama beberapa hari beliau berlapar kerana tidak
mempunyai wang untuk membeli makanan. Sifat beliau yang mudah mesra dan peramah
membuatkan beliau mempunyai ramai kawan. Oleh itu, kawan-kawan beliau telah meminjamkan
wang kepada beliau sementara menunggu gaji. Dengan itu, beliau mengetahui bahawa
persahabatan itu amat tinggi nilainya. Bagi beliau, kenangan itu masih segar dalam ingatannya.

Pada tahun 1992 hingga tahun 1995,Encik Zukepli telah diterima bekerja sebagai
Pembantu Am di Pejabat Daerah di Manjung. Di sana, beliau telah bekerja selama tiga tahun dan
telah dibayar gaji sebanyak RM 1216. Ketika itu, beliau berumur 26 tahun. Tugas yang beliau
lakukan sebagai Pembantu Am ialah merekod penerimaan surat, membantu mengurus rekod-rekod
stok dan inventori, mengurus fail-fail pejabat dan mengemaskini rekod perolehan akhbar dan
majalah. Disebabkan tempat tinggal beliau agak jauh dengan tempat kerja, beliau telah mengambil
keputusan untuk memohon kerja lain.

Pada tahun 1995, permohonan beliau telah berjaya. Beliau telah mendapat pekerjaan lain
iaitu di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Bagan Datuk ketika berumur 30 tahun. Gaji yang
diterima oleh beliau ialah RM 2253. Sehingga kini beliau masih bekerja di jabatan tersebut dan
telah mencecah 23 tahun tempoh pekerjaannya. Sepanjang tempoh pekerjaan, beliau telah
menerima pelbagai anugerah daripada jabatan sebagai tanda penghargaan kepada beliau.
Antaranya ialah pada tahun 2008 dan 2009, beliau telah menerima Anugerah Perkhidmatan
Terampil. Ini kerana beliau sangat menonjol dalam melaksanakan tugas. Selain itu, beliau telah
menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2010. Dengan penerimaan anugerah
penghargaan ini, beliau telah lebih bersemangat untuk melaksanakan tugas. Bagi beliau, anugerah
yang diterima adalah satu amanah yang telah diberikan oleh jabatannya bagi memantapkan lagi
organisasi dan kualiti kerja mereka.
Peranan dan Cabaran Yang Dihadapi Oleh Encik Zulkepli Bin Nordin.

Dalam melestarikan Tarian Dabus di Bagan Datuk, Encik Zulkepli Bin Nordin mempunyai
beberapa peranan.

Antaranya ialah dari aspek pendidikan. Encik Zulkepli telah membuka kelas Tarian Dabus
yang bertujuan untuk mendedahkan tarian ini kepada masyarakat terutamanya golongan muda
yang mempunyai minat untuk mempelajari tarian ini. Kebiasaannya, Encik Zulkepli akan
mengajar anak-anak didiknya di rumah beliau sendiri atau di Dewan Orang Ramai Kampung
Pasang Api. Kelas ini akan diadakan pada waktu petang dan apabila ada waktu lapang sahaja.
Beliau akan mengajar bersama-sama rakan sepasukannya yang terdiri daripada golongan tua.
Golongan tua ini akan memainkan alat muzik seperti gong, anak dabus, kompang dan rebana. Para
penari pula terdiri daripada anak-anak muda sama ada lelaki atau perempuan. Melalui kelas ini,
Encik Zulkepli dapat memilih para penari yang berkualiti untuk diserap masuk dalam kumpulan
Tarian Dabusnya yang dikenali sebagai Kumpulan Intan Terpilih. Kumpulan ini telah bertapak
dalam seni tarian di Bagan Datuk lebih daripada 10 tahun. Menurut Encik Zulkepli, kumpulan ini
telah diberi nama melalui sebuah cerita P.Ramlee yang bertajuk Dandan Setia. Menurut beliau
lagi, kumpulan ini mempunyai enam hingga lapan orang penari tanpa mengira umur dan jantina.
Jelaslah bahawa peranan beliau dalam memberikan ilmu pendidikan berkaitan Tarian Dabus dapat
memartabatkan tarian ini sebagai tarian kesenian Negeri Perak.

Peranan beliau yang seterusnya ialah sebagai ketua kumpulan Tarian Dabus,beliau telah
memberikan sumbangan kewangan kepada kumpulan beliau. Hal ini kerana, beliau ingin
mengetengahkan kumpulan ini sehingga dikenali masyarakat luar. Encik Zulkepli telah membeli
alat muzik yang baharu seperti kompang, anak dabus dan rebana. Dengan ada alat muzik yang
mencukupi, para pemuziknya dapat memainkan alat muzik dengan baik. Ini menunjukkan bahawa
beliau begitu memberikan komitmen yang tinggi dalam menyambung legasi bapanya untuk
melestarikan Tarian Dabus ini. Jika ada undangan untuk membuat persembahan yang jauh, beliau
akan menanggung kos perjalanan untuk ke majlis tersebut. Selain itu, beliau juga pernah
menyumbangkan wang untuk menempah baju kumpulan beliau. Bagi beliau, keseragaman amat
penting ketika melakukan persembahan.
Encik Zulkepli juga memainkan peranan dalam memperkenalkan seni kata Tarian Dabus.
Pada asalnya, seni kata Tarian Dabus ini adalah dalam Bahasa Arab yang memuji kebesaran Allah
dan Rasulnya. Sebagai contoh, Adam Siti Hawé Datuk nenek moyang kité Mati di Jedah di luar
koté Batu nisannya berjanjar tigé. Banyak hari perkaré hari Hari Jumaat yang sebenar hari
Banyak nabi perkara nabi Nabi Muhammad sebenar nabi Budak-budak pergi ke sekolah Lagi
mendapat lagi terpuji Cukup duit pergi ke Mekah Boleh berziarah ke makam Nabi. Namun,
ianya telah diubah kepada Bahasa Melayu bagi memudahkan orang ramai untuk memahami
maksudnya dan mempelbagaikan bahasa dalam penyampaiannya. Seni kata tarian ini juga telah
diselang selikan antara Bahasa Arab dan Bahasa Melayu semasa penyampaiannya. Contohnya
senikata : (Dalam Bahasa Arab) He Allah he Allah, Hodal hema kheya maulai, He Allah he
Allah, Lana mahbud se wa Allah. Mura di seng Allah mura diseng, Kama la izin Allah mura
di, Mura di yah Allah mura di yah, Kama la izin Allah mura di. (Dalam Bahasa Melayu) Tuan
Haji berbaju jubah, Pergi ke padang berburu rusa,Orang mengaji memuji Allah, Orang
sembahyang mengampun dosa. Syed Hassan Syed Hussein, Anak cucu Rasulullah, Mati
Hassan tinggal Hussein, Mati berperang Sabilullah. Encik Zulkepli telah menukarkan seni kata
Tarian Dabus kepada lagu-lagu yang dapat menarik perhatian orang ramai dan merdu untuk
didengar iaitu :

Baju putih serban putih, Lalu dibawé pergi sembahyang,


Allah kasih Muhammad kasih, Rasulullah terlalu sayang.
Tuan Haji berbaju jubah, Pergi ke padang berburu rusé,
Orang mengaji memuji Allah, Orang sembahyang mengampun dosé.
Tetak tebu kilaskan dayung, Hendak mendayung selat Melaké,
Tuntut ilmu buatkan payung, Buat mendinding api neraké.

Sehingga kini, seni kata ini masih diguna pakai dalam mempersembahkan Tarian Dabus dan buku
berzanji juga turut digunakan.

Cabaran yang dihadapi oleh Encik Zulkepli Bin Nordin ialah ketiadaan pelapis untuk
menyertai tarian ini. Menurut beliau, masyarakat kini kurang berminat untuk mempelajari tarian
ini terutamanya golongan muda. Hanya segelintir sahaja anak muda yang ingin mempelajari tarian
ini. Menurut Encik Zulkepli lagi, golongan muda kini lebih meminati hiburan dan terpengaruh
dengan unsur luar seperti K-Pop. Mereka lebih membangga-banggakan tarian luar yang
berunsurkan lucah berbanding dengan tarian kebudayaan negara mereka sendiri. Jadi beliau susah
untuk mencari pelapis yang baru. Tarian ini juga tidak dapat diperkembangkan dengan meluas
kerana kurang pelapis daripada golongan muda. Jika ada pelapis, beliau ingin mengembangkan
tarian ini kerana tarian ini melambangkan identiti bagi Negeri Perak. Beliau masih mahu
memperkenalkan tarian ini ke peringkat yang lebih tinggi supaya dikenali oleh masyarakat luar.

Pada tahun 2014, beliau pernah mengalami masalah apabila salah seorang daripada
ahli kumpulan menarik diri pada saat-saat akhir sebelum membuat persembahan. Ini kerana
penari beliau tersebut terpaksa pergi ke hospital kerana bapanya sakit tenat. Penari tersebut
telah menarik diri sehari sebelum mereka sepatutnya melakukan persembahan. Oleh sebab
itu, kumpulan tersebut kekurangan seorang penari. Beliau dan ahli kumpulannya terpaksa
membuat persembahan walaupun kekurangan ahli kerana telah diundang untuk membuat
persembahan di majlis kenduri kahwin lebih awal. Jika beliau menarik diri daripada
membuat persembahan, sudah pastinya pengantin yang mengundang beliau akan marah
dan kecewa. Ini merupakan cabaran yang amat sukar untuk dihadapi buat beliau dan ahli
kumpulannya.

Encik Zulkepli juga menghadapi cabaran dalam ahli kumpulannya yang kurang bekerjasama
antara satu sama lain. Ada antara ahli kumpulannya yang mementingkan diri sendiri kerana tidak
mahu membantu ahli yang lain untuk melakukan tarian. Ini kerana ada antara mereka yang berasa
telah bagus dalam tarian dan tidak mahu mengajar yang lain. Ada juga yang tidak memberikan
kerjasama semasa latihan dijalankan. Sesegelintir daripada mereka sering memberikan alasan
untuk menghadiri kelas latihan. Selain memberikan alasan, mereka juga tidak hadir tanpa sebab.
Perkara ini membuatkan Encik Zulkepli sukar untuk mendapatkan kesepakatan dalam kalangan
ahlinya.

You might also like