You are on page 1of 9

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/334362922

PENERAPAN ADAT DAN BUDAYA DALAM PENGURUSAN SISTEM BIOSFERA


MELALUI SISTEM TAGAL

Chapter · June 2019

CITATIONS READS

0 22

5 authors, including:

Jurry Foo
Universiti Malaysia Sabah (UMS)
22 PUBLICATIONS   38 CITATIONS   

SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Medicinal Plants in Tamu View project

Pemetaan Tabiat Membaca Dalam Kalangan Pelajar Di Luar Bandar Di Daerah Ranau, Sabah View project

All content following this page was uploaded by Jurry Foo on 10 July 2019.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


PENERAPAN ADAT DAN BUDAYA DALAM PENGURUSAN SISTEM BIOSFERA
MELALUI PELAKSANAAN SISTEM TAGAL

JURRY FOO

*PROGRAM GEOGRAFI, FAKULTI KEMANUSIAAN, SENI DAN WARISAN,


UNIVERSITI MALAYSIA SABAH
**INSTITUT KAJIAN PERIBUMI BORNEO (BORIIS), UNIVERSITI MALAYSIA SABAH

jurryfm@ums.edu.my

ABSTRAK

Kertas kerja ini akan menghuraikan penerapan adat dan budaya dalam sistem tagal. Sistem tagal ialah
pengurusan sistem biosfera berasaskan komuniti yang telah diadaptasikan daripada amalan pengurusan
hutan secara tradisional oleh masyarakat Kadazandusun di Sabah yang terbukti berkesan dalam usaha
memulihara dan menjamin peghidupan mapan. Data dikumpul melalui temuramah, analisis kandungan
dan rujukan bahan atas talian. Secara keleluruhannya, penerapan adat dan budaya komuniti setempat,
khususnya sogit telah memberi kesan positif kepada keberkesanan sistem tagal.

Kata kunci: adat, budaya, pengurusan sistem biosfera, sistem tagal

PENGENALAN

Kertas kerja ini akan menghuraikan penerapan adat dan budaya dalam sistem tagal. Sistem tagal ialah
pengurusan sistem biosfera berasaskan komuniti yang telah diadaptasikan daripada amalan pengurusan
hutan secara tradisional oleh masyarakat tempatan di Sabah, khususnya oleh kaum Kadazandusun yang
terbukti berkesan dalam usaha memulihara dan menjamin penghidupan mapan. Kaedah pengurusan
sistem biosfera berasaskan komuniti ini telah berjaya memulihkan ekosistem sungai dan menangani
kemerosotan populasi ikan, khususnya ikan air tawar yang mula disedari oleh masyarakat di negeri
Sabah pada sekitar tahun 1960-an. Sebagai pihak pelaksana sistem tagal, komuniti yang terlibat telah
menerapkan adat dan budaya yang diwarisi sebagai sebahagian daripada pendekatan dalam hal ehwal
pengurusan pemuliharaan. Manakala pihak berkuasa tempatan melalui Jabatan Perikanan menjadi
rakan kerjasama yang bertanggungjawab dari segi teknikal, termasuk tugas-tugas penyelarasan,
nasihat, bimbingan dan pemantauan.

Adat adalah berkaitan dengan budaya iaitu merangkumi peraturan yang ditetapkan berasaskan
kepercayaan, nilai dan norma masyarakat (Jurry, 2019; Jurry dan Kadir, 2017). Ia menjadi sebahagian
institusi yang mengawal tanah dan sumber (Jannie, 2004) dan menggambarkan ciri pengadilan

1
tempatan yang bertujuan untuk mengekalkan perintah dan keharmonian komuniti (Felix, 2002).
Budaya pula terbentuk daripada amalan berterusan yang didorong oleh nilai, kepercayaan dan norma
sesebuah masyarakat. Ia mencakupi tingkahlaku seperti cara kerja yang melambangkan identiti etnik
(Rohana, 2014). Sesuatu tindakan akan menjadi budaya apabila ia menjadi rutin dan diamalkan secara
berterusan (sehingga menjadi warisan) atas tanggapan bahawa tindakan tersebut mempunyai nilai
penghidupan, diyakini betul dan diterima oleh semua ahli dalam masyarakat. Kecenderungan budaya
pula boleh mempengaruhi hubungan manusia dengan hidupan lain dalam ekosistem (Boyden, 2016).
Ini kerana manusia sangat bergantung kepada sumber dalam ekosistem dalam memenuhi keperluan
hidup dan kehendak yang semakin rencam. Oleh yang demikian, kesejahteraan penghidupan dan
pengurusan alam sekitar yang lestari boleh dipengaruhi oleh adat dan budaya sesebuah masyarakat.

SOROTAN LITERATUR

Sistem tagal seringkali dikaitkan dengan adat dan budaya masyarakat tempatan di Sabah. Namun
kajian ilmiah mengenai sistem tersebut lebih banyak dilakukan dengan mengkhusus kepada
manfaatnya kepada komuniti (Jurry, 2011; Jephrin, 2009), perkaitannnya dengan kearifan tempatan
(Adlina et al., 2013; Ng, 2017) dan perkara berkaitan aspek dan prospek pelancongan (Jurry, 2011;
Er et al., 2012). Fokus kajian mengenai aspek penerapan adat dan budaya dalam sistem tersebut hanya
menjadi sebahagian daripada bahan ulasan dan sokongan data dalam kebanyakan kajian lepas,
khususnya mengenai ‘sogit’ yang dikenakan kepada pihak yang melanggar peraturan sistem tagal yang
ditentukan oleh komuniti pelaksana. Walau bagaimanapun, Jurry (2019) telah mula membincangkan
sistem tagal dari perspektif budaya dengan menyentuh beberapa aspek adat dan budaya sebagai
komponen identiti masyarakat yang dipulihara melalui sistem ini. Rentetan daripada itu, kertas kerja
ini akan menghuraikan dengan lebih khusus mengenai adat dan budaya yang ditrerapkan dalam sistem
tagal dengan merujuk kepada status semasa berhubung pelaksanaan sistem tersebut di Sabah.

METODOLOGI

Data dikumpul melalui temuramah, analisis kandungan dan rujukan bahan atas talian. Temuramah
dilakukan bagi mendapatkan maklumat mengenai latar belakang penerapan adat dan budaya dalam
sistem tagal. Informan yang dipilih adalah dari kalangan pengerusi tagal dan ahli jawatankuasa
pelaksana. Analisis kandungan pula dilakukan ke atas dokumentasi kajian akademik dan akhbar
tempatan. Manakala rujukan bahan atas talian seperti blog dan laman mukabuku (facebook) dirujuk
untuk mengenal pasti perkembangan terkini berkaitan dengan pelaksanaan sistem tagal.

2
DAPATAN KAJIAN

Kajian mendapati bahawa aspek adat dan budaya komuniti setempat telah diterapkan dalam sistem
tagal. Penerapan adat berlaku melalui adaptasi peraturan kampung dan pengekalan adat istiadat
tradisional, manakala penerapan budaya pula dilihat dari sudut penerapan nilai murni dan pengekalan
bahasa.

Penerapan adat

Monogit ialah adat istiadat yang dikekalkan dalam banyak urusan terutama melaksanakan korban
dalam proses meneroka kawasan dan sumber semulajadi dan juga berkaitan dengan hal denda akibat
melanggar peraturan adat dalam masyarakat. Kedua-dua tujuan ini adalah untuk meneutralkan
(menyejukkan) ekosistem.

Adaptasi peraturan kampung

Peraturan kampung telah dijadikan sebagai satu daripada peraturan dalam pelaksanaan sistem tagal
terutama dari segi penguatkuasaan peraturan yang melibatkan sogit. Sogit dikenakan kepada pihak
yang disabitkan kesalahan melanggar peraturan adat kampung yang dianggap sebagai denda dan
hukuman (Low dan Solehah, 2018; Jurry, 2019). Namun Felix (2012) menegaskan bahawa dalam
pelaksanaan peraturan adat, sogit adalah peluang kedua kepada pesalah untuk memohon keampunan
dan seterusnya mengekalkan perpaduan.

Sogit yang dikenakan kepada pesalah biasanya bayaran dalam bentuk haiwan ternakan kerana bayaran
tersebut akan dikorbankan kepada semangat yang marah. Namun atas kekangan mendapatkan haiwan
ternakan pada masa kini, wang tunai juga boleh diterima mengikut jumlah yang dianggap setimpal
dengan kesalahan yang dilakukan, iaitu melalui keputusan pengadilan yang dikendalikan mengikut
adat kampung.

Mengekalkan adat istiadat tradisional

Pada peringkat permulaan pelaksanaan sesuatu sistem tagal upacara ritual disebut monogit dilakukan
bagi tujuan memohon kebenaran daripada pencipta dan mengelak kejadian alasu (panas) iaitu
malapetaka akibat meneroka atau mengganggu sumber tanpa kebenaran serta bagi menghindari
gangguan kuasa jahat disebut yang rogon. Upacara itu dijalankan dengan mengorbankan haiwan
ternakan sebagai ‘korban darah’ (biasanya melibatkan haiwan ternakan seperti ayam, babi atau
kerbau). Ini kerana masyarakat Kadazandusun percaya bahawa alam sekitar diberikan oleh
Kinorohingan (Tuhan) untuk dikongsikan bersama dan sebagai amanah untuk diuruskan secara
bersama-sama dengan semangat kekitaan dan saling menghormati (Felix, 2000; Jannie 2004).

3
Monogit ialah upacara ritual yang dilakukan mengikut adadt isitiadat. Golongan senior dan
berpengalaman dalam kampung iaitu bobolian (pawang atau bomoh) akan mengetuai upacara monogit
dengan mulai memerinait (membaca mentera yang disebut rinait) diikuti acara menyembelih haiwan
korban, lalu mencurahkan darah korban di atas kayu sumpah (yang dipacak di tepi sungai) dan ke
dalam sungai yang mengalir bagi mendapat restu penjaga. Upacara tersebut juga merupakan simbolik
‘janji’ bahawa sesiapa yang melanggar peraturan adat yang telah ditetapkan akan mendapat musibah
sebagai pembalasan yang disebut sebagai ousung. Setelah semua upacara selesai maka haiwan korban
tersebut dimasak dan dimakan bersama-sama secara beramai-ramai oleh ahli komuniti yang terlibat
sebagai tanda kesyukuran dan sebagai lambang penerimaan perjanjian antara ahli komuniti terhadap
sistem tagal.

Monogit juga akan dijalankan apabila berlaku musibah dalam kalangan masyarakat di kampung,
mahupun perkara-perkara merosakkan persekitaran dan habitat mereka (Jurry, 2019). Ini kerana
mereka percaya bahawa kejadian buruk seperti bencana alam, penyakit dan ketidaksuburan tanaman
adalah akibat ohusuan atau alasuan (panas yang wujud dalam bentuk musibah) yang dikenakan oleh
kuasa luar biasa yang marah apabila manusia tidak patuh kepada larangan dan peraturan yang telah
ditetapkan oleh Kinorohingan (Tuhan) (Minah, 2013).

PENERAPAN BUDAYA

Penerapan nilai murni

Nilai Murni yang utama yang diterapkan dalam sistem tagal ialah nilai hormat dan kerjasama serta
adil dan saksama. Nilai hormat kepada pencipta dan penjaga seluruh alam sangat penting kerana secara
tradisinya masyarakat Kadazandusun percaya bahawa seluruh alam mempunyai pencipta dan penjaga
yang perlu dihormati. Penerokaan kepada sumber alam dan sesuatu tindakan manusia hendaklah
memohon kebenaran daripada pencipta dan penjaga tersebut.

Nilai kerjasama yang disebut sebagai ‘ruyung’ iaitu gotong royong ditekankan dalam pelaksanaan
sistem tagal kerana ekosistem sungai yang ditagal dianggap sebagai hak milik bersama yang perlu
dijaga oleh semua ahli komuniti. Nilai ini dapat dilihat melalui kerjasama dalam menjada kebersihan
sungai, memantau dan penglibatan komumiti dalam pelaksanaan sistem tersebut. Manakala moginakan
(makan besar) yang biasanya dilakukan selepas sesuatu acara gotong royong atau buka tagal akan
melibatkan sumbangan semua ahli komuniti sama ada dari segi sumbangan tenaga atau material dalam
bentuk peralatan, kewangan atau makanan yang disebut mizungu.

Nilai adil dan saksama sangat penting dalam kehidupan bermasyarakat. Dalam pelaksanaan sistem
Tagal, semua ahli komuniti mempunyai hak yang sama rata. Ini bergantung kepada keperluan dan
kehendak semasa. Ini dapat dilihat melalui budibicara sesuatu jawatankuasa sistem tagal dalam

4
menentukan zon tagal yang boleh dituai dan sebaliknya bagi kegunaan domestik oleh ahli komuniti
yang memerlukan dan penentuan pembahagian hasil tuaian. Selain daripada itu, nilai adil dan saksama
dapat dilihat melalui proses membuat keputusan secara kolektif, di mana semua keputusan melibatkan
pelaksanaan sistem tagal hendaklah melalui cadangan dan persetujuan semua ahli komuniti. Ini adalah
kaedah pengiktirafan hak dan suara masyarakat yang telah diwarisi dalam kalangan masyarakat
Kadazandusun.

Mengekalkan bahasa

Budaya adalah lambang bangsa, manakala bahasa adalah jiwa bangsa. Bahasa ibunda dikekalkan
dalam banyak perkara dalam pelaksanaan sistem tagal. Perkataan ‘tagal’ dan ‘bombon’ itu sendiri
diambil daripada bahasa Kadazandusun yang merujuk kepada maksud yang bersifat larangan.
Perkataan ini dikekalkan sebagai identiti komuniti pelaksana yang mula-mula menerima dan
mengamalkan sistem tersebut secara tradisi. Manakala perkataan sogit pula kekal digunakan sebagai
maksud hukuman dan ketegasan komuniti dalam menguruskan sumber melalui sistem tagal.

Pengekalan kaedah menuai hasil

Kaedah menuai hasil sumber alam adalah lambang kehidupan masyarakat. Sebagai satu cara
pemuliharaan dan juga sebagai memperingati budaya masyarakat tempatan, kaedah menuai hasil
sungai (semua hidupan sungai) adalah berdasarkan kepada kaedah tradisional dan menggunakan
peralatan tradisional semasa acara buka tagal. Antara kaedah tradisional tersebut ialah magapon
(memancing dengan menggunakan joran buluh, tali dan cangkuk), mingkogog (menangkap ikan
menggunakan tangan iaitu tanpa sebarang peralatan), meniud (menangkap ikan menggunakan
peralatan yang dinamakan sebagai siud iaitu jaring yang dipasang pada kayu), marambat (menangkap
ikan menggunakan rambat atau jaring), mamukat (menangkap ikan menggunakan pukat), dan
memanah (menangkap ikan menggunakan alat memanah atau tombak). Kaedah tradisional ini diyakini
dapat mengawal kerosakan yang berlaku kepada ekosistem sungai semasa menuai hasil sungai. Selain
daripada ikan, sumber hidupan sungai lain yag boleh dijadikan makanan juga dikutip seperti labi-labi,
kura-kura, tuntul (siput sedut) dan gipan (udang).

PEMBAHASAN

Kelebihan daripada usaha penerapan adat dan budaya masyarakat tempatan ke dalam pelaksanaan
sistem tagal ialah kecekapan pengurusan berasaskan komuniti kerana adanya pengiktirafan dan
pengurusan yang bersifat mesra komuniti. Pengiktirafan sesebuah komuniti sebagai penjaga dan
pengurus sumber semulajadi di dalam habitat manusia secara tidak langsung memberi kuasa dan
membentuk kepercayaan terhadap kemampuan komuniti dalam menjaga hak milik mereka secara
kolektif. Ini merupakan dorongan kuat dalam penglibatan komuniti kerana pemilikan tanah dan sumber

5
adalah perkara yang sensitif dan sangat dititikberatkan dalam kalangan masyarakat anak negeri di
Sabah.

Pengekalan adat dan budaya menjadikan sistem tagal sebagai satu sistem pengurusan yang bersifat
mesra komuniti kerana dilaksanakan mengikut kerangka komuniti, iaitu berasaskan kepada cara hidup
biasa komuniti yang diadaptasikan dalam pengurusan pemuliharaan yang bersifat teknikal. Hasil
daripada usaha pengekalan adat dan budaya menunjukkan kesediaan dan kemampuan komuniti untuk
memahami proses pelaksanaan sistem tersebut dalam mencapai matlamat dan objektif serta
menjalankan kaedah-kaedah pelaksanaan, pemantauan dan penguatkuasaan yang telah biasa
diamalkan dalam kehidupan mereka. Pengekalan istilah bahasa tempatan misalnya akan
mempermudahkan penyampaian maksud sebenar sesuatu tindakan, manakala pengekalan adat akan
memudahkan komuniti membuat keputusan dalam urusan dan hal ehwal pelaksanaan sistem tagal.

Walaupun begitu, kekangan yang wujud dalam usaha pengekalan adat dan budaya dalam sistem tagal
ialah soal literasi dalam kalangan generasi baharu terhadap adat dan budaya itu sendiri serta soal
kesanggupan untuk terus mengamalkan tradisi itu dalam pengurusan sumber semulajadi. Ini dapat
dilihat melalui tinjauan awal ke kawasan tagal yang menunjukkan kemerosotan pengetahuan dan
minat generasi mudah terhadao soal adat dan budaya. Ini ditambah lagi dengan isu pelupusan peranan
Bobolian pada masa kini yang hanya menjadi sebagai ikonografi warisan budaya masyarakat (Hanafi,
2013). Ancaman pelupusan peranan ini juga berlaku dalam kalangan bololian yang digelar tantagas
dalam kalangan kaum Lotud kerana keengganan golongan muda menggalas tugas tersebut (Ahmad
Isyafiq, 2017). Tambahan pula perubahan gaya hidup dan kemerosotan tahap literasi terhadap bahasa
ibunda yang semakin membimbangkan boleh membantutkan usaha pengekalan adat dan budaya.

KESIMPULAN

Sistem tagal telah berjaya membuktikan keberkesanan pengurusan sistem biosfera berasaskan
komuniti di Sabah. Penerapan adat dan budaya adalah kunci kepada penglibatan komuniti secara
berterusan. Ini adalah satu langkah yang positif sesuai dengan konsep pembangunan lestari yang
menuntut penyertaan komuniti dalam menguruskan persekitarannya mengikut kerangka komuniti.
Bagi memastikan sistem ini terus dilaksanakan dalam kalangan komuniti, pemahaman dan konsep
pengurusannya perlu terus dipeluaskan dan diturunkan kepada generasi yang akan datang.

RUJUKAN

Adlina Ab. Halim, Jayum A. Jawan, Sri Rahayu Ismail, Normala Othman & Mohd Hadzrul Masnin.
(2013). Traditional Knowledge and Environmental Conservation among Indigenous People in Ranau,
Sabah. Global Journal of Human Social Science Geography,
Geo-Sciences, Environmental & Disaster Management. Vol. 13 (3). USA: Global Journals Inc.

6
Ahmad Isyafiq Mad. Desa. (2017). Suang Lotud dahagakan Tantagas.26 November.
http://www.kosmo.com.my/k2/rencana-utama/suang-lotud-dahagakan-tantagas-1.560445
[10/5/2019].

Boyden, S. (2016) The Biohistorical Paradigm: The Early Days of Human Ecolo-gy at The Australian
National University Human Ecology Review in Press. [1/5/2019].

Er Ah Choi, S. Sekvadurai, N. Lyndon, Sheau Tsuey Chong, Adam, J.H, Mohd Fuad, M.J., A Habibah
& J. Hamzah. The Involvement of tagal On Ecotourisme and Environmental Conservation: A Case
Study in Kampong Luanti Baru, Sabah. Advances in Natural and Applied Sciences. 6 (1). Hlm. 61-64.

Hussin Hanafi (2003). Bobohizan dan Peranannya Di Kalangan Masyarakat Kadazan Daerah
Penampang, Sabah. Journal of Southeast Asian Studies, 8 (1).

Jannie Lasimbang (2004). Malaysia. Prosiding. Asian Regional Conference on Indigenous Knowledge
and Biodiversity. 30th Sept- 3rd Oct Hanoi.

Jephrin Zefrius Wong (2009) Temubual. Ketua Bahagian Marin. Jabatan Perikanan Negeri Sabah.

Jurry Foo (2011) Sistem Tagal dalam industri pelancongan: manfaat kepada komuniti. GEOGRAFIA
Online. Malaysia Journal of Society and Space 7 (1), 14 - 25.

Jurry Foo (2019). Pemuliharaan Warisan Kebudayaan Melalui Sistem Tagal Sungai Di Sabah. Dlm.
Borneo Dalam Kepelbagaian Perspektif. Buku Festchrif Sempena Persaraan Prof. Dr. Low Kok On.
Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.

Jurry Foo & Kadir Jaafar (2017), Faktor yang Mempengaruhi Sikap mengenai Tumbuhan Ubatan dari
Perspektif Sosiobudaya. LIFEWAYS-International Journal of Society, Development and Environment
in the Developing World. Vol.1(3). Hlm 1 -8.

Low Kok On & Solehah Ishak. 2018. The Spiritual Significance of Komburongo In The Folk Beliefs
Of The Dusunic Peoples of North Borneo. Electronic Jurnal Folklore. Vol. 71. Hlm. 179-206.
https://www.folklore.ee/folklore/vol71/low_solehah.pdf [1/5/2019].

7
Minah Sintian (2013). Kepercayaan dan Amalan Masyarakat Kadazandusun Dalam Pemeliharaan
Alam Sekitar. Prosiding dari Persidangan Intelektual Kebangsaan Malaysia. Tanjong Malim: Fakulti
Sanis Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Ng Keat Chuan, Cassey. (2017). The Application of Citizen Science Approach in an Ichthyofaunal
Survey at Tagal Sites in Upper Moyog River, Sabah, East Malaysia. Journal of Tropical Biology and
Conservation (14). Kota Kinabalu: Univesiti Malaysia Sabah. Hlm. 37-53.

Rohana Yusof. (2014). Asas Sains Sosial dari Perspektif Sosiologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

View publication stats

You might also like