You are on page 1of 11

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/320394862

STRATEGI KELANGSUNGAN AKTIVITI PERIKANAN NELAYAN BANDAR DI


PULAU GAYA, KOTA KINABALU, SABAH

Article · January 2015

CITATIONS READS

0 5,870

2 authors:

Jalihah Md Shah Nor Hafizah bin Selamat


Universiti Malaysia Sabah (UMS) Universiti Sains Malaysia
30 PUBLICATIONS 129 CITATIONS 34 PUBLICATIONS 96 CITATIONS

SEE PROFILE SEE PROFILE

All content following this page was uploaded by Jalihah Md Shah on 03 December 2019.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


Md. Shah & Selamat, International Journal of Environment, Society and Space, 2015, 3(2), 22-31

STRATEGI KELANGSUNGAN AKTIVITI PERIKANAN NELAYAN BANDAR DI


PULAU GAYA, KOTA KINABALU, SABAH

Jalihah Md. Shah1* & Nor Hafizah Hj. Selamat2


1
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia dan Fakulti Kemanusiaan,
Seni & Warisan (Blok Sains Sosial) Universiti Malaysia Sabah, Jln UMS, 88400,
Kota Kinabalu, Sabah.
2
Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita (KANITA) dan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan,
Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang.

Abstrak. Perikanan merupakan aktiviti ekonomi yang dijana dalam persekitaran fizikal dan sosial yang tidak
menentu. Ketidaktentuan yang dihadapi nelayan memerlukan golongan ini mengatur strategi bagi berhadapan
dengan halangan dan cabaran yang wujud ekoran ketidaktentuan persekitaran fizikal dan sosial tersebut. Kertas
kerja ini membincangkan mengenai bentuk-bentuk strategi kelangsungan aktiviti nelayan bandar di Kampung
Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah. Makalah ini turut menghuraikan rasional di sebalik setiap strategi yang diambil
oleh nelayan terbabit. Kajian ini adalah berbentuk etnografi yang melibatkan kaedah temubual secara mendalam
terhadap 54 orang nelayan dan juga pemerhatian turut serta. Dapatan kajian ini mendapati nelayan merekrut ahli
keluarga mereka sebagai awak-awak, menjadikan perikanan sebagai perusahaan keluarga, mempelbagaikan aktiviti
perikanan, menjana aktiviti ekonomi sampingan dan memasarkan hasil tangkapan secara terus demi kelangsungan
aktiviti ekonomi masing-masing. Kajian ini menunjukkan strategi berbentuk jaringan sosioekonomi yang dilakukan
di peringkat isi rumah ini menyebabkan nelayan mampu mengurangkan masalah ketidaktentuan persekitaran dan
pendapatan yang dihadapi.

Kata kunci. Strategi kelangsungan, ketidaktentuan, nelayan bandar dan Pulau Gaya
Abstract: Fishery takes place in uncertain physical and social environments. Hence, strategies to deal with the
obstacles and challenges that exist due to uncertainties of the physical and social environment are needed. This
paper discusses the forms of survival strategies that are adopted by urban fishermen in Kampung Pulau Gaya,
Kota Kinabalu, Sabah. In addition, this paper also describes the rationale behind each of these strategies. This is
an ethnographic study that involves in-depth interviews and participant observation. The findings reveal that the
fishermen recruit their family members as their crew and they also turn fishing into a family business. For
economic survival, they also diversify their fishing activities, generate side economic activities and market their
catch directly to buyers. This study shows that the strategy of socio-economic network at the household level is
able to reduce the environmental and income uncertainties that were faced by the fishermen.

Keywords: survival strategies, uncertainty, urban fishermen and Gaya Island

PENGENALAN

Sektor perikanan menyediakan pekerjaan, pendapatan, makanan dan peluang untuk menjana pendapatan
menerusi perniagaan dalam kebanyakan ekonomi di peringkat tempatan mahupun antarabangsa
(COFAD, 2002). Bagaimanapun, ketidaktentuan persekitaran fizikal dan sosial (Acheson, 1981) yang
telah menjadi salah satu kriteria sektor perikanan (Van Oostenbrugge, 2003) perlu dihadapi para nelayan
yang menyebabkan nelayan perlu mengatur organisasi kerja mereka agar boleh terus bertahan dalam
aktiviti perikanan ini. Bentuk-bentuk ketidaktentuan ini melibatkan persekitaran fizikal ketika berada di
laut seperti cuaca, ombak, angin dan arus, musim ikan, keadaan bot dan bahaya di lautan luas yang
mempengaruhi jumlah tangkapan (Acheson, 1981). Manakala ketidaktentuan persekitaran sosial pula
misalnya harga pasaran ikan dan hubungan sesama kru (Acheson, 1981), hubungan dengan tauke,
persaingan dengan nelayan komersial, polisi serta pembangunan secara umum (Md. Shah & Hj. Selamat,

*E-mail: jelia14@hotmail.com

22
Md. Shah & Selamat, International Journal of Environment, Society and Space, 2015, 3(2), 22-31

2014). Soalnya, bagaimanakah nelayan mengatur strategi bagi memastikan aktiviti perikanan mereka
dapat berjalan dengan lancar meskipun berhadapan dengan pelbagai bentuk ketidaktentuan? Menyedari
bahawa nelayan mempunyai strategi tersendiri untuk mengurangkan dan menangani isu ketidaktentuan
sosial dan fizikal ini, artikel ini membincangkan bentuk strategi kelangsungan aktiviti perikanan yang
dilakukan oleh nelayan di Kampung Pulau Gaya iaitu sebuah perkampungan nelayan yang terletak di
dalam kawasan bandar raya Kota Kinabalu, Sabah. Fokus perbincangan dalam makalah ini bertumpu
kepada nelayan bandar kerana hampir semua kajian mengenai nelayan di Malaysia sebelum ini memberi
tumpuan kepada nelayan yang tinggal di kawasan luar bandar (Wan Teh, 1980; Firth, 1990; Shari, 1990,
1994; Mohd Ariff & Bakeri, 2002; Cooke, 2008; Ali, 2013). Penumpuan sedemikian rupa telah
menyebabkan maklumat berkenaan organisasi kerja dan aktiviti sosioekonomi nelayan yang tinggal
dalam kawasan bandar kurang diterokai. Kesannya, pengetahuan mengenai nelayan bandar masih terhad
walhal sektor perikanan merupakan sebahagian daripada aktiviti ekonomi yang diusahakan oleh
penghuni bandar. Dalam pada itu, nelayan bandar turut berhadapan dengan cabaran yang berbeza (Md.
Shah & Hj. Selamat, 2014) dan berpeluang mendapat akses kepada pelbagai kemudahan di bandar
berbanding nelayan di kawasan luar bandar (Mohd Ariff, Majid & Yeap, 2009). Artikel ini bertitik tolak
daripada hujah bahawa nelayan akan mencari kaedah terbaik demi memastikan organisasi kerja
golongan ini berjalan lancar dan pendapatan boleh terus dijana walaupun berhadapan dengan
ketidaktentuan dalam rutin kerja masing-masing.

NELAYAN DAN STRATEGI KELANGSUNGAN AKTIVITI PERIKANAN

Pekerjaan sebagai nelayan merupakan antara aktiviti ekonomi yang terawal dalam masyarakat selain
daripada berburu dan bercucuk tanam. Corak kehidupan komuniti yang mencari nafkah di laut ini kerap
mencuri tumpuan para pengkaji sosial sama ada di Asia mahupun di Barat sekalipun. Di Malaysia,
komuniti nelayan mula dikaji secara ilmiah oleh Firth (1990) awal 1940-an yang mengupas corak hidup
nelayan di Perupok, Kelantan. Rata-rata kajian mengenai nelayan di Malaysia menyentuh aspek
fenomena kemiskinan yang berlaku dalam komuniti ini (Firth, 1990; Wan Teh, 1980; Shari, 1990; Mohd
Ariff, Mohd Raduan & Aziz, 2007; Omar, Yussof & Siwar, 2007). Kemiskinan dalam kalangan nelayan
berpunca daripada nelayan tidak memiliki modal, tidak memiliki perahu dan bekerja sebagai awak-
awak. Jelasnya, faktor ekonomi dan pemilikan peralatan menangkap ikan menyebabkan nelayan
memperoleh pendapatan yang rendah. Nik Mustapha (1987) telah mengenalpasti enam faktor yang
menyumbang kepada berlakunya kemiskinan dalam kalangan nelayan. Pertama, kekurangan modal
untuk membeli bot dan peralatan moden. Kedua, daya pengeluaran nelayan yang rendah. Ketiga, tingkat
atau kadar pelaburan semula nelayan yang rendah. Keempat, sistem perkongsian yang diamalkan dalam
operasi tangkapan. Kelima, sistem harga yang merugikan nelayan dan keenam, corak penangkapan ikan
yang bermusim. Kesemua punca ini mempunyai kaitan langsung dengan struktur dan corak kerja
nelayan itu sendiri.

Tanggapan bahawa komuniti nelayan adalah miskin sepenuhnya telah disangkal menerusi kajian Mohd
Ariff, Subramaniam dan Mohd Raduan (2008) ke atas komuniti nelayan etnik Bajau di Mengkabong,
Tuaran, Sabah. Mengikut pengkaji, komuniti nelayan digambarkan sebagai miskin kerana cara hidup
dan persekitaran mereka adalah terlalu asas dan tidak terurus (Mohd Ariff et al., 2008, p.243).
Tanggapan yang salah ini dikatakan berpunca daripada kesilapan penyelidik sebelum ini yang mengutip
data menerusi borang soal selidik. Komuniti nelayan yang dikaji merahsiakan pendapatan sebenar
mereka kerana mereka dikatakan ingin memperoleh bantuan yang disalurkan agensi pembangunan untuk
para nelayan. Hasil kajian Mohd Ariff et al., (2008) mendapati nelayan wanita boleh memperoleh
pendapatan mencecah RM1,000 hingga RM4,000 sebulan. Nelayan wanita yang menangkap ikan, udang
dan ketam di muara sungai menggunakan peralatan tradisional turut menjual hasil tangkapan mereka di
kaki lima Pasar Tuaran. Di samping menjual hasil tangkapan sendiri, golongan wanita ini turut menjual
rumpai laut yang diperoleh daripada jaringan perniagaan mereka dari daerah Semporna, Sabah. Kajian
Mohd Ariff et al., (2008) ini telah memberi dimensi baru berhubung kajian komuniti nelayan sebelum ini
yang rata-ratanya mengaitkan komuniti ini dengan kemiskinan dan kepayahan hidup. Walau
bagaimanapun, penemuan kajian Hussin, Mulia, Md. Shah dan Idris (2009) ke atas nelayan yang
merupakan peserta projek pembasmian kemiskinan di Mengkabong berbeza dengan data yang ditemui
oleh Mohd Ariff et al., (2008). Kajian Hussin et al., (2009) sebaliknya mendapati para nelayan masih
berhadapan dengan masalah kemiskinan.
23
Md. Shah & Selamat, International Journal of Environment, Society and Space, 2015, 3(2), 22-31

Kemiskinan dalam kehidupan para nelayan telah menyebabkan golongan ini melakukan pelbagai usaha
demi kelangsungan hidup keluarga masing-masing. Kajian terhadap komuniti nelayan menunjukkan
jaringan sosioekonomi merupakan salah satu strategi yang digunakan bagi membolehkan nelayan terus
bertahan dengan aktiviti perikanan mereka. Jaringan sosial dijadikan alat untuk membina hubungan
akrab sesama kru agar kelancaran organisasi kerja nelayan sepanjang berada di laut boleh dicapai
(Acheson, 1981) dan memperoleh manfaat berbentuk ekonomi (Sudarmono & Abu Bakar, 2012). Kajian
antropologi menunjukkan jaringan sosial memainkan peranan yang penting dalam kehidupan harian
komuniti nelayan (Acheson, 1981). Terdapat dua bentuk jaringan sosial yang wujud dalam komuniti ini
iaitu formal dan tidak formal. Jaringan sosial formal melibatkan hubungan nelayan dengan pertubuhan-
pertubuhan berdaftar dan agensi-agensi kerajaan yang mempunyai kaitan langsung dengan perikanan.
Manakala jaringan sosial bersifat informal pula melibatkan ahli keluarga dan orang tengah yang
berperanan melicinkan aktiviti ekonomi nelayan. Jaringan sosial informal ini berfungsi untuk merekrut
pekerja, medium berkongsi informasi lokasi tangkapan ikan dan amaran bencana, memasarkan
tangkapan kepada orang tengah dan peranan para isteri menjual hasil tangkapan (Acheson, 1981).

Selain bentuk jaringan sosial seperti yang dibincangkan di atas, kajian sebelum ini menunjukkan
golongan wanita dalam komuniti nelayan menjalankan urusniaga ikan secara terus di pasar berbanding
menjual tangkapan kepada orang tengah (Cooke, 2008; Mohd Ariff et al., 2008). Kedua-dua kajian yang
dilakukan ke atas wanita etnik Bajau di Tuaran, Sabah tersebut mendapati penjualan ikan secara terus ini
telah memberikan pendapatan dan lebih menguntungkan isi rumah nelayan. Hal ini berbeza dengan
kajian-kajian terdahulu di Pahang misalnya yang menunjukkan rata-rata nelayan masih bergantung
kepada tauke untuk memasarkan ikan (Mohd Ariff & Bakeri, 2002). Di samping itu, pengetahuan
tempatan nelayan turut menjadi strategi yang boleh memberi kelebihan dan kekuatan yang
mempengaruhi corak kerja dan hasil tangkapan para nelayan (Firth, 1990; Hj. Selamat & Abdul Gapor,
2005; Cooke, 2008; Md. Shah & Hj. Selamat, 2013). Dengan ini, nelayan menjadikan jaringan
sosioekonomi sebagai instrumen untuk beradaptasi dengan ketidaktentuan persekitaran yang wujud
dalam kegiatan perikanan.

LOKASI KAJIAN

Pulau Gaya merupakan salah satu kawasan perkampungan yang terletak dalam bandar raya Kota
Kinabalu. Pulau ini mempunyai lima kampung iaitu Kampung Lok Urai, Kampung Pasir Putih
(Kasuapan), Pondo, Lok Molom dan Kampung Pulau Gaya. Sebahagian besar daripada pulau ini
termasuk dalam kawasan tanah Taman-taman Sabah yang merupakan salah sebuah daripada rangkaian
pulau yang diisyitharikan sebagai Taman Negara Tunku Abdul Rahman manakala rumah-rumah
penduduk pula ada yang dibina di atas tanah milik persendirian, rizab kampung dan sebahagian besar
adalah penempatan setinggan (DBKK, 2013). Status sebagai setinggan bandar menyebabkan golongan
nelayan di Kampung Pulau Gaya amat terdedah dengan ancaman perpindahan ke kawasan lain,
berhadapan dilema dengan sektor pelancongan di pulau terbabit, pemeliharaan hidupan laut serta hutan
dan perancangan pembangunan ke atas pulau ini yang memberi kesan langsung terhadap aktiviti para
nelayan.

Komuniti nelayan bandar adalah komuniti yang tinggal di pinggir laut dalam kawasan bandar dan
pinggir bandar (Kota Kinabalu), lokasi tempat tinggal nelayan terbabit termasuk dalam bidang kuasa
Dewan Bandar raya/Majlis Perbandaran dan berdasarkan banci Penduduk dan Perumahan, isi rumah
nelayan di kawasan ini telah dikenalpasti sebagai penduduk bandar. Komuniti nelayan ini juga
menggunakan kemudahan prasarana yang tersedia di bandar bagi tujuan ekonomi dan kehidupan sosial
harian komuniti serta aktiviti menangkap ikan masih menjadi sumber mata pencarian utama ketua isi
rumah nelayan (Md. Shah & Hj. Selamat, 2013). Data Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)
(2013) merekodkan nelayan Kota Kinabalu terdiri daripada tujuh kategori yang utama. Paparan
maklumat menerusi Jadual 1 menunjukkan sebahagian besar daripada nelayan yang berdaftar di bandar
raya Kota Kinabalu pada tahun 2012 adalah nelayan pukat tunda (43.0 peratus). Kesemua nelayan yang
tinggal di bandar raya Kota Kinabalu menetap di kawasan yang terletak di bawah pentadbiran Dewan
Bandaraya Kota Kinabalu. Para nelayan ini boleh ditemui di sekitar perkampungan dalam bandar raya
ini dan kawasan sekitarnya (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), 2013). Sebahagian besar
daripada nelayan ini mendiami kawasan setinggan seperti Sembulan, Tanjung Aru dan Pulau Gaya. Dari
24
Md. Shah & Selamat, International Journal of Environment, Society and Space, 2015, 3(2), 22-31

segi kedudukan geografi, petempatan ketiga-tiga kawasan setinggan ini terletak di atas air dan
berhampiran laut.

Jadual 1: Kategori dan Bilangan Nelayan yang Berdaftar


di bandar raya Kota Kinabalu (2012)
Kategori Bilangan Peratus
Pukat Tunda 740 43.0
Pukat Jerut 222 13.0
Pukat Rantau/3 Lapis 206 12.0
Bubu/Kelong 17 1.0
Pancing/Rawai 420 24.4
Selambau/Bagang 84 4.9
Bintor 30 1.7
Jumlah 1,719 100.0
(Sumber: LKIM Sabah, 2013)

Kajian dalam kalangan nelayan bandar di Kampung Pulau Gaya mendapati pengkategorian nelayan
boleh dibahagikan kepada enam kategori utama merangkumi (i) selambau, (ii) berdayung, (iii) pam bot,
(iv) enjin sangkut, (v) kapal dan (vi) jongkong. Pengkategorian kumpulan nelayan ini mempunyai
hubungkait dengan peralatan dan kaedah yang nelayan gunakan dalam aktiviti penangkapan ikan
masing-masing. Daripada kategori nelayan ini, nelayan enjin sangkut dan kapal boleh ditemui di
Semenanjung Malaysia manakala selebihnya hanya boleh didapati di negeri Sabah khususnya di Pulau
Gaya. Nelayan selambau misalnya telah direkodkan sejak zaman kesultanan Sulu (Ali, 2009; Mohd
Ariff, 2006) dan nelayan selambau yang ada di Pulau Gaya mempunyai perbezaan dari segi teknik
dengan nelayan yang terdapat di tempat lain di negeri ini (Md. Shah & Hj. Selamat, 2013). Dari segi
peralatan, nelayan bandar di Kampung Pulau Gaya boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu pertama
nelayan yang menggunakan peralatan tunggal untuk menangkap ikan dan kedua, nelayan yang
mengunakan kombinasi lebih daripada satu alat penangkapan ikan. Bagi kategori pertama, terdapat lima
kategori nelayan iaitu nelayan pukat rantau; pancing; rawai; selambau dan bintor. Sebahagian besar
informan dalam kategori ini tidak mempunyai lesen menangkap ikan. Namun bagi kategori nelayan
selambau, hanya sebilangan awak-awak yang tidak berlesen tetapi juragan dan bot mempunyai lesen.

METODOLOGI

Data kajian etnografi di Kampung Pulau Gaya, Kota Kinabalu ini dikutip dan dikumpul menerusi
pemerhatian ikut serta yang menggunakan teknik pemerhatian, temubual, analisis dokumen, penelitian
sejarah hidup dan penulisan diari (Lebar, 2009; Merriam, 2009). Kajian lapangan ini berlangsung selama
lapan bulan dan temubual secara mendalam telah melibatkan seramai 54 orang informan yang terdiri
daripada nelayan di Kampung Pulau Gaya. Satu set rangka temubual telah disediakan dan soalan yang
diajukan kepada para informan adalah mengikut sub-tema khusus misalnya peralatan yang digunakan,
kemahiran dan teknik menangkap ikan. Satu sesi temubual yang direkod ini berlangsung di antara satu
jam setengah hingga ke dua jam. Data temubual ini kemudiannya ditranskrip semula ke dalam bentuk
dokumen dan dianalisis mengikut tema. Selain mengutip data menerusi temubual mendalam,
pemerhatian turut serta juga dibuat dengan menyertai nelayan pukat selambau ke laut untuk menangkap
ikan.

STRATEGI DI PERINGKAT ISI RUMAH NELAYAN: JARINGAN SOSIOEKONOMI

Bahagian ini menghuraikan bentuk-bentuk strategi kelangsungan aktiviti ekonomi yang dilakukan oleh
informan di peringkat isi rumah. Strategi yang dimaksudkan merupakan bentuk-bentuk tindakan yang
diambil oleh informan di peringkat isi rumah bagi melancarkan aktiviti nelayan mereka dan memastikan

25
Md. Shah & Selamat, International Journal of Environment, Society and Space, 2015, 3(2), 22-31

sumber pendapatan keluarga dapat dijana seperti biasa meskipun melalui waktu sukar seperti musim
ikan kurang. Lima strategi utama yang dilaksanakan oleh informan bagi berhadapan dengan cabaran
sepanjang berada di laut dan ketidaktentuan musim ikan. Justifikasi kepada bentuk sesuatu strategi yang
diambil turut dijelaskan dalam perbincangan seterusnya.

Merekrut Ahli Keluarga Sebagai Awak-awak

Merekrut awak-awak yang tepat dan boleh bekerjasama melakukan kerja nelayan mempengaruhi
keselamatan dan kecekapan bot sepanjang berada di laut (Acheson, 1981). Untuk itu, pertalian
persaudaraan merupakan antara indikator yang dititikberatkan untuk merekrut awak-awak dalam
kalangan nelayan di Kampung Pulau Gaya. Bentuk hubungan persaudaraan ini merangkumi hubungan
sedarah seperti ayah-anak, pakcik-anak saudara dan sepupu serta hubungan bukan sedarah seperti ayah
mertua-menantu lelaki. Perekrutan awak-awak seperti anak lebih mudah dilakukan berbanding
hubungan saudara lain. Oleh kerana sebahagian besar daripada informan telah memberi pendedahan
perihal aktiviti nelayan kepada anak mereka dari usia 12 tahun lagi maka, anak informan mempunyai
pengetahuan dan telah dilatih dalam tempoh tertentu berbanding awak-awak tanpa pengalaman.
Mengupah anak sendiri terutamanya yang masih bujang sebagai awak-awak juga boleh menjimatkan
kos kerana informan tidak perlu berkongsi keuntungan sama rata dengan anak tersebut. Merekrut kru
daripada kalangan sanak saudara dalam kalangan informan mempunyai kelebihan dan kekuatan
tersendiri. Kajian ini mendapati tiga justifikasi beserta faedah yang diperoleh informan bilamana mereka
mengambil ahli keluarga sebagai awak-awak bot seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.

Rajah 1: Justifikasi dan Faedah Merekrut Ahli Keluarga Sebagai Awak-awak

Meskipun kesemua konsep yang mendasari hubungan sesama kru-juragan, kru-pemilik bot (tauke) ini
berbentuk subjektif, namun ia amat penting dalam memastikan kerja para informan berjalan dengan
lancar bermula dari sebelum mereka ke laut hinggalah pendapatan diperoleh.

Perikanan sebagai Perusahaan Keluarga

Di Kampung Pulau Gaya, hanya sebilangan kecil nelayan yang menjadikan aktiviti ekonomi ini sebagai
perusahaan keluarga. Daripada 54 orang nelayan yang ditemubual, kajian ini menemui seramai 15 orang
informan yang merekrut anak masing-masing sebagai awak-awak ataupun melaksanakan tugas
memasarkan ikan. Bilangan kecil informan yang menjadikan perikanan sebagai perusahaan keluarga
adalah disebabkan (i) sebahagian besar anak informan lebih gemar bekerja dalam sektor pekerjaan di
bandar yang dianggap lebih mudah, bergaji tetap dan terjamin berbanding terlibat dalam sektor
perikanan, (ii) bilangan kecil informan yang memiliki bot dan peralatan menangkap ikan sendiri, (iii)
tidak ada modal dan (iv) kurang pengetahuan tentang rantaian pemborong serta pasaran.

Umumnya, wujud tiga bentuk perusahaan perikanan kendalian keluarga dalam komuniti nelayan di
Kampung Pulau Gaya iaitu (i) perusahaan dalam bentuk tenaga kerja di laut, (ii) memasarkan hasil
tangkapan di sekitar kampung dan (iii) tenaga kerja di laut dan memasarkan ikan di luar komuniti.
Bentuk perusahaan yang pertama, peranan ahli keluarga hanya terhad dalam kerja penangkapan ikan
manakala kerja memasarkan ikan pula dikendalikan oleh pihak lain yang tidak mempunyai pertalian
26
Md. Shah & Selamat, International Journal of Environment, Society and Space, 2015, 3(2), 22-31

saudara dengan informan. Bentuk perusahaan perikanan seterusnya memperlihatkan anak informan
ditugaskan untuk memasarkan sendiri hasil tangkapan yang diperoleh informan secara terus kepada
pembeli di sekitar kampung. Akhir sekali, perusahaan perikanan yang menyaksikan penglibatan
sepenuhnya ahli keluarga informan bermula dari kerja menangkap sehinggalah memasarkan ikan di luar
komuniti. Menurut Jasni:

“Abang saya beli ikan dari bapa saya. Ikan yang kami tangkap ni abang saya jual di tamu di
Inanam, jual dengan Hotel Sutera Harbour. Dia juga jual ikan di restoren di sekitar Luyang.
Selain itu, dia turut jual kepada peniaga di pasar dan tamu-tamu di di Kinarut dan Penampang.
Abang saya kenal ramai orang. Kawan-kawan dia dari sekolah ada kerja di Sutera Harbour itu
yang dia boleh hantar ikan ke sana. Lagipun dia belajar daripada pemborong-pemborong Cina di
pasar, dia tanya dengan siapa dia boleh jual dan lokasi pembeli ikan tersebut”.

Menerusi pemerhatian penyelidik ketika di lapangan mendapati ada anak-anak nelayan yang menjaja
ikan dari rumah ke rumah pada waktu pagi dan petang. Menurut informan, harga bagi ikan yang dijual
di sekitar kampung adalah sama seperti harga yang dijual kepada peraih ikan di pasar. Namun, berat
bagi setiap ikan yang dijual adakalanya melebihi satu kilogram. Seorang penduduk menyatakan adalah
lebih baik membeli ikan dari nelayan di kampung kerana ikan lebih segar dan beliau tidak perlu
mengeluarkan kos untuk tambang bot ke Kota Kinabalu. Walaupun begitu, kajian ini mendapati bukan
semua nelayan menjaja ikan di kampung sebaliknya majoriti memilih untuk memasarkan ikan kepada
tauke, peraih atau penjual ikan.

Mempelbagaikan Aktiviti Nelayan

Ketidaktentuan sumber pendapatan daripada aktiviti penangkapan ikan menyebabkan informan


mempelbagaikan aktiviti marin lain bagi memastikan pendapatan untuk keluarga boleh terus dijana.
Kajian ini mengenalpasti tiga strategi yang dilakukan oleh informan agar mereka mempunyai
pendapatan walaupun berada di luar dari musim ikan iaitu (i) melakukan aktiviti mencandat sotong, (ii)
selangseli aktiviti nelayan mengikut musim angin dan (iii) menternak ketam dan balat. Mencandat
sotong ataupun ‘menyotong’ dalam istilah tempatan dilakukan ketika bulan terang disebabkan majoriti
informan tidak ke laut ekoran kedudukan ikan yang berserakan lantaran adanya cahaya bulan terang di
permukaan laut di samping pukat boleh dilihat ikan. Meskipun pendapatan daripada menyotong tidak
selumayan memukat ikan, namun menurut informan ‘lebih baik ada berbanding langsung tidak ada’.
Dengan ini, aktiviti menyotong yang dilakukan pada malam hari menyebabkan pendapatan informan
sebagai nelayan tidak terputus.

Selain itu, ada nelayan yang menselangselikan aktiviti nelayan mengikut musim angin merupakan
strategi yang dilakukan bagi memastikan pendapatan menerusi aktiviti nelayan masih diperoleh
meskipun bukan dalam musim ikan. Misalnya, musim teduh informan memancing ikan kerapu
manakala ketika musim angin pula informan terbabit mengutip siput kon dan balat susu. Kedua-dua
aktiviti ini dijalankan di Pulau Layang-layang iaitu lokasi yang sama untuk memancing ikan kerapu.
Namun yang berbeza adalah dari segi metod dan hasil tangkapan iaitu menyelam untuk mendapatkan
siput kon dan balat. Jelas daripada kajian ini menunjukkan bahawa informan menggunakan masa
mereka sepenuhnya untuk menjana pendapatan kecuali sewaktu mereka berehat selepas bermalam
hampir dua minggu di laut. Tinggal di kawasan atas air menyebabkan ada sebilangan kecil informan
mengambil inisiatif untuk menternak ketam dan balat. Tidak seperti nelayan di tempat lain yang
mengusahakan penternakan udang secara sistematik (Mohd Ariff & Bakeri, 2002), sebaliknya aktiviti
menternak ketam dan balat oleh informan dalam kajian ini dilakukan di bawah kolong rumah masing-
masing (lihat Foto 1, halaman 28). Kedua-dua hidupan marin ini diternak untuk tempoh tertentu oleh
informan sebelum ia membesar dan dijual ke pasar atau pelanggan datang dan membeli sendiri ke
rumah informan.

Kepelbagaian aktiviti nelayan membuktikan bahawa informan tidak bertumpu kepada satu bentuk kerja
nelayan sahaja. Hal ini kerana informan sedar bahawa kerja menangkap ikan semata-mata yang amat
bergantung kepada faktor cuaca dan musim ikan boleh menghadkan serta menjejaskan mata pencarian
mereka. Dengan itu, informan melakukan aktiviti lain yang masih berorientasikan hasil laut tetapi

27
Md. Shah & Selamat, International Journal of Environment, Society and Space, 2015, 3(2), 22-31

menggunakan teknik berbeza bagi memastikan sumber rezeki masih diperoleh walaupun berada di luar
daripada waktu memancing ataupun memukat ikan.

Foto 1: Sangkar menternak ketam yang diletakkan di bawah kolong rumah informan

Menjana Aktiviti Ekonomi Sampingan

Sumber ekonomi para nelayan turut dijana daripada aktiviti ekonomi sampingan yang lain. Kajian ini
mendapati separuh daripada informan tanpa mengira kategori nelayan melakukan kerja lain selain
daripada menangkap ikan. Kerja sampingan ini dilakukan oleh para informan selepas waktu memukat
ataupun sewaktu mereka tidak turun ke laut disebabkan faktor cuaca, musim ikan dan bot rosak. Dengan
kata lain, ada kerja sampingan ini dilakukan seiringan dengan kerja menangkap ikan seperti menjahit
pukat dan memandu bot penumpang yang kebiasaannya dibuat selepas informan pulang dari laut.
Sebaliknya kerja bertukang dan membuat bot dilakukan ketika informan tidak turun ke laut ekoran cuaca
buruk dan musim ikan kurang. Meskipun kerja yang sampingan ini tidak jauh bezanya dengan pekerjaan
mereka sebagai nelayan (Mohd Ariff & Bakeri, 2002), namun, daripada empat jenis pekerjaan
sampingan nelayan di Kampung Pulau Gaya ini, bertukang merupakan kerja sampingan yang paling
kerap diceburi oleh informan. Kerja bertukang menyaksikan informan diupah oleh kontraktor dari luar
ataupun orang perseorangan untuk membina dan membaiki titi serta rumah penduduk di sekitar
Kampung Pulau Gaya. Biasanya informan diupah bekerja untuk tempoh kurang satu minggu bergantung
kepada beban kerja manakala upah pula dibayar di antara RM30.00 hingga RM50.00 sehari. Jelasnya,
pendapatan harian daripada kerja bertukang ini hampir menyamai pendapatan yang diperoleh informan
menerusi aktiviti ekonomi utama sebagai nelayan.

Memasarkan Ikan Secara Terus

Pemasaran hasil tangkapan dalam kalangan nelayan di Kampung Pulau Gaya boleh dibahagikan kepada
empat kaedah. Pertama, informan menjual hasil tangkapan kepada tauke yang merupakan pemilik
peralatan menangkap ikan termasuk bot. Kedua, menjual kepada peraih ikan (tukang pajak) yang
menunggu informan di pusat pendaratan ikan sama ada di SAFMA ataupun pagar Pasar Ikan Kota
Kinabalu dan ketiga menjual kepada peniaga ikan di pasar. Kaedah keempat adalah penjualan terus
kepada pembeli awam yang dilakukan dengan cara iaitu (i) menjual ikan di sekitar kampung, (ii)
menjual ikan di tamu dan (iii) menjual ikan di pasar kepada peniaga restoren. Kajian ini mendapati ada
dalam kalangan informan yang melakukan lebih daripada satu kaedah untuk memasarkan ikan. Sebelum
menghantar tangkapan dan berurusniaga dengan peraih di pasar, informan menjual ikan di sekitar
kampung. Ada dalam kalangan informan yang terlebih dahulu memasarkan ikan kepada pelanggan tetap
di sekitar kampung sebelum menjual hasil tangkapannya di tamu sekitar daerah Kota Kinabalu dan
Tuaran.

Informan yang menjual terus hasil tangkapan ikan tanpa melalui peraih ataupun tauke turut mempunyai
kebebasan untuk menentukan harga ikan. Dengan berbuat demikian, informan berjaya menjual ikan
lebih tinggi berbanding harga yang telah ditentukan oleh orang tengah. Bagaimanapun terdapat dalam
kalangan informan yang akan membuat tinjauan harga di pasar pada hari tersebut sebelum mengambil
keputusan untuk menjual ikan kepada mana-mana peniaga. Meninjau harga semasa ikan dilakukan
dengan cara informan bertemu peniaga ikan di dalam pasar dan bertanyakan tentang harga yang
28
Md. Shah & Selamat, International Journal of Environment, Society and Space, 2015, 3(2), 22-31

sanggup dibayar untuk ikan miliknya. Sekiranya informan berpuas hati dengan harga yang ditawarkan,
baharulah proses menjual ikan dilakukan. Menerangkan strategi yang diambil, Eduladu mengatakan:

“Di pasar ikan, ada ramai peniaga. Jadi saya buat tinjauan dahulu, baharu jual. Macam
saya, semua perkakas, bot, pukat dan minyak milik saya sendiri. Jadi saya sendiri tentukan
dengan siapa saya mahu jual ikan saya. Jadi siapa yang ambil mahal, pajak mahal, bagi
harga tinggi, saya jual kepada orang tersebut. Contohnya saya mahu jual ikan bakulan, ada
peniaga yang ambil RM4.50 sekilogram, harga saya pula RM5.00 sekilogram, jadi saya
jual dengan siapa yang mahu ambil harga RM5.00 sekilogram, saya pun mahu ambil
untung sikit.” (Eduladu, 51 tahun)

Justeru itu, memasarkan sendiri hasil tangkapan kepada peniaga ataupun peraih dengan melakukan
negosiasi harga terlebih dahulu memberi keuntungan kepada informan. Dari satu segi, situasi ini
menunjukkan informan memiliki kebebasan dalam menentukan harga ikan di samping mempunyai
alternatif lain untuk memasarkan hasil tangkapan masing-masing. Sebahagian besar informan
menyedari bahawa menjual terus kepada pembeli awam lebih menguntungkan tanpa perlu melalui
tauke, peraih ataupun peniaga, namun, tidak ramai yang dapat berbuat demikian atas faktor yang telah
dibincangkan sebelum ini.

KESIMPULAN

Kajian dalam kalangan nelayan di Kampung Pulau Gaya, Kota Kinabalu membuktikan bahawa
golongan nelayan mempunyai strategi tersendiri bagi memastikan aktiviti ekonomi mereka dapat terus
bertahan meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran. Strategi jaringan sosioekonomi yang
digerakkan di peringkat isi rumah menunjukkan nelayan membina dan memperkuatkan organisasi kerja
mereka dengan cara merekrut awak-awak daripada kalangan ahli keluarga. Kesannya, wujud hubungan
harmoni, saling mempercayai dan persefahaman serta hormat menghormati di antara awak-awak dan
juragan. Gabungan kesemua sifat-sifat ini menjadi teras kepada kejayaan sesuatu trip penangkapan ikan.
Ketidaktentuan cuaca dan kewujudan musim ikan menyedarkan nelayan bahawa mereka tidak boleh
bergantung sepenuhnya kepada aktiviti perikanan semata-mata. Justeru itu, nelayan mengusahakan
kegiatan ekonomi alternatif sama ada yang masih berasaskan hidupan marin ataupun melakukan kerja
sampingan lain. Implikasinya, pendapatan isi rumah boleh terus dijana walaupun ketika mereka tidak
turun memukat ataupun memancing ikan di laut. Keluar daripada jaringan pemasaran ikan konvensional
memberi keuntungan kepada para nelayan berbanding dengan nelayan yang masih terikat dengan tauke
ataupun peraih. Meskipun bilangan nelayan yang berbuat demikian masih kecil, namun, strategi menjual
hasil tangkapan secara terus kepada pembeli awam telah membuka ruang kepada nelayan untuk
mengusahakan sendiri aktiviti perikanan bermula dari laut hinggalah ke pemasaran ikan. Tindakan
sebegini memberikan kebebasan kepada nelayan untuk menentukan harga ikan mereka sendiri
berbanding penetapan harga oleh orang tengah yang kerap merugikan nelayan seperti yang ditunjukkan
dalam banyak literatur sebelum ini sama ada di Malaysia (Wan Teh, 1980; Firth, 1990; Shari, 1990)
mahupun luar negara (Acheson, 1981). Dalam pada itu, usaha menjadikan aktiviti perikanan sebagai
satu bentuk perusahaan keluarga seperti yang berlaku dalam kalangan nelayan di Pulau Gaya tidak
sahaja menjadikan perikanan sebagai ‘pasaran kerja’ peringkat komuniti yang membuka peluang
pekerjaan kepada ahli keluarga tetapi dalam masa yang sama membolehkan kegiatan ini terus bertahan
dan mampu memberi saingan kepada perikanan komersil lain di bandar raya Kota Kinabalu.
PENGHARGAAN
Penulis ingin merakamkan berbanyak terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Universiti
Malaysia Sabah yang menaja pengajian Phd penulis.

RUJUKAN
Acheson, J. M. (1981). Anthropology of Fishing. Annual Review of Anthropology, 10, 275-316.

Ali, I. (2013). Nelayan Artisanal di Sabah. Kota Kinabalu: Penerbit Universiti Malaysia Sabah.

Ali, I. (2009). Perkembangan Teknologi Menangkap Ikan di Sabah. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.

29
Md. Shah & Selamat, International Journal of Environment, Society and Space, 2015, 3(2), 22-31

Consultants for Fishery, Aquaculture and Regional Development (COFAD). (2002). Back to Basic: Traditional
Inland Fisheries Management and Enhancement Systems in Sub-Saharan Africa and their Potential for
Development. Eschborn, Germany: Deutsche Gesellschaft für Technische Zusammenarbeit (GTZ).

Cooke, F. M. (2008). The Bajau of Mengkabong: Potential Partners in Wetlands Conservation?. Seminar Paper
Series Number 5. Research Unit for Etnhography and Development, School of Social Sciences, Universiti
Malaysia Sabah.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). (2013). Kertas Edaran Jawatankuasa Pembangunan Bersepadu Pulau
Gaya, Jabatan Perancangan Bandaraya. Tidak Diterbitkan.

Firth, R. (1990). Nelayan Melayu Ekonomi Tani Mereka (Y. Haroon & N. H. Moin, Trans.). Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hj. Selamat, N. H. & Abdul Gapor, S. (2005). “Dying and Marginalized” – Fishermen and Their Indigenous
Knowledge in Penang. Man and Society, 14, 116-135.

Hussin, R., Mulia, D. S., Md. Shah, J. & Idris, A. (2009). Study to Identify Strategies and Programmes to
Eradicate Poverty and Improve Employment and Equity Restructuring in the State of Sabah: Component
3 – Qualitative. Kota Kinabalu: Unit Penyelidikan Etnografi dan Pembangunan, Universiti Malaysia
Sabah.

Lebar, O. (2009). Penyelidikan Kualitatif: Pengenalan kepada Teori dan Metod. Tanjong Malim: Penerbit
Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. (2013). Maklumat Nelayan di Kota Kinabalu. Tidak Diterbitkan.

Md Shah, J. & Hj. Selamat, N. H. (2013). “Tangkapan banyak kerana tuah?”: Pengetahuan Tempatan dan Amalan
Pribumi oleh Nelayan Bandar di Pulau Gaya, Kota Kinabalu Sabah. Kertas Kerja Dibentangkan di
Persidangan Serantau Kearifan Tempatan ke-3, Anjuran Kumpulan Kearifan Tempatan, Universiti Sains
Malaysia. Sutra Beach Resort, Kuala Terengganu, Terengganu.

Md Shah, J. & Hj. Selamat, N. H. (2014). Urban Fishermen in Gaya Island, Kota Kinabalu, Sabah: The
Challenges. Paper Presented in 1st International Maritime Conference, organised by Universiti Malaysia
Sabah Labuan International Campus, UMS Labuan.

Merriam, S. B. (2009). Qualitative Research: A Guide to Design and Implementation. San Francisco: Jossey-Bass.

Mohd Ariff, M. R. (2006). Perusahaan Perikanan di Sabah. Kuala Lumpur: Penerbit Univertisi Malaya.

Mohd Ariff, M. R. & Bakeri, A. (2002). Masyarakat Nelayan di Negeri Pahang: Satu Kajian Sosioekonomi. Jati, 7,
175-195.

Mohd. Ariff, M. R., Majid, M. & Yeap, H. L. (2009). Penilaian Semula Program Pembasmian Kemiskinan Nelayan
Tradisional di Sabah: Kajian Kes di Daerah Kota Belud, Sabah. Jati, 2009, 93-113.

Mohd. Ariff, M. R., Mohd Raduan, M. S. & Aziz, Z. (2007). Masalah Nelayan Tradisional di Semenanjung
Malaysia: Penyelesaian Tanpa Kesudahan. Jati, 12, 247-258.

Mohd. Ariff, M. R., Subramaniam, T & Mohd Raduan, M. S. (2008). Wanita Bajau Tonggak Keluarga Nelayan
Artisanal Kampung Mengkabong, Tuaran, Sabah. Jati, 13, 229-244.

Nik Mustapha, N. H. (1987). Satu Analisis Ekonomi tentang Polisi Pembangunan Industri Perikanan dan Kesannya
ke atas Nelayan dan Penggunaan Sumber. Dalam M. H. Piei. Malaysia: Isu-isu Pembangunan. Bangi:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Omar, M., Yussof, I. & Siwar, C. (2007). Menangani Masalah Kemiskinan Melalui Strategi Peningkatan Modal
Insan di Kalangan Penduduk Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting, Langkawi. Dalam A. Abd. Samad,
A. Suhid, B. Abu Samah, J. Othman, J. Uli, M. Muhamad, N. Ahmad & S. Roslan (Eds.). Prosiding
Seminar Kebangsaan Sains Sosial, Sains Sosial Teras Pembangunan Modal Insan Jilid 2. Serdang:
Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia.

Shari, I. (1994). Keberkesanan Strategi Pembasmian Kemiskinan di Kalangan Komuniti Nelayan: Satu

30
Md. Shah & Selamat, International Journal of Environment, Society and Space, 2015, 3(2), 22-31

Pemerhatian Empirikal. Dalam M. Y. Haji Johari, C. S. Kiong & M. Sintoh (Ed.), Komuniti Nelayan:
Cabaran, Harapan dan Masa Depan. Kota Kinabalu: Institut Kajian Pembangunan (Sabah).

Shari, I. (1990). Ekonomi Nelayan Pengumpulan Modal, Perubahan Teknologi dan Pembezaan Ekonomi. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sudarmono, J. S. & Abu Bakar, N. R. (2012). Dinamik Langganan dalam Masyarakat Nelayan: Artikulasi Ragam
Pengeluaran Perikanan Berskala Kecil di Kelurahan Cambayya, Kota Makkasar, Sulawesi Selatan,
Indonesia. Malaysia Journal of Society and Space, 8, 65-75.

Van Oostenbrugge, H. (2003). Uncertainty in Daily Catch Rate in the Light Fisheries around Ambon and the Lease
Islands: Characterisation, Causes and Consequences. Unpublished PhD Thesis, Wageningen University.

Wan Teh, W. H. (1980). Komuniti Nelayan di Pulau Pangkor: Beberapa Aspek Ekonomi dan Sosial. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

31

View publication stats

You might also like