You are on page 1of 3

BIODATA PERSARAAN PUAN ROHANA BT SARIF

Segak bergaya puteri mahkota,


Dimahkotakan dalam majlis yang meriah,
Izinkan saya membacakan biodata,
Didahului dengan lafaz bismillah.

Bismillahirrahmanirrahim….

Pada tanggal 1 April 1962, merupakan detik keramat bagi pasangan


bertuah Haji Sarif bin Nayan dan Hajjah Chik bt Othman apabila
dikurniakan seorang puteri. Anak pertama daripada 3 orang adik beradik
ini diberi nama Rohana binti Sarif.
Beliau telah dijaga seperti menatang minyak yang penuh dan diberi didikan
yang sempurna. Beliau mendapat pendidikan awal sekolah rendah di
Sekolah Rendah Tunku Bendahara, Kodiang, Kedah pada tahun 1969. Maka
bermulalah pencarian ilmu yang pertama baginya. Detik waktu menginjak
pantas dan tahun juga bersilih ganti. Setelah enam tahun di sekolah
rendah, pada tahun 1974 beliau melanjutkan pelajaran di peringkat
menengah di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah.
Dalam kehidupan berumahtangga pada tahun 1987 beliau telah bertemu
jodoh dengan Encik Safri bin Darus. Mengecapi kebahagiaan beliau
dikurniakan 4 orang cahaya mata iaitu Syazwani bt Safri yang kini bertugas
sebagai guru, Syafikah bt Safri juga seorang guru, Mohd Syakir masih
belajar di UNiKL, Kulim dan Muhd Sidqy di UniKL Miat.

Tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu…


Alam kerjaya sebagai guru bermula setelah beliau mendapat tawaran
meneruskan pengajian di Maktab Perguruan Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Beliau telah memulakan tugas sebagai guru pada tahun 1987 apabila
beliau ditempatkan di SRK Methodist, Jln Hang Jebat, Kuala Lumpur.
Seterusnya, setelah berkahwin beliau telah berpindah balik ke Kedah dan
ditempatkan ke SK Dato Wan Kemara, Changlun pada tahun 1988. Beliau
meneruskan perkhidmatannya ke SK Teluk Malek pada tahun 1989
sehingga berpindah ke SK Tunjang pada 2002 hingga 2012. Kemudian
beliau meneruskan perkhidmatan ke SK Tunku Laksamana dengan
menyandang jawatan PK Kokurikulum. Kemudian, beliau dinaikan pangkat
sebagai PK di SK Penghulu Haji Darus pada tahun 2013.
Pada tanggal 1/10/2016 beliau telah berpindah ke SK Hakim Teh dan
memegang jawatan PK 1 sehinggalah tarikh persaraan beliau pada hari ini.
Bakat kepimpinannya sungguh menyerlah. Berpegang kepada prinsip
hidupnya yang suka berterus terang dan hanya percaya kepada kejujuran.
Beliau mempunyai wawasan yang cukup tinggi dan patut dicontohi. Sikap
prihatinnya terhadap anak didik dan guru-guru harus dipuji. Beliau tidak
pernah jemu dan mengalah dalam usaha memberikan pendidikan yang
terbaik kepada semua anak didiknya dan memberikan komitmen yang
tinggi dalam urusan pentadbiran.

Disinilah destinasi terakhir beliau sebelum menamatkan perkhidmatan


pada usia persaraan 56 tahun. Sikap keprihatinannya terhadap anak
bangsa tidak pernah luntur ditelan masa di mamah usia. Sentiasa ikhlas
menjalankan tugasnya dan tidak pernah lokek berkongsi ilmu dan wang
ringgit. Banyak masanya dihabiskan dengan mengabdikan diri pada
tugasnya sebagai seorang guru dan juga pentadbir.

Setelah 31 tahun mengerah keringat mencurah bakti, maka pada hari ini
tamatlah sebuah perjalanan di dalam dunia pendidikan.

Selamat tinggal suara-suara ceria,


Padang perhimpunan dan dewan perkasa,
Bilik darjah dan anak-anak keletah,
Pejabat tempat bertugas.
Bilik guru dan timbunan buku.

Selamat tinggal anak-anak didik semua


Jadilah anak bangsa yang berguna
Agar ilmu yang diberi bukan sia-sia

Sesungguhnya telah banyak jasa dan bakti beliau tinggalkan. Tak tumbuh
tak melata, tak sungguh orang tak kata. Benar kata pepatah, patah tumbuh
hilang berganti, tapi takkan sama dengan yang pergi.

Sama-samalah kita berdoa semoga beliau terus bahagia dan sihat dalam
menjalani kehidupan baru selepas ini iaitu alam persaraan beliau.

Terang bulan dimalam hari,


Indah gemerlap bintang bercahaya,
Kasih dan sayang ikhlas terpatri,
Rindu bertaut sepenuh jiwa.
Melati kuntum tumbuh melata,
Sayang merbah di pohon cemara,
Akhir kalam penyudah kata,
Moga bahagia di alam pesara

Sekian, Wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum…….~

You might also like